Bab 40
FAID gugup menelan air liur bila dia sudah duduk di hadapan tok kadi. Tadi sebelum akad nikah memang dia dah praktis habis. Kasi lancar. Tapi entah kenapa bila sudah berada di sini, lidahnya seakan keras.
Selepas Faid tanda tangan borang yang disuruh. Kini, tepat masanya mereka berjabat tangan sambil bibir Faid melafazkan qabul. Manik-manik peluh mula menitis di leher walaupun masjid ini dipenuhi penghawa dingin dan kipas.
"Dah boleh buat air mandi peluh kau ni," bisik Arriyan sambil mengelap peluh Faid dengan tisu. Tapi dari tadi dia dan Izz tahan gelak. Bukan main berlagak tak takut sejam lepas. Sekarang, nak angkat tangan terketar-ketar.
Faid bertambah gugup. Dia jeling tajam wajah Arriyan yang merah padam. Dia tahu mesti lelaki itu menahan ketawa. Tunggulah nanti.
"Dah bersedia encik Faid?"
Mata dipejam rapat bila namanya diseru. Ayahnya Haji Bayu Haidi turut melihatnya. Faid hanya tersenyum kecil sambil kepala diangguk. Tangan diangkat.
"Amboi sejuk tangan pengantin lelaki."
Riuh rendah suasana di sini menggelakkan Faid. Izz dan Arriyan turut bantai gelak. Dari jauh, Embun yang bersimpuh cantik, hanya tersenyum mengejek. Ini ke yang nak sangat kahwin cepat? Sikunya yang disenggol Aufiya diabaikan. Dia fokus merenung belakang badan Faid yang tersarung baju Melayu berwarna putih.
Tok kadi mula melafazkan ijab dengan lantang dan tersusun. Kali ini, jari jemari Embun pula yang menggigil.
"Aku terima Andika dengan mas kahwin old money... Eh?" Faid turut terkejut dengan apa yang baru dituturkannya. Ini semua salah Izz sebab tunjuk video old money. Dalam keadaan genting macam ni tiba-tiba saja boleh muncul video itu dalam fikirannya.
Embun tercengang habis.
"Tak apa lagi sekali. Tok tahu kamu gugup. Tapi tak pernah dengar pula mas kahwin old money." Tangan Faid ditepuk menenangkan lelaki muda itu.
Malu Faid. Tak tahu nak letak muka dekat mana. Wajahnya memerah habis. Mata ayahnya yang terjegil hanya dibalas sengihan. Dia ingatkan mudah saja ijab qabul. Tak tahu pula boleh segugup ini. Lidahnya pula sekarang kenapa tak nak bagi kerjasama?
"Anak umi ke tu yang setiap hari merengek nak kahwin dengan Embun?" Bisik Hajah Yasmin di sebelah Embun. Rupanya tak adalah berani sangat.
Embun ketawa kecil. Bila tok kadi mula ulang semula lafaz ijab, mereka diam mendengar. Suasana mula sunyi. Hanya kedengaran bunyi kipas. Tajam dia melihat Faid. Kalau tersangkut juga memang dia tak boleh kata apa dah.
"Aku terima nikahnya Embun Adawiyah dengan mas kahwinnya RM 10,000 ringgit dibayar tunai." Faid terus tarik nafas bila selesai melafazkan kabul. Kemudian wajahnya terpancar tidak percaya bila lidahnya kali ni lancar menyebut.
"Sah?" tanya tok kadi kepada dua orang saksi di sebelahnya.
Bila saksi sudah mengatakan sah. Faid meraup mukanya lega. Sangat lega. Hilang dah rasa gugupnya diganti perasaan tak sabar nak sarung cincin di jari Embun.
"Sah!!!" Izz dan Arriyan tiba-tiba menjerit serentak dengan penuh semangat. Hampir aje Faid nak tendang dua orang itu.
Tok kadi mengurut dada. Terkejut. Berdengung telinga dibuatnya.
Embun menerima kucupan Hajah Yasmin. Sebak bila wanita itu tetap ada disisinya meskipun dia pergi tanpa meninggalkan khabar.
"Tahniah Embun." Lagi sekali dahi menantunya di cium. Gembira campur sedih.
"Tahniah!" Aufiya pula terlebih gembira. Lepas ni dia tinggal sorang-soranglah di rumah. Dah tak ada peneman.
ENTAH tak pasti pernah dibuat oleh pengantin lain atau tidak, hari yang sama akad nikah. Hari tu juga terus berpindah rumah. Kalau sekarang pengantin baru sedang sibuk bergambar atau melayani tetamu. Tapi beza dengan Faid dan Embun yang sibuk mengemas rumah.
Embun yang masih berpakaian baju kurung putih susu sudah terduduk kepenatan di sofa. Tudungnya dah lama terbang sejak dia mula menyusun barangannya. Helaian rambutnya yang melekat di pipi hanya dibiarkan.
"Saya nak order delivery. Awak nak makan apa?" tanya Faid yang muncul dari dapur sambil memegang telefon.
Embun yang tengah melayan rasa kantuknya terus membuka mata. Dia hanya memandang wajah Faid tanpa balasan. Tak ada tenaga pula nak bercakap. Lantas dia membaringkan dirinya ke sofa.
Faid yang memerhati sudah berjalan mendekati Embun. Tersinggung senyumannya melihat raut kepenatan itu. Rasa bersalah pula terlalu terburu-buru mahu masuk ke rumah baru. Mungkin dia silap pencaturan. Perlahan dia duduk di lantai. Dagu ditongkat merenung wajah isterinya.
"Penat ke?" soalnya selamba.
Tak jadi Embun mahu tidur bila mendengar soalan itu. Matanya terjegil merenung Faid. Jengkel pula dengan riak wajah selamba itu. "Jangan tanya soalan yang awak dah tahu boleh?" Keras suaranya.
Faid meledakkan tawa. Laju pipi Embun ditarik. Gembira bila isterinya faham dan tidak bertanya kenapa dia tukar cara panggilan. Malah, Embun turut menukar cara panggilan mereka. Sedar, sekarang ni status mereka bukan kawan biasa tetapi suami isteri.
"Kalau awak cakap tak penat tadi, saya nak minta awak kemas dapur," ujarnya sarkastik. Kemudian spontan tangannya bergerak menolak helaian rambut yang menutup separuh wajah Embun.
Dah lama tak tengok rambut hitam pekat milik Embun. Sekarang baru Faid dapat tengok semula mahkota itu. Sangat bangga dan terharu bila isterinya sudah menutupi rambutnya dengan sehelai tudung.
Embun tidak memberi reaksi. Dia hanya merenung wajah Faid. Riak wajah itu cuba dibaca. Reaksi lelaki itu biasa-biasa saja. Tak teruja bila dia sudah sah menjadi isterinya. Sebelum ni, bukan main Faid seperti terdesak mahu cepat-cepat berkahwin.
Embun tak mahu sesakkan otaknya dengan fikiran negatif. Lantas dia kembali duduk. Kakinya diangkat untuk bersila. "Bila beli rumah ni?" soalnya berbasa-basi. Jujur, waktu pertama kali Faid membawanya ke sini, dia agak terkejut melihat rumah agam dua tingkat itu.
Dia tahu Faid lebih daripada mampu tapi kenapa perlu beli rumah besar-besar padahal yang tinggal hanya mereka berdua?
"Baru lagi. Kenapa? Awak suka tak rumah ni?" tanya Faid kembali. Serius wajahnya mahu mendengar jawapan Embun. Kalau saja isterinya tidak suka, sekarang juga dia mahu mencari rumah lain.
"Suka je tapi besar sangat rumah ni. Kita berdua je yang tinggal sini."
Wajah Faid berubah tenang. "Nanti kita ada anak, penuh juga rumah ni." Matanya tidak lepas memandang Embun.
Embun telan air liur lantas membuang pandang ke tepi. "Saya rasa macam jauh sangat je rumah ni dengan tempat kerja saya." Topik dialihkan. Tak mahu berbual tentang anak. Dia agak tak suka.
"Saya lupa nak bagi tahu awak. Saya tak nak awak kerja lagi dah. Awak cuma jadi suri rumah je. Duduk diam-diam dekat rumah," arah Faid senada.
Berkerut dahi Embun. Jari Faid yang dari tadi bermain di jarinya di tolak. Ni yang dia tak suka bila lelaki itu buat keputusan sendiri tanpa berbincang dulu. Emosinya cuba ditenangkan. Berkali-kali diingatkan yang di depannya sekarang suaminya. Bukan lagi kawan.
"Marah ke?" Faid cucuk lengan Embun dengan jari.
"Taklah. Sekarang awak dah jadi suami saya. Kenalah dengar cakap suami kan." Agaknya Faid lupa. Embun sangat bijak menyembunyikan perasaannya. Malah sekarang, Faid agak keliru melihat riak wajah isterinya biasa-biasa saja. Tak nampak marah cuma agak dingin.
***
IG: fiorrysa
Saya banyak buat ebook free. Boleh singgah ig saya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro