Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

AriQqin Naufal menyumbat sehelai T-shirt biru dan sehelai seluar trek ke dalam beg sandang. Dia sempat mencapai cap hitam yang terletak kemas di atas meja dan disarung ke kepala.

Naufal mengambil pula raket badminton yang diletak di atas katil bujangnya tadi sebelum melangkah keluar dari bilik tidur. Dia menyarung kasut sukan hijau kuning ke kaki.

Telinganya jelas menangkap suara ibu dan ayahnya yang sedang bertikam lidah di dalam bilik mereka. Dia melepaskan keluhan. Ini bukan kali pertama mereka bergaduh. Pernah beberapa kali ibunya dimasukkan ke hospital kerana dipukul oleh ayahnya.

Beberapa kali juga dia mahu melaporkan kepada pihak polis tetapi setiap kali itu juga ibunya pasti akan menghalang. Dia tidak faham kenapa ibunya masih mahu membela lelaki yang memperlakukan dirinya seperti kucing jalanan itu. Malahan lebih teruk lagi.

Masihkah ada baki cinta dan sayang di antara mereka? Apakah ertinya cinta jika diri menjadi mangsa?

Naufal melangkah meninggalkan rumah flat kecil milik keluarganya itu. Dia pernah terfikir untuk berpindah. Tetapi dia tidak rela meninggalkan ibunya sendirian bersama lelaki yang tidak berguna itu.

Ibunya tidak akan mengikutnya berpindah walaupun sudah beribu kali dia memujuk. Mungkin ibunya tidak akan berpindah keluar selagi lelaki itu masih wujud di dunia ini.

Dia memberhentikan motosikal Yamaha LC miliknya di hadapan court badminton yang terletak berhampiran dengan rumahnya. Setelah memastikan motosikal dikunci kemas, dia mengorak langkah ke dalam court badminton.

"Naufal, sini!"

Naufal mengukir senyuman ke arah Syafi yang sedang melambai ke arahnya. Affan dan Nabil turut berada di sebelahnya.

"Sorry lambat." Naufal meletakkan beg sandang dan raket di atas meja. Dia mengambil tempat di sebelah Syafi.

"Tak apa. Kita orang pun baru sampai." Syafi menjawab bersama senyuman di bibir.

Naufal sering berasa cemburu dengan Syafi. Sejak dia mengenali Syafi ketika zaman sekolah dulu, lelaki itu sering sahaja tersenyum seperti tiada masalah yang menghantuinya.

"Mana Halim, Abid dengan Hanif?" Naufal menyoal apabila tidak nampak kelibat tiga lagi rakan mereka itu. Selalunya, merekalah yang paling awal sampai.

"Halim dengan Abid ada hal. Hanif aku tak tau." Nabil menjawab sambil membetulkan tali kasutnya yang sedikit longgar.

"Abang Hanif tak sihat." Giliran Affan pula menjawab pendek.

Naufal hanya menganggukkan kepala.

"Dua lawan dua hari ni. Kalah belanja teh tarik dengan roti canai mamak. Apa macam?" Nabil mengangkat kedua-dua keningnya bersama sengihan.

"Aku on. Aku pilih Affan." Naufal menarik lengan Affan supaya berdiri di sebelahnya.

"Mana aci pilih macam tu. Affan kuat."

Syafi mengerutkan dahi tidak puas hati. Mereka semua cukup arif dengan kelincahan Affan. Kekuatan fizikalnya juga jauh berbeza dengan mereka yang lain.

"Apa pula tak aci? Aci la." Naufal ketawa mengejek. Affan hanya tersenyum.

"Tak apa, Syafi. Aku kan ada." Nabil mula bangun untuk memanaskan badan. Syafi melepaskan keluhan.

Kalah lagi la aku malam ni, omelnya dalam hati.

Syafi mencarik-carikkan dua keping roti canai di atas pinggan. Kemudian, kari kacang dal dituang banjir ke atas roti yang siap dicarik. Garpu dicapai sebelum kepingan roti dimasukkan ke mulut dengan rakusnya.

"Cuba makan elok-elok sikit. Pengotor." Nabil membuat muka jijik apabila melihat ada kesan kuah kari di tepi bibir Syafi.

"Kau jangan kacau aku malam ni. Aku happy sebab team kita berjaya kalahkan Affan." Syafi tersenyum bangga. Tidak pernah dia menyangka yang akan ada hari di mana kemenangan berada di pihaknya. Sebelum ini, tak pernah sekali pun dia menang jika lawannya ialah Affan Sadid.

"Kan aku dah cakap. Kau kena percaya kat aku." Nabil tersengih gembira. Teh tarik sudah separuh diteguknya.

"Aku bagi chance tadi. Tak best juga selalu menang." Affan bersuara membela diri.

Hakikatnya, dia langsung tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada permainan mereka tadi. Dia asyik teringatkan Hanif. Risau jika lelaki itu masih berperang dengan migrain.

"Naufal, kenapa diam aje?" Syafi menegur apabila sejak dari sampai ke kedai mamak tadi lagi dia langsung tidak bersuara.

"Aku penat sikit. Aku balik dulu." Naufal bangun dan menggalas beg sandangnya ke bahu. Dia meletakkan duit kertas dua puluh ringgit di atas meja sebelum melangkah laju ke arah motosikalnya.

"Naufal, lebih duit kau bagi ni!" Affan melaung kuat tetapi langsung tidak diendahkannya.

Naufal menghidupkan enjin motosikal dan memecut laju membelah gelap malam meninggalkan tiga orang sahabatnya yang kebingungan dengan sikap peliknya.

"Ibu!" Hanif menjerit memanggil ibunya. Daun pintu diketuk kuat berkali-kali.

"Ibu, buka pintu ni, ibu!" Dia menjerit lagi. Kali ini lebih kuat. Namun, tiada sahutan yang diterimanya. Jantungnya mula berdegup kencang. Tanpa membuang masa, dia menendang daun pintu beberapa kali.

"Ibu!" Jeritan terakhirnya serentak dengan tendangan kuat berjaya menguak daun pintu yang tertutup rapat sejak tadi. Hanif menolak daun pintu dengan tangan terketar-ketar.

Dia rebah ke atas lantai saat melihat darah yang berlumuran di atas lantai. Air matanya yang laju menuruni ke pipi mengaburkan pandangan matanya. Tubuh ibunya yang terbaring di atas lantai berbalam-balam di penglihatan.

"Ibu!!!"

Hanif bingkas bangun dari katil. Matanya lencun dengan air mata. Bajunya pula basah dek peluh. Tangannya digenggam kuat pada tilam mencari nafas yang seakan-akan tersekat di kerongkong. Dadanya naik turun menahan rasa yang mencengkam jiwa.

Sudah acap kali dia mendapat mimpi yang sama. Tetapi setiap kali itu juga dadanya sesak. Kenapa begitu sukar untuk melupakan tragedi pahit itu? Kenapa peristiwa itu perlu menghantuinya tiap malam tanpa jemu? Kenapa dia harus diseksa begini?

Hanif menyeka air mata di pipi setelah nafasnya mula stabil. Dia menyarung selipar di kaki dan mula melangkah longlai. Tirai yang menutupi bilik kecil itu diselak.

Langkah kaki diatur ke dalam bilik pejabatnya. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi empuk miliknya. Bilik pejabat dibiar gelap tanpa cahaya lampu. Matanya jatuh pada gambar ibunya yang dibingkai kemas di atas meja. Lama dia membiarkan pandangan matanya jatuh pada potret wanita yang sedang tersenyum manis.

"Hanif rindu ibu." Hanif bersuara rendah. Nafas ditarik dalam menahan air mata dari mengalir keluar. Matanya jatuh pula pada sepapan Panadol yang terletak di sebelah potret ibunya. Dia menarik kertas putih kecil yang tertampal di atas Panadol tersebut.

Maaf saya masuk bilik Encik Hanif tanpa izin. Tak nak ganggu Encik Hanif tidur. Makan Panadol ni bila Encik Hanif bangun nanti. Semoga Encik Hanif cepat sembuh. =)

Hanif mengerutkan dahi apabila melihat smiley yang dilukis Afifa di hujung ayat yang dikarangnya. Tanpa sedar, ada senyum menghiasi wajahnya di sebalik kelam malam.

Affan Sadid berlari mendaki anak tangga apabila terdengar jeritan dari bilik pejabat Hanif. Selepas lepak bersama Nabil dan Syafi di kedai mamak tadi, dia terus membawa kakinya ke Black Knight. Dia sempat membungkus dua keping roti canai sebagai bekalan untuk Hanif.

Sesampainya Affan di hadapan Black Knight, jeritan dari tingkat atas mengejutkannya yang baru ingin membuka kunci pintu utama pejabat. Hatinya mula risau memikirkan jika ada sesuatu yang buruk berlaku kepada Hanif.

Sampai sahaja di hadapan bilik Hanif, dia terus menolak daun pintu. Langkahnya diatur laju ke arah tirai yang menutupi bilik kecil di sudut bilik pejabat itu.

Baru sahaja dia ingin menyelak tirai, pergerakannya terhenti. Dia dapat mendengar dengan jelas tangisan sayu di sebalik tirai itu. Hatinya turut diruntun sayu.

Bukannya sekali Hanif menangis sendirian begitu. Dia tahu lelaki itu sering dihantui mimpi ngeri selepas kematian ibunya.

Acapkali dia mendengar Hanif memanggil ibunya di dalam tidur. Dia ingin menenangkan Hanif, tetapi dia tahu lelaki itu tidak suka jika ada yang melihat kedukaannya. Dia tidak suka ada yang melihat dirinya lemah.

Dia mahu orang melihatnya sebagai presiden Black Knight Home Design yang tegas dan berwibawa. Dia perlu tampil sempurna pada pandangan orang ramai walau bagaimana dalam pun luka dalam hatinya.

Affan melepaskan keluhan. Andai sahaja dia bisa berkongsi walau sedikit pun dari bebanan yang ditanggung Hanif, dia rela.

Tetapi apakan daya, semuanya ketentuan Allah. Allah tidak akan memberikan ujian kepada hamba-Nya melebihi dari apa yang dia terdaya. Affan melangkah meninggalkan ruang bilik pejabat Hanif bersama duka yang turut sama menampan jiwanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro