Lima: Dunia Bawah Tanah
"Kisyanna!" Eyzek menyelit di dalam keramaian dan menolak sesiapa yang menghalang. Mata-mata Nuray yang melingas mengejutkan yang lain. Lekas-lekas mereka berundur menjauhi Eyzek.
Alam bagai dicengkam bayangan hitam. Sempit. Sukar bernafas. Beberapa kali Eyzek menggosok kasar rambutnya. Air mata jatuh tidak berhenti. Suaranya semakin serak memanggil Kisyanna. Padahal warga Arnasyaz tidaklah seramai bangsa Yecenia di ruangan ini-menghairankan sekali, di mana Kisyanna?
Tidak lama, bukan sahaja Eyzek yang melaung cemas. Arnasyaz mengeluarkan sayap menghalau kegelapan. Orang Yecenia atau sesiapa pun mula memanggil saudara terdekat. Eyzek meneliti setiap kepak yang dikembangkan.
Air liur ditelan pahit.
Tiada sepasang sayap kecil di mana-mana.
"Tiada kanak-kanak di sini," nada Nuray perlahan.
"Tidak. Dia baru ada dengan aku tadi!"
"Mungkin," Nuray teragak-agak, "mereka asingkan kita semua."
"Tuhan...," esakan Eyzek terlepas. Jasadnya semakin layu, ingin rebah terbenam ke bumi. Dia merayu seraya meraup wajah, "Jangan biarkan mereka ambil dia."
Ada kekesalan apabila Nuray berucap, hampir tidak kedengaran. "Maaf, Eyzek...."
Tangisan Eyzek terhenti apabila bunyi batu yang bergeser menerjah suasana. Laungan dan jeritan bertukar hening. Tanah bergoncang kuat. Sisa pasir jatuh daripada atas, memedihkan mata.
Eyzek tersentak apabila cahaya samar-samar menyuluh daripada atas, menyentuh lantai yang dingin. Sayapnya disembunyikan.
Pada puncak lelangit yang maha tinggi, lohong tanah yang besar terbuka sendiri bagai pintu ke alam lain. Sekumpulan serdadu Syalis mengepak perlahan, mendarat di tanah bersama tombak besi dan pelita. Sekawan serigala hitam terjun di dalam keramaian, hampir sahaja kuku binatang itumencakar wajah Eyzek. Anak muda itu terjerit. Berundur bersama yang lain.
Serdadu Syalis itu dinaungi bayang-bayang malam, namun sinaran lembayung mereka yang runcing bagai membelenggu takdir manusia. Apatah lagi telinga mereka yang tajam, seakan-akan tempat mereka bukan di bumi.
Salah seorang serdadu melaung, "Ol'eri faga (Ikat mereka)."
Tentera Syalis yang lain menyahut, "Ya, Syeyn! (Baik, tuan!)"
Asap lembayung terlepas daripada tangan serdadu. Hanya sedetik yang diperlukan, dan asap itu bertukar menjadi tali tebal dan kuat, bergerak sendiri mengikat tangan Eyzek. Anak muda itu tersentak. Tali-tali itu bersambungan dengan mangsa yang lain bagai pesalah jenayah berat.
Beberapa serdadu memegang tali yang berbeza, menarik mereka jauh lebih dalam. Laungan Yecenia fasih bergema, "Sini!"
Mereka diheret kasar, hampir terjatuh memijak lubang-lubang yang menunggu diam. Beberapa mangsa ditunjal dengan belakang tombak. Obor api menyala di sepanjang dinding tanpa punca. Api yang jarang dilihat-biru dan ungu, sama seperti lumut yang bersinar di lorong gua. Daripada lantai berbatu, mula berubah menjadi tanah berlumpur.
Eyzek mengetap mulut. Jantungnya lemas. Ruangan ini semakin sempit dan mencekik. Mimpi buruknya di Sasyaltin kembali-manusia-manusia yang dipalang, sekumpulan Arnasyaz yang ditangkap, juga rusuhan besar di kota.
Dia merintih di dalam hati, Apa... apa akan jadi dengan aku nanti, Nuray?
Diam. Lalu Nurau menjawab, "Tidak tahu."
Mata Eyzek berair. Aku takut.
Jalan yang dilalui semakin cenuram. Eyzek terpaksa membongkok untuk memijak batu-batu kecil. Orang tua pula berpaut pada dinding, berkeringat mahu melalui laluan licin.
Tetapi, serdadu Syalis itu tidak diajar untuk bersabar.
"Cepatlah!" Seorang serdadu Syalis menendang belakang Eyzek.
"Ah!" Eyzek terlanggar orang hadapan, dan orang hadapan melanggar orang lain. Tali-tali di tangan menarik mereka semua bergolek jatuh menghempas lantai.
"Cuai!" Serdadu yang menendang Eyzek tadi, menjerkah di dalam Arnasyaz. Lancar. "Daripada menyusahkan orang, kenapa kau tidak mati sahaja?"
Eyzek tidak sempat berbuat sesuatu. Tiba-tiba sahaja sebatang palang besi sudah hinggap di kepala. Masa bagai berlalu dengan pantas. Gelap, dan sebaik sahaja dia mencelik, Eyzek sudah terbaring di tanah.
Dia berkelip-kelip. Merenung siling dengan fikiran kosong. Semua orang pula senyap-atau mungkin terpegun. Eyzek sedar, kepala dan badannya dingin. Dia mengangkat tangan, berkerut melihat debu halus bebas dari lengan yang berlebam. Luka kecilnya terkatup perlahan-lahan.
Serdadu Syalis yang lain tidak terkesan. Senyuman sinis ditarik. Semua terdiam apabila serdadu itu menjerkah tidak tentu fasal. Beberapa pemuda segera menarik Eyzek yang mamai, lekas-lekas menarik anak muda itu mengikuti barisan yang lain.
Mahu sahaja dia bertanya Nuray, tetapi sia-sia sahaja. Dia tahu Nuray bingung, kerana saudaranya itu tidak bersuara. Nampaknya, Nuray berusaha memahami kejadian aneh tadi.
Tentera Syalis masih menjerit-jerit dan memaki-hamun. Entah apa yang mahu dimarahkan pun, dia tidak tahu. Dia merenung tangannya yang tercemar dengan tanah, tetapi bersih daripada sebarang noda cedera.
Padahal, baru sahaja tadi dia melihat lebam kemerahan di lengan.
Bunyi bising membantutkan lamunan Eyzek. Sayup-sayup, ada suara kerumunan yang teruja. Kanak-kanak yang nyaring, juga orang dewasa yang berbicara lantang. Petanda jelas, bahawa laluan ini ada penghujungnya.
Tinggal selangkah, lalu Eyzek memijak tanah dunia luar.
Eyzek membulatkan mata, sewaktu Nuray bertanya, "Tempat apa ini?"
Perkara pertama yang menyambut mereka, ialah hamparan langit segelap dakwat tertumpah. Tiada bintang atau bulan yang sanggup menggapai langit daripada dunia bawah tanah. Binaan-binaan juga dibina penuh gah persis candelier, bukan lagi bangunan bertindih gaya bangunan Sahmera.
Bangunan ini sama seperti menara yang muncul tiba-tiba dahulu.
Tiada kuda ataupun kerbau yang membawa kendera, melainkan serigala dan anjing tanpa kepala. Pohon di tempat ini terbentuk daripada dua batang yang melilit, dan menunduk menjatuhkan daun panjang yang mengurai. Akar-akar banir itu mencengkam bumi dunia ini, sehingga beberapa sisanya tersembul keluar.
"Mekh!"
"Cheray maz!"
"Oure sezetio im'al akha dayfak!
Eyzek menahan nafas, merenung sekumpulan manusia yang menunggu di sepanjang laluan, terus-terusan menjeritkan cercaan yang tidak difahami. Pengawal-pengawal yang berjaga berusaha menahan beberapa orang daripada menyerang tawanan-yakni Eyzek dan yang lain-daripada diserang. Kanak-kanak pula meludah ke arah mangsa lalu ketawa kuat. Eyzek melindungi kepala apabila batu dan sampah dilempar kepadanya.
Aroma tajam menyerbu Eyzek.
Eyzek tersentak, lalu menekup hidung. Perutnya tiba-tiba bergelojak ingin memuntahkan isi. Dia berusaha menarik nafas perlahan-lahan, tetapi aroma yang kuat terus mencekik salur nafas. Hanyir. Sama seperti bau darah.
Nuray berbicara, "Bau orang Syalis."
Semua tawanan itu disumbat masuk ke dalam pedati-pedati yang menunggu. Sempit, sehingga Eyzek terdengar bunyi patah yang kuat. Mujurlah itu bukan tulangnya. Ada pula yang pengsan kerana wajah terlungkup di lantai. Eyzek agak bertuah kali ini, kerana dia yang terakhir masuk ke dalam kendera.
Eyzek cuba meneka-neka perjalanan mereka, merasakan pedati yang membawa ini turun-naik melalui jalan berbukit dan beralun. Sesekali jalan agak bergegar, dan dinding pedati berdentang kuat tanpa henti. Seseorang masih tidak berpuas hati, melontar batu kepada mereka, agaknya.
Eyzek merenung tali yang masih mengikat tangannya. Dia meneliti debu-debu halus sentiasa berterbangan daripada pergelangan tangan.
Debu?
Dia melihat lengannya lebih dekat. Sengaja dia melukakan diri dengan kuku, lalu merenung warna merah yang terhasil.
Mata Eyzek terbuntang luas.
Luka itu terus bercantum semula. Debu-debu kesan lukanya tadi terus berterbangan dan hilang.
Rasa tidak sedap hati bergelojak di dalam dada Eyzek. Dia menjeling kesan debu yang masih bebas di ruangan ini-sudah tentu, orang-orang malang di bawah timbunan manusia sedang berusaha sembuh, berkali-kali. Tanpa henti.
Nuray berkata cemas, "Apa yang mereka sudah lakukan dengan kita?"
Eyzek membalas, Ini mesti kerja Syalis itu. Tetapi, untuk apa?
⫘⫘⫘⫘⫘⫘⫘⫘⫘⫘
Tiada sesiapa yang tahu seperti apa wajah yang dipasang Panglima Ulung Jucenz. Seperti Panglima Ulung lain, subang di telinga runcingnya bergemerincing apabila dia menoleh ke sekitar. Lelaki itu berdiri di puncak benteng gergasi penjara di Mevewa. Angin dingin bertiup tenang, namun kedinginan itu segera hangat dengan rasa puas yang membara.
Serdadu lain berjaga di tiang dan kawasan rendah. Mereka memukul semua tawanan masuk ke dalam lapangan. Jika lambat, nahas akibatnya.
Mata Jucenz dipejam. Diam-diam membisikkan kesyukuran.
Tuhan, terima kasih di atas ganjaran ini.
Diberi peluang menghantar sekumpulan biri-biri itu ke dalam kandang. Mengikat haiwan ternakan itu dan menyeret mereka ke dalam penjara terbesar di kota Mevewa. Balasan yang setimpal untuk makhluk sejijik itu.
"Tuan Panglima!"
Seorang tentera Syalis mendarat di sebelah Jucenz. Wanita itu meletakkan penumbuk di dada kiri. "Kami sudah kumpulkan semua orang dalam penjara, Tuan Panglima!"
Jucenz mengerling Panglima Ulung yang menunggu di beberapa tempat. Baru tiba daripada tempat jagaan mereka, nampaknya.
Tenang Jucenz membalas, "Laporkan kepada yang lain, Yang Terhormat Permaisuri dan Yang Terhormat Putera Mahkota akan tiba tidak lama lagi."
"Arahan diterima, Tuan Panglima!"
Eyzek berkumpul di dalam barisan, berhimpit-himpit dengan yang lain. Rasa tidak selesa itu dikalahkan dengan kegerunan yang berleluasa. Tidak menunduk, atau dagunya akan mengenai nenek di hadapan. Jika berpaling, dia akan terhantuk kepala seorang lelaki tua. Masih ada yang sempat berbisik, mungkin juga merintih mengingati pukulan serdadu tadi.
Sempat Eyzek mencuri pandang ke sekitar. Walaupun kedinginan negara ini mencengkam tulang belulang, namun keringat resah masih mengalir.
Benar kata Nuray. Tiada kanak-kanak dan bayi di sini.
"Diam!" Suara lantang Jucenz memaksa keheningan berkuasa.
Pandangan Eyzek teralih. Anak matanya mengecil.
Nuray berbisik, "Itu...."
Panglima Ulung Jucenz menikam benteng dengan pedangnya yang panjang. Pada bahagian benteng lain, kelima-lima Panglima Ulung baru tiba, turut menikam pembatas penjara dengan senjata. Berpasang-pasang sayap mereka sengaja dikembangkan megah tanda kuasa.
Eyzek sedar, hanya Panglima Ulung yang melindungi wajah di sebalik renda yang labuh. Sama seperti pemuda yang ditemuinya di Sahmera-sebelum dia tidak sedarkan diri.
Ah, fikirannya semakin kacau-bilau. Hakikat yang mengerikan, apabila sedar nasib Kisyanna mungkin sahaja, ada di tangan lelaki itu. Panglima Ulung yang sudah tentu hauskan nyawa manusia tanpa sebarang belas kasih.
"Aku, Tuan Panglima Jucenz, dan aku datang membawa berita kepada kalian! Kalian tidak lagi berada di dunia atas, tetapi di Mevewa, negara yang dirahmati Tuhan!" lamunan Eyzek hancur apabila Jucenz berucap lantang. Fasih di dalam Sahmera. "Mulai hari ini, tiada lagi Empayar Sahmera melainkan negara Mevewa!"
Terpegun semua yang mendengar. Arnasyaz mungkin kurang memahami, tetapi mereka sempat menangkap beberapa makna bahasa Sahmera.
"Apa yang kau mengarut, hah!" Seorang pemuda tiba-tiba berteriak. "Hoi, Syalis! Pulangkan kami ke atas semula! Sahmera tidak mahu pembunuh macam kau, celaka!"
Tanpa dijangka, angin menderu kuat menyapa rambut Eyzek. Sesuatu meluncur laju dari atas kepala. Sebaik sahaja Eyzek berpaling, matanya membulat.
Di antara pekikan ngeri dan tangisan kematian, Jucenz, entah sejak bila sudah meluru ke arah pemuda tadi, menikam dada mangsa dengan kuku runcing. Bunyi sesuatu yang patah bergema. Cecair panas jatuh ke tanah.
"Celaka, ya?" Jucenz berkata datar, merenung mangsa yang terbaring kaku di tanah. Mata pemuda itu terbeliak ngeri, kosong tanpa jiwa, seakan-akan orang mati.
Sebaik sahaja tikaman ditarik, Eyzek melihat senyuman lebar Jucenz, kurang jelas di sebalik kelubung. Aroma mawar semerbak di udara. Asap misteri terlepas daripada luka mangsa, menghentikan pendarahan. Organ dan tulang patah perlahan-lahan sembuh. Kulit yang terkoyak bersambung.
Pemuda malang itu tersedar seperti direnjat elektrik. Dia terbangun, memegang dada yang basah dengan merah. Panik. Dia berteriak, sebelum Jucenz menendang kepalanya dengan but besi. Pengsan lagi.
"Kalian lihat?" soal Jucenz, mengarahkan pandangan kepada yang lain. "Ini akibatnya melawan kami."
"Sama seperti dia, kau semua telah disumpah." Aura lembayung terlepas daripada kuku Jucenz, membentuk pusaran bola yang saling bertelagah. Dia menggenggam kuasa itu semula lalu menyambung, "Sumpahan darah Syalis."
Eyzek berbisik sendiri, "Sumpahan darah...?"
"Dengar sini!" Kibasan sayap Jucenz menolak debu ke seluruh arah. "Tiada lagi bahasa Yecenia ataupun Arnasyaz. Nama kalian mesti dibuang, termasuklah nama empayar jahanam itu! Jika ada yang melanggar peraturan, nasib kalian sama seperti kepala keluarga diraja yang hancur!"
"Wah... bersemangat semua hari ini, ya?"
Suara seorang wanita menyala dari langit Utara. Beberapa dayang Syalis yang anggun, dililit dengan lapisan kain demi kain, datang mengiringi seorang wanita. Sayap-sayap mereka mengepak seperti langsir hitam yang berkibar.
Tuan Putera Mahkota memilih memegang lengan bonda, menuntun perjalanan Sang Permaisuri.
Kedua-dua pemimpin itu mendarat di puncak menara penjara tertinggi. Sayap Panglima Ulung melebur menjadi bayangan, lalu menghilang. Menyambut kedatangan pemimpin penuh hormat.
"Pada hari yang besar ini," Jucenz menguatkan suara, "dunia menyambut pemerintah baharu Negara Mevewa, Yang Terhormat Permaisuri Nazura dan Yang Terhormat Putera Mahkota Azazel!"
Sekali lagi, kelima-lima Panglima Ulung memukul benteng dengan pedang.
"Inilah perubahan baharu demi Negara Mevewa!" Jucenz menjulang tangan. "Kasih Tuhan dicurahkan kepada Yang Terhormat Permaisuri Nazura!"
Serentak, tentera-tentera Syalis itu menjulang tangan sambil menyanyi bangga, "Kasih Tuhan dicurahkan kepada Yang Terhormat Permaisuri Nazura!"
Jucenz menyambung, "Kami menjunjung Yang Terhormat Putera Mahkota Azazel!"
Laungan mereka bergegar dari penjara kota, sehinggalah ke lapangan lain di kota Mevewa. Sebuah cermin gergasi melayang di langit setiap kawasan jagaan tentera Syalis, menayangkan para pemerintah.
Rakyat menjatuhkan air mata penuh syahdu, dan mengakhiri nyanyian dengan semangat,
"Mevewa, negara yang dirahmati Tuhan!"
Seluruh penduduk Sahmera meneguk liur, menahan getar yang hebat di dalam jiwa. Rasa dendam mula lenyap dibadai nyanyian dan sorak-sorai yang bergema dari luar penjara. Seluruh penduduk rupa-rupanya berkumpul di luar, teruja melihat kedua-dua pemerintah yang megah.
Arnasyaz kekal tertunduk, menyumpah takdir yang terus menghempas. Eyzek meraup wajah, membiarkan linangan hangat mengalir di dagu. Esakannya terlepas, sama seperti penduduk Sahmera yang lain.
Kenapa?
Nuray mendengar Eyzek berucap sayu. Senyap di dalam hati.
Neraka apa pula yang menimpa kami sekarang?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro