Tiga
Sedar saja dia, Bob segera bangun. "Boea?" panggilnya.
Tak sampai seminit pun dia pengsan sebab Wira aktifkan titik kecil di bahu Bob, titik biru yang bertukar jadi merah bila teknologi Marikh didalamnya mula bantu pemiliknya berfungsi dengan lebih baik. Tapi Bob segera sentuh semula titik itu supaya dia kembali menjadi Bob versi seratus-peratus manusia.
Boea ketawa lihat Bob. "Bob, ibubapa dan nenek saya dah sampai," laung Boea dari luar rumah.
Bob luruskan baju kurta dan seluar jeans yang dipakai. Hipster betul rupanya. Boea yang berbaju kurung kapas menggamitnya dari luar.
Di bawah porch, dua wanita dan seorang lelaki sedang menunggunya. Lelaki itu kelihatan seperti Dharma Harun Al-Rashid, pelakon popular sekitar era 70an. Di sebelahnya, seorang wanita tinggi lampai, anggun bak Norkumalasari. Pakaian mereka pun trendy, kalau mereka nak ke konsert Queens atau Abba pada tahun 1979.
Ada seorang 'Cikgu Bedah' bersama mereka. Ya, rupa wanita kedua tak ubah macam Adibah Amin di waktu mudanya. Cermin mata pun sama, tebal kantanya!
Bob, Wira, Mila, Sarah dan Luth terasa seperti sudah termasuk dalam set filem Adik Manja.
"Assalamualaikum.. Eh, silalah masuk," ajak Bob sedikit gugup bila tiga makhluk Noa itu tercegat saja melihat dia turun beberapa anak tangga.
Dengan senyuman Bob bersalaman dengan keluarga Boea. Paling lama tangannya digoncang bapa Boea. Gembira betul dia bertemu Bob.
Mereka turuti Bob dan Boea masuk lalu disambut oleh Mila dan rakan-rakan. Sebaik sahaja semuanya duduk do ruang tamu, Boea terus perkenalkan mereka.
"Bonda, Nenda, Ayahanda, ini Bob. Nama sebenarnya Firaz Zikri bin Johari, anak bongsu Encik Johari bin Wadi dan Puan Rohaida binti Asmawi serta adik kepada Fairuz Zikri binti Johari. Ini rumah keluarganya, tapi seluruh ahli keluarganya sudah pulang ke rahmatullah dan yang ada sekarang semuanya ahli keluarga yang tiada pertalian darah dengannya, tapi masih keluarga melalui pertalian emosi," panjang lebar Boea perkenalkan.
Boea perkenalkan pula Mila, Wira, Sarah dan Luth.
"Mila dan Wira, Duta Bumi ke Marikh. Mereka rapat dengan Permaisuri Mulianasari dan Putera Ue," kata Boea.
Sambil bersalam terkedip-kedip mata tiga makhluk Noa itu memandang Mila dan Wira. Senyum tidak, masam, jauh sekali.
"Sarah, Srikandi Bumi yang pernah menyelamatkan Bima Sakti daripada ditakluk Puteri Utarid. Di sebelahnya tu, Luth, Lelaki BerDNA Istimewa. Dia turut bantu usaha menyelamatkan Bima Sakti bersama kami semua tahun lepas," cerita Boea.
Tiga ahli keluarganya masih cuma kedipkan mata sahaja, namun salam yang dihulur tetap disambut.
Bob mula berpeluh.
"Boea, mohon perkenalkan ahli keluarga awak," pinta Bob.
Tergelak sedikit Boea. "Maaf, saya tak sabar nak kenalkan awak semua, lupa pula."
"Nama Nenda saya, Haei. Nama Bonda, Myue. Ayahanda, Tioe. Susah nak sebut, kan? Saya dah beri mereka nama timangan Bumi. Haifa, Marina dan Tajuddin. Sebab dalam IC saya, nama saya kan Batrisya binti Tajuddin?" kata Boea.
Nenda Boea, Haei aka Haifa angguk. Dia mula mengorak senyuman kecil.
Barulah bonda dan ayahanda Boea ikut tersenyum.
Mereka mula menjamah buah-buahan yang sudah terhidang di meja.
"Nenda sebenarnya mantan Permaisuri Empayar Noa. Dah 72 tahun Bumi dia memerintah. Usia kami agak panjang berbanding warga Bumi, sebab kami boleh mengubah bentuk fizikal kami. Sekarang, dia dah bersara," terang Boea lagi.
"Kami gembira Tuanku berkenan melawat kami," ucap Bob penuh formal.
Nenda Boea mengangguk. "Kami gembira bertemu kamu semua. Firaz Zikri, datanglah ke sisi saya," ajak Haei.
Bob melangkah penuh sopan dan duduk di sebelah Haei.
Haei terus pegang tangannya.
Badan Bob tiba-tiba terasa sejuk. Kepalanya rasa berat.
"Kau boleh lupakan cucu aku kalau kau tak tahu jawapan kepada soalan ini," ucap Haei tenang, namun nadanya penuh ancaman.
Mila dan Sarah mula berdebar. Luth dan Wira terasa mereka patut lakukan sesuatu untuk bantu Bob, namun melihat Boea dan ibubapanya masih tenang, mereka berdiam dulu.
Mata Haei dan Bob terpejam. Suatu suara mencelah di minda Bob.
Bob, kalau saya mahu makan buah oren, bagaimana nak tahu, buah oren yang mana lebih manis? tanya suara halus di minda Bob.
Bob tahu, soalan pelik inilah teka-teki yang dimaksudkan oleh bapa Boea ketika mereka bertemu secara rahsia di celah-celah pancuran metor Geminids.
Jawapan yang betul telah diberikan oleh Tioe, kerana itulah adat Noa: jika hubungan direstui ibubapa, bapa harus berikan jawapan yang betul sebelum pengantin lelaki diperkenalkan kepada ketua keluarga. Jika salah jawapan diberi, itu tandanya pengantin lelaki perlu diberi tugasan agar mendapat restu daripada ketua keluarga.
Kalau mahu limau yang manis, pilihlah yang berlubang di pusar bawahnya, jawab Bob, melalui telepati.
Namun semua di ruang tamu itu boleh 'mendengarnya', kerana masing-masing punya kemampuan telepati.
Mata Bob dan Haei terbuka. Haei tersenyum memandang Bob.
"Saya gembira bertemu kamu, Firaz Zikri. Saya gembira kamu sudi melamar Boea. Saya gembira kamu sudi menjadi sebahagian daripada keluarga kami," titah Haei.
"Syukurlah!" cetus Myue yang sudah lama menahan senyuman, lega Bob telahpun diterima.
Tioe turut tersenyum lebar dan menepuk belakang Bob.
"Terima kasih Nenda, Bonda dan Ayahanda kerana sudi terima pilihan anakanda," gembira sekali Boea.
"Wah, lancar saja semuanya. Tahniah, Bob, Boea," ujar Wira, teruja lihat rakannya mudah saja lalui ujian yang sudah lama dia gusarkan.
"Marilah makan!" ajak Boea dalam keterujaan. Mereka ke ruang makan. Beriya-iya dia menjamu keluarganya dan rakan-rakan dengan bantuan Bob.
Dalam hati Mila, dia terasa seperti semua ini terlalu mudah. Dia tutupkan sebentar saluran telepati antara dia dan rakan-rakannya. Fikir yang baik-baik saja Mila! dia marah diri-sendiri.
"Perkahwinan Bob dan Boea harus dimulakan dalam masa 37 hari," tiba-tiba Haei bersuara setelah menghabiskan nasi dan lauk pauk dalam pinggannya.
Semua yang ada di meja makan besar itu terdiam.
"Tapi Nenda, kalau di Bumi, Boea perlu lalui banyak proses. Kami perlu beberapa bulan. Bolehkah kami tangguh sekejap?" mohon Boea cuba bermanja.
Haei tersenyum. "Boea, Nenda rasa elok Nenda berterus-terang. Usia Nenda sudah hampir sampai ke penghujungnya. Nenda mahu mencari kubur yang selesa. Harap Boea dan Bob sudi tunaikan hasrat Nenda sebelum Nenda berangkat mengikut laluan Komet Ryz," katanya tenang.
Boea mengalirkan air mata. "Nenda! Kenapa perlu ikut Komet Ryz, komet itu akan mendekati Noa beberapa bulan saja lagi. Sesingkat itu Nenda nak bersama kami?" tegah Boea.
"Nenda sudah berjanji dengan tujuh pembesar Noa yang segenerasi, kami akan bersara bersama jauh daripada Matahari," balas Haei.
"Tapi Nenda.."
"Bob, Nenda tugaskan kamu untuk pujuk Boea supaya selesaikan pernikahan kamu di Noa dan Bumi sebelum Nenda tinggalkan kamu semua," tegas sekali Haei memerintah.
"Kami akan pastikan mereka menurut perintah, Bonda," sokong Tioe, nadanya sayu.
"Ayahanda dan Bonda setuju? Kenapa? Kita tak boleh biarkan Nenda pergi!" teriak Boea.
Mila dan Sarah berpandangan. Luth dan Wira bertukar bicara secara telepati:
Nampaknya ada krisis keluarga ni, ujar Luth pada Wira.
Tersepitlah Bob, balas Wira, dan ia turut didengar oleh Mila dan Sarah.
"Ini tradisi, Boea," putus Haei.
"Tradisi tak guna!" bentak Boea, langsung terdedah sisi garangnya yang jarang dia tunjukkan pada rakan-rakan Buminya.
Ibubapa Boea cuba tenangkan dia. Bob pegang tangan Boea, tapi kelu, tak pasti apa yang boleh dia lakukan.
Seolah-olah dapat mengesan dilema Bob, Haei mengangguk ke arah bakal suami cucunya.
"Bob, saya cuma boleh harapkan kamu," katanya tenang.
Walau sudah sedekad bergelar anak yatim piatu, Bob mula faham sedalam-dalamnya maksud pepatah Melayu, ditelan mati emak, diluah mati bapak.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro