Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Nazhirul Hanif melangkah masuk ke ruang restoran makanan Itali yang tersergam di hadapannya. Dia disambut dengan mesra oleh pelayan restoran mewah yang setia menunggu di hadapan pintu restoran.

Seketika kemudian, pelayan itu membawanya ke meja yang telah siap ditempah untuk janji temu dengan pelanggannya. Dia sempat membetulkan blazer dan tali leher sebelum melabuhkan duduk di salah satu kerusi meja bulat berkerusi empat itu.

Dia perlu tampil kemas untuk meyakinkan pelanggannya dengan kredibilitinya sebagai presiden merangkap designer utama Black Knight.

Tambahan pula, pelanggannya kali ini bukan calang-calang orang. Beliau merupakan CEO sebuah syarikat pelancongan terkenal di Malaysia.

Jika dia berjaya mendapatkan projek kali ini, besar kemungkinan syarikatnya akan lebih dikenali ramai. Dia tidak boleh sia-siakan peluang yang mungkin datang cuma sekali seumur hidup. Seketika kemudian, seorang pelayan membawa segelas air kosong bersama menu di tangan.

"Sekejap lagi saya oder makanan."

Pelayan itu hanya menganggukkan kepala sebelum berlalu meninggalkan mejanya. Hanif melihat jam di tangan. Jam sudah menghampiri pukul 5.15 petang. Pelanggannya itu sudah lima belas minit lewat dari janji mereka.

Hanif meneguk air kosong di atas meja. Nafas ditarik dan dihembus beberapa kali untuk menghilangkan rasa gugup. Walaupun sudah beratus kali dia bertemu dengan client syarikatnya, tetapi dia masih belum dapat menghilangkan rasa gemuruh setiap kali bertemu mata dengan mereka.

Matanya ditebarkan ke sekeliling restoran yang agak lengang. Sesekali dia membuang pandang ke pintu utama restoran. Namun, kelibat pelanggannya masih belum kelihatan. Sekali lagi, Hanif melihat jam. 5.30 petang. Dia kian resah. Air kosong diteguk lagi. Kemudian gelas yang masih berbaki suku air kosong diletak kembali ke atas meja.

"Hanif."

Hanif mengangkat kepala apabila mendengar namanya dipanggil. Berubah air mukanya apabila melihat figura di hadapannya itu. Dia mendengus kasar. Lain yang ditunggu lain pula yang muncul.

"Kau buat apa kat sini? Aku tak sangka kau mampu nak makan kat sini. Maklum la syarikat kau tu kecil aje." Lelaki di hadapannya itu tersenyum sinis.

Naim Haikal. Anak ayahnya dengan isteri pertama. Juga punca pertelingkahannya dengan ayahnya sendiri. Dan musuh utamanya.

"Kau tak payah nak sibuk hal aku." Hanif membalas kasar. Dia sedaya upaya cuba mengawal perasaan. Bimbang jika terbawa-bawa ketika berurusan dengan pelanggannya nanti.

"Kau tak payah nak sombong sangat dengan aku. Aku kan abang kau." Naim bersuara lagi dengan nada memerli. Dia sengaja menekan perkataan abang.

Hanif melepaskan nafas lega apabila Naim mula mahu melangkah meninggalkannya.

"Oh, lagi satu. Kau yakin Dato Zainal datang hari ni?" Naim sempat berbisik ke telinga Hanif sebelum melangkah pergi bersama tawa kecil.

Hanif terpaku seketika. Otaknya ligat memikirkan apa yang dimaksudkan Naim tadi. Hatinya mula dilanda resah. Jam juga sudah menunjukkan pukul 5.50 petang. Hanif menelan liur yang terasa berpasir.

Bunyi deringan telefon pintar di atas meja mengembalikannya ke alam nyata. Dia pantas menekan butang jawab apabila melihat nama Dato Zainal yang tertera di skrin.

"Encik Hanif, saya minta maaf. Saya tak boleh tandatangan kontrak ni dengan Encik Hanif." Sebaris ayat yang keluar dari mulut Dato Zainal seakan-akan memberhentikan degupan jantungnya.

"Tapi kenapa, Dato? Sekurang-kurangnya Dato perlu bagi alasan yang kukuh kenapa Dato tak boleh berurusan dengan saya." Hanif cuba sedaya upaya menenangkan perasaan walau hakikatnya hanya Tuhan yang tahu isi hatinya saat ini.

"Saya minta maaf. Kalau saya tandatangan kontrak dengan Encik Hanif, pelabur terbesar syarikat saya akan tarik diri. Saya tak sanggup ambil risiko." Dato Zainal menerangkan panjang.

"Baik, saya faham. Tapi boleh saya tahu siapa pelabur tu?" soal Hanif.

"Saya minta maaf, Encik Hanif."

Tanpa sempat Hanif menyambung kata, Dato Zainal terlebih dahulu mematikan talian. Hanif menghempas telefon pintarnya di atas meja. Dia meraup wajah dengan kedua-dua belah tangan. Tiba-tiba kata-kata Naim Haikal kembali terngiang di telinganya.

"Kau yakin Dato Zainal datang hari ni?"

Dia masih ingat dengan jelas senyuman sinis dan tawa mengejek Naim. Dia yakin ini semua angkara Naim. Bukan sekali lelaki itu mencuri pelanggannya. Semua pelanggan dari syarikat besar yang ingin berurusan dengan Black Knight pasti akan membatalkan urusan pada saat akhir.

Hanif mencapai fail dan telefon pintar di atas meja dan melangkah longlai meninggalkan restoran. Walau langkahnya berat, namun digagahkan juga. Setelah enjin kereta dihidupkan, dia terus menekan pedal minyak. Toyota Vios biru gelapnya laju meluncur membelah jalan raya.

Hanif terus memandu tanpa hala tuju sebelum berhenti di bahu jalan. Dia merenung jauh ke langit yang mula memerah. Lama dia membuang pandang ke arah matahari yang sedang terbenam.

"Allahuakbar! Allahuakbar!"

Laungan kalimah agung yang mengetuk gegendang telinganya mengembalikan Hanif ke alam nyata. Baru dia perasan yang keretanya berhenti betul-betul di hadapan sebuah masjid yang tersergam indah. Terasa tenang hatinya saat mendengar kalimah itu di telinganya. Matanya dipejamkan rapat sehingga habis azan dilaungkan. Kelihatan para jemaah mula membanjiri kawasan masjid.

Hanif melepaskan keluhan. Sudah lama dia tidak ke masjid. Apatah lagi menunaikan solat. Bila kali terakhir dia solat juga sudah tidak diingati. Mungkin ketika dia masih kecil dan masih tinggal dengan ibu kandungnya.

Ketika usianya menginjak sepuluh tahun, ibunya dimasukkan ke hospital sakit jiwa disebabkan kemurungan. Sejak itu, dia tinggal dengan ayah, ibu tiri dan abangnya. Sepanjang dia hidup di rumah mewah itu, tidak sekali pun dia lihat salah seorang daripada mereka menunaikan solat, apatah lagi ke masjid.

Ketukan di tingkap kereta mengejutkan Hanif dari ingatan silamnya. Dia menurunkan cermin kereta apabila melihat seorang lelaki separuh abad yang lengkap berbaju Melayu dan berkopiah putih tersenyum ke arahnya dari luar tingkap kereta.

"Assalamualaikum." Lelaki itu menghulurkan salam ke arah Hanif.

"Waalaikumussalam." Hanif menjawab sopan sambil menyambut huluran salam lelaki itu.

"Anak buat apa dalam kereta ni? Jom solat maghrib jemaah. Dah lama dah azan." Lelaki itu mengajak lembut. Senyuman tidak lekang dari bibir.

"Tak apa, pak cik masuk dulu. Kejap lagi saya masuk." Hanif tersenyum hambar. Takkan dia ingin mengaku yang dia tidak tahu solat? Memalukan diri sendiri sahaja.

"Jangan lama-lama sangat. Imam dah nak mula dah tu. Pak cik masuk dulu." Lelaki itu mula melangkah ke arah masjid. Hanif menghantar lelaki itu dengan pandangan mata sebelum memecut kereta meninggalkan pekarangan masjid serentak dengan laungan iqamat daripada bilal masjid.

Naim Haikal menghempas punggung di atas kerusi empuk bilik pejabatnya. Kunci kereta di tangan dipusing-pusingkan mengikut rentak siulan yang keluar dari bibirnya.

Tiba-tiba, dia melepaskan tawa kuat. Dia masih ingat wajah Hanif saat dia keluar dari restoran makanan Itali tadi. Dia sengaja menunggu di dalam kereta untuk melihat sendiri reaksi wajah Hanif selepas mendapat tahu Dato Zainal tidak mahu menandatangani kontrak dengannya. Puas hatinya kerana dapat mengenakan Hanif, lelaki yang amat dibencinya itu.

Dia masih ingat dengan jelas ketika kali pertama ayahnya membawa pulang Hanif dan isteri keduanya ke rumah. Waktu itu usianya baru mencecah 10 tahun. Seperti hari-hari sebelumnya, dia begitu gembira bermain di halaman rumah dengan mamanya sementara menunggu ayahnya pulang dari kerja.

Dia sudah tidak sabar untuk menunjukkan markah peperiksaan matematik kepada ayahnya. Pertama kali dia mendapat markah penuh. Dia ingin menuntut robot mainan yang telah dijanjikan oleh ayahnya.

Dia berlari keriangan ke arah BMW putih ayahnya apabila kereta itu memasuki pekarangan rumah. Tetapi lariannya terhenti apabila melihat seorang wanita dan seorang budak lelaki yang kelihatan lebih muda daripadanya keluar dari perut kereta ayahnya.

Saat ayahnya memperkenalkan wanita itu sebagai isteri keduanya, air mata membasahi wajah mamanya. Pertama kali dia melihat wanita kesayangannya itu menangis di hadapannya.

Dan sejak itu, tiada lagi kegembiraan di dalam rumah itu. Sejak itu juga, dia membenci Nazhirul Hanif dan ibunya. Dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan lelaki itu tidak bahagia.

Dia benci dengan senyuman lelaki itu. Dia benci kerana kemunculan lelaki itu telah meragut kebahagiaan yang dikecapinya selama 10 tahun. Dan dia akan terus membenci lelaki itu selagi dia masih bernyawa. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro