Bab 3
Afifa melipat telekung dan sejadah setelah selesai menunaikan solat maghrib. Dia kemudian berbaring di atas katil bujangnya.
Matanya memandang kipas siling yang berputar ligat. Badan yang letih menyebabkan matanya kian memberat. Perutnya yang berkeriuk tidak diendahkan.
Apabila badan sudah letih, dia lebih rela tidur daripada mengisi perut. Baru sahaja dia ingin terlelap, telefon pintarnya menjerit minta diangkat. Afifa pantas mencapai telefon pintar di atas meja sisi katil. Dia bingkas bangun apabila melihat nama yang amat dirinduinya tertera di skrin.
"Abahhh..." Afifa menjawab separuh menjerit. Hilang terus kepenatan yang dirasainya tadi.
"Terkejut abah. Salam mana salam?" Suara Pak Cik Hamid di hujung talian kedengaran memerli.
"Assalamualaikum. Sorry, excited sangat sampai lupa nak bagi salam." Afifa tertawa kecil mengingati keterujaannya tadi.
"Waalaikumussalam. Afifa ada kat rumah ka?"
"Ada ni ha. Baru sudah sembahyang maghrib. Abah sihat?"
"Sihat. Abah kat depan rumah Afifa ni."
"Ha? Abah biaq betui?" Afifa pantas menghampiri tingkap bilik. Hampir sahaja dia melompat apabila melihat Toyota Hilux abahnya yang terparkir kemas di hadapan pagar rumah.
"Abah ni, awat tak habaq nak mai? Sat Afifa turun." Afifa berlari mencapai kardigan dan tudung yang memang sedia tergantung.
"Pakai elok-elok sikit. Abah nak bawa Afifa pi makan."
"Okey. Tunggu sat. Sat lagi Afifa turun. Tunggu sat na." Afifa mematikan talian dan menyarungkan tudung bawal ke kepala. Dia sempat melihat pantulan dirinya di cermin sebelum berlari anak menuruni anak tangga.
Setelah memastikan pintu rumah dan pintu pagar dikunci, Afifa meloloskan diri ke ruang penumpang di sebelah pemandu. Dia pantas menyalami tangan tua abahnya dan memeluk tubuh abahnya erat.
"Afifa rindu sangat kat abah." Afifa bersuara manja. Abahnya itulah satu-satunya ahli keluarga yang dia ada.
"Tu la, abah suruh kerja dengan abah aja tak mau. Nak juga cari kerja sendiri." Pak Cik Hamid bersuara setelah anaknya merungkai pelukan yang bertaut.
"Ala, Afifa nak belajaq berdikari juga, abah. Kan abah juga selalu pesan kat Afifa, biaq kita berjaya dengan usaha kita sendiri. Jangan berharap kat orang." Afifa menjawab panjang.
"Anak abah ni kalau dah berhujah tak boleh kata apa dah." Pak Cik Hamid menggeleng-gelengkan kepala mendengar celoteh anak daranya itu. Afifa hanya tersengih.
"Kita nak pi makan kat mana, abah?" Afifa menyoal setelah kereta abahnya mula meninggalkan kawasan perumahan yang dihuninya.
"Abah nak bawa Afifa pi makan steamboat. Abah tau anak abah suka steamboat, kan?" Pak Cik Hamid bersuara lembut.
"Yeayyy. Saaayang abah."
Pak Cik Hamid tertawa kecil mendengar suara lentok Afifa. Ke mana lagi dia hendak curahkan kasih sayangnya jika tidak pada anak tunggalnya itu? Dia rela korbankan diri dan jiwanya asalkan Afifa bahagia.
Afifa Fitiya berjalan menelusuri tasik yang terbentang luas. Tangannya kejap digenggam oleh abahnya.
"Abah pimpin tangan Afifa macam Afifa ni budak tadika. Afifa dah besaq la." Afifa bersuara mengusik. Hakikatnya, dia gembira kerana dimanjai oleh abahnya sebegitu.
"Bagi abah, Afifa tetap baby girl abah walaupun Afifa dah tua berjanggut sekalipun." Pak Cik Hamid bersuara selamba.
"Apa pula berjanggut abah ni?" Afifa menampar bahu abahnya lembut. Keheningan malam dipenuhi dengan gelak tawa mereka dua beranak.
Buat seketika, hanya kesunyian menyelubungi mereka. Sesekali terdengar bunyi cengkerik menghiasi malam. Dari kejauhan, Afifa dapat melihat sebuah keluarga yang bergelak ketawa kegembiraan. Hatinya tiba-tiba sebak. Bayangan wajah ibunya bermain dalam minda. Alangkah bahagianya dia jika ibunya juga berada di sisinya saat ini.
"Afifa rindu ibu?" Suara lembut abah mengembalikan dirinya ke alam nyata. Abah memang pandai membaca fikirannya. Rasa bersalah mula menyelubungi diri.
"Afifa minta maaf, abah." Afifa membiarkan pandangannya jatuh ke lantai.
"Jom duduk kat situ." Pak Cik Hamid menarik tangan anaknya ke arah kerusi kosong di bawah sebatang pokok yang merendang. Afifa hanya menurut. Mereka sama-sama melabuhkan duduk dan membuang pandang ke tasik yang luas terbentang.
"Awat Afifa nak minta maaf dengan abah? Tak salah pun Afifa nak ingat kat ibu." Pak Cik Hamid bersuara tenang.
"Afifa tau. Tapi Afifa rasa bersalah dengan abah. Sepatutnya Afifa kena bersyukur yang Afifa masih ada abah. Afifa tak patut tunjukkan rasa sedih Afifa kat abah." Afifa sedaya upaya cuba menahan air mata dari turun ke pipi.
"Kalau Afifa rindukan ibu, tak semestinya Afifa tak bersyukur, kan?" Pak Cik Hamid menggenggam tangan anaknya kejap. Afifa melepaskan keluhan.
"Abah pun selalu rindukan ibu. Itu fitrah manusia. Kita memang tak boleh elak. Ingat dak lagi apa pesan abah tiap kali Afifa rindu ibu?" Kali ini, Pak Cik Hamid memandang tepat ke dalam mata anaknya.
"Tiap kali rindukan ibu, baca al-Fatihah dan doakan untuk ibu kat sana." Afifa menjawab lancar.
"Pandai pun." Pak Cik Hamid mencuit hidung Afifa.
Afifa hanya tersenyum sebelum kembali membuang pandang ke tasik. Lama mereka hanya diam sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah.
"Abah tengok apa tu?" Afifa menyoal apabila melihat mata abahnya yang tertancap ke arah sebatang pokok yang terletak di tebing tasik.
"Abah tengok lelaki tu. Tiba-tiba abah teringat seorang anak muda yang abah jumpa kat masjid tadi."
"Kenapa dengan lelaki tu?" Afifa bertanya ingin tahu.
"Masa abah nak masuk masjid tadi, abah nampak seorang anak muda ni dalam kereta. Lama dia tengok masjid dari dalam kereta dia. Abah pun ajak la dia masuk solat. Dia suruh abah masuk dulu. Tapi elok abah sampai kat tangga masjid, anak muda tu terus bawa kereta dia laju tinggalkan masjid. Tapi ada sesuatu yang abah nampak dalam mata dia." Pak Cik Hamid bercerita panjang.
"Abah nampak apa?" Afifa menyoal ingin tahu.
"Tak tau la. Bila abah tengok mata dia, abah rasa sedih sangat."
"Tak semua orang hidup bahagia macam kita, kan? Afifa bersyukur dengan hidup Afifa walaupun tanpa seorang ibu. Sebab Afifa ada abah yang penyayang." Afifa meluahkan isi hatinya ikhlas.
"Betul tu, Afifa." Matanya masih tertancap pada figura seorang lelaki di bawah pokok.
"Afifa mula kerja esok, kan?" Pak Cik Hamid mengubah topik perbualan.
"Ya, abah." Afifa menjawab pendek. Dia menerima panggilan semalam yang dia diterima bekerja di Black Knight Home Design. Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya dia saat mendengar berita itu. Pencariannya akhirnya berakhir juga.
"Jom la balik. Dah lewat ni. Afifa kena buat persediaan untuk hari pertama esok. Jangan nak main-main lagi..." Pak Cik Hamid mula bangun membetulkan urat yang berselirat.
"Okey. Jom." Mereka mula melangkah menuju ke kereta. Afifa sempat berpaling ke arah figura lelaki di tepi tasik tadi sebelum melajukan langkah membuntuti abahnya.
Nazhirul Hanif membuang pandang ke tengah tasik yang hitam diselubungi gelap malam. Sesekali air tin Coca Cola di tangan diteguk perlahan. Keluhan dilepaskan dengan harapan segala tekanan perasaan yang ditanggung boleh terhambur keluar bersama.
Air tin yang masih berbaki sedikit diteguk habis. Kali ini, dia membuang pandang pada manusia yang masih berkeliaran di sekitar tasik walaupun sudah hampir tengah malam.
Matanya jatuh pada pasangan yang sedang bergelak tawa dan bermesra. Mereka seakan-akan berada di dalam dunia mereka sendiri. Langsung tidak mempedulikan mata manusia-manusia yang memandang dengan pelbagai bentuk pandangan.
Dia tidak tahu apa yang dirasakan pasangan itu memandangkan dia tidak pernah bercinta. Hanif tersenyum sinis mengherdik dirinya sendiri. Sudah hampir 30 tahun dia hidup di dunia ini, tapi hidupnya seakan-akan tidak bermakna.
Tidak pernah sekali dia merasa bahagia sejak peristiwa yang menimpa ibunya. Mungkin jika ada yang bertanya padanya apa maksud bahagia, lidahnya pasti akan kelu untuk memberikan jawapan. Dia sudah lupa apa rasanya bahagia. Perkataan bahagia seakan-akan tidak lagi wujud dalam kamus hidupnya.
Matanya terdorong pula pada sebuah keluarga yang riang bergelak ketawa. Si ayah dan si ibu kelihatan begitu gembira melihat dua anak lelaki mereka berkejaran di sekeliling sebatang pokok.
Terukir senyuman nipis di bibirnya. Dulu, dia juga riang seperti kanak-kanak itu. Dia masih ingat dengan jelas senyuman di bibir ibunya saat melihat satu-satu anak lelakinya bermain dengan girang.
Waktu itu, dia langsung tidak menyangka yang bahagia yang dirasainya cuma dipinjamkan untuknya buat sementara. Dia menyeka air mata yang sejak tadi membasahi pipi.
Dia tidak tahu sudah berapa banyak air matanya yang tumpah. Dia sering bertanya kenapa dia? Kenapa dia yang harus menanggung semua ini? Kenapa? Namun, sehingga kini tiada jawapan yang diterimanya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro