Satu
MALAM itu dia mahu memerhatikan Marikh.
Bukan selalu Bumi berada sebegini dekat dengan planet merah itu. Kata NASA, bulan Mei 2016 ini, kedua-dua planet akan mengorbit dekat antara satu sama lain, bagaikan sepasang penari zapin, hampir tapi takkan berselisih.
Ops, mungkin bab zapin itu dia sendiri yang tokok tambah.
Tapi begitulah lebih kurang kata agensi eksplorasi angkasa itu, cukup dekat untuk dilihat dengan mata kasar.
Mila tak perlu menganga lama untuk melihatnya. Cukuplah dengan sekadar berjaya mengecam dan memerhatikan buat beberapa ketika. Cukup syarat untuk menyiapkan tugasan editor.
"Cik Milah. Hang, tengok apa yang seronok sangat bila nampak Marikh tu. Beriya-iya sangat orang nak tengok. Lepas tu tulislah apa yang patut. Isnin aku nak tahu 'story' dah masuk sistem," kata Busro Mukmin yang tidak mesra dipanggil Bang Bus.
Bang Bus editor bahagian Rencana surat khabar Am Malaya, di mana Mila bertugas sebagai wartawan.
Biasanya Mila tidak menulis rencana sebab dia terikat di Meja Berita Am. Tapi sekali sekala, editor meja lain akan beri tugasan dan jika tiada tugasan lain, haruslah buat.
Mila mengeluh. Dia suka melihat bintang tapi itu tidak bermakna dia tahu selok-belok astronomi.
Mula-mula dia mengikuti akaun Twitter Agensi Angkasa Negara, kemudian NASA, JAXA dan beberapa lagi akaun berkaitan termasuklah SpaceX.
Puas dia melihat ke langit malap malam itu. Tapi belum juga pasti yang mana satukah planet merah.
Di akaun Twitter dia dilayangkan beberapa lagi akaun cadangan yang patut diikuti berdasarkan akaun-akaun yang telah dipilihnya pagi tadi. Sebuah akaun peribadi, 'aWEEraLelangit' menarik perhatiannya.
Pemilik akaun itu nampaknya aktif mengeluarkan tweet mengenai program angkasa dan Marikh. Malah dengan mengikuti akaunnya barulah Mila tahu yang Rusia sudah ada dua fasiliti pelancaran roket. Terpampang muka Vladimir Putin yang gembira dengan pembukaan fasiliti kedua awal bulan ini.
Malam sudah makin usang. Penat. Mila mencuba nasib dengan membalas tweet paling mutakhir daripada aWEEraLelangit: Tumpang tanya, macam mana nak kenal yang mana satu Marikh? #noob
Orang selalu ketawakan wartawan kerana bertanya 'soalan bodoh', tapi cuma kalangan wartawan saja yang tahu selalunya soalan bodoh saja yang akan dijawab dengan jujur.
Belum sampai lima minit menunggu, tweetnya sudah dibalas dan akaunnya sudah mula diikuti dek aWEEraLelangit.
Mungkin susah sikit nak nampak kalau keadaan sekeliling terang. Kalau tak nampak juga, cuba keluar bandar. Cuba malam esok. Ajak kawan-kawan.
Wah, macam tahu pula dia Mila di KL? Ops, lupa. Lokasinya ada di profil Twitternya.
Tak ada kawan. Kalau di KL saja memang tak boleh nampak ya? Tanya Mila.
Boleh kalau cukup gelap. Esok saya cuba bantu awak. Begitulah kata aWEEraLelangit.
Wah bagus tawaran ini, fikir Mila. Esok Jumaat, pasti cukup masa untuk siapkan artikelnya.
Terima kasih! Esok saya akan tweet aWEEraLelangit.
👌. Begitu saja balasnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro