Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"SO, finally! Tuan Syafiq Tuan Haikal kita dah kembali. Where were you last time?"

Syafiq mendongak dan memerhati sahabatnya, Zakri yang kini melabuhkan duduk di hadapannya. Seperti kali terakhir bertemu setahun yang lalu, Zakri tetap dengan imej serabainya. Pelik betul! Apakah kerja wartawan itu menuntutnya untuk menjadi sebegitu rupa? Dengan rambut panjang yang tidak disikat, kemeja yang berkedut tidak bergosok dan beg sandang yang menggeleber besar, Zakri memang memenuhi semua syarat sebagai lelaki paling serabai abad ini.

"Acheh." Akhirnya Syafiq menjawab setelah menyudahkan sesi menganalisa manusia bernama Mohd Zakri.

"Eh, dekat pula?" Kening Zakri hampir bertaut sambil tangannya selamba sahaja mengambil cawan yang terletak elok di atas meja.

"Kau tak reti nak oder minuman kau sendiri ke?" sergah Syafiq. Sesuka hati mak bapak dia aje minum kopi aku!

"Alah, kau ni. Berkira sangat pula. Aku nak cepat ni, tak ada masa nak oder-oder bagai." Tanpa riak bersalah, Zakri membalas kembali.

Syafiq mencemik.

"So, why Acheh?" Zakri kembali pada persoalannya tadi.

Terdiam Syafiq buat seketika. Fikirannya menerawang pada semua negara yang telah dia jelajahi. Kebanyakannya dipilih secara rawak, mengikut rasa hatinya. Norway, Itali, Hong Kong, Zimbabwe, Afrika Selatan, Bhutan, Macau, Pakistan, Sri Lanka dan banyak lagi.

Namun, tidak satu pun negara berkenaan hampir dengan Malaysia. Entahlah, mungkin di luar kesedaran otaknya, dia sendiri yang tidak mahu dekat dengan negara yang banyak menyimpan siapa dia dan sejarah hidupnya. Dia mahu pergi sejauh mungkin. Dia mahu lari.

Tetapi sejak dia mengambil keputusan untuk kembali, Syafiq mula berjinak untuk ke negara-negara di sekeliling. Mungkin juga itu caranya untuk dia menerima hakikat bahawa sudah tiba masanya untuk dia menjejakkan kaki ke atas tanah airnya.

Lagipun, untuk apa pergi jauh jika dia tidak melihat dengan mata kepalanya sendiri keadaan mereka di negara-negara seperti Kemboja, Vietnam, Thailand dan Indonesia yang punya kisahnya sendiri? Bukankah jika mahu mencari keinsafan, dia perlu melihat mereka yang lebih memerlukan tetapi hidup dengan harapan yang menggunung?

Ya, itulah yang dia perolehi setelah ke Siem Reap, Narathiwat, Yala dan Acheh. Di kawasan yang masih terumbang-ambing dengan kemiskinan dan ketegangan politik, penduduknya tidak pernah berputus asa. Mereka masih punya harapan dan masih mampu tersenyum kala Syafiq menitipkan wajah mereka di dalam lensa kamera.

Dan sungguh, itu semua membuatkan dia sedar akan betapa bertuahnya dia. Dilahirkan di sebuah negara yang aman dan harmoni, dibesarkan tanpa perlu risau akan wang dan perbelanjaan hidup dan mempunyai keluarga yang sentiasa menyayanginya, walaupun dia lambat menyedari hakikat itu. Bukankah itu bertuah namanya?

"Hei, aku tanya ni! Kau ni mengelamun pula." Tempelak Zakri segera menyedarkan Syafiq yang hampir-hampir sahaja hanyut dalam kenangan.

Syafiq menyeringai penuh segan.

"Sorry. Aku teringat something else pula."

"Hmmm, so Acheh..."

"Sebab aku nak balik Malaysia. That is why aku pergi negara yang dekat-dekat aje. Dari Siem Reap, aku ke Thailand, ke Narathiwat dan Yala. Tengok sendiri macam mana keadaan dia orang kat sana. Lepas tu aku gerak ke Acheh," sambung Syafiq, memberikan penjelasan buat sahabatnya.

"So, dapat apa yang kau cari?" tanya Zakri dengan suara yang berbaur ambil berat.

Sepanjang perkenalannya dengan Syafiq tiga tahun lalu, dia tahu Syafiq mencari sesuatu. Kata lelaki itu, gambar-gambar yang diambilnya merupakan suatu cara untuk dia melihat dengan lebih jelas dan untuk dia mencari sesuatu. Entahlah, dia sendiri kurang pasti akan maksud Syafiq yang seolah-olah menyembunyikan agenda tersendiri.

Terbentuk senyum kelat di hujung bibir Syafiq. Apakah dia sudah memperoleh apa yang dicari, iaitu dirinya sendiri? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Dia juga tidak pasti. Cuma satu sahaja yang menjadi kepastiannya saat ini, dia gembira untuk kembali berada di sini, di negaranya sendiri, dalam kalangan keluarganya sendiri.

"Mungkin." Sepatah jawapan Syafiq.

Zakri menjongket bahu.

"Okey, apa-apa ajelah. So, apa pelan kau sekarang ni?"

"Tanam anggur." Balasan Syafiq disusuli gelak halus, teringat pula akan perbualannya dengan uminya pagi tadi, sewaktu menikmati sarapan.

"Kau tanam anggur? Memang tak sesuai!" cemuh Zakri. Syafiq yang dikenali bukan calang-calang jurugambar. Foto yang diambilnya pernah dibeli dengan harga yang mahal oleh majalah-majalah terkenal dunia. Entahlah, dia juga pelik dengan manusia yang seorang ini.

Kata Syafiq, dia masih baru dalam dunia fotografi. Akan tetapi, daripada pengamatan Zakri sendiri, lelaki yang seorang ini mempunyai kewibawaan dan kemampuan untuk menghidupkan foto-foto hasil bidikannya. Usai ditanya, jawapan Syafiq sangat ringkas.

"Aku ambil gambar dengan hati."

Zakri mengerti akan maksud kata-kata tersebut. Apa sahaja yang dilakukan dengan hati, keindahannya akan dapat dilihat oleh orang lain. Mungkin itulah yang terselit di sebalik jawapan penuh falsafah sahabatnya.

"So, kau pula apa cerita?" Kali ini Syafiq pula yang menyoal, langsung tidak mengendahkan komen Zakri tadi.

"Aku macam inilah. Masih lagi dengan NST. Tapi..." Zakri melebarkan senyum.

"Now, I have got my own column."

Bulat mata Syafiq dengan rasa teruja.

"Seriously? Wah, makin dahsyat kau nampaknya? So, kolum apa? How to date a girl?" Sempat Syafiq mengusik di hujung bicara.

"Ceh, kau ingat aku ni jiwang sangat ke apa? It is about life. Something like... how to see life better." Jawapan Zakri terselit dengan rasa bangga.

Terdiam Syafiq buat seketika. Aneh. Ruangan Zakri bagaikan ditujukan khas kepada dirinya sendiri. How to see life better? Bukankah itu juga yang dia cari selama ni? Mungkinkah ini suatu kebetulan ataupun suratan? Entahlah, dia tidak pasti.

Tetapi biarlah! Jika ia kebetulan, mungkin itu sekadar kebetulan yang tidak punya erti. Jika ia suratan, mungkin itu suatu suratan untuk dia tidak tergelincir lagi, untuk terus menjadi suatu peringatan kepadanya. Ya, walau apa pun yang berlaku dalam hidupnya selepas ini, dia perlu melihatnya daripada suatu perspektif yang berbeza, yang lebih positif dan bukan lagi menyalahkan orang lain, seperti pegangannya selama ini.

"Anyhow, congrats. Tambah busylah kau sekarang."

"Well, bolehlah tahan..." Tanpa semena-mena, Zakri membuntangkan mata bagaikan teringat sesuatu. Cepat-cepat dia melihat jam tangan.

"Oh, great! Aku dah terlambat. Kaulah punya pasal ni!"

"Eh, aku pula..." gerutu Syafiq sambil melihat sahabatnya yang kelam-kabut bangun dan mahu menapak pergi. Syafiq turut mengangkat punggung.

"Kau nak pergi mana?"

"Kerja akulah. Aku ada appointment, nak interviu orang." Sempat Zakri menjawab dalam gerak langkahnya yang makin laju.

"Oh, okey." Syafiq menayangkan muka bingung. Terpanar pula dia apabila ditinggalkan begitu sahaja.

"Kau nak ikut tak?" Tanpa angin tanpa ribut, Zakri tiba-tiba mempelawa.

"Huh?"

"Kau tak payahlah tunjuk muka blur macam tu. Aku tahu kau tak ada nak buat apa sekarang, so, jom ikut aku. Kau tinggal kereta kat sini. Kita pergi sekali. Lepas tu aku hantar kau ke sini balik."

Perlahan-lahan kepala Syafiq terangguk sendiri, walhal dia sendiri pun tidak tahu arah tujuan sebenar Zakri. Ah, daripada bosan sendiri, ikut ajelah!

"UMI, barisan tu macam panjang aje. So, apa kata umi duduk kat sini, biar Lia pergi bayar." Lembut Dahlia menggamit ibu mentuanya agar duduk di kerusi yang memang tersedia di dalam Metrojaya.

Inilah yang kini menjadi kebiasaan mereka. Setiap sebulan sekali, dia, Puan Marina dan Darina akan menghabiskan masa bersama-sama. Girls day out, katanya. Sekadar keluar membeli-belah atau hanya berjalan-jalan. Aariz pula akan membawa Adam dan Azfar pergi memancing bersama datuk mereka.

"Tapi..."

"Umi, please... Jangan lawan cakap Lia." Cepat-cepat Dahlia menyampuk. Riak garang olok-olok ditayangkan di muka.

Spontan Puan Marina tertawa. Bukan dia tidak tahu apa yang cuba dibuat oleh menantunya yang seorang ini. Dahlia terlalu menjaga dan memanjakannya. Setiap kali mereka keluar bersama, itulah yang dibuat oleh Dahlia. Jika berjalan agak lama, pasti akan disoal sama ada patut rehat. Jika perlu membayar apa-apa, pasti Dahlia yang akan mengambil tempatnya untuk beratur.

"Lia ni terlampau manjakan umi, tahu tak?"

Dahlia memeluk lengan Puan Marina.

"Ala, nak manjakan siapa lagi kalau bukan umi?"

"Aariz kan ada untuk Lia manjakan, untuk Lia belai..."

"Umi!" Terjerit Dahlia dengan usikan ibu mentuanya.

"Eleh, buat-buat malu pula. Anak tu dah tiga, Puan Dahlia oi..." Lagi galak Puan Marina menyakat.

Memerah kedua-dua belah pipi Dahlia yang sememangnya putih melepak.

"Umi..."

"Yalah, yalah. Umi tak kacau dah..." ucap Puan Marina seraya menjatuhkan duduk di atas kerusi.

"Lia nak pergi bayar, kan? Pergilah. Umi tunggu sini, jaga Darina."

"Okey. Kalau ada apa-apa, umi panggil Lia, tau?"

"Ya, sayang. Umi tahu. Dah, pergi cepat. Nanti lagi panjang barisannya."

Dahlia mengangguk kecil lalu membawa barang-barang yang sudah dipilih ke kaunter. Sempat dia melirik kepada Puan Marina yang sedang bermain-main dengan Darina. Sungguh hatinya hangat menyaksikan pemandangan sedemikian rupa.

Seorang nenek bersama cucunya. Ibu mentua yang sudah dianggap umpama ibu kandung. Anak kecil hasil perkongsian cintanya dan Aariz. Sesaat mata Dahlia tertancap pada wajah comel Darina. Dan tanpa dapat ditahan-tahan, hatinya dihentak rasa sayu.

"PAINTER of the dark. Apa benda ni?" desis Syafiq perlahan. Risalah di tangannya dibelek beberapa kali.

"Pameran lukisan daripada pelukis terkenal, A.R.A?"

"A.R.A, kau tak kenal ke? Sekarang ni, dia memang famous gila dalam kalangan pelukis-pelukis," sampuk Zakri di sebelah.

"Aku nak interviu dia lepas launching pameran dia kejap lagi."

"Ini..." Jari telunjuk ditalakan di tengah-tengah risalah.

"Apa? Gelaran dia?"

"Yup."

"Kenapa?" soal Syafiq, penuh minat. Painter of the dark. Menarik sekali gelaran yang ditujukan buat penulis yang dikenali sebagai A.R.A ini.

"Eh, kau ni buta ke apa? Dah sah-sah sebab semua lukisan dia ni." Sedikit kasar jawapan Zakri sambil menggawang-gawangkan tangannya ke sekililing.

Syafiq segera meliarkan pandang ke dinding galeri yang menempatkan pelbagai lukisan daripada pelbagai saiz. Perhatiannya bagaikan ditarik-tarik oleh warna asas semua lukisan ini. Hitam pekat. Kelabu. Merah darah.

Walaupun dia bukanlah jenis manusia yang meminati lukisan dan boleh memahami segala maksud-maksud tersirat yang terpendam di sebalik sesebuah lukisan itu, matanya tidak buta untuk melihat dengan jelas apa yang ingin disampaikan oleh gantungan lukisan ini. Ya, apa yang terpampang di hadapan matanya kini adalah tidak lain dan tidak bukan...

"Kegelapan." Tanpa sedar, sepatah kata itu tercetus dari bibir.

"Bingo! Dan itulah sebabnya dia mendapat gelaran yang super cool macam ni."

Super cool? Huh, apa yang hebat sangat dengan gelaran seumpama itu? Bidas suara hati Syafiq. Apakah kegelapan itu menunjukkan kehebatan? Tidak. Tidak sama sekali! Dia pernah melaluinya, dan percayalah... Tiada apa yang hebat tentang sebuah kegelapan.

"Okeylah, aku nak bersiap-siap untuk PC. Kau tengoklah apa-apa yang kau nak tengok." Bahu Syafiq ditepuk sekali sebelum Zakri meninggalkan sahabatnya sendiri.

Syafiq membiarkan sahaja dan kembali mengalihkan perhatian kepada deretan lukisan-lukisan yang tergantung. Hampir setiap satu diperhati penuh asyik. Dia sendiri kurang pasti, kenapa dia seperti berminat untuk melihat dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh lukisan bisu ini.

Dia mahu mendengar apa yang cuba dilaungkan. Dia mahu menjadi satu dengan mereka. Ah, apa yang dia fikirkan ini? Sudah gilakah? Menjadi satu dengan lukisan? Syafiq menggelengkan kepala dan tergelak kecil.

Sedang dia bermonolog sendiri, kakinya akhirnya terpacak di hadapan suatu lukisan besar yang hampir menyamai ketinggiannya sendiri. Tubuhnya kaku. Matanya menjojol luas. Rahangnya terlurut ke bawah. Dan jantungnya mula berdetak aneh.

Betul-betul di hadapannya kini ialah sepasang mata yang berlinangan dengan air mata darah. Warna hitam yang menjadi warna asas belakang menyerlahkan lagi sepasang mata coklat itu dan air mata darahnya yang merah pekat.

Entah kenapa, mata itu kelihatan sedih sekali. Bagaikan menyimpan seribu kedukaan yang tidak mampu diterjemahkan dengan ucapan, tidak bisa difahami oleh orang lain dan hanya mampu disimpan kemas dalam jiwa yang penuh dengan penderitaan. Zup! Hati Syafiq tiba-tiba dihentak rasa pilu.

"Awak menderita..." Di luar kesedaran, tangan Syafiq terangkat sendiri. Dekat dan semakin dekat, hampir menyentuh lukisan tersebut. Namun, tangannya terkaku sendiri kala suatu suara halus menyentuh cuping telinga.

"Can you see me?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: