Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

Langkah kaki laju diatur ke arah bangunan pejabat Black Knight Home Design. Beg di tangan dijinjit kemas.

"Assalamualaikum, Encik Abid."

Langkahnya terhenti saat mendengar sapaan lembut daripada gadis yang setia menunggu di hadapan pintu utama pejabat

"Waalaikumussalam. Afifa dah lama sampai? Kenapa tak masuk?" Abid menyoal tenang.

"Saya baru aje sampai. Saya rasa tak ada yang sampai lagi sebab pintu berkunci." Afifa menjawab bersama senyuman di bibir.

"Tapi saya nampak kereta Hanif tadi. Mungkin dia tidur kat sini kut. Jom ikut saya masuk."

Abid membuka kunci pintu dan mula melangkah ke arah lif. Afifa hanya menurut. Setelah pintu lif terbuka, Abid melangkah ke arah sebuah meja sederhana besar yang terletak betul-betul di hadapan sebuah bilik. Afifa hanya menurut ke arah meja yang kosong itu.

"Ni tempat Afifa. Afifa duduk dulu. Kemas apa-apa yang patut. Saya pergi jumpa Hanif." Abid sempat meletakkan beg di dalam biliknya sebelum melangkah ke bilik Hanif.

Tok-tok! Tok-tok!

Pintu bilik Hanif diketuk perlahan. Setelah tiada balasan yang diterima, pintu bilik diketuk sekali lagi. Dahinya berkerut. Pelik apabila sahabatnya itu langsung tidak bersuara.

Kebiasaannya, Hanif sudah bersedia di mejanya sepuluh minit sebelum waktu bekerja bermula. Hanif memang terkenal dengan sikapnya yang menepati masa. Abid memulas tombol pintu. Tidak berkunci. Dia melangkah masuk ke dalam bilik Hanif.

"Hanif!" Abid memanggil nama Hanif sambil langkah kaki diatur ke arah bilik kecil di bahagian belakang bilik sederhana besar itu.

Dia tahu Hanif selalu bermalam di pejabat jika dia malas untuk pulang ke rumah. Siapa tidak kenal dengan sikap workaholic presiden syarikat itu. Jika dia mula bekerja, ribut taufan melanda pun tidak akan disedarinya.

Disebabkan itu jugalah Hanif meletakkan katil bujang di dalam bilik kecil di sudut belakang bilik pejabatnya. Jadi, tidak perlulah dia membuang masa berulang-alik dari apartmen ke pejabat ketika sibuk dengan kerja.

Abid menyelak tirai yang membahagikan ruang pejabat dengan bilik kecil itu. Hanif sedang elok terbaring di atas katil bujangnya.

"Hanif, dah nak dekat waktu kerja ni. Bangun!" Abid menggoncang sedikit tubuh Hanif yang masih nyenyak diulit mimpi. Matanya sempat mengerling jam di tangan. Pelik! Selalunya Hanif tak pernah lambat bangun.

"Hanif!" Abid sekali lagi menggoncang tubuh Hanif. Kali ini lebih kuat goncangannya. Perlahan-lahan, Hanif membuka matanya. Dia bingkas bangun apabila melihat Abid yang sedang berdiri betul-betul di sebelah katilnya.

"Argh!"

Erangan Hanif mengejutkan Abid.

"Kenapa?" Abid menyoal sedikit cemas.

"Kepala aku sakit." Abid memicit kepalanya yang berdenyut.

"Kalau kau tak sihat, kau balik rumah la." Abid memberikan cadangan. Dia tahu, Hanif sering diserang migrain yang teruk jika dia tertekan. Entah apa pula tekanan yang dihadapinya kali ini.

"Tak apa. Aku okey. Aku mandi dulu." Hanif mencapai tuala dan mula melangkah ke bilik air yang terletak di luar bilik pejabatnya. Tangannya masih memicit kepala yang berdenyut. Abid menggelengkan kepala.

Sepanjang mereka bekerja bersama, Hanif tidak pernah mengambil cuti walaupun sehari. Demam atau migrain langsung tidak mengganggu komitmen kerjanya. Malahan, sehingga ke hujung minggu pun dia menghabiskan masa di pejabat.

Abid melihat jam di tangan. Masih ada lima minit sebelum waktu pejabat bermula. Abid mula mengemas tempat tidur Hanif.

"Kenapa perempuan tu ada kat luar bilik aku?"

Baru sahaja dia ingin menarik cadar yang berselerak, telinganya disapa soalan dari mulut Hanif.

"Perempuan mana?" Abid melihat wajah Hanif yang berkerut dengan penuh tanda tanya.

"Perempuan kat meja depan bilik aku tu."

"Oh, nama dia Afifa Fitiya. Mulai hari ni, dia PA baru kau." Abid menjawab tenang. Dia kembali membetulkan cadar.

"What?!"

Hampir terkeluar jantung Abid apabila mendengar suara jeritan Hanif yang lantang. Dah kenapa kawan aku ni?

Langkahnya terhenti di hadapan pintu lif. Dia hanya terkebil melihat Nazhirul Hanif dan seorang gadis di hadapan bilik bosnya itu. Kedua-duanya menunjukkan raut wajah terkejut. Setelah Hanif melangkah masuk ke bilik, dia berjalan menghampiri gadis kecil molek itu.

"Hai, awak mesti PA baru tu, kan? Siapa nama awak?" Nabil Amin menegur ramah dengan senyuman di bibir. Abid sudah memberitahu mereka yang mereka akan menerima pembantu peribadi baru hari ini.

"Helo?" Dia memetik jarinya di hadapan wajah gadis itu berkali-kali apabila tiada balasan yang diterima. Gadis itu mengerdipkan matanya. Dia seakan-akan baru tersedar dengan kehadiran dirinya di situ.

"Saya minta maaf. Encik tanya apa tadi?" Gadis itu bersuara sopan. Wajahnya pucat seperti tidak berdarah.

"Are you okay?" Nabil menyoal penuh prihatin. Bimbang pula jika gadis itu pengsan. Nanti, dia pula yang dipersalahkan.

"Ya, saya okey." Gadis itu berdehem membetulkan suara. Dia memaksa senyuman di bibir.

"Hai, saya Nabil Amin. Assistant Designer 1." Dia melambai-lambaikan kedua-dua tangannya sambil tersenyum manis.

"Saya PA baru Encik Nazhirul Hanif, Afifa Fitiya." Gadis itu memperkenalkan dirinya mesra. Wajah terkejutnya tadi diganti dengan senyuman mesra.

"Tempat saya kat situ. Dengan Assistant Designer 2, Affan Sadid."

Pandangan mata Afifa mengekori jari telunjuknya yang terarah ke sebuah bilik di hadapan ruang menunggu. Seorang lagi lelaki sudah pun berada di mejanya. Bila lelaki itu masuk pun tidak disedarinya.

"Dah jumpa Encik Hanif?" Dia dapat melihat dengan jelas raut wajah Afifa yang berubah saat nama Hanif disebut.

"Encik Nabil, saya nak tanya sikit boleh?" Afifa memandang tepat ke wajahnya. Hujung jari gadis itu bermain-main dengan hujung selendang yang tersarung di kepala.

"Boleh. Tanya banyak pun boleh." Dia tersenyum sambil menanti soalan Afifa.

"Encik Nazhirul Hanif tu macam mana orangnya?" Suara gadis itu separuh berbisik di telinganya. Seakan-akan anak kecil yang ketakutan selepas melakukan kesalahan.

"Encik Hanif seorang yang tegas kalau bab kerja. Dia pantang kalau ada orang buat silap. Tapi jangan risau sebab hati dia baik. Kalau Afifa tak buat silap, tak ada yang nak ditakutkan." Nabil menjawab masih dengan wajah yang ceria.

"Jangan percaya cakap Nabil ni. Apa-apa yang keluar dari mulut dia ni 20 peratus aje yang betul. Yang lain semua tipu."

Afifa mengangkat kepala ke arah suara yang tiba-tiba menyampuk perbualan mereka.

"Penyibuk betul kau ni." Nabil menjuihkan bibirnya tidak puas hati.

"Hai! Awak mesti PA baru tu, kan? Saya Halim Zahidin. Boleh panggil Halim. Nak panggil Abang Halim pun boleh."

Nabil menunjukkan gaya hendak termuntah apabila Halim memperkenalkan dirinya. Afifa hanya tersenyum.

"Nama saya Afifa Fitiya. Sila beri tunjuk ajar." Afifa menjawab tenang walaupun dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu. Siapa sangka lelaki yang merempuhnya di hadapan pejabat itu ialah presiden Black Knight.

Perbualan mereka terhenti apabila Abid muncul di sebalik pintu bilik Hanif. Afifa menggigit bibir bawah saat matanya bertembung dengan Abid.

"Dah waktu pejabat ni. Buat apa lagi kat sini? Mengamuk bos kat dalam tu nanti baru tau." Abid bersuara tegas saat terlihat Nabil dan Halim di hadapan meja Afifa.

"Mood bos tak okey ke?" tanya Halim berbisik.

Abid hanya menganggukkan kepala. Pantas mereka berdua melangkah ke tempat masing-masing selepas mendengar jawapan Abid.

"Afifa, masuk bilik saya sekejap." Abid memberikan arahan sebelum melangkah ke biliknya.

Afifa sempat mengerling ke arah bilik Hanif sebelum mengekori Abid.

"Cuba Afifa beritahu saya apa yang jadi antara awak dan Hanif." Abid terus bersuara sebaik sahaja Afifa melabuhkan duduk. Afifa menelan liur sebelum memulakan bicara.

"Sebenarnya, hari saya datang interviu kat sini saya ada terserempak dengan Encik Hanif kat depan pintu utama Black Knight." Afifa memberhentikan bicara seketika.

"Terserempak aje?" Abid menyoal setelah melihat Afifa seakan-akan teragak-agak untuk meneruskan kata.

"Kami berlanggar kat depan tu. Air kopi yang Encik Hanif pegang tertumpah atas tangan saya. Mungkin ada terpercik sikit kat baju Encik Hanif." Afifa membiarkan pandangannya jatuh ke lantai. Kedua-dua tangannya digenggam kejap.

Tangan kanan Abid bermain-main dengan janggut di dagu. Fikirannya kembali melayang pada hari interviu Afifa. Dia masih ingat tangan Afifa yang merah. Pasti akibat dari kopi panas yang tertumpah.

"Hanif cakap awak tak minta maaf pun lepas berlanggar dengan dia. Awak lawan dia lagi ada la." Abid bersuara tenang.

"Saya pasti bukan saya yang langgar dia. Tapi dia yang langgar saya dulu. Lepas tu dia tengking saya. Macam mana saya tak marah?" Afifa menekup mulutnya apabila menyedari yang dia sudah terlanjur kata. Dia cuba menelan liur tetapi terasa tersekat di kerongkong.

"Encik Abid, tolong jangan buang saya. Saya betul-betul nak kerja kat sini. Saya sanggup buat apa saja asalkan Encik Hanif maafkan saya." Afifa bersuara separuh merayu. Dia sudah penat melangkah ke sana ke mari mencari pekerjaan. Black Knight satu-satunya syarikat yang sudi mengambilnya bekerja.

"Saya takkan buang awak sebab saya tak suka campur urusan peribadi dengan kerja. Tapi Hanif tu lain sikit. Saya rasa awak dah dengar daripada Nabil dengan Halim tadi kan macam mana perangai Hanif?" Abid menyoal tenang.

Afifa mengangguk lemah. Jika Nabil tidak memberitahunya pun, dia sudah dapat mengagak. Mana kan tidak, dia ditengking sebegitu rupa hanya kerana menumpahkan kopi.

"Betul awak sanggup buat apa saja?" Abid memandang anak mata Afifa mahukan kepastian dari gadis kecil molek itu.

"Betul, Encik Abid. Saya janji." Afifa mengangkat tangan kanannya seakan-akan bersumpah.

"Baiklah, saya tak akan buang awak. Tapi awak kena tahan walau macam mana pun Hanif layan awak. Yang penting, jangan sekali-kali melawan. Awak kena ambil hati dia. Buat dia lupa apa yang dah jadi antara awak berdua. Caranya, buat semua kerja dengan baik. Jangan buat silap. Make sure everything's perfect. No mistake allowed. Faham?" Abid berbicara panjang.

"Faham, Encik Abid!" Afifa menjawab dengan penuh semangat.

Abid tersenyum kecil melihat kesungguhan Afifa.

"Awak boleh balik ke tempat awak. Pukul sepuluh pagi kita ada meeting. Jumpa kat bilik meeting kat tingkat dua nanti. Jangan lupa." Abid memberi arahan tegas sambil mula membuka fail di atas meja.

"Baik, Encik Abid. Terima kasih." Afifa bangun dari duduk dan mula mengatur langkah keluar dari bilik Vice President Black Knight.

Abid menghantar langkah kaki gadis itu dengan ekor mata. Tanpa sedar, sekali lagi terukir senyuman di bibir.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro