Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Tiga: Mimpi Ngeri

Kawasan petempatan atas air yang berbau, dipenuhi sisa pelepah dan sampah. Kisyanna terkekek ketawa mengekori kanak-kanak yang melayang gembira di langit. Dia terlupa cara mengeluarkan sayap, menyentuh belakang beberapa kali. Hanya untuk beberapa saat, lalu sepasang sayap kecil keluar.

Bukan main seronok lagi Kisyanna melompat-lompat mengikuti kumpulan yang semakin jauh. Sayapnya masih janggal untuk membawa Kisyanna terbang melainkan melompat tinggi.

Sedar-sedar sahaja, si kecil itu sudah memijak tanah. Keluar daripada kawasan setinggan. Teruja berlari ke kawasan jalan yang sesak dengan pedati.

Lambat-lambat, Kisyanna berhenti. Dia diam memerhati langit. Tersedar bahawa kumpulan tadi telah hilang. Sayapnya terus melebur menjadi cahaya dan menghilang.

Kisyanna memanggil, "Bu?"

Dia memerhati ke sekitar, bingung melihat pedati gergasi yang melintas jalan.

"Yah?" panggilnya lagi.

Manusia-manusia aneh-tanpa mata seruncing Eyzek, Ibu dan Ayah-terus memerhatinya dengan tatapan asing. Apatah lagi pertuturan mereka lebih ganjil apabila berkata sesuatu sambil melihat Kisyanna.

"Kakanda?" Kisyanna sudah hampir menangis. Beberapa kali dia berpusing pun, tiada wajah yang dikenali pun yang dijumpai.

Semua penduduk hairan melihat Kisyanna menangis dalam bahasa aneh sambil berjalan sendirian. Bingung berjalan di gerai makan dan kedai cenderahati. Melihat mata Kisyanna yang berbeza, mereka memalingkan wajah. Ah, orang terbuang. Bukan perkara biasa mereka berkeliling mengemis wang.

Tanpa dijangka, bumi bergegar kuat bagai tiupan sangkakala. Kisyanna terjatuh tidak mampu mengawal langkah. Pedati dan gerabak berhenti mendadak. Bumbung mula runtuh menimpa jalan.

Salah seorang berteriak, "Apa yang jadi?"

Bangunan dan menara yang gah menjulang ke langit, meretak.

Robohlah binaan menimpa mangsa yang malang. Tanah bergoncang kuat sehingga mereka tidak mampu berdiri. Runtuhan bangunan mula tenggelam ditelan bumi. Ramai yang cuba lari, namun tanah menarik mereka jatuh ke dalam lubang kematian.

"Pergi! Ke tepi!"

"Mana anak aku?"

"Keluarga aku dalam bangunan itu!"

Ngeri. Kisyanna takut mendengar jeritan demi jeritan cemas. Tuah menyebelahi Kisyanna apabila tanah yang dipijak tidak bergegar sekuat tempat lain.

Awan hitam bergelora perlahan menyelubungi langit, membelenggu cahaya mentari daripada menyentuh alam. Kegelapan menyelubungi Sahmera.

Samar-samar, cahaya kecil menyentuh Kisyanna. Pelepah putih berjatuhan bagai salji.

Kisyanna mendongak.

Alam yang dinodai hitam mula disucikan dengan secercah cahaya sayap Arnasyaz. Mereka beramai-ramai terbang menyelamatkan diri, mengelak daripada tenggelam bersama Sahmera.

Salah sehelai pelepah itu terbang jauh, ditiup angin, melepasi raksasa api yang marak, bangkai-bangkai yang menggelegak panas, lalu menyentuh rambut seseorang yang terbaring di tengah jalan. Erangannya terlepas. Dia memaksa diri untuk bangkit, menolak serpihan kayu dan zink yang jatuh sebentar tadi.

"Eyzek, kau dengar aku?" Suara Nuray bergetar risau.

Eyzek meringis sakit. Dia memegang kepala yang berdenyut kuay. Cecair hangat mengalir dari dahi, lalu menitis ke lantai. Pening.

"Kepala kau berdarah!" tegur Nuray, sewaktu Eyzek memaksa diri untuk bingkas. Dia hampir terpijak paku dan kayu tajam yang berselerakan.

Padahal, baru sahaja tadi Eyzek duduk di meja kerja dengan bau dakwat yang kuat. Sekelip mata sahaja, gegaran luar biasa menyerang. Eyzek tidak sempat menjerit apabila sesuatu yang berat menghentam dirinya. Tuhan membantunya kali ini-kerana itu, dia masih hidup.

"Hei, celaka! Datang sini tolong aku!" Jerkahan ketua dari belakang, menyentakkan remaja itu.

Wajah lelaki tua itu berkerut-kerut merah menahan sakit. Nafasnya terputus-putus. Sumpahan kesat dilempar tidak menentu. Kedua-dua kaki ketua ditindih mesin cetak yang berat. Bau besi becampur dengan darah dan abu. Menyengat.

Sekali lagi, si ketua memekik, "Kau jangan buat-buat pekak! Datang sini! Kalau tidak, siap kau!"

Eyzek meneguk liur. Hatinya meronta-ronta untuk mencari jalan pulang, tetapi suara ketua sentiasa membuatkan dirinya terkaku dibelenggu takut. Tidak pernah ada sesuatu yang baik keluar daripada lelaki itu, walaupun di saat-saat ini.

Nuray memanggil, "Kau mahu... tolong ketua, Eyzek?"

Liur kelat diteguk. Ragu-ragu.

Eyzek berundur beberapa tapak, lalu bergegas meninggalkan lelaki tua itu. Jeritan dan makian dilontarkan kepada Eyzek, sehinggalah dentuman kuat melenyapkan segala-galanya.

Apabila Eyzek menoleh, kelibat ketua dan kedai cetak tidak kelihatan lagi. Hilang ditimpah sisa menara bangunan sebelah.

Mata Eyzek bergenang dengan gerun yang menyerang. Dia menyambung larian, enggan berpaling ke belakang.

Di setiap langkah larian Eyzek, bumi terus bergoncang, sebelum satu demi satu menara dibangkitkan daripada tanah. Debu-debu berterbangan menyesakkan nafas. Benteng gergasi keluar bagai sakti, membina sempadan di seluruh Sahmera. Ukiran yang dipahat begitu asing, dengan binaan yang diperbuat daripada batuan hitam yang berkilauan.

Rumah mereka hilang daripada pandangan, lenyap dibakar api sewarna lembayung. Mayat-mayat memenuhi saliran air yang membusuk. Lemas. Eyzek tidak mampu bernafas. Air mata tidak berhenti mengaburi pandangan.

Untuk kali pertama di dalam hidup, dia menyaksikan ribuan manusia bersayap hitam yang menguasai langit. Berpusu-pusu keluar daripada lubang-lubang bumi. Segerombolan serigala hitam dan Sang Semberani-yakni kuda bersayap sewarna malam-menerjah keluar ke dunia atas.

Semua satwa itu ditunggang serdadu yang mencari mangsa di atas tanah. Ramai yang menikam mayat dengan tombak, lalu menyeret mangsa di atas jalan. Arnasyaz pula ditangkap. Sayap mereka dilibas kejam.

Eyzek diam-diam bersembunyi di sebalik timbunan batu. Pandangan dihala ke puncak kegelapan-merenung kedua-dua kelibat yang menjadi saksi.

Sang Permaisuri dan Sang Putera Mahkota.

Kelubung hitam dan lembayung melitupi diri kedua-duanya bersama pelbagai perhiasan juita. Topeng berenda labuh menutupi wajah, menyelubungi pemimpin dengan dingin.

Sang Putera Mahkota tenang memaut lengan bonda di sisi, mengepakkan sayap dengan anggun. Betapa gembiranya anakanda itu memimpin bonda ke dalam taman, bercerita mengenai kisah-kisah kehancuran yang terjadi kepada bangsa manusia luar.

Demi Tuhan-Segala pujian Eyzek dicurahkan tanpa sedar-pelepah hitam yang berkilat itu, mengingatkannya akan sutera yang disulam penuh kasih daripada langit. Dongeng yang selalu dinyanyikan ibu sebelum tidur suatu masa dahulu.

"Andai bonda mampu melihat, pasti bonda gembira dengan hadiah ini," ucap Azazel, menikmati aroma api, tangisan dan walang. Suatu ganjaran yang tidak harus dilupakan selamanya.

"Bonda tidak perlukan mata lagi jika mendengar kamu bercerita." Nazura tersenyum. "Apa yang berlaku dengan istana dan seisi keluarga diraja mereka, Azazel?"

"Mereka mendapat sedikit penghargaan kerana berikan empayar ini kepada kita." Azazel memimpin bondanya berjalan di langit, melepasi istana yang terbakar bersama kepala-kepala yang tergantung di tiang bendera Sahmera. "Hanya badan mereka yang akan kembali kepada bumi. Kepala mereka menjadi hadiah kepada langit."

"Pengakhiran yang bahagia." Wanita itu tersenyum, lantas mengeluh, "Tempat ini sesak. Terlalu banyak serangga yang berterbangan."

"Jika bonda mahukan ruang," ucap Azazel, melirik Arnasyaz yang berusaha meloloskan diri daripada serdadu Syalis, "anakanda kesayangan bonda ini boleh tunaikan."

Dengan sekali petikan jari Azazel, bunyi libasan dahsyat menggegarkan alam.

Kisyanna yang berlari tiba-tiba jatuh terduduk. Seolah-olah tubuhnya melayang sesaat, sebelum terjatuh menghempas tanah. Dia menekup telinga sambil menjerit memanggil Ibu.

Sebilah rona merah menyala, terbentang luas di angkasa, membelah langit menghancurkan alam. Lolongan dan teriakan Arnasyaz digantikan hujan.

Bunyi teriakan penduduk Sahmera bergempita.

Perlahan, Kisyanna mencelik. Mengintai punca ketakutan yang membahana.

Nafasnya tersekat. Matanya membulat apabila merenung tangan yang dibasahi rintik hujan.

Merah.

"Kisyanna!"

Sebaik sahaja dia menoleh, seseorang mendakapnya erat.

Eyzek yang baru tiba, menggosok belakang Kisyanna dengan tangan menggigil. Pucat. Wajahnya menyentuh ubun-ubun Kisyanna apabila mengulang serak, "Kakanda di sini...."

Kisyanna tercebik-cebik dengan mata berair, lalu meraung sepuas hati. Dia menyembamkan wajah pada pakaian Eyzek. Semakin runtun jiwa Eyzek apabila adindanya masih menggeletar kuat dengan kesan luka di sini-sana.

Eyzek membiarkan sayapnya keluar, menyelimuti Kisyanna dengan gebar hangat. Melindungi adindanya daripada sisa nyawa yang jatuh tidak berhenti. Tiada air mata Nuray yang mengalir, melainkan netra lazuardinya yang mendakap kelam. Dipagari dengan bangunan gergasi yang misteri, mayat-mayat yang bergelimpangan, dan segelintir yang berusaha menyembunyikan diri.

"Di mana lagi...," Eyzek hampir menggumam, "kita mesti pergi, Nuray?"

Nuray membalas, "Aku tidak tahu."

Eyzek mengetap kuat. Jiwanya kosong dibiar melompong, apabila sedar akan suatu hakikat-mereka sudah tiada apa-apa lagi.

Eyzek tersentak apabila bunyi kepakan sayap menyapa telinga. Angin panas menderu dari belakang, menyiram kuntum-kuntum hanyir lebih mekar. Sesuatu berguguran jatuh menimpa mereka, membangkitkan gelora gentar.

Pelepah hitam.

Seseorang melebarkan berpasang-pasang sayapnya yang besar, mendarat di bumi tanpa sebarang salam pertemuan. Berbeza dengan busana Sang Putera dan Permaisuri, susuk itu bersarungkan zirah perak dan kain putih. Rantai bergantungan di dada dan bahu, dengan sebilah pedang yang tersisip di pinggang.

Eyzek menarik Kisyanna berundur. Sebelah sayapnya dilebarkan menjadi pelindung yang rapuh. Mata-mata sayap itu merenung si pendatang penuh benci.

Eyzek menahan nafas. Bayang-bayang sayap hitam itu terlalu pekat, sehingga mampu melenyapkan cahaya Nuray.

Eyzek menjerkah, "Jangan dekat...!"

Ah, menjengkelkan sekali. Eyzek mencela dirinya yang tergagap. Terlalu gerun untuk menatap wajah yang diselubungi renda labuh. Apatah lagi susuk itu kekal mendiamkan diri persis boneka.

"Kau... kau pembunuh. Sebab kau... hidup kami hancur!" Eyzek tidak mampu mengawal air mata. "Apa lagi yang kau mahu...? Kau hancurkan rumah kami! Kau bunuh orang tidak berdosa! Kami sudah tiada apa-apa lagi!"

"Kalau kau mahu hidup," Pemuda itu menghalakan tangan ke arah mereka dan menyambung, "jangan lawan."

Aura sewarna lembayung terlepas daripada kuku sarung besinya, lalu merasuk salur nafas Eyzek dan Kisyanna. Anak muda itu terkaku. Pegangannya pada Kisyanna terlepas.

Langkahnya terhuyung-hayang, lalu dunia berputar laju. Sayapnya menghilang, sebelum Eyzek rebah didakap jalan dan abu.

Rasa kantuk yang luar biasa menerjah anak muda itu. Lolongan serigala dan Sang Semberani bertukar hening. Tiada lagi suara Kisyanna dan Nuray kedengaran-atau mungkin mereka sudah jatuh ke dunia lain terlebih dahulu.

Kelopak mata Eyzek semakin berat.

Sayup-sayup, bahasa asing berbisik di dalam kesunyian, "Ifsasyasin."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro