2048 - Prolog
31 Ogos 2048
Suasana di Dataran Merdeka teramatlah riuh. Terdapat 3 peristiwa besar yang akan disambut pada hari ini. Peristiwa pertama, sambutan Hari Kemerdekaan negara kita. Kedua, sambutan meraikan kejayaan Malaysia sebagai negara pertama yang berjaya membanteras penyakit berbahaya yang dikenali sebagai Wormzom-30 sp. Akhir sekali, hari ini merupakan peristiwa penjatuhan hukuman gantung sampai mati kepada seorang warganegara Malaysia di hadapan khalayak rakyat.
Ariff Mazlan.
Seorang warganegara yang membenci kerajaan. Segala usaha untuk mensabotaj sentiasa direka untuk menjatuhkan kerajaan. Jejaka ini pernah menabur fitnah kepada orang-orang penting kerajaan dan mengucar-kacirkan hal-hal berkaitan politik.
Berita palsu.
Fake account.
Penggodaman.
Scam.
Lelaki ini berani sahaja melakukannya. Demi dendam, semuanya boleh jadi. Lupa terus dirinya terhadap hukuman yang bakal menimpa. Kalau tidak kena di dunia, akhirat masih menanti.
Namun begitu, sang jejaka ini jugalah yang telah berhempas-pulas mencipta antidot selama 1 tahun 10 bulan. Antidot itulah menjadi punca kejayaan Malaysia dalam melawan pandemik yang menggegarkan seluruh dunia ini.
Jasanya sungguh besar. Sungguh besar, setaraf dengan kejahatan yang pernah dilakukan sebelumnya. Seluruh Malaysia berada dalam dilema, antara benci mahupun kasih. Kejahatan Ariff cukup membuatkan seluruh rakyat membencinya tetapi jasa yang telah ditabur itu tidak mampu untuk dibenci.
Kesanggupan Ariff mencipta antidot, menyertai panggilan kerajaan untuk menjalani latihan dan menyertai misi menyelamat rakyat Malaysia yang berada di negara-negara yang diserang pandemik.
Sifat Ariff ini sungguh tidak disangka-sangka oleh semua orang. Timbul rasa kasihan, timbul rasa terhutang budi.
Apatah lagi, sejarah hidup Ariff tersebar ke serata Malaysia. Betapa malangnya kehidupan jejaka itu. Tidak peliklah kalau jejaka itu amat membenci orang kerajaan.
Jeritan berupa rayuan daripada rakyat yang hadir ke Dataran Merdeka seperti "Jangan!" dan "Kami maafkan Ariff, tolong jangan hukum dia!" bergema ketika Ariff muncul bersama-sama Ikmal dan dua orang polis, menandakan bahawa mereka tidak sanggup untuk melihat hukuman itu dilaksanakan.
Orang ramai memberikan laluan kepada mereka untuk bergerak ke tali gantung. Betapa hormatnya mereka terhadap seorang Ariff Mazlan, seseorang yang pernah menanam perasaan benci terhadap kerajaan negaranya sendiri.
Sebentar tadi ada dinyatakan bahawa hukuman ini akan dilakukan di khalayak ramai bukan? Bagaimana dengan mereka yang berkeluarga dan anak-anak kecil? Bukankah mereka tidak sepatutnya untuk melihat sesuatu seperti itu?
Jangan risau. Terdapat sebuah tempat berbentuk segi empat tepat menegak yang tertutup dan cukup luas untuk memuatkan beberapa orang, alatan seperti tali gantung dan lain-lain. Memang tidaklah untuk gantung depan mata rakyat, tidak pasal-pasal ada yang trauma. Ha lagi naya.
Ariff diarah untuk naik ke sebuah pentas untuk menyampaikan ucapan kali terakhir. Inilah permintaan terakhir daripada seorang Ariff Mazlan. Ada sesuatu yang ingin Ariff beritahu kepada semua rakyat.
•••
"Assalamualaikum kepada semua. Aih berhentilah meraung dan bersedih. Relax la geng, aku ni cuma ikan je," aku bermadah sambil membuat jenaka.
Ye, aku tahu hambar. Ala, apa je yang aku boleh cakap untuk hilangkan dilema mereka? Hambar pun hambar la. Setelah diam buat seketika, aku menyambung ucapan aku.
"Nama diberi, Ahmad Ariff Hakimi Bin Mohd Mazlan. Umur 28 tahun, status single tetapi unavailable sebab ajal bakal menjemput sebentar lagi. Okay, okay tak buat lawak macam tu lagi hehe... Pekerjaan saya ialah seorang novelis yang berselindung di sebalik nama pena AM the writer. Juga merupakan seorang pelajar universiti yang tak habis belajar akibat pandemik Wormzom-30 sp. dan juga seorang hacker yang menggunakan nama Dark Suspicious atau Dark's."
Aku tersenyum melihat semua rakyat yang mendiamkan diri tatkala aku membuka bicara. Sungguh, kalau boleh aku mahu sahaja menangis. Kalau tidak mengenangkan yang aku ini seorang lelaki, rasanya aku sudah menangis teresak-esak melihat betapa mereka menghormati aku.
Menghormati seseorang yang cuba menghancurkan negara sendiri. Sungguh, rasa malu semakin menebal, membaluti diri ini. Kalaulah aku boleh putarkan masa, aku akan memperbetulkan segala-galanya. Aku tidak akan membenarkan ibu bapa aku untuk berjumpa dengan orang sombong itu dan seterusnya keluarga kami tidak dicaci dan dimalukan sehingga tertanam rasa benci terhadap negara sendiri.
Sekiranya aku menghalang ibu bapa aku untuk bertemu dengan orang itu, sudah pastinya mereka tidak akan melakukan kerja gila itu. Kerja gila apa? Aku tidak akan bercerita di Prolog. Kau bacalah sendiri.
Ya, aku pernah membenci negara ini. Negara tempat kelahiran aku, tempat tumpahnya darahku ketika aku lahir. Tempat yang menjadi lakaran kehidupanku. Tempat yang menjadi lantai tempat aku berpijak dan hidup.
Kesal, malu, marah, semuanya bercampur-baur. Aku mendiamkan diri buat beberapa saat sebelum kembali tersedar dan berasa tenang semula selepas bahu aku ditepuk lembut oleh rakan seperjuangan aku.
Ikmal Hakimi.
Rakan yang dahulu aku tikam belakangnya. Namun tetap teguh bersama-sama aku sehingga kini. Ternyata dia merupakan salah satu sahabat sejati yang sangat sukar untuk ditemui.
Aku tersenyum kepada Ikmal tanda aku sudah bertenang. Ikmal pula hanya membalas senyuman aku. Aku kembali menyambung ucapan aku.
"Ada beberapa perkara yang ingin saya katakan. Satu, berkenaan ibu bapa saya..."
Aku bercerita tentang segala-galanya. Tidak ingin aku nyatakan di sini. Rahsia. Bacalah bab seterusnya jika kamu mahu tahu.
"Kedua, mengenai buku terakhir nukilan saya. Buku itu bertajuk..."
Aku berhenti sebentar untuk meneguk air. Dahaga pula banyak bercakap. Tak sangka, banyak yang aku ingin ucapkan. Aku fikir aku mahu berkata-kata tentang tiga benda sahaja.
"Pembunuh Dalam Selindung."
Aku bercerita kepada semua bahawa buku bertajuk Pembunuh Dalam Selindung itu sebenarnya hasil daripada diari aku sendiri. Aku mula menulis diari sejak aku mula bertekad untuk mensabotaj orang-orang kerajaan iaitu ketika aku berumur 20 tahun.
Aku terfikir untuk menghasilkan kisah benar tentang diriku. Aku bercerita kepada semua yang hadir bahawa aku terus menulis diari sehinggalah semalam. Kejadian pada hari ini pula akan ditulis oleh Ikmal. Begitu juga dengan epilog buku ini, akan ditulis oleh Ikmal juga.
"Epilog itu merupakan keadaan Malaysia 3 tahun dan 5 tahun akan datang. Sebab itulah, Ikmal yang akan tulis. Bagaimana aku nak tulis kalau aku akan mati pada hari ini bukan? Hahaha!" Aku tergelak dengan lawak aku lalu aku kembali memandang para hadirin.
Sunyi.
Alahai, lawak aku hambar lagi la. Kasihan pula tengok mereka semua bersedih hanya sebab aku.
"Ini bermaksud, 5 tahun akan datang barulah buku ini akan dicetak dan dijual. Saya harap kamu semua sudi untuk membeli dan membacanya. Tidak lupa juga, saya harapkan supaya generasi akan datang turut membacanya. Saya juga berharap jikalau ada dibuat filem ataupun episod bersiri-siri terhadap kejadian yang menimpa negara kita ini. Buat pengajaran kepada generasi pada hari ini dan yang akan menyusul kemudian. Jangan risau, murah je!" kata aku dengan sungguh bersemangat.
Aku seorang sahaja ke yang bersemangat? Ya Allah aku nak tanam muka aku dalam tanah sekarang juga. Malu tahu, kalau aku seorang yang syok sendiri. Apa ni semua? Happy la wey! Jangan bagi aku syok sendiri je huhuhu!
"Lagipun untuk pengetahuan anda, saya berucap ni dan semua yang akan berlaku pada hari ini akan sama macam apa yang saya tulis di Prolog buku Pembunuh Dalam Selindung tau! Malam tadi tidur lambat semata-mata nak siapkan draf Prolog. Dah siap, terus bagi kat orang lain supaya semuanya berjalan lancar, sama seperti yang telah saya tuliskan. Dah itu sahaja daripada saya, sekian, assalamualaikum!"
Semua orang menepuk tangan. Aku turun daripada pentas tempat aku berucap. Aku juga telah menjamu semua yang hadir dengan makanan yang sedap-sedap.
Ha, dari mana aku dapat duit banyak untuk menjamu semua orang? Itu hasil bayaran gaji aku kerana telah bertungkus-lumus mencipta antidot. Selain itu, negara-negara lain juga telah membeli antidot kami. Bukan sengaja mahu jual, Malaysia juga sedang mengalami masalah kewangan disebabkan oleh pandemik ini. Mahu tidak mahu, kena tebalkan muka, tahan kena maki dengan negara luar untuk menjualnya.
Negara mana yang tidak marah kalau bayarannya tinggi? Tapi bayaran tinggi itu bersebab, bukan mudah untuk aku dan lain-lain mencipta antidot. Kadang-kadang kurang tidur, siap 'camping' lagi dalam makmal penyelidikan. Kos pembuatan juga agak tinggi. Bagi mereka, harga antidot itu tinggi tetapi bagi kami, itulah yang paling murah yang boleh kami tawarkan.
Selepas selesai makan, aku bergerak ke arah sebuah menunggu yang berada kira-kira 100 meter daripada tempat untuk hukuman gantung sampai mati yang berada di sudut Dataran Merdeka. Agak jauh daripada rakyat yang sedang berkumpul di dataran itu.
Yang di-Pertuan Agong ke-22 mula berucap. Kemudiannya, baginda berjalan ke arah aku dan membawa aku ke arah tempat untuk aku dihukum.
Sebelum aku masuk ke tempat berbentuk segi empat tepat menegak itu, baginda memberi satu ucapan terakhir kepada aku dan seluruh rakyatnya.
"Wahai Ariff, kamu sudah banyak berjasa kepada negara ini. Kamu juga masih muda malah sangat berkemahiran! Masih ada masa untuk bertukar fikiran. Beta sudah mengampunkan kamu dengan budi bicara beta sendiri. Fikir-fikirkanlah semula," ucapnya, jelas ingin memujuk aku.
"Terima kasih atas nasihat Tuanku, tetapi patik tetap dengan pendirian diri ini. Hukuman ini bukan atas sebab saja-saja, patik ingin sekali menebus kesalahan patik dan jugak kesalahan ibu bapa patik. Patik mohon ampun kepada Tuanku, patik mohon untuk Tuanku hormati keputusan patik. Tidak mengapalah, biarlah patik tebus dosa-dosa patik di dunia ini daripada menanggung di akhirat kelak."
Kulihat Yang di-Pertuan Agong, pemerintahan negaraku ini menghela nafas panjang. Baginda semestinya berasa berat hati sama seperti rakyatnya.
Elok la itu. Raja dan rakyat sama sahaja, berat hati dan berada dalam dilema untuk melihat aku dijatuhkan hukuman. Aku harap sifat mereka yang penuh belas kasihan ini kekal sampai bila-bila. Kalau aku merupakan pemberontak dan penyeleweng dalam kerajaan pun boleh dikasihani seperti ini, aku berharap supaya orang lain juga akan diberi belas kasihan seperti yang aku terima pada hari ini.
Aku melangkah masuk ke kawasan tali gantung yang tertutup itu. Aku mengucapkan kata-kata terakhir.
"Tolong maafkan saya dan tolong kekalkan kedaulatan negara ini. Sentiasalah berjuang demi negara, saya sayang kamu. Assalamualaikum."
Aku kemudiannya berdiri di hadapan tali gantung itu. Kepala dimasukkan ke bulatan tali itu dan menutup mata, bersedia menerima hukuman dengan hati yang tenang dan reda.
Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa aku.
Sakit semakin terasa apabila aku mula tergantung dan kaki tidak menjejak tanah. Aku bergelut dengan sakaratul maut. Susah payah aku cuba mengucap, aku mahukan pengakhiran yang baik.
"Asy... Hadu... Allah..."
"Illaha... Illalah..."
"Waasyhadu... Anna..."
"Muhammadar..."
"Rasulul..."
"Lah..."
Sekian, Ariff Mazlan. Ditulis pada tarikh 30 Ogos 2048, jam 2350 malam.
•••
"Ahmad Ariff Hakimi Bin Mohd Mazlan, meninggal dunia pada 31 Ogos 2048, hari Jumaat, jam 1050."
Tangisan mula membanjiri Dataran Merdeka. Tidak terkecuali juga aku, Ikmal Hakimi. Aku harap segala-galanya berjalan sama seperti apa yang telah Ariff nukilkan di sini.
Seperti yang dipertanggungjawabkan oleh Ariff kepada aku, akulah yang menyambung Prolog ini.
Mari kita tunggu 3 dan 5 tahun akan datang untuk aku tulis epilog buku ini.
Sekian, Ikmal Hakimi. Ditulis pada 31 Ogos 2048, jam 2050.
•••
A/n: Hmm.... Kelainan dia menjadi atau tidak? Aku cuba untuk buat kelainan yang benar-benar lain, harapnya berjayalah. Harap takde yang confuse hehe.
Update a/n: Hello, please vote and comments and klau sudi meh la promote ke semua media sosial
Random tag!
Angel_k20 Diamond_jannah IkaSyafiqah1 Syaf_Asriqa Syafqaira_ syaftomato aku_manusia_ aurora_nova00 hafzh92 Jihaangle_ hanomoarnu1906 Iszanirah Nooroo_Edayu03 i_am_kacang IvoryCarmia Ainimm onlyone_manjerung maegyu prinsess_pinky smollwhale nurasyaa_ syifaazzahrasubagyo Sakuracastle SyAryn08
Special tag iaitu pembuat short Story contest ni: StarzysTeam
Huhu baru prolog SHSHS. Kena paksa otak lagiiii.
Sekian, terima kasih!
𝓒𝓜 𝓞𝓯𝓯𝓲𝓬𝓲𝓪𝓵
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro