Sebelas
Sarah dan Luth sudah hidangkan makanan. Tetamu yang hadir malam itu, Mila, Boea, Bob.
Tiara dan suaminya yang juga seorang neutral, Emry sudah sampai. Jelita dan Norman turut serta. Yang tak dapat bersama, Edayu dan Fairul.
Wira sudah pun ke San Francisco awal pagi tadi, sebelum Mila ke butik Emma bersama Boea. Walaupun punya kuasa Marikh, tetap kena jalankan tugasan menyertai seminar dan sessi latihan yang sudah lama didaftarkan.
Sepupu Luth, Izzat dan isterinya Ellie juga main peranan sebsgai tuan rumah.
Tak ramai yang sudi makan pasta goreng. Semuanya risaukan tentang ugutan Puteri Ginafuwara. Jadi semuanya menunggu Al, Wi dan sahabat Sarah, Casiopeia, si nujum muda dari Zuhal, memunculkan diri.
"Hal Boea, kiranya sudah hampir selesai, kan?" tanya Sarah memecah sunyi.
Bob mengiyakan. "Kami bercadang, pada hari perkahwinan kami.. Bila tiba upacara pemberian hadiah, kami akan bertitah, beritahu yang aku nak memohon agar Komet Ryz dibiarkan berlalu dan Nenda Boea, Haei akan dibenarkan bersara saja supaya boleh mengajar aku selok-belok dan adat kaum Noa. Dan aku akan sebutkan ayat yang sudah diajar Putera Ue, supaya permintaan aku tak ditolak."
"Apa ayatnya, Bob?" tanya Izzat, suami Ellie. Bagi Izzat, sejak dia tahu makhluk asing memang wujud, menarik sekali budaya mereka ini.
"Senang saja. Selepas kemukakan permintaan, aku kena sebut, 'Demi Dangeloqi.' Itu saja. Kata Ayahanda Boea, Tioe, pembesar Noa akan faham sejarah Dangeloqi dan Iora. Yang kami risaukan, Pembesar Tiyu. Dia sangat tradisional," kata Bob.
Boea mencelah. "Kan Putera Ue dah kata, awak sekarang dianggap hero, jadi rakyat akan menyokong permintaan awak. Memang di Noa, kalau orang terkenal, semua suka. Macam di Malaysia, selebriti terkenal kalau keluarkan ayat bodoh, curang atau buat pelbagai kepelikan pun tak mengapa sebab dia ramai yang suka. Jadi bila Tiyu protes and minta rakyat bersuara, saya pasti mereka akan sokong Bob, sebab Bob bukan meminta sesuatu untuk kepentingan dirinya."
"Huh, memang dunia tak adil, kan? Di Bumi begitu, Noa pun sama. Kami harap Bob akan dapat sokongan rakyat sebab dia memang sudah berjasa. Tambahan lagi permintaannya munasabah dan yang terbaik untuk Haei dan Boea," getus Tiara. Emry tergelak. Dia tahu isterinya geram betul bila terbaca berita kerenah selebriti negara.
Luth masih gusar di hujung sofa. Sambil memangku tangan Sarah, dia tanyakan soalan yang terpaksa dibincangkan. "Kalau ditolak rakyat, bagaimana?"
Boea tiba-tiba serius. "Kalau ditolak, saya sendiri akan gantikan Nenda. Biar saya saja yang tunggang Komet Ryz."
"Dan saya akan ikut awak," janji Bob. Pasangan itu berpandangan, berhubung secara telepati.
(Nota khas untuk pembaca: Ini cerita genre sai-fai kan. Saya skip sajalah bicara romantis mereka, ya?)
Rakan-rakan Bob dan Boea terdiam. Tak perlu telepati, nyata mereka tak gembira mendengar perkara ini.
"Assalamualaikum!" tegur satu suara, mengejutkan mereka semua. Bunyi suaranya, biasa, namun mereka tahu, pelontarnya bukan manusia.
Casiopeia terus memunculkan diri di bahu Sarah. Tersenyum lebar Sarah memandang makhluk yang rupanya tak ubah seperti bebola cahaya yang berwarna hijau, ronanya kini bercampur sedikit biru. Bersamanya, Al dan Wi; dan mereka dijemput masuk oleh Ellie.
"Wah kenapa rupa kau ada cahaya biru pula ni, Casiopeia? Biasanya hijau saja. Rindunya pada kau," ujar Sarah sebaik saja nujum itu singgah di tepi kerusinya pula.
Casiopeia berkelip-kelip dan tawanya didengar semua. "Aku dapat anugerah daripada Raja Zuhal. Baju ni, buat aku terkenal betul di Zuhal. Susah nak kemana-mana, mesti ada yang menegur. Malulah! Di sini senang, rupa aku sama macam lampu musim raya saja," guraunya.
Mereka semua ketawa. Nujum muda itu memang lama tinggal di Bumi. Lebih sepuluh dekad dia dan Sarah bekerjasama melindung Luth daripada diculik dan dituai DNAnya dek Ginafuwara yang cuba menggandakan kuasanya dengan memakan rambut, sel kulit dan peluh Luth. Pernah sekali, puteri itu berniat mahu culik lelaki itu dan ambil hempedunya. Namun Sarah dan Casiopeia berjaya menghalangnya.
"Sarah, mengenai ugutan Ginafuwara, aku dah mohon supaya Raja Zuhal benarkan aku tinggal di Bumi dan pantau keselamatan kau. Beberapa rakan sekerja aku sudah ke Utarid untuk mendapatkan maklumat lanjut. Yang merisaukan aku, laporan awal mereka menyatakan Ginafuwara pernah hampir berjaya pujuk Ketua Penjara Utarid supaya melepaskannya," cerita Casiopeia.
Luth rasa tak sedap hati. "Mana boleh kita biarkan dia ugut-ugut kita macam ni. Dia patut di masukkan ke dalam penjara yang lebih ketat!" keluhnya.
"Dia puteri, Luth. Kes kesalahan dia, high profile. Ramai yang tahu. Seluruh Bima Sakti! Macam mana pun, Ayahandanya bukan orang kebanyakan..." Boea mengomel pula.
"Jadi, bagaimana, Casiopeia?" tanya Mila.
"Kami mohon bantuan Mila, dan Wira, selaku Duta Bumi ke Marikh, untuk persiapkan kenderaan Marikh milik kamu berdua. Sebagai langkah berjaga-jaga," pinta Al yang sejak tadi diam saja.
Mila faham maksud permohonan itu. Kenderaan yang sama pernah mereka gunakan pada suatu masa dulu untuk memerangkap sang puteri jahat.
"Saya akan programkan supaya ia boleh digunakan dalam keadaan kecemasan, dan siapkan ia supaya boleh menampung manusia dan makhluk lain, walaupun manusia itu dalam keadaan biasa, tak dipersiapkan untuk kembara angkasa," janji Mila. Aduh, satu lagi tugas yang bakal melewatkan perkahwinannya.
Tapi Mila redha. Wira telah pilih dia untuk ikut sama ke angkasa. Jadi dia akan teruskan langkahnya sebagai Penulis Jadian yang punya teknologi Marikh dalam tubuhnya. Ia tanggungjawab, ia keistimewaan dan ia juga sedikit beban - tapi Mila sanggup demi kelangsungan Bumi.
Aura gelap dikesan minda perasa Tiara. Malah aura itu turut menyelubungi makhluk yang berunsurkan cahaya dari Zuhal dan dua makhluk dari Planet Jupiter. "Apa yang kamu risaukan, sebenarnya, Casiopeia? Al? Wi?" terus saja Tiara bertanya.
Wi tundukkan kepala. "Mungkin, Casiopeia, kamu perlu ceritakan saja semuanya," mohon soldadu itu.
Cahaya hijau yang indah itu mula jadi samar-samar. Rona hijaunya menguning, lapisan biru yang tadinya menambah kecantikannya jadi hilang.
"Boea, saya dapat ramalan tentang sepasang komet. Satu akan melintas dengan senyuman, enggan singgah untuk mengambil penumpang. Satu lagi akan mendekat, lalu lohong hitamnya menyedut seorang penumpang. Dalam benak saya, saya dapat firasat yang penumpang itu, dilahirkan bangsawan," perlahan-lahan saja Casiopeia terangkan.
Sarah yang paling awal memekup muka. Sangkanya, setelah dia selamatkan Luth daripada cengkaman Ginafuwara, takkan perlu lagi dia terima ramalan-ramalan yang penuh bala. Dia dipujuk suaminya, Luth, yang terus memeluk bahunya.
Boea mula menangis. Bunyi mesin pengisar yang hiba memenuhi suasana. "Nenda... Nenda dalam bahaya.." esaknya.
"Jangan terlalu cepat menganggap yang bukan-bukan, Boea," pujuk Mila, yang hanya mampu melihat Boea menangis di bahu Bob.
Bahu Boea diusap Tiara. "Betul tu Boea. Saya sendiri banyak kali terjerat bila buat kesimpulan terlalu awal dengan apa yang deria saya sampaikan. Jangan jadi macam saya," pujuk si perasa itu pula.
"Saya rasa ramalan itu ada kena-mengena dengan Komet Xie. Itu satu-satunya komet yang kami ketahui punya lohong hitamnya sendiri. Lohong hitamnya itu bagaikan parasit di jemala komet itu. Walaupun ia tak membahayakan Xie, lohong itu tetap menyedut apa saja yang komet itu dekati," tersedu-sedan Boea bercakap.
Al dan Wi sudah terpaksa menutup telinga. Bukan mudah bagi dua soldadu itu mendengar butir kata Boea yang diselangi tangis anehnya.
"Komet Xie? Yang awak ceritakan tempoh hari? Dah tibakah masanya itu komet itu dekat Noa?" tanya Mila.
Boea menggeleng. "Bukan Noa. Bumi. Komet itu memang sudah lama memusing derapnya ke arah Bumi. Biarpun sebelum ini dia pernah menghampiri, itu berlaku lebih 65 juta tahun lalu. Waktu itu, bertempiaran komet lain berlari, hingga ada yang terlanggar sebuah meteor yang dekat sangat dengan atmosfera Bumi."
"Meteor.. 65 juta tahun lalu.. Boea, waktu itu.. meteor yang dilanggar itu menghentam Bumi ke?" tanya Emry, yang sejak tadi diam saja.
Tersentak Izzat yang mula faham maksud kata-kata Emry. "Bro, ini, meteor yang buat semua dinosaur pupus tu ke?!"
Yang lain-lain pula terkejut.
Boea angguk. "Ya. Meteor itu menghentam kawasan yang sekarang dipanggil Teluk Mexico. Boom. Habis semua."
Kata-kata Boea itu membuatkan semua tetamu di rumah Srikandi Bumi dan Lelaki BerDNA Istimewa terdiam.
Mila rasa macam nak pitam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro