Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

"SAYANG, dah siap ke?"

Dahlia mengerling sekilas kepada suami yang sudah pun melangkah masuk ke dalam bilik kelamin mereka. Aariz memandangnya dengan mata yang menyoal. Darina yang berada di dalam dukungan pula kelihatan seronok bermain-main dengan kumis tipis bapanya. Tanpa dipinta-pinta, bibir Dahlia meleretkan senyum. Inilah dia kebahagiannya. Lelaki yang telah ditakdirkan sebagai jodohnya, pemilik tulang rusuknya dan juga bapa kepada anak-anaknya.

"Sayang..."

Lagi senyuman Dahlia melebar. Suara gemeresik suaminya benar-benar membuatkan jiwa wanitanya terasa terbuai-buai.

"Ni kenapa senyum seorang-seorang pula ni?"

Suara Aariz kini kedengaran betul-betul di belakang telinga. Dahlia mengangkat anak mata, memandang tepat pada pantulan Aariz di cermin. Pertanyaan suaminya dibiarkan berlalu pergi. Malas mahu menjawab. Kalau dijawab nanti, bermacam-macam pula usikan yang bakal dipantulkan Aariz. Bukan dia tidak kenal dengan perangai nakal suaminya.

"Alahai, dah cantik dah tu. Nak bersiap apa lagi?" omel Aariz. Matanya tidak lepas pada Dahlia yang sekejap-kejap membetulkan tudung, kemudian menempel bedak asas dan sesekali membelek-belek pakaian pula.

Dahlia tertawa halus. Kemudian dia memusingkan tubuh. Tangan kanannya mencuit pipi Darina.

"Dee sayang, tengok papa ni. Macam tak puas hati dengan mama aje."

"Hah, memang pun tak puas hati. Dah dia beria sangat bersiap untuk jumpa lelaki lain, suami mana yang tak terasa hati?" Aariz membentak. Suaranya kedengaran jauh sekali.

"Takkan cemburu kut, cik abang sayang?" usik Dahlia cukup bersahaja. Tidak terkesan langsung dengan tempelak suaminya.

Aariz senyum sesaat sebelum mendekatkan wajah pada muka isterinya.

"Cemburu kan tandanya sayang." Suaranya mengalun bisikan lembut. Mukanya pula semakin dekat dan dekat. Cepat-cepat Dahlia menonyoh pipi Aariz dengan jari-jemarinya, mengelak dan kemudian mencicit keluar dari bilik.

"Depan Darina pun nak menggatal. Tak malu!" Berkumandang komen Dahlia yang semakin menghampiri pintu.

Meledak tawa Aariz sebelum dia melajukan derap kaki. Setelah berjaya menyaingi langkah isterinya, dia memeluk bahu Dahlia dengan sebelah tangan. Dahlia segera menghentikan langkah dan menjeling bagaikan memberi amaran.

"What? Takkan peluk sikit pun tak boleh kut?" gerutu Aariz dengan muka tak bersalah.

Dahlia menguntum senyum. Ada-ada sahaja suaminya ini. Nakalnya tidak pernah surut. Darina yang sudah mula merengek mahu beralih ke dalam dukungannya, diambil lembut.

"Dia dah sampai ke, bang?" soal Dahlia sesudah mereka sama-sama menyambung langkah.

"Belum, tapi dah nak sampai rasanya. Tadi masa dia call, katanya lagi sepuluh minit."

Terangguk kepala Dahlia mendengar penjelasan Aariz.

"Akhirnya balik juga dia, kan bang?"

Aariz melirik ke sebelah, kepada si isteri yang leka memandang ke hadapan. Tanpa sedar, tangan gagahnya mula menarik bahu Dahlia agar lebih rapat. Kepala isterinya hampir-hampir sahaja berlabuh pada dada bidangnya.

Dahlia segera menengadah dengan kerutan tebal di dahi. Keanehan dengan tingkah suaminya.

"Are you okay? Dah ready nak jumpa dia?" Agak berbisik Aariz bertanya.

Kelu lidah Dahlia buat seketika. Mengingati sejarah antara dia dan Syafiq, hatinya tidak dapat menghalang sedikit rasa kurang enak yang menyerbu masuk. Namun, cepat-cepat dia menghambatnya pergi. Ya, untuk apa memikirkan semua itu lagi? Untuk apa mengingati perkara yang sudah lepas? Biarlah sejarah itu tetap kekal sebagai sejarah semata-mata.

"Sayang, kenapa senyap ni? Are you okay? Please, jangan buat abang bimbang." Suara Aariz mula bergetar dengan rasa risau.

Terselit rasa hangat di suatu sudut kalbu Dahlia. Aariz masih tetap seperti awal perkahwinan mereka, suka sangat menyoal sama ada dia okey atau pun tidak. Suka sangat membuatkan dia terasa sangat dihargai dan dijaga.

"Haruslah okey, bang. Lagipun empat tahun dah berlalu. Tak ada gunanya kita simpan rasa tentang apa yang dah lepas, kan? Nanti tak pasal-pasal pula sakit jiwa. Abang mesti tak nak isteri abang sakit jiwa a.k.a gila, kan?" Dahlia akhirnya menjawab, memberikan balasan yang dikira dapat menyenangkan suaminya.

Aariz tergelak kecil mendengarkan ayat terakhir isterinya.

"Lagipun, Syafiq sekarang macam dah berubah, kan?"

Soalan Dahlia membuatkan Aariz menyengap sejenak. Fikirannya menerawang kepada Syafiq. Ya, dia juga sedar bahawa Syafiq sekarang sudah semakin berubah. Perbualan mereka di telefon yang kadangkala itu sudah cukup untuk menggambarkan hakikat tersebut.

Apa tidaknya, nada suara adiknya selalu sahaja tenang dan lembut. Jauh bezanya dengan Syafiq yang dahulu, yang sering kali menghadiahkan orang lain dengan kata-kata membunuh.

"Abang..."

Seruan yang sayup-sayup kedengaran menyentak Aariz dan Dahlia. Serentak mereka memusatkan mata pada pintu masuk rumah. Di sebalik cahaya mentari yang memancar garang dari luar, terpacak sekujur tubuh yang sekian lama tidak ditatapi.

"Syafiq..." getus bibir Aariz dan Dahlia. Serentak.

Tanpa berlengah, Aariz melepaskan tangannya daripada bahu Dahlia dan melajukan langkah menuruni tangga. Sebaik sahaja tiba di hadapan Syafiq, pantas Aariz meraih tubuh adiknya ke dalam pelukan.

"Akhirnya Fiq balik."

Setiap inci tubuh Syafiq jadi keras. Sungguh dia tidak tahu apa yang patut dibuat. Reaksi apa yang patut diberikan. Pelik sekali rasanya menerima rangkulan daripada lelaki yang paling dibencinya dahulu. Dahlia yang berdiri tidak jauh di belakang Aariz dipandang sepi. Wanita itu hanya memerhati mereka sambil mendukung seorang anak kecil. Darina, mungkin.

"Fiq apa khabar? Sihat?" tanya Aariz setelah meleraikan pelukan.

Syafiq membungkam. Hanya sepasang matanya merenung Aariz yang menayangkan senyuman lebar. Abangnya kelihatan seperti gembira dengan kepulangannya. Langsung tidak terpalit rasa menyampah melihat wajahnya. Wajah lelaki yang telah banyak mengucar-ngacirkan kehidupan Aariz dan Dahlia.

Zup! Buat kesekian kalinya, Syafiq ditujah dengan rasa bersalah. Kenapa dulu dia buta dalam menilai betapa tulusnya hati seorang Aariz Danial? Kenapa dulu dia tegar menghancurkan dan cuba memusnahkan kebahagian lelaki ini? Dan yang paling penting... Kenapa dulu hatinya terlampau dingin dan kaku sehingga sanggup mempergunakan Dahlia demi melampiaskan rasa benci dan dendamnya? Sedangkan Dahlia tidak ada kena-mengena langsung dalam persengketaan mereka?

"Fiq..."

Panggilan Aariz segera mengembalikan Syafiq ke realiti. Cepat-cepat dia tersenyum, walau terasa kelatnya senyuman itu. Terasa sangat palsu!

"Alhamdulillah, Fiq sihat. Abang pula? Semua orang macam mana?"

"Kami semua sihat, Fiq."

Syafiq menoleh dan secepat itu juga dia menerpa ke arah tuan empunya suara.

"Umi!" Sekelip mata sahaja tubuh Puan Marina teguh berada di dalam rangkulan Syafiq.

"Umi, Fiq dah balik. Fiq dah balik..."

Menitis air mata Puan Marina. Tubuh anak bongsunya dipeluk kemas, seakan-akan tidak mahu tubuh itu pergi jauh dari dirinya lagi.

"Umi... Umi rindukan Fiq. Kenapa lama sangat Fiq pergi?"

Syafiq mendiamkan diri. Tanpa dapat ditahan-tahan, air mata lelakinya mula gugur, membasahi pipi. Namun kali ini, dia membiarkan sahaja. Biarlah dia dikatakan lemah ataupun dayus, dia sudah tidak peduli.

"Fiq minta maaf, umi..." tutur Syafiq di hujung telinga Puan Marina.

Perlahan Puan Marina melepaskan pelukannya. Wajah basah anaknya diusap-usap dengan penuh kelembutan.

Syafiq hanya terkebil-kebil sambil menggigit bibir, cuba menenangkan hatinya yang semakin sebu dengan rasa sebak. Umi, kenapa umi masih baik dengan Fiq? Dengan Fiq yang jahat ni? desis Syafiq dalam hati.

"Tak ada apa, sayang. Tak ada apa untuk umi maafkan. Yang penting sekarang, Fiq dah balik. Fiq dah ada di depan mata umi."

Pantas Syafiq meraih jari-jemari ibunya dan menggenggamnya erat.

"Fiq janji takkan pergi jauh lagi. Fiq akan jaga umi sampai bila-bila."

"Hei, takkan dengan umi aje Fiq nak peluk?" Sedang mereka bermain emosi, ada suara lain yang menyampuk.

Syafiq menoleh ke arah pemilik suara dan melepaskan genggaman tangannya.

"Abah."

Lekas Syafiq menghampiri ayahnya dan menyalami tangan lelaki itu. Lama dia tunduk, mengucup belakang tangan Tuan Haikal yang bertindak mengusap rambutnya.

"Fiq minta maaf atas semuanya, abah. Fiq banyak sakitkan hati abah." Masih lagi dalam keadaan menunduk, Syafiq bersuara lirih.

"Dahlah. Jangan diingatkan lagi perkara yang dah lama lepas," balas Tuan Haikal sambil memegang bahu Syafiq, menyuruhnya anaknya itu mengangkat kepala. Syafiq hanya mengikut tanpa kata.

"Atuk, atuk... Ni siapa?"

Tuan Haikal menundukkan kepala kepada si kecil yang sedang menarik-narik hujung bajunya. Bibirnya mengulum senyuman paling manis.

Syafiq turut menjatuhkan pandangan. Jelas di matanya seorang anak kecil yang sedang terkulat-kulat memandangnya dengan penuh minat, seolah-olah dia ialah satu makhluk asing yang baru sahaja menjejakkan kaki ke Bumi.

"Yalah, atuk... Uncle ni siapa?" Kali ini muncul satu lagi suara. Spontan Syafiq berpaling. Wajah yang sama tadi muncul. Berulang kali Syafiq memandang kedua-dua anak kecil itu. Dengan sepasang mata coklat yang membulat, kulit putih gebu, rambut hitam pekat dan bibir mungil yang merah, mereka jelas menampakkan iras wajah ibu bapa mereka.

"Adam, Azfar sayang... Jangan kacau atuk dengan uncle." Suara Dahlia menjengah telinga Syafiq. Suara yang kali terakhir didengar pada empat tahun yang lalu tetap seperti dahulu. Tegas tetapi masih dibaluti dengan kelembutan. Cuma kali ini kelembutan itu seakan-akan semakin terserlah. Mungkin itulah kelembutan seorang ibu.

Lambat-lambat Syafiq melutut dan menatap anak saudara yang tidak pernah ditemuinya. Bibirnya tersenyum manis.

"Mana satu Adam, mana satu Azfar ni?"

Timbul riak nakal pada wajah Adam dan Azfar yang saling berpandangan. Kemudian serentak mereka bersuara.

"Tekalah!"

"Ya Allah, budak berdua ni. Main-main pula dia orang," tegur Dahlia sambil menggelengkan kepala. Adam dan Azfar memang begitu. Suka benar menyuruh orang lain meneka identiti mereka. Isy, suka sangat menyakat orang! Ini mesti ikut perangai papanya.

"Sayang, biarlah. Budak-budak ni nak main-main dengan uncle dia orang." Aariz menyampuk seraya menghampiri isterinya.

"Nampak sangat perangai dia orang tu ikut perangai abang," sindir Dahlia kepada Aariz yang hanya tergelak kecil.

Dari ekor mata Syafiq dapat melihat dengan jelas abang dan kakak iparnya yang sedang ketawa galak. Terserlah kebahagian pada wajah kedua-duanya. Timbul sedikit rasa cemburu dalam hatinya. Tetapi dia sedar bahawa dia tidak layak pun untuk punya rasa cemburu begitu. Bahkan, dia sebenarnya tidak layak pun untuk punya keinginan untuk bahagia. Tidak layak!

"Uncle... Uncle... Uncle belum teka lagi."

Syafiq kembali menghadap dua anak kecil di hadapannya. Kemudian dia memegang bawah dagu bersama kening yang terangkat tinggi.

"Kalau uncle dapat teka, uncle akan dapat apa?"

Adam dan Azfar berpandangan. Salah seorang daripada mereka menyoal.

"Uncle nak apa?"

"Hmmm... Nak apa, ya?" tanya Syafiq, sekadar melayan kerenah anak saudaranya.

"Nak kiss daripada..."

"Adam." Syafiq mencuit pipi kanak-kanak di sebelah kanannya.

"Dan Azfar." Kali ini pipi si kecil di sebelah kiri pula yang dicuit.

"Macam mana uncle tahu... Adam ni Adam?" soal Adam dengan terpinga-pinga.

"Azfar ni... Azfar?" tanya Azfar pula.

"Sebab..." Syafiq menggerakkan keningnya atas bawah.

"Uncle kan memang hebat. Uncle tahu semua benda. Macam Doraemon!"

Tertawa kecil Syafiq dengan pengakuannya sendiri.

"Haah, uncle hebatlah! Adam suka!"

"Uncle macam Doraemon! Azfar pun suka!"

Tanpa disangka-sangka Adam dan Azfar meluru ke arah Syafiq. Tubuhnya dipeluk erat sebelum pipinya dicium bertalu-talu. Tergamam Syafiq dengan tindakan anak saudaranya. Pegun dia di dalam rangkulan mesra sebelum lambat-lambat dia akhirnya membalas. Menerima pelukan sedemikian, timbul rasa dihargai dalam dirinya. Ya, terasa dirinya punya nilai dalam hati orang lain.

"Isy, budak-budak ni. Naik lunyai Syafiq dibuatnya." Dahlia yang melihat mengomel sendiri.

"Bukannya nak disalam pak ciknya, dah dibuat macam nak wrestling aje Lia tengok."

Aariz tergelak besar sebelum mendekati anak-anaknya.

"Adam, Azfar... Dahlah tu. Uncle letih tu. Jangan kacau lagi."

Usai mendengar kata-kata bapa mereka, Adam dan Azfar sama-sama melepaskan pelukan. Syafiq kemudiannya bangun dan berdiri.

"Kalau Adam dengan Azfar nak tahu, uncle ni adik papa," jelas Aariz kepada anak kembarnya.

Adam mengerunyutkan dahi.

"Macam Adam dengan Azfarlah?"

"Ya, sayang."

"Tapi muka papa tak sama dengan muka uncle," balas Azfar pula.

Meledak tawa semua orang. Geli hati mereka dengan soalan naif si cilik Azfar yang hanya termangu-mangu tidak mengerti.

"Papa dengan uncle bukan kembarlah, sayang," sampuk Dahlia pula.

"Sama macam Azfar dengan Adam... Abang kepada baby Dee, tapi bukan kembar."

Terangguk-angguk kepala Adam dan Azfar.

"Ooo, macam dengan baby Dee."

Syafiq menalakan pandang kepada Dahlia. Kejanggalan mula menyelubungi dirinya. Tidak tahu bagaimana harus mempamerkan reaksi di hadapan kakak iparnya, merangkap bekas tunangannya. Juga, gadis yang sudah banyak dilukainya.

"Syafiq, welcome back." Tenang Dahlia bersuara. Sedaya upaya dia cuba berlagak biasa. Tidak mahu menampakkan rasa kekok. Lagipun dia juga boleh melihat dengan jelas ketidak selesaan yang dipamerkan oleh Syafiq. Dan sungguh, dia tidak mahu adik iparnya terus-terusan berasa begitu. Apa yang lepas, biarlah berlalu pergi. Tidak ada gunanya diungkit-ungkit kembali.

"Errr... Ya, ya... Thanks." Sedikit tergugup-gagap Syafiq menjawab.

"Fiq, pergilah rehat. Mak Jah dah siapkan bilik Fiq. Lepas ni kita makan sama-sama. Banyak yang umi dengan abah nak catch up dengan Fiq," sambung Dahlia lagi. Sempat matanya mengerling kepada uminya yang terangguk-angguk. Jelas riak gembira pada wajah itu. Dahlia sedar, umilah orang yang paling bahagia dengan kepulangan anak kedua yang dinanti-nanti selama ini.

Syafiq mengangguk kecil. Bibirnya masih seperti tadi. Kelu untuk menitipkan bicara. Ya Tuhan! Dia benar-benar buntu dalam berhadapan dengan Dahlia. Jika pada awal kepulangannya tadi, dirinya penuh dengan keazaman untuk berdiri tegak di hadapan gadis itu dan mengucapkan kata maaf, tetapi kini dia jadi bungkam sendiri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: