Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Sepuluh

"Aloha!" tegur dua suara serentak. 

Garau, macho dan canggung saja bunyinya.

Di dalam butik, Mila, Boea, Sarah, Tiara, Ellie dan Jelita yang sedang menunggu busana pengantin dibaiki, tersentak.

Sekilas pandang, pemilik dua suara itu macam orang Melayu; bermata bundar, berkulit sawo matang, tapi tubuh mereka agak tinggi, sedangkan kebanyakan lelaki Melayu berketinggian 5'8 hingga 5'11 sahaja. Tinggi mereka, lebih 6' dan seorang daripada mereka bertubuh sasa pula.

"Assalamualaikum," satu lagi suara mulus mencelah.

"Edayu?" panggil Jelita. Dia pasti sang pemilik suara ketiga, milik rakan baiknya.

Tergelak-gelak Edayu lalu menyelit masuk ke butik sambil dua orang lelaki tadi menyapa ala Hawaii itu turut masuk.

"Saya bawa cincin untuk bakal raja sehari Mila dan Wira, serta pasangan diraja Bob dan Boea!" umum wanita itu sambil hulurkan pakej kecil pada dua bakal permaisuri. Walaupun kecil orangnya, jelas sekali dia bakal bergelar ibu tidak lama lagi.

"Ni Al dan Wi lah," tambah Edayu lagi.

Yang lain-lain mula cam sepasang warga Jupiter itu dan tergelak. Al dan Wi, makhluk asing yang asalnya cuma berjirim gas dan boleh menghuni jasad manusia itu memang sudah selalu mereka jumpa. Cuma kali ini mereka menghuni tubuh berbeza, sebab itu tiada siapa dapat mengecam.

"Hello semua, kami terserempak dengan Edayu tadi, kebetulan kami mencari Sarah dan Luth, sebab itu kami menghurung kamu semua ke sini," jelas Wi, soldadu canggung itu.

"Bukan menghurung lah. Kau ingat kita ni semut, mereka semua ni gula?" tingkah Al.

"Tapi tadi kau juga yang kata semua wanita dalam butik ni, manis-manis belaka?" Wi tak puas hati.

"Manis rupa parasnya, bukan rasa," Al cuba bersabar dengan rakannya.

Wi dengan tubuh ala The Rock itu mulalah bingung. "Aku tak pernah pun nampak kau letakkan lidah kau di muka mereka.."

"Ehhh... Sudah, sudah Wi, Al. Kenapa cari Sarah?" potong Mila cepat-cepat. Dua soldadu dari Jupiter ini tak boleh dibiarkan bercakap lama, mengarut jadinya.

Yang lain sudah tergelak-gelak.

"Kami terima berita baru tentang Gina, rupanya ada mesej tersembunyi dalam kirimannya. Kami syak, utusannya sudah dibaca dahulu oleh pihak berkuasa penjara Utarid lalu ditapis, sebelum dihantar," kata Al. 

Berdebar jantung Sarah. Tiara nampak warna hitam menyelubungi aura wanita yang lebih muda daripadanya itu. Deria perasanya turut berdenting lagu sendu.

"Apa yang awak dapat tahu, Al, Wi?" tanya Sarah. Tiba-tiba dia mahukan Luth. Dia terasa paling selamat kalau Luth ada di sisinya, tapi Luth terpaksa pulang ke tempat kerjanya tadi.

"Ini," kata Wi yang menghuni tubuh seorang manusia kurus. Dia keluarkan sebuah telefon pintar dari kocek seluar merah hipster yang dipakainya. "Kami dah tukarkan hasil kajian kami dan muatkan dalam peranti Bumi ini. Senang nak tengok."

Wi mainkan sebuah video dari dalam telefon pintar itu. Terlihat Luth baru saja menyimpan semula telefonnya ke kocek setelah merakam isi kandungan kiriman puteri yang berada dalam kurungan di Planet Utarid itu.

"Sarah, tak payah layan. Jom kita pulang. Harap Laskar-laskar dari Planet Utarid sampaikan pada Puteri Ginafuwara yang kami sudah lihat utusannya dan tidak membalas dengan apa-apa," tegas Luth. Bahu Sarah dipautnya.

Laskar-laskar Utarid itu tunduk bagaikan orang Jepun, kemudian kembali ke kapal angkasa mereka yang berbentuk tiga segi, agak kecil dan permukaannya berapi jingga itu.

Tiba-tiba ada bunyi dengung yang lemah keluar daripada bola api yang terkandung utusan sang puteri, yang sudah disadur dengan mineral pelindung oleh Dayang-dayang dari Marikh yang turut hadir.

"Ha, dengar tak bunyi dengung itu?" tanya Al.

Semua sekelilingnya mengangguk.

"Kami kaji bunyi itu tadi. Rupanya ia rakaman audio suara Puteri Ginafuwara. Ia punya mesej tersendiri. Warga Bumi pasti biasa dengan terma mesej terserot, kan? Kalau dalam karya seni, kan ada mesej tersurat, dan mesej terserot?" terang Wi penuh yakin.

"Tersiratlah. Terserot apanya," marah Al. 

Wi tidak tersengih seperti biasa.

"Apa mesejnya, Al?" tanya Sarah makin gementar.

Terus Al mainkan pula audio yang sudah dimuatkan dalam telefon pintar yang sama. 

"Dalam keringat jasad merapat,
Belas disekat padah mendapat."

Mila, si penulis jadian - merangkap manusia pertama yang menangkap maksud pantun dua kerat itu - memekup mulut gara-gara terkejut.

Suasana dalam butik senyap sebaik saja ugutan penuh kiasan itu diutarakan.   

Sebaik sahaja otaknya faham, Sarah rasa bagai nak pitam. 

"Sarah, kami ada. Apa saja kami boleh bantu, cakap saja," Jelita, si gadis penyelamat yang tak punya sebarang kuasa istimewa itu menawarkan diri. Dia tak tahu apa yang mampu dibantu, tapi dia tetap mahu berdiri bersama Srikandi Bumi yang sudah pencen itu.

"Ya Sarah, saya pun ada," tawar Edayu. Yang lain-lain ikut bersetuju.

Tiba-tiba Emma masuk semula ke ruang utama butik. "Mila, baju awak dah siap!" umumnya gembira. Terpana dia bila melihat wajah semua orang di dalam butiknya pucat saja. "Eh, kenapa semua ni?"

"Tak ada apa-apa Emma, semuanya OK. Mila, cubalah baju awak tu sekali lagi, mesti cantik sebab dah ditambah manik di selendang dan dibetulkan jahitan sisi," kata Ellie cuba mententeramkan keadaan.

Al dan Wi memilih untuk berundur. "Sarah, kita jumpa lagi. Casiopeia akan datang dan beri awak taklimat seterusnya. Mila, Boea, awak ikut sama sekali ya nanti."

"Boleh saya bantu, Al?" tanya Tiara. 

"Saya pun?" tanya Ellie.

Al dan Wi arif tentang kebolehan Tiara si perasa dan Ellie si neutral. Mereka mengangguk.

"Kita jumpa malam nanti," janji Al. 

"Jumpa di rumah saya sajalah," ajak Sarah, akhirnya berjaya membuka kotak suaranya yang tadi tersekat.

Al dan Wi mengangguk lalu berundur. "Aloha!" umum mereka. Mentang-mentanglah kalau di Hawaii, nak cakap hello guna 'Aloha', mohon permisi pun guna 'Aloha' lagi.

Mila cuba berlagak normal dan masuk ke bilik mencuba pakaian. Hatinya disagat hiba. Kenapa susah sangat nak kahwin dengan Wira? Sudahlah Boea ada masalah keluarga. Sekarang Sarah dan Luth, teman baiknya diancam pula. 

Ramalan Casiopeia berbulan lalu yang teman baik makhluk asingnya, Permaisuri Mulianasari dan suaminya, Putera Ue bakal bergaduh tentang nama anak pun, belum jadi. Rasa tak wajar Mila perlu risaukan tentang ini sedangkan masa depan sendiri tertangguh.

Tak tahan, dia segera mesej Wira: 

[Malam ni kita kena jumpa di rumah Sarah. Ginafuwara buat hal pula.]

Wira membalas dengan pantas:

[Luth baru beritahu saya. Casiopeia datang bertemu dia sekejap tadi. Saya ambil awak di rumah. Jangan menangis, OK?]

Balas Mila: 

[Mana awak tahu saya nak nangis? Saya tutup semua talian telepati.]

Dan sebagai bukti cinta Wira pada Mila memang sejati: 

[Sebab saya kenal awaklah, T. Lagipun saya sendiri nak menitis air mata ni. Pujuk saya malam ni?]

Dan bila Mila keluar dari bilik persalinan, Jelita, Ellie, Tiara, Edayu, Boea dan Sarah terus memeluknya. Seolah tahu saja mereka dia digigit stress.

Terpinga-pinga pemilik butik, Emma. "Eh, kenapa semua macam sedih je ni?"

"Tak... Gembira ni. Mila nampak lawa sangat pakai baju ni," balas Jelita.

"Betul Emma, hasil tangan awak, anggun," balas Boea, dia sendiri cuba untuk tidak menangis agar Emma tidak terkejut mendengar bunyi mesin pengisar yang bakal dia keluarkan nanti.

"Oh... begitu. Syukurlah kamu semua suka. Majlis perkahwinan awak, Mila, pasti lancar!" umumnya.

Yang ada di butik terus mengaminkan doa si pereka fesyen itu. 

(Nota khas untuk pembaca: Maaf slow update!)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro