Bab 5
Motosikal diparkirkan tidak jauh dari tempat Embun berdiri. Hatinya terdetik untuk singgah ke sini dan benarlah ada kelibat tubuh kecil gadis itu sedang berdiri membelakanginya. Helmet diletakkan atas motosikal. Kakinya berjalan perlahan ke arah Embun.
Lekas-lekas Embun berpaling ke sebelah tatkala dia rasakan ada bayang-bayang yang mendekatinya. Mulutnya mengeluh halus apabila kornea mata sudah dapat mengecam orang itu.
"Aku tak terfikir pun nak terjun lagi."
Kening Faid terangkat kedua-duanya. Lantas kaki berhenti tidak berapa jauh dari Embun untuk menciptakan sedikit jarak. Sepasang matanya juga di arah ke sungai yang berada di depan mereka berdua.
"Aku saja lepak sini," tukasnya selamba.
Embun menjeling tajam lalu dia meneruskan makan. Suasana sepi antara mereka. Kejadian pagi tadi seolah-olah tidak memberi kesan antara mereka. Lelaki itu pula bersikap seperti tidak pernah terjadi apa- apa. Dia pula malas ingin panjangkan cerita.
"Kau baru balik kerja?" soal Faid berbasa- basi.
"Hm..."
Tiba-tiba mindanya teringat sesuatu. Lantas kepalanya ditoleh ke arah Embun.
"Bukan hari ni kedai makan tu tutup ke?"
"Memang hari ni kedai tutup. Kenapa?"
"So kau cuti kan hari ni?"
Embun mengangguk sekilas.
"Banyak betul pekerjaan kau," ujar Faid
sekadar ingin bergurau.
Hujung bibir Embun ternaik senyuman sinis. Terasa kelakar pula dengan ayat yang baru saja dituturkan oleh lelaki di sebelahnya.
"Sebab tu pagi tadi aku ada cakap. We don't know each other. Untuk perempuan sebatang kara macam aku ni, tak pelik kalau aku buat banyak pekerjaan untuk tampung kos hidup aku kat sini."
Ujaran itu membuatkan Faid tersentak. Muncul rasa bersalah dalam hatinya. Tengkuknya diusap janggal.
"Sorry..."
Tiada ayat yang keluar dari mulut Embun. Hatta angguk pun gadis itu tidak lakukan. Cuma diam merenung ke hadapan saja. Bingung dibuatnya. Memang tiada perasaan kah gadis ini.
Plastik roti yang sudah kosong direnyuk dan di simpan dalam beg sandangnya memandangkan tiada tong sampah disini. Embun mengangkat kaki ingin melangkah pergi.
"Sekejap!" laju Faid menghadang laluan
gadis itu. Ada perkara yang ingin dia lakukan.
"Tangan."
Dahi Embun berkerut hairan. Mata memandang pelik tangan kanan Faid yang di hulur ke arahnya.
"Tangan kau," ujar Faid lagi tatkala tiada balasan.
"Kau nak buat apa?"
"Bagi je, aku bukan nak buat benda tak elok. Tak payah takut. Sini kawasan terbuka ramai orang lalu lalang. Kalau kau rasa terancam, jerit kuat-kuat."
"Masalahnya sekarang tak ada orang."
Faid memandang sekeliling sebelum memandang gadis itu semula. Bibirnya menyengih. "Apa susah, kalau aku buat tak elok, kau tendang aje aku."
Embun mengeluh lantas diletakkan tangannya.
"Kau masih bawa kan ubat yang aku bagi pagi tadi? Bak sini ubat tu."
Sekali lagi keluhan terlepas lalu sebelah dia menggeledah beg untuk mencari kotak ubat itu. Dapat saja, terus dia hulurkan kepada lelaki itu.
"Tahan tangan kau, jangan jatuhkan." Faid mengarah serius. Lalu laju sahaja dia membuka kotak ubat.
Embun hanya melihat saja tindak-tanduk lelaki itu. Tidak bergerak seinci pun tubuh badannya.
Selesai kerjanya, Faid menyingkap lengan baju gadis itu hingga ke siku. Ubat krim itu disapu atas goresan-goresan luka yang cukup banyak di lengan Embun. Masih merah lagi menandakan luka itu masih baru.
Bibir Embun mendesis perlahan. Namun tidak langsung dia menarik tangannya. Hanya membiarkan lelaki itu tekun menyapu krim di lukanya.
"Does it hurt?" soalnya dengan nada risau tatkala mendengar gadis di depannya mendesis. Rasanya dia sudah cukup berhati-hati meletakkan ubat di luka ini.
"Tak, cuma krim ni sejuk," bisik Embun perlahan.
Matanya tidak lekang memerhati perbuatan Faid. Embun gigit bibir perlahan. Tidak tahu kenapa, tapi apabila ada orang menunjukkan kerisauan dengan dirinya, dia berasa janggal. Mungkin kerana selama ini dia hidup sendiri, tiada yang peduli dengannya.
Faid menyelesaikan kerjanya. Lantas dia merenung lama ke arah deretan luka panjang itu. Luka yang menyiratkan pelbagai kesakitan.
"Aku tak tahu dengan kehidupan yang kau lalui selama ni. Sedalam apa sakit yang kau tanggung tapi—"
"This is not the best way for you to release your pain," sambungnya lagi lalu matanya merenung dalam wajah Embun.
Mata Embun ikut sekali menatap tepat ke dalam mata Faid. Tapi baru beberapa minit, dia melarikan pandanganya.
"Aku cuma cari ketenangan."
Faid angguk faham. Lengan baju gadis itu diturunkan menutup lengan. Dia sendiri ngeri melihat luka-luka itu.
"Kalau kau sudi, aku boleh bawa kau ke satu tempat untuk kau tenangkan diri selain dengan cara ni."
"Perlu ke? Aku kenal kau pun baru lagi." Acuh tak acuh nada Embun.
"So now let's get to know each other." Tangan kanan dihulur.
Kosong pandangannya melihat huluran salam itu. Dia seakan teragak-agak ingin menyambut.
Dengan selamba Faid mengambil sendiri tangan kanan itu untuk berjabat tangan dengannya. Lantas dia genggam erat. Seulas senyuman manis terlorek di bibir meskipun gadis di depannya masih tidak memandang ke arahnya.
"Nama aku Faid. Faid Qashaf Arjuna. Kau?" Faid berkata dengan nada dikuatkan.
Mata Embun naik memandang Faid. Kelakar pula dengan cara perkenalan itu. Seperti budak-budak sahaja.
"Kau dah tahu nama aku kan." Selanya.
"Aku tahu nama Embun saja."
"Itulah nama aku tapi—sekejap. Macam
mana kau boleh tahu nama aku?" tanyanya dengan kasar. Bila difikirkan balik memang dia tidak pernah memperkenalkan dirinya kepada lelaki di depannya.
"Lah kau tak cam muka aku ke?" spontan nadanya kedengaran terkejut. Biar betul?
Embun geleng perlahan.
"Aku tahu dari tempat kerja kau dekat kedai makan tu. Dorang panggil kau Embun so dari situ aku tahu nama kau," jelasnya.
Jeda. Matanya merenung tajam wajah Faid yang tersengih tidak bersalah. Tiba-tiba ingatan berputar kembali pada hari di mana ada seorang lelaki yang memberinya makanan. Wajah lelaki itu cuba diingat walaupun samar-samar. Lalu ditenung lebih dalam wajah Faid. Benarlah semirip.
"Kau yang bagi aku makanan tu kan?"
Faid angguk laju bersamaan muka yang
beriak selamba.
"Dah ingatkan? So nama?"
"Kau ni macam desperate sangat nak tahu kenapa?" Embun bernada jengkel.
Buat pertama kali di mata Faid, wajah itu yang selalu terpasang riak kosong bertukar dengan riak menyampah. Pakej bibir gadis itu terjuih. Dia cukup gembira melihat perubahan kecil itu.
"I don't care. Cepatlah!" gesanya. Sengaja.
"Embun Adawiyah."
Kedua kening terangkat. Embun Adawiyah. Nama itu berulang-ulang kali berputar di minda.
MELLY memperagakan tubuhnya di depan lensa kamera yang tidak berhenti mengambil gambarnya. Wajah yang dihias make up elegen itu makin menyerlahkan raut wajahnya yang anggun.
"Okey kita berehat dulu dalam setengah jam!"
Terlepas keluhan kelegaan dari bibir merah menyala Melly. Dia berjalan perlahan dengan dibantu oleh beberapa orang. Air mineral yang dihulurkan kepadanya di teguk.
"Cantiknya kak Mell." Puji satu suara perempuan yang sedang menala kipas kecil di depan mukanya.
Melly tersenyum simpul. Sudah terbiasa dipuji begitu.
"Umur kak Mell dah 40 tahun kan?"
Melly geleng perlahan. "I baru 39 tahun okey," ujarnya sebelum tergelak halus.
"Muka akak serius nampak macam anak dara! Awet muda gitu! Pakai apa kak? Kongsilah."
"You kena rajin jaga muka dan pergi spa."
Mereka mula berbual berdua tentang penjagaan kulit.
"Gila lah buang anak dalam longkang! Agak-agaklah kalau tak nak pun hantarlah ke rumah kebajikan." Salah seorang pekerja yang berada di sini mula berkata sambil menunjukkan telefonnya kepada rakan di sebelahnya.
"Itulah aku ada baca juga artikel tu semalam. Aku tak tahu lah nak cakap apa tapi mak yang buang anak sendiri ni memang takde otak!" sahut rakannya.
Mulut Melly tiba-tiba bagai digam. Telinga dibuka luas untuk mendengar lagi celoteh mereka.
"Dah pandai buat pandai lah tanggung. Aku kesian betul dengan anak yang tak bersalah tu."
Hati Melly resah sendiri. Wajahnya berubah keruh.
"Akak okey tak ni? Pucat je muka." Tegur perempuan di sebelahnya. Melly tersentak sedikit. Dia menggeleng kepala perlahan sebelum bangun meminta diri ke tandas.
Di dalam tandas, Melly melihat biasannya sendiri dalam cermin. Kedua tangan dikepal erat. Menahan rasa hati yang berkemuncak hebat.
"It's okay Melly, this is not your fault."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro