Bab 2
Mata dipaksa buka meskipun rasa kantuk masih menguasai dirinya. Selimut yang menutupi dirinya diselak ke tepi. Embun duduk dibirai katil, bertinggung sebentar menghilangkan mamai. Kedua tangannya meraup wajah.
Lantas tuala dan pakaian kerja diambil. Bakul yang diisi dengan sabun badan dan produk kulit juga dibawa ke bilik air. Ruang tamu dan dapur yang sudah terang benderang menandakan ada orang penyewa lain juga sudah bangun.
Embun tidak mahu mengambil kisah, langkah diteruskan menuju ke tandas. Tahulah dia ada orang di dalam tatkala telinga menangkap bunyi air yang terpasang. Dia mengambil keputusan menunggu di depan pintu.
"Eh Embun...lama ke tunggu? Maaflah lama sikit Fiya guna tandas ni. Tandas dalam bilik Fiya air takde pula." Tegur Aufiya setelah membuka pintu.
Mata Embun terus tercelik. Kepala yang menunduk terus terangkat memandang wajah di depannya. Sejujurnya tidaklah nampak keseluruhan muka kerana Aufiya menutup separuh muka dengan tuala.
"Takpe," balasnya ringkas. Mata terus dialihkan memandang dinding. Janggal rasanya bertentangan mata dengan orang lama-lama.
Aufiya diam. Bebola mata jatuh melihat tubuh kurus Embun sebelum matanya tepat meneliti lama ke arah tangan kiri gadis itu. Berkerut dahinya melihat goresan-goresan aneh di lengan putih itu.
Embun perasan itu, laju sahaja dia menyorokkan lengannya ke belakang badan. Tanpa berkata apa-apa, dia menonong masuk ke dalam. Cermin dalam tandas dipandang kosong. Embun melihat seluruh wajahnya yang cukup ia benci.
Benci sehingga rasa ingin menoreh sahaja muka ini. Namun akalnya jelas melarang.
"Aku nak mati...tapi nyawa ni—"
"Nyawa ni liat sangat nak mati! Tak apa biar aku sendiri 'mati' dalam tangan aku!" bisiknya seorang diri melihat pantulan diri sendiri di cermin.
"EMBUN tolong ambil order meja nombor tujuh!" bingkas badannya bangun dari duduk. Dia tergesa-gesa membersihkan tangan yang mempunyai buih-buih.
Lantas telefon yang di khaskan untuk mengambil pesanan disambar. Laju kaki menapak ke meja nombor tujuh. Dilihat ada seorang lelaki sedang memakai topi hitam menunduk melihat menu.
"Nak order ke encik?" soalnya seperti biasa kepada setiap pelangan yang datang menjamu selera di sini.
Faid tidak mengangkat wajah. Hanya tunduk merenung bermacam makanan yang ada di menu walhal bukan itu yang difikirkan. Dia rasakan ini bukan dirinya. Sanggup tunggu kedai makanan ini buka semata-mata untuk melihat perempuan semalam.
"Encik?"
Aduh! Faid sudah gabra. Dia terbatuk halus. Lantas jarinya menunjuk sesuka hati sahaja makanan di menu.
"Itu saja? Ada apa-apa lagi nak order?" Embun berura-ura ingin berlalu pergi.
"Sekejap!"
"Saya nak dua, satu bungkus," ujarnya dengan sekali nafas.
Tidak berkata apa, hanya kepala mengangguk lalu meneruskan langkah. Jari menekan-nekan skrin telefon sebelum tubuhnya menghilang di sebalik dinding.
Laju dada ditepuk kuat. Bukan main lembut suara gadis semalam. Sampai dia sendiri tercengang. Ah siapa namanya? Embun.
"Tolong hantar air, Embun." Jerit satu suara nyaring.
Faid sudah terangguk sendiri. Benarlah, Embun nama gadis semalam. Seketika badannya mengeras tatkala tanpa sengaja mata mereka bertentangan tapi laju saja gadis itu mengalihkan mata.
"Terima kasih," ucapnya perlahan.
Beberapa minit berlalu, mata tidak lepas memandang Embun yang tidak henti bergerak ke sana sini. Helaian rambut bergerak-gerak setiap kali gadis itu berjalan. Faid meneliti tajam wajah Embun. Seperti mempunyai kacukan ditambah dengan hidung mancungnya.
Kali ini yang menghantar makanan pekerja lain, kecewa hatinya. Namun tetap dia menjamu selera sehingga habis. Duit diselitkan ke bawah pinggan.
Muka Embun dilihat sekali lagi sebelum dia berlalu keluar kedai.
Pelanggan yang berlalu pergi di meja tujuh dikerling dengan hujung mata, kemudian Embun bergerak ingin mengemas meja itu. Seketika dia berkerut apabila makanan yang dibungkus tertinggal.
"Encik..."
Langkahnya terhenti tatkala ada tisu diselitkan bawah makanan itu. Embun ambil tisu itu dan dilihat secara dekat.
Makanlah Embun...pucat sangat muka tu.
Siap dilukis kartun perempuan muslimah lagi. Embun kerut dahi pelik. Kepalanya dipaling memandang keluar walaupun tiada kelibat lelaki tadi.
PUNGGUNGNYA terasa naik kematu walaupun sofa yang dijadikan tempat duduk sangat lembut. Faid meliarkan mata merenung sekeliling tempat studio ini. Tiada apa yang menarik. Cuma orang-orang yang kehulur-kehilir membawa baju, kasut serta perhiasan.
Dia membalas senyuman janggal tatkala ada beberapa mata melihatnya seperti dia seorang pesalah.
"Sorry Faid...lambat sikit photoshoot I habis. Mesti you penat menunggu, sekejap I suruh PA I beli air."
"Takpe, I okey aje. So can we start our discussion?" topik yang ingin dibualkan segera diketengah. Malas ingin berlengah lagi.
Kayla tersenyum seraya mengangguk kepala. Dia mengambil tempat bersebelahan Faid. Rapat kedudukan antara mereka hingga lutut mereka bersentuhan.
"Arriyan dah bagitahu you kan apa yang I minta you lukis?" soalnya lembut.
"Dah cuma I nak minta kepastian. You nak I lukis apartmen yang belum dibina lagi ke?" badannya berganjak sedikit memberi ruang antara mereka. Dia tidak selesa terlalu rapat.
"Yes, kenapa you tak boleh nak bayangkan ke macam mana apartmen tu nanti?" Kayla menyoal semula.
Bibir Faid diketap sedikit sebelum kepalanya digeleng beberapa kali. "I'm just a art man, not an architect..." jelasnya dengan nada ditekan sedikit.
Bukan pertama kali dia melayan karenah pelanggannya seperti ini. Apa orang fikir, bila dia pelukis ni dia boleh main lukis saja? Lepas ini memang kena buat syarat.
Wajah Kayla seperti sedang memikirkan sesuatu sebelum dia mengambil telefonnya dan jari menekan-nekan gajet itu. "Alright Faid, maybe my fault because I don't really know about this."
Huh? Maybe? Memang tak nak kalah betul.
"It's okay, if there's nothimg else, I'm leaving." Faid bingkas berdiri.
Kayla menyambar laju lengan lelaki itu. Dia ikut sekali berdiri. "You nak pergi mana?" soalnya ingin tahu. Kepalanya terdongak sedikit memandang Faid tatkala ketinggian mereka berbeza.
Faid kerut dahi melihat lengannya dicengkam kuat. Lantas dia rentap pegangan itu.
"I nak pergi galeri seni lepas ni, nak tengok pameran seni kawan I."
"I dah habis photoshoot, boleh I ikut you?"
Tengkuknya diusap janggal. Tidak selesa. "Pameran ni hanya untuk kenalan rapat aje. Lagipun kawan I buat secara tertutup," katanya dengan nada lembut. Tidak mahu gadis itu terasa.
Raut wajah Kayla berubah sedikit cemberut, namun dikawal dengan menghadiahkan seulas senyuman manis.
"Alright, kalau you free bila-bila masa, I nak ajak you makan."
EMBUN berjalan lesu di tepi jambatan. Jam menunjukkan satu pagi, memang tiada bas yang tersedia. Tangan kanan menjinjit satu beg plastik. Langkahnya berhenti tatkala mendengar bunyi mesej. Sebelah tangan menyeluk telefon di dalam beg.
Akak nak duit sewa bilik bulan ni, emergency nak pakai...harap awak boleh bayar secepat mungkin.
Tangannya jatuh ke sisi badan setelah membaca isi mesej itu. Dia menyimpan kembali telefon. Lalu meneruskan langkah dengan emosi yang kosong.
Baru beberapa tapak, dia berhenti. Embun berjalan menghampiri penghadang batu jambatan. Kepala menunduk memandang ke bawah. Deras air sungai mengalir laju. Tiba-tiba hatinya mendorong untuk terjun.
Terjunlah, lepas ni tak ada lagi penderitaan kau...
Dalam hati sudah berkorbar-korbar. Dia genggam erat batu itu. Mata dipincingkan tajam melihat air sungai yang seakan-akan memanggilnya.
Pedal superbike Yamaha di pulas kuat. Jalan raya yang sunyi menggamitnya untuk membawa motosikal dengan had laju. Namun ditahan. Khuatir ada kamera di sini.
Tatkala kepalanya menoleh sekilas ke tepi jambatan, nyawa bagai hendak tercabut melihat seorang gadis seakan-akan ingin terjun. Laju motosikal dibelok.
Tubuhnya terus melompat dari motosikal. Tidak sempat sudah ingin menongkat. Cekap lengan gadis itu disambar kuat sehingga mereka sama-sama terjatuh kerana kakinya tidak dapat seimbang.
"Kau bodoh ke!" jerkah Faid kuat.
Tubuh Embun terus terhumban jatuh ke atas tubuh seseorang. Nafasnya menderu laju. Wajahnya terlihat kehairanan.
Erat tangan menggenggam sisi pinggang kecil itu. Berdegup laju jantung menghadap situasi ini. Tidak pernah dijangka dek akal menyelamatkan seseorang yang ingin membunuh diri.
"Lepas! Lepaskan aku! Aku nak mati! Bagi aku mati!" tangan Embun dikepal lalu ditumbuk kuat dada itu. Dia meronta hebat ingin melepaskan diri. Namun pinggangnya masih dipegang utuh.
Disebalik helmet fullface yang dipakai, mata Faid sedikit terbuntang apabila mengecam wajah gadis di atasnya merupakan Embun.
"Embun! Hey calm down!"
Rontaan Embun makin tidak terkawal. Laju kedua lengan itu dicengkam kuat dengan satu tangan besarnya. Nasib muat. Faid meringis sakit ke dadanya yang ditumbuk bertubi-tubi.
"Jangan halang aku...aku benci hidup aku...tolonglah bagi aku tamatkan semua ni..." rintih Embun perlahan. Bawah bibirnya menggigil halus. Semangatnya sudah hilang ditiup angin.
"Kenapa Tuhan tak adil dengan aku..."
Hati Faid sedikit terkesan dengan suara lirih itu. Dia renung wajah kosong gadis itu. Tiada air mata yang mengalir. Namun cukup dari riak wajah saja menandakan Embun seperti sudah penat untuk hidup.
"Shhh...Embun. Istighfar banyak-banyak."
Perlahan-lahan Faid melepaskan cengkamannya tatkala tiada lagi rontaan.
Embun pejam mata. Hidungnya ditekap ke dada yang dibaluti jaket kulit hitam. Bau wangian yang terbit di lelaki ini sedikit sebanyak menenangkan jiwanya. Dia tidak tahu siapa lelaki ini. Namun di sudut hati dia cukup berterima kasih.
Mata Faid sempat menangkap goresan yang banyak berada di lengan Embun dek kerana baju gadis itu sedikit terselak dalam pergelutan mereka tadi. Lantas bebola matanya merenung lagi wajah sembap itu.
Gadis ini... seberapa banyak kesakitan yang dia pendam selama ini?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro