Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Tepat pukul 9.50 pagi, Nazhirul Hanif melangkah keluar dari bilik pejabatnya. Matanya dibiarkan jatuh pada meja PA barunya. Kosong. Mungkin dia sudah ke bilik mesyuarat.

Tanpa membuang masa, dia melajukan langkah ke arah lif. Kebiasaannya, mesyuarat akan diadakan pada pukul 9.30 pagi setiap hari Isnin. Tetapi hari ini dia terpaksa menangguhkan mesyuarat ke pukul sepuluh pagi disebabkan sakit kepala yang menghantuinya sejak pagi tadi.

Selalunya dia akan memastikan ubat tahan sakit sentiasa tersedia di dalam bilik pejabat. Tetapi, dia terlupa untuk menambah stok ubat yang telah habis kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja.

Daun pintu bilik mesyuarat dikuak perlahan. Semua staf sudah siap menunggunya di meja mesyuarat. Hanif mengambil tempat di hujung meja berbentuk bujur itu. Dia sempat mengerling ke arah Afifa yang sudah siap sedia bersama komputer riba di sebelah kirinya.

"Memandangkan semua dah ada kat sini, kita boleh mulakan mesyuarat hari ini." Hanif bersuara memecahkan kesunyian yang menyelubungi mereka sejak tadi.

"Sebelum kita mulakan perbincangan kita, saya ingin memperkenalkan kepada anda semua dengan pembantu peribadi Encik Nazhirul Hanif yang baru. Cik Afifa, boleh perkenalkan diri."

Afifa pantas bangun setelah Abid selesai berbicara.

"Assalamualaikum. Nama saya Afifa Fitiya binti Abdul Hamid, selaku pembantu peribadi Encik Nazhirul Hanif. Saya harap anda semua dapat memberikan tunjuk ajar kepada saya. Terima kasih."

Afifa mengerling ke arah Hanif tetapi lelaki itu langsung tidak menunjukkan minat terhadapnya. Dia sibuk membelek dokumen di atas meja.

Afifa kemudian melarikan pandangan ke arah enam orang staf yang lain yang sedang memandang ke arahnya sambil bertepuk tangan. Nabil dan Halim yang sudah dikenalinya tersenyum manis.

"Cik Afifa boleh duduk. Nama saya Abid Muttaqqin selaku Vice President Black Knight dan juga Pengurus Kewangan. Halim, boleh perkenalkan diri?" Abid memandang Halim setelah siap memperkenalkan dirinya.

"Dah semestinya boleh." Halim menjawab ceria.

Abid hanya menggelengkan kepala melihat perangai kebudak-budakan Halim walaupun hakikatnya lelaki itu adalah yang paling tua antara mereka.

"Saya Halim Zahidin. Boleh panggil Halim. Jawatan saya di Black Knight ni adalah Eksekutif Kewangan. Meja saya betul-betul di hadapan bilik Encik Abid. Selamat berkenalan." Halim bersuara mesra.

"Selamat berkenalan." Afifa menjawab pendek sebelum melarikan pandangan ke arah lelaki kacak di sebelahnya yang sudah bersedia untuk memperkenalkan diri.

"Nama saya Ariqqin Naufal. Saya pembantu Encik Halim Zahidin. Panggil saya Naufal." Naufal memperkenalkan diri pendek. Jelas kelihatan lelaki itu sedikit gemuruh ketika memperkenalkan dirinya. Afifa hanya tersenyum melihat gelagat Naufal yang sedikit pemalu.

"Hai, saya Adnan Syafi. Saya selaku Eksekutif Sumber Manusia dan Pentadbiran. Kalau ada masalah apa-apa dengan kerja, boleh jumpa saya. Oh, sebelum terlupa, Cik Afifa boleh panggil saya Syafi."

Syafi mengakhiri pengenalan dirinya dengan senyuman manis. Senyuman lelaki itulah yang paling manis di antara staf-staf yang lain. Dia masih ingat dengan senyuman itu. Senyuman yang menenangkan dirinya saat kali pertama dia hadir ke Black Knight Home Design untuk ditemu duga.

"Hai, Cik Afifa. Kita dah jumpa tadi. Tapi tak apa, saya perkenalkan diri sekali lagi. Nama diberi Nabil Amin. Dikenali sebagai Nabil oleh staf-staf kat sini. Saya Assisstant Designer 1." Nabil sempat mengenyitkan mata selepas habis memperkenalkan diri.

Adnan Syafi melepaskan keluhan melihat gelagat Nabil. Afifa hanya tersenyum sebelum mengalih pandangan ke arah lelaki yang kelihatan serius tanpa senyuman.

"Affan Sadid. Assisstant Designer 2." Affan Sadid memperkenalkan diri pendek.

Wajah serius Affan mengingatkan Afifa pada Nazhirul Hanif. Semua mata kini tertumpu kepada Presiden Black Knight. Lelaki itu masih lagi membelek dokumen di hadapannya. Setelah hampir seminit menjadi tumpuan tujuh pasang mata, Hanif mengangkat kepalanya.

"Dah siap perkenalkan diri? Boleh mulakan meeting kita?" Hanif menyoal serius.

"Encik Hanif tak perkenal diri lagi." Halim bersuara berani.

Hanif menghadiahkan satu pandangan maut. Halim pantas menundukkan pandangan.

"Tak payah nak buang masa. Maklumat saya boleh dapatkan daripada Syafi nanti. Halim, bentangkan laporan kewangan." Hanif memberikan arahan tegas.

Halim pantas bangun dan melangkah ke hadapan. Dia dengan lancar menerangkan angka-angka yang tertera di skrin. Lain benar karakter lelaki itu ketika bekerja dibandingkan dengan karakternya tadi yang sedikit kebudak-budakan. Afifa pantas mencatat butir-butir penting yang diperlukan untuk menulis minit mesyuarat nanti.

Setelah hampir 15 minit membuat pembentangan, Halim kembali ke tempatnya. Suasana bilik mesyuarat itu sunyi seketika sebelum Abid membuka mulut.

"Encik Hanif, macam mana meeting dengan Dato Zainal?"

Terdengar keluhan berat dilepaskan Hanif saat soalan Abid menampar gegendang telinganya. Makin dalam kerutan di dahinya. Kepalanya kembali berdenyut.

"Dato Zainal tak jadi tandatangan kontrak dengan kita," jawab Hanif mendatar.

"Tapi kenapa? Bukan ke Dato Zainal yang beria-ia nakkan khidmat kita untuk design ofis barunya di Ampang?" Kali ini giliran Nabil pula menyoal. Hilang sudah senyuman yang menghiasi bibirnya sejak tadi diganti dengan kerutan di dahi.

"Dia tak bagi sebab yang jelas. Dia cuma beritahu yang dia nak cancel melalui telefon. I'm sorry, guys. Kita hilang client terbesar kita." Jelas terdengar nada suara bersalah yang keluar dari mulut Hanif.

"It's okay. Masih banyak lagi peluang kita kat luar tu. Yang penting kita usaha lagi dan tak putus asa." Abid bersuara untuk mengendurkan suasana kelam yang mula menyelubungi bilik mesyuarat. Mereka kembali membincangkan hal-hal lain sebelum mesyuarat ditangguhkan ke minggu hadapan.

"Masuk!"

Affan Sadid menguak daun pintu apabila mendengar arahan masuk dari dalam bilik.

"Affan, ada apa?" Hanif menyoal apabila Affan mengambil tempat di hadapan mejanya.

"Abang Hanif okey?" Affan membalas soalan Hanif dengan soalan juga. Sejak dari mesyuarat tadi lagi dia asyik risaukan Hanif. Mana kan tidak, sejak dari awal mesyuarat lelaki itu tidak henti memicit kepalanya. Mukanya yang pucat menambahkan kerisauan dalam hatinya.

"Kenapa tanya soalan tu? Nampak macam tak okey ke?" Hanif tersenyum nipis melihat wajah serius Affan yang sudah dianggap seperti adiknya itu.

Affan mengangguk perlahan. Mukanya masih lagi serius tanpa sekelumit senyuman pun. Hanif melepaskan keluhan. Dia memang tidak boleh menipu Affan. Mungkin disebabkan Affan seorang yang pendiam, dia lebih peka dengan keadaan sekeliling. Hanif memicit kepalanya yang kembali berdenyut.

"Jom saya bawa pergi klinik. Pucat sangat muka abang ni." Affan bersuara penuh prihatin. Dia sudah pun mengangkat punggung sebelum kembali duduk apabila Hanif memegang lengannya bersama gelengan.

"Aku okey. Sakit kepala sikit aje." Hanif menjawab tenang. Dia sedaya upaya mengukir senyuman untuk menenangkan hati Affan.

"Kenapa Dato Zainal tarik diri?" Affan menyoal lagi.

Hanif mengangkat bahu menjawab soalan Affan. Dia hanya membiarkan anak matanya jatuh ke meja. Tangannya dibiarkan sibuk membelek dokumen walaupun hakikatnya fikirannya melayang entah ke mana. Hanif mengangkat kepala apabila tiba-tiba tawa sinis menampar telinganya.

"Abang tak boleh tipu saya. Saya tahu gerak geri abang luar dalam. Semua ni kerja Naim Haikal, kan?"

Affan bersuara berani. Dia cukup arif dengan perangai Naim Haikal, abang Hanif itu. Sifat hasad dengkinya terhadap Hanif tidak boleh disangkal lagi.

Apa sahaja yang tidak dilakukan lelaki itu untuk memusnahkan syarikat Hanif itu. Setiap kali ada client besar yang ingin mendapatkan khidmat Black Knight, pasti akan dicantasnya terlebih dahulu. Entah apa salah Hanif terhadapnya sehingga diperlakukan sebegitu rupa.

"Affan..." Hanif memanggil nama lelaki di hadapannya itu perlahan.

"Abang nak saya belasah lelaki tak guna tu?" Affan mengepal penumbuknya menahan rasa geram. Dia tidak rela melihat Hanif bersedih.

Hanif tersenyum nipis.

"Aku minta maaf sebab ambil kau bekerja kat sini. Masa depan kau akan lebih terjamin kalau kau kerja kat syarikat lain. Aku minta maaf sebab bakat kau sia-sia kat Black Knight ni." Hanif sekali lagi melepaskan keluhan.

"Kenapa abang cakap macam tu? Tak pernah sekali pun saya rasa bakat saya sia-sia kat sini. Abang Hanif yang banyak tolong saya sejak dulu. Abang yang dorong saya untuk sambung belajar. Kalau tak, saya masih lagi melukis di jalanan." Affan membalas panjang. Mana mungkin dia dapat membalas jasa Hanif terhadapnya.

"Kalau kau kerja kat sini sebab nak balas jasa aku, tak perlu la kau buat macam tu. Kau boleh kembangkan bakat kau kat luar tu. Aku boleh recommend kan kau kat syarikat lain."

"Abang, saya suka kerja kat sini. Saya takkan tinggalkan Black Knight. Abang satu-satunya keluarga yang saya ada." Affan memegang tangan Hanif kejap.

Hanif menghembuskan nafas lega. Dia tahu dia tidak patut menahan Affan dari mengembangkan sayapnya, tetapi saat ini dia amat memerlukan Affan di sisinya.

Sering dia menyoal dirinya sendiri, adakah dia cuma mementingkan diri? Layakkah dia menerima kebaikan orang lain, sedangkan tiada apa yang boleh dilakukannya untuk membalas kebaikan mereka? Sedangkan darah dagingnya sendiri meninggalkan dirinya terkontang-kanting sendirian.

"Terima kasih, Affan." Hanya ucapan terima kasih yang mampu diberikannya tika ini. Dan dia tidak pasti sampai bila dia mampu menanggung bebanan ucapan 'terima kasih' itu di atas bahunya lagi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro