Bab 27
Semalam, umi menyampaikan pesanan Faid tentang Melly ingin bertemu dengannya pada hari ini. Di rumah Hajah Yasmin. Katanya di sini lebih selamat kerana tiada wartawan atau sesiapa sahaja yang akan membocorkan pertemuan mereka.
Embun terima keputusan itu dengan hati yang terbuka walaupun pada mulanya dia sedikit berkeras untuk menolak perjumpaan ini. Namun, Faid cukup bijak memujuknya. Ditambah umi yang pandai bermain dengan kata-katanya. Menjadikan dia akhirnya terus bersetuju.
"Aku tahu kau selalu tunggu saat ni. Saat kau jumpa ibu bapa kandung kau secara depan-depan. Janganlah keras sangat hati tu. Ini peluang kau untuk kau tanya apa yang ada dalam fikiran kau selama ni."
"Umi tahu umi tak berhak nak cakap perkara ni tapi... kesianlah dekat ibu Embun. Mesti dia pun tak sabar nak jumpa Embun. Pasti ada alasan kenapa mereka buang Embun..."
Teringat semula antara kata-kata pujukan Faid dan Hajah Yasmin. Ada betulnya juga apa yang dikata. Sebab itulah dia cekalkan hati untuk bersetuju.
Sedikit sebanyak hatinya rasa gelisah. Ini memang bukan pertama kali mereka bertemu. Namun kali ini dengan perasaan yang berbeza. Perasaan seorang anak dan ibunya.
Bunyi enjin kereta yang dimatikan membuatkan Embun mendadak berdiri. Jantungnya berdegup laju.
"Assalamualaikum..."
Bulat matanya merenung penuh debar kelibat yang dinantikan. Namun sedikit hampa apabila yang muncul cuma Faid dan Arriyan. Bahunya mengendur. Salam dijawab dalam hati.
"Umi mana?" soal Faid lalu melabuhkan duduk di sofa.
"Ada dekat dapur," katanya acuh tak acuh. Embun duduk semula.
"Embun okey?" soal Arriyan sekadar ingin bertegur sapa.
Faid memandang rakannya semacam.
Arriyan sudah berkerut. Kening diangkat pelik. "Kenapa kau pandang aku macam tu?" muka diraba. Kot-kot ada sesuatu ke. Tiada. Tatkala itu baru dia tersedar. Laju dia tersenyum mengejek.
Bahu Faid disenggol.
"Ada orang cemburu ke?"
Faid terbatuk kuat. Duduknya dibetulkan. Mata dilarikan memandang pasu bunga yang terletak cantik di atas meja.
"Saya okey," jawab Embun ringkas. Helaian rambut yang terkeluar dari ikatan diselitkan ke telinga.
Laju Faid merenung Embun sedikit tajam. Amboi dengan Arriyan saya-awak.
"Baguslah awak okey." Sengaja Arriyan melihat reaksi rakannya. Mencuka sahaja wajah itu. Dia tergelak dalam hati.
Reti juga kau cemburu ya.
Embun tidak perasan dengan perubahan wajah Faid. Dia dalam dunianya sendiri kerana kegelisahan hati yang tidak surut. Ibu jarinya bermain sesama sendiri.
"Saya ada satu soalan nak tanya. Awak dengan kawan saya ni dah officialy bercinta ke?"
Faid serta Embun, masing-masing terkedu mendengar soalan yang keluar dari mulut Arriyan. Mata mereka bertembung.
"Apa kau ni tanya soalan merepek! Dah, lepas ni aku tak nak bawa kau ke sini lagi," marah Faid keras sekaligus melarikan pandangan.
Arriyah ketawa. Sebenarnya sengaja saja dia mengutarakan soalan itu untuk melihat reaksi mereka. Masing-masing seperti malu tapi mahu saja.
Embun berdehem. Kenapa dalam hatinya ingin mendengar juga jawapan dari Faid? Barangkali dia berharap supaya lelaki itu menjawab ya? Ah lupakan. Padahal Embun sendiri yang memberi tanda soal dengan hubungan mereka.
"Aku ingatkan puan Mell—"
Dahi digaru janggal. Susah benar mulut ingin menyebut perkataan ibu.
"Aku ingatkan ibu aku datang sekali dengan kau," ujar Embun senada.
"Taklah sebab aunty Melly yang nak datang asing. Tapi aku dah bagi lokasi rumah ni dekat dia. Sekejap lagilah ni dia datang." Jam di pergelangan tangan dijeling sekilas.
Tatkala itu, muncul Hajah Yasmin sedang menatang dulang. Bibirnya tersenyum melihat muka-muka yang dikenalinya itu.
"Terima kasih umi." Arriyan tersengih sebelum tangannya laju menyambar sepotong kek batik.
Hajah Yasmin duduk disebelah Embun. Tudungnya dikemaskan sedikit. "Makanlah kek batik tu. Embun yang buat. Tadi pagi terkejut umi tengok Embun dah terpacak dekat dapur. Rupanya tengah buat kek untuk puan Melly." Hajah Yasmin berceloteh panjang.
"Mana ada umi... Embun buat sebab teringinlah..."
"Ya ke? Kenapa umi tengok Embun langsung tak sentuh pun kek tu?"
Embun terkedu. Kek batik yang tersusun cantik di pinggan, direnung dalam. Sebenarnya dia tidaklah merancang untuk membuat, namun hatinya saja yang terdetik.
Faid menekan sesuatu di telefon sebelum disimpan kembali.
"Embun, aunty Melly dah sampai. Aku dah mesej suruh masuk, tapi dia nak tunggu dekat luar," katanya memberitahu.
Debaran yang tadinya hilang muncul semula. Mukanya memucat. Embun hanya menjeling sekilas tatkala melihat tubuh Hajah Yasmin berlalu ke dapur.
"Kalau kau takut biar aku temankan kau." Faid berura-ura ingin bangun.
"Tak payah! Aku... Aku boleh pergi sendiri."
Embun menarik nafas dalam. Tangannya digenggam sesama sendiri sebelum bingkas bangun. Dia menapak penuh gemuruh ke arah pintu utama. Berbagai perasaan muncul. Takut. Gelisah. Gembira. Semuanya bercampur.
"Embun sekejap! Ni Embun tertinggal kek batik. Kata nak bagi puan Melly." Terkocoh-kocoh Hajah Yasmin mendapat gadis itu. Bekas Tupperware dihulurkan.
"Tak payahlah umi... Mungkin ibu tak suka kek batik..." tolak Embun lembut. Tiada keyakinan mahu memberi.
"Ambil. Embun dah penat buat kan. Bagi saja. Mesti puan Melly suka." Dagu gadis itu dicuit lalu Hajah Yasmin beredar.
Embun melihat bekas itu. Dia mengambil masa beberapa saat lalu meneruskan langkah. Selipar disarungkan ke kaki. Matanya mula mencari kelibat ibunya.
Faid berjalan ke tingkap yang memaparkan suasana luar. Tangannya berpeluk tubuh memerhati Embun yang sudah berhadapan dengan Melly. Dahinya sedikit berkerut. Kenapa tak duduk dekat gazebo saja?
"Err..." Embun teragak-agak. Ayat apa yang patut dilontarkan?
"Assalamualaikum."
Melly merenung gadis di depannya atas bawah di sebalik kaca mata hitam yang tersarung. Tunak matanya melihat sehingga hatinya dilanda kebencian yang teramat.
Waktu pertama kali mereka bertemu pun, dia sudah tidak sedap hati. Padanlah ini petanda.
"Ibu sihat?" soal Embun kekok. Bebola matanya bergerak-gerak.
Melly membuka mask yang dipakai. Kaca mata hitam diletakkan atas kepala. ""I tak sangka..." setapak kakinya mendekati Embun. Jarak mereka semakin rapat.
"I tak sangka keturunan lelaki yang rogol I membesar sihat tanpa cacat cela," ujarnya sinis. Pandangan yang dilontarkan kepada gadis itu seakan pandangan jijik.
Embun tergamam. Rogol?
"Waktu I jumpa you buat pertama kali I sedar sesuatu. Mata you. Mata you sangat sama dengan lelaki tu," sambung Melly lagi. Bernada keras.
"A...apa?" soal Embun agak tergagap. Namun dia tetap mengukirkan senyuman tawar.
"I dah buang you so that's mean it will be forever. I tak pernah sedetik pun terfikir nak cari you lagi sebab you ialah hadiah yang I paling benci." Matanya memancarkan kebencian. Jika boleh kebencian itu ditunjukkan melalui fizikal, mungkin saja saat ini dia sudah lakukan.
Embun tatap dalam mata itu. Senyumannya memudar hilang. Persis hatinya yang direntap kasar.
"Ibu... Embun—"
"Stop! Jangan panggil I ibu! I jijik dengar panggilan itu keluar dari keturunan perogol!" tempik Melly lantang.
Kaki Embun berundur ke belakang. Terkedu menerima jeritan itu. Bekas Tupperware terlepas dari tangan.
Faid berpandangan dengan uminya yang turut menjenguk keluar. Dia mula resah.
"Umi..."
"I pernah menyesal sebab lahirkan you dulu. Tapi I masih ada belas ihsan untuk lahirkan you. Bawa you tengok dunia. Jadi, I tak gugurkan you. I buang you untuk kebaikan I sebab I tak boleh tengok wajah you mirip dengan lelaki tak guna tu," kata Melly dengan suara makin bergetaran. Matanya mula berkaca-kaca.
"Jadi, puan buang saya sebab wajah saya mirip dengan lelaki yang rogol puan?"
Embun tidak dapat menerima dengan alasan itu.
"Yes. So please, jangan datang balik dalam hidup I dan musnahkan apa yang I ada. Sepanjang hidup, I cuma ada seorang anak perempuan dan itu bukan
you."
"Puan... sa—saya pun tak minta untuk dilahirkan... tak adil untuk saya—"
"I tak kisahlah! Tak adil untuk you or whatever! I don't care! I cuma nak bagi you amaran. Jangan pernah mengaku I ni ibu kandung you. Jangan muncul lagi dalam hidup I !"
Sekali lagi kata yang keluar dari mulut itu membuatkan hatinya seperti ditusuk sembilu. Sakit. Sakit yang tidak boleh diluahkan. Birai mata mula bergenang. Embun tergelak kecil. Menutup pilu dihati.
"Gugurkan saja saya puan. Lebih baik kalau saya tak wujud dalam dunia ni," ujarnya kesakitan. Serentak itu air mata mengalir laju ke pipi.
Melly memakai kembali kaca matanya.
"You sepatutnya bersyukur I tetap lahirkan you," kata Melly keras.
Patutkah Embun sujud syukur mendengar itu? Patutkah dia bergembira sedangkan ibu yang melahirkannya sendiri jijik dengannya?
Melly membuang pandang melihat bekas yang terjatuh ke tanah. Bibirnya tersenyum sinis. Kek batik?
"I tak makan kek murah ni. Tak perlu susah payah nak buat."
Embun tidak membalas. Dia menunduk mengutip semula bekas itu. Tanah-tanah yang melekat sedikit disapu bersih. Kalaulah Embun boleh juga menyapu luka dihatinya, mesti sekarang dia tidak perlu menghadap situasi ini.
Bebola matanya merenung dalam wajah wanita itu. Air mata dilap bersih. Nafas ditarik dalam.
"Saya minta maaf puan sebab lahir," ujarnya. Kelahirannya hanyalah satu kebencian pada ibu sendiri. Wajar bukan jika dia harus meminta maaf? Embun mengejek diri sendiri.
"Sekali lagi saya minta maaf sebab kelahiran saya adalah kemusnahan hidup puan."
Mulai sekarang, dia harus terima semua ini. Walaupun dalam hati menjerit tidak adil.
"Terima kasih sebab bersusah payah lahirkan saya." Kakinya mula melangkah laju ke dalam rumah. Air mata tidak segan silu mengalir.
"Embun kenapa..." Faid mendapati tubuh Embun. Dia terkedu melihat air mata yang merembes keluar di pipi itu.
Embun meletakkan bekas Tupperware di meja. "Ambillah, bawa balik."
Lalu tanpa sepatah kata, dia menaiki tangga.
Dia perlukan sedikit ruang...
Atau mungkin banyak?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro