Bab 39
TOK! TOK!
Terpisat-pisat Embun buka mata bila dengar ketukan bertalu-talu di pintu biliknya. Mulutnya yang menguap besar ditutup kemudian berjalan penuh longlai ke pintu. Mesti Aufiya ni. Siapa lagi yang duduk di rumah ini selain mereka berdua.
Tombol dipulas. "Ya, Fiya—"
Embun pegun di tempatnya. Matanya membulat. Tak sempat nak tahan. Tubuhnya sudah ditarik ke dalam pelukan. Telinga menangkap esakan tangisan halus.
"Umi rindu Embun..." Hajah Yasmin mendakap erat tubuh kecil itu. Bagai tak mahu dilepaskan.
Luluh hati Embun mendengar suara sayu itu. Matanya mula bergenang. Perlahan dia membalas pelukan itu. Cukup erat. "Umi..."
Mereka mula menangis. Mengatakan rasa kerinduan masing-masing. Sampai beberapa minit, akhirnya tangisan mereka reda. Embun kesat air matanya. Dia melihat wajah wanita itu lama.
"Macam mana umi tahu Embun di sini?" soalnya setelah beberapa minit berdiam diri.
Hajah Yasmin turut menyeka air matanya. "Juna bagi tahu. Dia yang bawak umi ke sini. Lagipun katanya Embun setuju terima lamaran Juna. Alhamdulillah. Umi memang setuju sangat kalau Embun yang jadi menantu umi!"
Berkerut dahi Embun. Bila masa Faid melamarnya? Apa semua ni? Dia simpan persoalannya sendiri. Nanti bila dia jumpa Faid. Memang dia tanya. Ah. Jadi apa yang dikata lelaki itu semalam benar belaka? Dia mahu paksa Embun berkahwin dengannya.
Faid sudah berubah. Dia tahu dulu lelaki itu bukan pemaksa.
"Boleh bagi Embun jumpa Faid? Dia ada dekat mana sekarang?" Pintanya lembut. Dia lelah. Semalaman menangis. Bangun saja dikejutkan dengan perkara ini. Setidaknya bagi Embun hirup dulu udara.
Hajah Yasmin angguk. Dia seperti dapat terhidu sesuatu yang tidak kena antara mereka tapi dia memilih diam.
Embun minta diri keluar rumah. Tempat di mana Faid sedang duduk sendirian. Dia tinggalkan Hajah Yasmin dengan Aufiya dulu. Selipar disarung ke kaki.
Faid tegakkan badan bila melihat Embun. Rokok terus dibuang ke tanah lalu dipijak. Dia hanya pasang riak datar bila gadis itu sudah berdiri di depannya. Meminta penjelasan.
"Tak nak jelaskan dekat aku ke?" Embun peluk tubuh.
"Jelaskan apa lagi? Umi dah bagi tahu kan kau terima lamaran aku? Apa lagi kau tak faham?"
Pelipis dipicit. Pening Embun dengan kelakuan Faid. Kenapalah jadi begini. Nafas dihela panjang. "Bila masa kau lamar aku?" soalnya keras. Tajam matanya merenung sepasang mata Faid.
"Dua tahun lepas. Aku bagi kau cincin dan sekarang aku nampak kau pakai cincin tu. Jadi aku simpulkan, kau dah terima lamaran aku," ujar Faid santai. Semalam, dalam marahnya. Dia ternampak cincin yang disarungkan pada jari Embun. Dia gembira bila gadis itu masih memakai cincin itu. Kerana itu, hari ni dia buat keputusan terburu-buru.
Embun tersentak. Laju dia sorokkan tangannya di belakang badan. Pandangan dialih ke tepi. Tak mahu menatap mata Faid. Dia malu.
"Tapi..."
"Aku tak nak dengar lagi alasan, Embun. Aku dah terlebih merana bila kau pergi dari aku," kata Faid tegas. Wajahnya dingin. Tak main-main dengan kata-katanya.
Embun mencebik. Mukanya panas kerana malu. Aih. "Semalam kau juga marah aku." Ungkitnya sinis.
Wajah Faid berubah kendur. Kemudian dia tersengih. "Siapa suruh lari dari aku?"
"Aku tak lari! Kau yang sesuka hati cerita kehidupan lama aku. Lepas tu kenapa kau pergi tunjuk lukisan sampah tu?"
Faid sembunyi senyum. Ini memang Embun. Gadis yang sama seperti dua tahun lepas. Embun suka melawan kata-katanya. Hatinya mula ceria.
"Bagi kau memang sampah, sayang. Tapi bagi aku lukisan tu ada maknanya."
Dalam mereka tak sedar, Hajah Yasmin dan Aufiya dari tadi mengintip mereka berdua. Masing-masing nampak dengan jelas wajah bahagia pasangan itu. Akhirnya, dua hati yang saling mencintai kembali bersatu.
LAGI sehari aje Embun bakal menjadi seorang isteri. Betapa tak menyabarnya Faid sampai sanggup percepatkan tarikh pernikahan mereka. Mulanya dia membantah juga. Kenapa terlalu cepat?
Tapi Faid tetap dengan keras kepalanya. Dia nak juga secepat mungkin.
Tersenyum-senyum bibirnya mengingati pertengkaran kecil mereka. Cincin di jari manisnya disentuh. Dia baru kemas pakaiannya. Kata Faid, dia terus mahu membawa Embun lepas saja habis pernikahan mereka ke rumah baru. Pening kepala Hajah Yasmin dengan karenah anaknya itu. Terlalu tak menyabar.
"Embun..."
Terhinjut kedua bahu Embun bila Aufiya muncul di muka pintu biliknya. Tersengih-sengih bagai kerang busuk. "Bakal suami awak tu ada dekat luar. Nak jumpa awak katanya."
Haih. Embun mengeluh. Tapi tanpa banyak kata lekas tudung disarungkan ke kepala. Menutupi rambutnya. "Dia ni asyik datang sini je. Kacau jelah!" Gerutunya geram.
Aufiya ketawa. "Tak apalah. Dah dua tahun tu tak nampak muka awak. Rindu sangat." Wajahnya nakal.
Embun menggeliat. Kemudian membuka pintu rumah dengan reaksi wajah datar. Dia tak membalas senyuman Faid. Dia tak suka bila mereka sudah mahu menikah tapi lelaki itu kerap datang ke rumah ini. Mahu bertemu dengannya.
"Hai." Faid sengih. Jangan tanya kenapa dia suka jumpa Embun tak kira masa. Salah satunya dia takut gadis itu lari lagi.
Embun memutarkan bebola matanya. "Ada apa datang sini?" soalnya malas-malas.
"Saja. Nak tengok kau." Faid tahan diri dari menyentuh wajah Embun. Sabar. Sekejap lagi dia jadi bini kau, hah kau peganglah puas-puas.
"Faid... baru petang tadi kau datang. Kau dah tengok pun aku ni. Sekarang ni dah malam. Takkan setiap masa nak tengok aku?"
Faid jungkit kening tapi wajahnya kekal selamba.
"Apa salahnya. Kalau boleh aku nak tidur je depan rumah ni. Kau bagi aku selimut dengan bantal. Lena lah aku," ujarnya bersungguh. Dia tak main-main. Sebenarnya dalam dua malam ni, Faid tidur di kereta berdekatan dengan rumah Embun. Bila mahu mandi, dia akan pergi ke hotel.
Selagi Embun belum jadi miliknya yang sah selagi itu Faid tak tenang.
"Jangan nak buat kerja gila. Dalam rumah ni ada dua orang anak dara. Aku iyalah boleh faham perangai kau. Tapi Fiya? Mesti dia tak selesa kalau kau asyik datang ke sini..." nafas ditarik.
"Tak ada apa yang nak ditakutkan Faid. Aku tak lari kali ni. Aku pegang janji aku dua tahun lepas." Embun cuba yakinkan Faid.
Tak mahulah lari lagi. Dia pun sengsara rindukan Faid. Tapi dia bijak pendam. Beza dengan Faid yang terang-terangan tunjuk.
Jelas wajah Faid berubah muram. Embun takkan faham. "Sehari tu macam setahun bagi aku. Lambat sangat. Apa kata esok pagi kita terus nikah?" Wajahnya serius.
"Tak nak. Ish. Kau sabar jela!" Embun sudah cekak pinggang. Tertekan hadap perangai Faid. Tapi dalam hati berbunga juga. Faid memang serius dengannya.
Faid mencebik bibir. Orang dah ajak tak mahu. Okey kali ni dia tak mahu paksa. Dia ikut saja kerana sepanjang urusan pernikahan mereka, Embun hanya patuh setiap arahannya walau kadangkala ada juga gadis itu bantah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro