Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Prolog

"Lari!"

Jantung si kecil itu berdegup kencang. Nafas tercungap-cungap menghirup asap tebal yang mencekik. Tiada lukisan indah yang terlakar di dunia melainkan api marak dan cebisan sayap di merata tempat.

Dia terjerit apabila sebuah lagi rumah meletus diserang panah berapi. Sayapnya terus dilebarkan menjadi pelindung. Beberapa helai pelepahnya gugur terluka digores tempias letupan.

"Eyzek!"

Namanya diseru. Seorang kanak-kanak perempuan berdiri di antara rona jingga yang menyala. Matanya terbeliak diserang panik apabila berteriak, "Belakang engkau!"

Kurang sesaat, sebilah pedang melibas sebelah sayap di belakang Eyzek. Rasa perit serta-merta menikam. Eyzek berteriak sakit, jatuh menampung diri dengan tangan. Percikan mawar jatuh ke tanah. Sebelah sayapnya terjatuh, lalu tanpa amaran, sebelah mata Eyzek turut berdarah.

Jiwa Eyzek dihempas ombak ketakutan. Dunia terasa ganjil. Dia tidak sempat terkejut, segera berpaling ke belakang.

Seorang serdadu berzirah perak keseluruhan, mengoyak seringai penuh makna. Sayap emasnya dilebarkan bersama pedang yang dijulang. "Berambus dari sini, sampah!"

Tanpa dijangka, kanak-kanak perempuan tadi merempuh musuh. Kuat, namun tidak cukup menjatuhkan lawan. "Pergi sekarang, Eyzek!"

Si kecil itu terundur beberapa tapak. Berbanding kesakitan tulang sayap belakang yang mencucuk, ketakutan luar biasa menguasai diri. Air matanya mengalir deras.

Gadis kecil itu mendakap erat tangan tentera itu sekuat hati. "Apa kau tunggu lagi? Larilah cepat!"

Tanpa menunggu, Eyzek berlari menyelamatkan diri. Sesekali dia tersadung, menuruni jalan berbukit, dan menyusup di antara sisa runtuhan-tiada sesiapa yang mahu ditangkap tentera bersayap emas itu.

Sekali lagi, Eyzek terjatuh. Hanya kali ini, angin lembut memujuknya bersama nyanyian langit.

Sepasang tangan menangkap tubuh kecil Eyzek. Erat. Selamat, malah lebih hangat daripada pelukan api yang kejam. Air mata Eyzek laju disapu angin yang menderu.

Dia tidak jatuh menimpa sisa-sisa yang tajam, melainkan jatuh ke dalam hamparan langit yang luas. Ibu bapanya mendakap Eyzek, membiarkan sayap-sayap mereka dilebarkan. Bulu-bulu pelepah gugur seperti salji di musim sejuk, bersinar terang disentuh Purnama yang terang.

Seluruh dunia mula menyaksikan butir-butir cahaya yang mengalir daripada kerajaan angkasa. Mata mereka membesar, terlopong dengan rasa kagum yang membuak-buak di dalam dada. Tetapi, masih ada yang mengalirkan air mata putus asa, terpukul dengan hakikat yang baru disaksikan dunia.

Mereka tahu, pembunuhan besar-besaran sedang berlaku.

Aneh.

Anak mata Eyzek semakin membesar, memantulkan api yang rakus melahap apa-apa sahaja.

Malam ini...

Eyzek membuka mata.

Remaja itu terjaga daripada lena, terbaring di atas bumbung rumah. Mimpi luar biasanya lenyap ditiup angin malam. Sebelah sayapnya mendakap seorang budak kecil di sisi sebagai gebar hangat-satu-satunya adinda perempuan Eyzek. Tiada lagi pelukan senja, melainkan renungan dingin langit yang bertatahkan gugusan bintang panas.

"Malam ini...."

Remaja itu tidak berkelip, terpaku menatap angkasa nan luas.

"Indahnya."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro