Bab 6
"Dan yang paling penting, pastikan semua kerja yang Afifa buat perfect. Kesilapan kali pertama mungkin masih boleh dimaafkan. Tapi kesilapan kedua saya tak boleh nak tolong. Kerja dengan perfectionist ni kita pun kena jadi perfect juga." Adnan Syafi mengakhiri penerangannya dengan satu peringatan. Dia tersenyum lagi pada akhir penerangannya.
Selepas mesyuarat tadi, Abid memberikan arahan supaya dia menemui Syafi untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tugasan yang bakal dilakukan sebagai seorang PA di Black Knight. Sepanjang seminggu mereka tidak mempunyai PA, Syafi la yang melakukan kerja-kerja PA buat sementara waktu.
"Terima kasih, Encik Syafi. Saya akan cuba buat yang terbaik." Afifa menjawab yakin.
Afifa perlu pastikan kerja yang dilakukannya mencapai piawaian yang ditetapkan oleh seorang lelaki bernama Nazhirul Hanif. Dia sudah memusnahkan impression pertamanya dengan menumpahkan air kopi ke baju lelaki itu. Mana mungkin dia melakukan kesilapan lagi. Kesilapan hanya akan merugikan dirinya sendiri.
"Tak payah la panggil saya Encik Syafi. Panggil Syafi aje." Syafi bersuara lembut.
Sejak pertama kali bersua muka dengan lelaki ini, dia sudah mula selesa dengan sikap dan cara pertuturan Syafi. Tambahan pula, senyuman yang sentiasa menghiasi wajahnya menjadikan dirinya senang didekati.
"Tapi saya lagi selesa dengan panggilan Encik Syafi." Afifa menjawab tenang. Dia tidak mahu kata-katanya menyakiti hati lelaki itu.
"Tak apa, saya faham. Afifa ada apa-apa soalan lagi?" Syafi mula memasukkan semua dokumen ke dalam fail biru di atas mejanya.
"Buat masa ni tak ada lagi, Encik Syafi."
"Kalau macam tu, Afifa boleh balik ke tempat Afifa. Kalau ada apa-apa yang tak faham, jangan segan silu nak datang tanya saya pula. Nah, ambil fail ni." Syafi menghulurkan fail biru tadi ke arah Afifa.
Afifa menyambut huluran itu.
"Terima kasih, Encik Syafi." Afifa sekali lagi mengucapkan terima kasih sebelum berlalu ke mejanya.
Sampai sahaja di mejanya, daun pintu bilik Nazhirul Hanif tiba-tiba terkuak dari dalam. Serentak itu juga, fail biru di tangan Afifa jatuh ke atas lantai dan memuntahkan segala isinya. Afifa mengurut dadanya perlahan. Hampir sahaja jantungnya gugur ke atas lantai seperti fail biru itu dek terkejut.
Hanif melepaskan keluhan apabila melihat kertas-kertas yang berterabur di atas lantai.
Macam mana la perempuan ni nak jadi PA aku kalau clumsy macam ni? Hanif bersuara dalam hati. Dia tidak yakin yang gadis itu boleh menjadi PA yang bagus untuknya.
Entah apa yang Abid nampak dalam diri Afifa sampai dia begitu sukakan gadis itu. Karakter Afifa dengannya bagaikan langit dan bumi. Begitu kontra. Langsung tidak selari.
"Kau boleh drive?" Hanif bertanya tanpa riak.
"Bo... Bo... Boleh." Afifa menjawab tergagap-gagap. Dia menggigit bibir bawahnya. Entah kenapa jantungnya berdegup kencang saat bertemu mata dengan Hanif.
Tenang Afifa. Lelaki tu bukannya boleh makan kau pun. Afifa bermonolog dalam hati untuk menenangkan hatinya yang sudah tidak keruan itu.
"Ikut aku." Hanif terus melangkah laju ke arah lif selepas memberikan arahan.
Afifa pantas melangkah mengekori Hanif sebelum berpatah balik apabila mengingati yang beg tangannya tertinggal di atas kerusi. Dia menepuk dahi menyalahkan dirinya atas kealpaannya. Dia mencapai beg tangan lusuhnya dan berlari ke arah lif.
Tetapi malangnya pintu lif sudah pun tertutup. Hanif pula langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menekan butang buka. Dengan pantas Afifa melangkah ke arah tangga kecemasan. Kakinya laju berlari menuruni anak tangga satu per satu.
Setelah sampai di lobi, Hanif sudah pun menunggunya di dalam kereta. Afifa laju membuka pintu kereta dan meloloskan diri ke bahagian pemandu Toyota Vios biru gelap itu.
"Lambat!" Hanif bersuara sepatah. Nada suaranya kedengaran tegas di telinga Afifa.
Afifa menelan liur.
"Saya minta maaf, Encik Hanif." Afifa memohon maaf perlahan. Dia sedaya upaya cuba menahan dadanya yang berombak dek keletihan. Menyesal pula dia kerana jarang bersenam. Jika tidak, tak la dia semput sebegitu rupa.
"Ikut GPS tu. Aku dah set."
Afifa mengangguk sebelum mula memandu ke destinasi yang dituju.
Kereta Toyota Vios biru gelap itu diparkir di tempat letak kereta betul-betul di hadapan sebuah bangunan empat tingkat. Afifa berpaling ke arah Nazhirul Hanif di sebelahnya yang terlelap di atas kerusi penumpang. Ada kerutan yang menghiasi dahinya.
Entah apa yang mengganggu fikiran lelaki itu. Mungkin tentang masalah kerja. Hanya Tuhan dan tuan empunya diri yang mengetahui apa yang berada dalam fikiran lelaki itu.
Lama Afifa membiarkan anak matanya jatuh pada wajah pucat Hanif. Entah kenapa dia berasa sayu saat memandang wajah lelaki itu. Kelopak matanya yang tertutup rapat seakan-akan menyimpan seribu satu kesedihan.
Makin lama wajahnya ditatap, makin dalam rasa simpati yang menyelubungi dirinya. Afifa menggelengkan kepala membuang semua rasa yang mula menjengah ke dada.
Matanya dilarikan ke arah jam di tangan. 12.45 tengah hari. Masih tinggal 15 minit lagi sebelum janji temu. Afifa membetulkan suaranya.
"Encik Hanif." Afifa memanggil nama lelaki itu. Tetapi tiada sebarang tanda yang lelaki itu bakal bangun daripada tidurnya.
"Encik Hanif, dah sampai." Kali ini, Afifa menguatkan suaranya. Hujung jarinya menarik lengan baju Hanif.
Beberapa saat kemudian, Hanif mula bergerak. Matanya dikerdipkan beberapa kali untuk membiasakan matanya dengan cahaya matahari yang terang menyuluh muka.
Hanif membetulkan tali leher apabila menyedari yang keretanya sudah pun terparkir di hadapan bangunan Mega Delima Consultant Sdn. Bhd. Sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan kaunseling dan motivasi.
Afifa mematikan enjin kereta dan mengikut Hanif keluar dari perut kereta. Setelah memastikan kereta dikunci, Afifa berjalan mengekori Hanif ke lobi syarikat.
"Hai, saya Nazhirul Hanif dari Black Knight Home Design. Saya ada appointment dengan Encik Zakaria pukul satu tengah hari ni." Hanif menghadiahkan senyuman kepada seorang operator wanita.
Afifa mengerling ke arah Hanif. Pertama kali dia melihat lelaki itu tersenyum. Berbeza benar wajahnya apabila dihiasi senyuman. Manis.
"Encik Nazhirul Hanif boleh naik ke tingkat tiga. Encik Zakaria sudah menunggu di bilik mesyuarat. Encik boleh naik lif ke tingkat tiga. Kemudian, encik belok ke kiri. Bilik mesyuarat ada di sebelah kanan koridor." Operator itu bersuara tenang.
"Terima kasih."
Hanif mula melangkah ke lif. Afifa hanya menurut. Setelah pintu lif tertutup, Hanif menyandarkan tubuhnya ke dinding. Tangan kanannya memegang kepala yang kembali berdenyut. Kali ini denyutannya lebih teruk. Matanya dipejam rapat.
Seketika kemudian, pintu lif terbuka di tingkat tiga. Hanif mengangkat kaki untuk melangkah tetapi kakinya terasa seakan-akan tidak mencecah lantai. Hampir sahaja dia terjatuh sebelum lengan kanannya terasa dipegang.
"Encik Hanif okey tak ni?" Afifa menyoal kalut. Risau pula jika lelaki itu pengsan di situ. Memang sejak pagi tadi lagi dia perasan wajah Hanif yang pucat.
"I'm okay." Hanif menjawab lemah. Dia menarik lengannya daripada pegangan tangan Afifa dan kembali menyambung langkah kaki ke bilik mesyuarat. Dia menguak daun pintu setelah menerima arahan masuk dari dalam.
"Encik Zakaria, maaf saya terlambat." Hanif menghulurkan salam ke arah Encik Zakaria yang berdiri menyambut kedatangan Hanif.
"Tak apa. Encik Hanif tak lambat pun. Saya yang awal. Silakan duduk."
Hanif menarik kerusi berhadapan dengan Encik Zakaria. Afifa mengambil tempat di sebelah Hanif. Dia mula mengeluarkan beberapa contoh design untuk conference room baru di tingkat empat bangunan empat tingkat itu.
"Ini contoh-contoh design yang telah kami lakarkan mengikut apa yang telah kita bincangkan minggu lepas." Baru sahaja dia ingin meneruskan kata, kepalanya sekali lagi diserang sakit yang menyucuk. Matanya dipejam rapat.
"Encik Hanif?" Afifa memanggil nama Hanif perlahan apabila melihat wajah Hanif yang semakin pucat seperti tidak berdarah. Matanya dikerling sekilas ke arah Encik Zakaria yang sedang ralit melihat contoh design yang ditunjukkan Hanif tadi.
"Encik Hanif, tak apa, biar saya yang terangkan pada Encik Zakaria." Afifa menawarkan untuk membantu tetapi dibalas dengan tenungan tajam Hanif.
"Encik Hanif, trust me!"
Tanpa menunggu jawapan daripada Hanif, Afifa mula menerangkan satu per satu tentang jenis dan reka bentuk yang dicadangkan oleh pereka Black Knight berdasarkan apa yang diingini oleh pemilik Mega Delima Consultant.
Hanif memandang Afifa lama. Dia terpegun dengan kepetahan gadis itu bersuara. Diselang-selikan dengan gurauan untuk menghiburkan hati clientnya itu.
Afifa di hadapannya kini berbeza benar dengan Afifa yang melanggarnya di hadapan bangunan Black Knight. Berbeza dengan Afifa yang menjatuhkan fail di hadapan biliknya tadi. Dalam diam, hatinya dianyam rasa ingin tahu tentang gadis muda itu.
Pintu rumah dikunci rapi. Langkah kaki dibawa ke arah sofa di ruang tamu rumah. Tubuhnya dihempas ke atas sofa empuk itu. Mata dipejam rapat. Baru hari pertama dia bergelar PA kepada Nazhirul Hanif, dia sudah merasa kepenatan yang teramat. Tidak dapat dia bayangkan apa yang akan terjadi kepada tubuhnya jika bertahun dia bekerja di situ. Senyuman menghiasi bibirnya apabila dia mengingati kejadian petang tadi. Fikirannya melayang mengingati perbualannya dengan Hanif di dalam kereta tadi.
"Aku tak sangka kau tau pasal interior design." Hanif bersuara mendatar tanpa nada. Matanya hanya dibiarkan ke jalan.
"Saya memang minat dengan interior design sejak dulu lagi. Saya selalu baca majalah-majalah tentang interior design. Dari situ la saya faham istilah-istilah design ni. Lagipun tadi sebelum keluar, Encik Syafi dah briefing saya tentang Mega Delima Consultant. Jadi, saya tau serba sedikit apa yang mereka nak." Afifa menerangkan panjang.
Dia memang mudah mengingati apa yang dibaca dan didengarnya. Jadi, tak hairanlah dia dapat menerangkan dengan lancar setiap butir yang penting kepada Encik Zakaria sebentar tadi.
Hanif mengangguk perlahan. Beberapa minit kemudian, Afifa berpaling ke kiri apabila tiada lagi soalan yang keluar dari mulut Hanif. Lelaki itu sudah pun terlelap. Afifa hanya membiarkan lelaki itu dibuai mimpi sehingga mereka tiba di Black Knight Home Design.
Sebelum melangkah masuk ke biliknya, Hanif berhenti dan berpaling ke arah Afifa. Afifa terpaku seketika melihat tingkah laku Hanif. Jantungnya berdegup kencang. Takut jika ada kesalahan yang dilakukannya lagi. Entah sudah berapa kali dia menerima pandangan maut Hanif hari ini.
Hanif berdehem membetulkan suara sebelum membuka mulut.
"Thanks." Hanif bertutur sepatah sebelum menghilang di sebalik pintu bilik pejabatnya.
"Afifa! Kau ni dah kenapa senyum sorang-sorang? Kena sampuk ke apa ni?"
Afifa kembali ke alam nyata apabila tangannya terasa ditampar kuat.
"Sakit la!" Afifa terjerit kecil.
"Padan muka. Berangan lagi." Aisya Farhana melabuhkan duduk di sebelah Afifa. Dia baru sahaja pulang dari kerja apabila melihat kawannya itu tersenyum seorang diri.
"Apa macam first day kerja?" tanya Farhana ingin tahu.
"Setakat ni okey la. Tapi penat gila badan aku. Macam ni ke rasanya kerja?" Afifa mengurut lehernya yang tegang.
"Biasa la kerja. Semua penat. Tapi kau untung la dapat cuci mata hari-hari." Farhana menjuihkan bibirnya.
"Cuci mata?" Afifa kembali menyoal tidak mengerti dengan kata-kata Farhana.
"Yala, kerja dengan tujuh lelaki. Ada tak yang sesuai untuk jadi calon boyfriend?" Farhana mengangkat keningnya bersama senyuman mengusik.
"Mengarut la kau ni. Aku baru aje mula kerja. Lagipun, aku nak cari pengalaman bukan nak cari jantan." Afifa membalas serius. Kepalanya digeleng perlahan.
"Ala, kau ni. Apa salahnya? Sambil menyelam minum air orang cakap." Farhana masih lagi mahu mengusik.
Farhana tahu Afifa tidak suka membincangkan hal yang melibatkan lelaki. Bukannya dia tidak tahu yang Afifa mempunyai ramai peminat ketika mereka masih belajar dulu. Wajahnya yang cantik dan tingkah lakunya yang sopan persis gadis Melayu terakhir itu sering menjadi perhatian ramai.
"Awal kau balik hari ni? Selalunya malam baru sampai rumah."
Afifa menukar topik perbualan sambil membuka selendang yang menutupi kepalanya. Afifa berpaling ke arah Farhana apabila terdengar keluhan keluar dari mulut kawannya itu.
"Dah kenapa mengeluh pula ni? Soalan aku pun tak jawab lagi."
"Boyfriend aku busy hari ni. Selalu dia ambil aku, bawa aku makan. Lapar perut aku hari ni." Farhana menggosok perutnya yang mula berkeriuk.
"Kau baru kenal kan dengan lelaki tu? Jangan la selalu sangat keluar malam. Bahaya tau tak? Macam-macam kes dah yang jadi pada gadis-gadis kat Malaysia ni. Kalau jadi apa-apa kat kau, siapa yang susah?" Afifa membebel panjang. Bukannya apa, dia sayangkan kawannya itu. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepadanya.
"Dah mula dah nak membebel. Macam nenek aku la kau ni. Daripada kau membebel, lebih baik kau masak untuk aku. Aku lapar ni." Farhana memeluk lengan Afifa manja.
"Mula la tu. Bila nak suruh aku masak, baru nak buat baik." Afifa menjuihkan bibir.
Farhana tersengih seperti kerang busuk.
"Aku naik mandi, solat maghrib dulu. Nanti aku turun masak." Afifa pantas bangun dan mendaki anak tangga ke biliknya.
"Okey, Afifa. Sayang kau!" Farhana sempat menjerit kuat sebelum turut melangkah membuntuti Afifa ke tingkat atas.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro