Enam: Kunang-kunang dan Bunga
PENJARA ASERI, PUSAT TAHANAN TERBESAR MEVEWA
Titisan air jatuh daripada siling berbatu, lalu membentuk lopak hitam. Lembap.
Sepi, walaupun penjara dibina bersama kelima-lima mercu yang menjulang. Bangunan utama terletak di antaranya sebagai pejabat. Kecuali bangunan utama, semua tempat begitu sesak dengan tawanan Sahmera.
Semua hamba sudah terlena di dalam sel masing-masing. Ramai juga yang berehat di sepanjang laluan, tidak sanggup bersesak—sama seperti Eyzek. Berbanding berhimpit dan tidur dalam keadaan duduk, dia lebih rela bersandar di bawah jendela kecil, tersembunyi di sebalik kawasan penyimpanan barang.
Permata lazuardinya hilang sinar, malap dibelenggu ngeri. Kosong, merenung dinding yang dingin.
Sekali, dia menarik nafas. Udara yang sama dihirup, tika mereka terkurung di dalam sel yang rendah dan sempit. Sewaktu dia mendengar libasan cota dan jeritan tawanan di atas dan bawah, di kiri dan kanan. Semuanya kerana mereka tidak mampu mempelajari bahasa Syalis dengan baik di lapangan.
Dua kali, dia menarik nafas. Aroma serigala yang berbau itu semakin kejam di dalam ingatan. Sewaktu dia dan yang lain dipaksa memberi makanan kepada serigala liar, di dalam sangkar. Dia berjaya, tetapi apabila dia keluar, sangkar yang dihuni tawanan lain bergenang dengan lopak panas. Entah bagaimana, mereka masih berjaya keluar hidup-hidup. Tangan dan kaki mereka tumbuh semula.
Tiga kali, dia menarik nafas. Dia dan para tawanan berperang mengutip sisa sayur dan buah-buahan lama yang dilempar pegawai Syalis. Bukan main galak lagi pegawai itu mengetawakan mereka. Jika terlepas, Eyzek dipaksa menelan daging busuk—semua orang tahu, Arnasyaz tidak boleh menelan daging dan ikan. Suatu jenaka bagi hidup Eyzek, bahawa tujuannya sekarang ialah mengejar makanan yang berulat.
Sekali lagi, Eyzek berusaha menarik nafas. Peluh dingin merenek di dahi. Tangannya yang pucat, mencengkam baju apabila tulang dada yang patah, perlahan-lahan bercantum. Asap nipis terlepas. Rasa perit yang berleluasa sewaktu dadanya ditikam kuku sarung tangan besi Syalis itu, masih berlegar-legar di dalam jiwa. Sewaktu jantungnya dicengkeram, hingga Eyzek tidak mampu bernafas, lalu dunia berpusing-pusing apabila darahnya disedut rakus.
Sakit.
Eyzek menghela perlahan, setelah lapisan daging dan kulit bercantum semula. Rasa berang bercampur kesal memenuhi ruang fikiran. Mujurlah kerana sakti bangsa Syalis, tiada setitik pun darah yang mengotori pakaiannya. Tahu pula mereka untuk tidak membazir?
Gila. Eyzek mengambil masa di dalam fikiran yang kacau. Kenapa aku masih hidup hingga sekarang?
Berbanding tidur di sel yang kecil, dia lebih rela bersandar di sisi tingkap penjara. Beberapa tawanan turut tidur tidak jauh daripada Eyzek. Bukan perkara biasa untuk mendengar mereka menangis sendiri.
Mata Eyzek pedih. Dia menggosok mata beberapa kali. Hairan juga, kerana segala-galanya terlihat kurang jelas.
Eyzek membulatkan mata, teringatkan sesuatu.
Cahaya putih terbakar di belakang Eyzek, lalu sebelah kepaknya dikembangkan lebar.
Eyzek menghembus lemah. "Aku lupa."
Pelepah yang bersinar terang itu menjadi malap, dinodai sisa debu dan batu kerikil yang melekat. Kesan-kesan darah yang kering kelihatan di beberapa tempat—terlalu lama dibiarkan sejak serangan Syalis dahulu di Sahmera.
Eyzek tersedar, kebanyakan mata-mata Nuray terpejam. Sedikit pula terbuka separuh. Hanya beberapa yang masih mencelik seperti biasa, itupun sudah merah dimasuki habuk.
"Patutlah mata aku sakit," Eyzek terlalu penat untuk membebel, terus menarik tetulang sayapnya mendekat. "Kenapa kau diam?"
Nuray membalas perlahan, "Maaf."
Bulu-bulu pelepah yang tertanggal disapu pergi. Dengan berhati-hati, Eyzek membuang sisa tanah dan kerikil yang melekat pada beberapa mata yang terpejam. Kelopak mata Nuray terkelip-kelip.
"Sampai kotor macam ini... patutlah aku tidak selesa," kata Eyzek, semasa menilik mata yang lebih besar, pada puncak tetulang. "Kenapa? Kau tidak mahu susahkan aku?"
Nuray menjawab, "Ya...."
"Kau memang. Kita ini saudara, 'kan?" Eyzek membuang batu kecil yang tersorok di antara sayap. "Kita berkongsi raga yang sama. Aku sakit, kau sakit. Tidak payah malu-malu sangat."
Hening. "Aku mahu tolong kau."
"Apa lagi yang boleh dibuat?" Nuray sedar, ada perubahan di dalam nada Eyzek. "Maaf... Nuray. Aku cuba jaga diri aku, tetapi mereka... memang tidak guna."
Tangan Eyzek sedikit menggigil apabila menarik pelepah gugur yang masih melekat. Sebak menyerbu dada. Eyzek semakin menunduk, membiarkan surai hitamnya melindungi separuh wajah. Pandangannya yang semakin jelas, mula diselubungi kabur—Dan itu, bukan lagi kerana mata-mata Nuray yang tidak terjaga.
"Mereka tikam aku lebih lima kali...," suara Eyzek tersekat. "Aku sampai... tidak boleh tidur sebab mereka. Kau pun... mesti terseksa sebab aku. "
Kolam biru Nuray yang gelap, memantulkan wajah Eyzek yang mengelap air mata. Ada sedu yang diluahkan saudaranya.
"Aku mahu baring di atas tilam di rumah. Makan buah dan sayur segar... dengan ayah, ibu dan Kisyanna. Baru sahaja hari itu, kita tidak sabar mahu lihat wajah ahli keluarga baru," esakan Eyzek semakin jelas. "Sekarang, mayat ibu dan ayah pun aku tidak jumpa. Aku sendiri tidak tahu nasib Kisyanna sekarang. Apa salah kita dengan mereka?"
Nuray baru mencelah, "Eyzek, kau...."
Ucapan Nuray terhenti.
Perlahan, mereka menangkap bunyi tapak kaki yang mendekat. Awalnya, wajah Eyzek dihurung cuak. Sayapnya dihilangkan. Risau seandainya ada serdadu lain yang datang.
Kemudian dia sedar, itu bukan langkah seorang serdadu yang tegas. Bunyi ini lebih teratur, perlahan dan tidak bermaya. Ada keputusasaan di dalam langkah.
Anak mata Eyzek membesar, "Eh...?"
Ribuan kunang-kunang bercahaya berterbangan di seluruh tempat. Ungu terang yang lembut mengusap air mata Eyzek. Dia terpaku, melihat kawasan penjara yang hening tanpa tawanan lain yang berbaring tidur.
"Apa yang kamu lakukan di sini?"
Bahu Eyzek terjongket ditegur dari belakang. Spontan dia berundur beberapa tapak. Jantungnya berdegup lebih kencang. Wajahnya memucat.
Seorang wanita berjubah perang gelap yang lusuh, membawa sebuah bakul raga yang kecil. Berbahasa Arnasyaz yang pekat, sehingga Eyzek kurang memahami beberapa patah kata. Tinggi, dan wajahnya tersorok di dalam bayang hitam. Sekali lihat, dia seperti sudah mencecah 23 tahun—Eyzek kurang pasti.
Wanita itu bertanya lembut, "Kamu suka kunang-kunang?"
Eyzek terdiam. Mindanya kosong, hairan dengan soalan yang terasa ganjil. Dia membalas dengan anggukan.
Wanita itu mengangkat tangan perlahan-lahan, menarik kunang-kunang di sekitar berkumpul di telapak tangan. Dengan sekali tiupan, kunang-kunang itu terbang bebas, mengingatkan Eyzek akan bunga dandelion yang disapa angin.
"Cantik, 'kan, kunang-kunang ini?" suara gemersik wanita itu, menghalau resah Eyzek pergi. "Kunang-kunang ini masih bersinar indah, walaupun di dalam gelap."
Serangga kecil itu bermain-main di sekitar wanita itu, lalu berterbangan di sekitar Eyzek. Riang.
"Mesti menakutkan... untuk hidup di tempat yang gelap seperti ini," sayu nada wnaita itu. "Padahal, kamu berdua masih muda."
Lalu, dua kuntum bunga putih dihulurkan kepada Eyzek. "Semoga mimpi yang kamu impikan, menjadi kenyataan."
Eyzek menyambut pemberian wanita itu. Matanya redup, menatap hidupan rapuh yang bernafas di dalam pegangan. Wangi.
"Te-terima kasih," ucap Eyzek. "Kakanda ini, siapa?"
Ada senyuman di dalam nada wanita itu, "Bukan siapa-siapa."
Mata Eyzek mencelik luas. Perkara pertama yang menyambutnya, ialah siling yang tinggi.
Entah bagaimana, dia terbaring di lantai. Mungkin tertidur. Jerkahan serdadu bergema nyaring. Memaksa semua tawanan untuk bangkit. Tiada lagi kunang-kunang yang berterbangan, juga kelibat misteri yang membawa bakul raga.
Eyzek lekas bertanya, "Kau nampak apa yang aku nampak semalam, Nuray?"
Ada kantuk di dalam suara Nuray, "Hah...?"
"Perempuan tadi. Dan ada kunang-kunang."
"Apa kau cakap ini? Aku cuma ada dengan kau semalam." Nuray masih mamai. "Mungkin kau bermimpi. Aku mana boleh bermimpi macam kau."
"Mimpi?" Eyzek ragu-ragu. Tersedar, Nuray lebih banyak berdiam sejak wanita itu memunculkan diri.
Eyzek ragu-ragu, merenung sesuatu di dalam genggaman. Segar, seperti baru dipetik.
"Jika itu mimpi," soal Eyzek, "kenapa bunga ini masih ada dengan aku?"
⫘⫘⫘⫘⫘⫘⫘⫘⫘⫘
"Ashe, bermaksud 'ini'. Zaf, bermaksud 'kau'."
Suara guru Eyzek yang mengajar di lapangan, hampir sayup-sayup di telinga Eyzek. Seperti hari-hari biasa, semua tawanan duduk memenuhi kelima-lima lapangan penjara. Ramai guru bertelinga runcing dihantar ke tempat ini semata-mata mengajar mereka bahasa Syalis—bahasa utama Mevewa.
Eyzek di dalam kumpulannya, duduk membongkok, menjadikan lantai sebagai meja. Pena dan dakwat yang diberi mesti dijaga sebaik-baiknya. Perstiwa semalam sudah tentu mengganggu fikiran. Tetapi, kemarahan gurunya lebih menakutkan daripada wanita semalam.
"Mekh," ujar guru itu, seraya merenung Eyzek dengan tajam, "ialah 'sampah'."
Nuray mengeluh, "Kenapa dia tengok kau?"
Eyzek meneguk liur apabila guru melangkah melepasinya. Hidungnya sudah lali dengan aroma darah Syalis, tetapi dia tidak pernah lali daripada pukulan guru itu. Tangannya menggeletar, kurang fokus untuk menulis rangkaian bahasa Syalis yang rumit.
Apatah lagi, guru mereka tidak berhenti menggunakan bahasa Sahmera—lucunya, orang Sahmera sendiri dilarang menggunakan bahasa empayar mereka—dan satu-satunya yang Eyzek faham ialah cercaan.
"Bahasa Mevewa juga boleh menggabungkan beberapa patah perkataan menjadi satu perkataan," ujar guru itu lagi, berhenti di sisi Eyzek.
Kepala Eyzek dipukul perlahan dengan buku yang berat. Sindiran diberikan kepada Eyzek, "Ini perkataan yang sesuai untuk kambing ucapkan. Ingat ini betul-betul."
Eyzek berpura-pura memasang telinga.
"Ifa, bermaksud 'aku'," Apabila guru itu berkata-kata, semua hamba terkial-kial menulis nota, "sasya ataupun nasya, bermaksud 'maaf'. Sin pula, hanya perkataan tambahan seperti partikel '-kan'."
Guru itu terlalu laju. Nuray terus memberitahu Eyzek makna yang sempat ditangkap.
"Kerana susunan perkataan menjadi terbalik, ia disebut ifsasyasin," ucap guru itu.
Nuray berbisik, "Salah kau tulis, Eyzek. Itu ifzatasyin. Lain maksudnya."
Eyzek segera memotong perkataan itu. Tangannya berkeringat menulis rangkaian tulisan yang bersimpul.
Guru mereka bertanya lagi, "Apa maksud ifsasyasin?"
Nuray menegur, "Tambah garis di hujung huruf itu. Panjang sedikit."
Eyzek akur.
Guru mereka berkata, "Maksud ifsasyasin ialah...."
Eyzek hampir terlompat apabila kepalanya dipukul sekali lagi. Penanya tertarik, sehingga muncul contengan mencacatkan rangkaian ayat. Hampir mengoyakkan kertas.
Lelaki Syalis itu menyambung jengkel, "Maafkan aku."
Setelah kelas tamat, Eyzek duduk di dalam stor yang menyimpan barang-barangan terbuang. Buku-buku yang baru dipinjam bertimbun di sisi. Bukan main teruja lagi dia menyelesaikan latihan (hukuman) yang agak menarik—menulis ifsasyasin tiga ribu kali dengan pelbagai gaya tulisan berbeza.
Apabila ditanya gaya tulisan seperti apa, guru itu menjawab mudah, "Carilah di perpustakaan."
"Ada perpustakaan di sini rupanya," ujar Eyzek dengan senyuman tertahan-tahan. "Aku fikir, mereka bencikan kertas selepas bakar semua buku di Sahmera."
"Mungkin buku Mevewa sahaja yang dibenarkan," sahut Nuray. "Seronok pula kau?"
Eyzek tersengih, seperti mahu ketawa. Baru kali ini, permata biru lazuardinya menerbitkan secercah cahaya. Nuray tidak mampu melihat Eyzek tanpa sayap, tetapi nada Eyzek sudah cukup melegakan.
"Siapa kakanda yang aku lihat semalam?" Eyzek nampaknya masih tertanya-tanya. "Dia tidak seperti orang Arnasyaz. Mustahil dia orang Syalis atau Yecenia, bukan?"
"Orang Syalis sahaja yang mampu tidurkan manusia dengan darah," teka Nuray.
"Jika dia Syalis, kenapa dia gunakan bahasa kita? Bahasa selain Mevewa itu diharamkan."
PRANG!
Pena Eyzek terlepas. Perbualan mereka terganggu apabila bunyi sesuatu yang jatuh, menyentakkan mereka.
Jeritan di dalam Syalis berteriak nyaring, "Celaka!"
Sumpahan itu disusuli dengan pertengkaran hebat. Semuanya di dalam bahasa Syalis yang laju. Bukan seorang atau dua orang, tetapi lebih.
Eyzek memucat. "Ada orang Syalis bergaduh?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro