Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

TANPA menghiraukan Nuha yang sedang elok menonton televisyen, Adra melangkah laju ke arah bilik tidurnya.

Sesudah menarik beg sandang di bahu dan membalingnya ke arah dinding, dia menyerbu ke bilik air. Berdentum pintu bilik air yang ditutup kuat. Usai terpacak di hadapan singki, dia menarik keluar tudung yang dipakai, melemparnya ke atas lantai dan menyimbah muka dengan air. Berkali-kali sehingga menyebabkan sebahagian rambut paras bahunya menjadi basah.

"Adra! Adra, kau okey tak?"

Pertanyaan Nuha dari luar menyapa gegendang telinga, disertai dengan bunyi ketukan. Langsung dia tidak membalas. Dibiarkan sahaja Nuha terpekik-pekik sendiri. Sebaliknya, Adra memandang tepat pada wajah gadis yang terpantul pada cermin. Gadis yang terpalit dengan kesan tangisan di kedua-dua belah pipinya.

Kau ni kenapa, Ara? Tak reti-reti ke berhenti menangis? Berapa lama lagi kau nak jadi lembik macam ni?! tempik Adra dalam hati.

Telapak tangannya dihentak ke atas sisi singki. Kuat dan kasar. Kesakitan mula menyirap dalam pembuluh darah di tangannya. Akan tetapi Adra mengendahkan sahaja, seolah-olah tidak terkesan langsung rasa perit itu dalam dirinya.

Kemudian lambat-lambat dia menyapu wajahnya yang basah dan menegakkan tubuh. Riak muka tanpa perasan kembali ditayangkan, mencipta topeng yang sekian lama menjadi watak utama dalam pementasaan ciptaannya sendiri. Langkah kakinya diangkat setapak demi setapak sebelum dia memulas tombol pintu.

"Adra..."

Adra mengangkat bebola mata kepada Nuha yang masih lagi tercegat di luar pintu bilik air. Air muka kerunsingan terserlah pada wajah teman serumahnya.

"Berapa kali aku nak kena cakap? Jangan panggil aku Adra." Sinis sekali suara Adra. Renungannya tajam memanah.

Nuha menggigit bibir. Dia terlupa lagi. Adra, sahabatnya ini memang pantang jika orang memanggilnya dengan nama Adra. Entahlah, dia sendiri pelik. Kalau sudah namanya Nur Adra, mahu dipanggil apa lagi?

"Sorry. So, kenapa ni? Kau okey tak ni?"

"Aku nampak tak okey, ke?" Adra bermain soalan, masih lagi dengan suara yang dingin membeku. Kemudian dia berjalan melepasi Nuha dan menghempaskan tubuh ke atas katil.

"Tak adalah. Tapi..."

"Kalau pun aku tak okey, itu urusan aku. Kau tak payah masuk campur," cantas Adra agak keras.

Terlepas keluhan dari mulut Nuha. Sejak mengenali Adra tiga tahun yang lepas, gadis itu tidak sudah-sudah dengan 'urusan aku'. Urusan apa, sehingga kala ini tidak pernah dikhabarkan. Yang pasti, Adra sentiasa berkeluh-kesah. Satu-satunya saat sahabatnya itu akan tenang adalah tika menconteng dan melukis di atas kanvas kosong sebelum menukarkan kekosongan itu kepada hasil seni yang unik dan gelap.

Ya, di dalam dunia lukisan, siapa yang tidak kenal A.R.A, pelukis yang mendapat jolokan nama 'Painter Of The Dark'? Sesiapa yang tidak pernah melihat hasil tangan Adra, pasti akan mengerutkan dahi, berasa hairan dengan gelaran sedemikian. Namun, tika pandangan mata mereka melekap pada setiap lukisan Adra, pasti mereka akan memahaminya.

"Aku tengah bad mood. Kau keluar, boleh tak?"

Permintaan Adra yang lebih menyerupai sebuah arahan segera mematikan lamunan Nuha. Wajah kelat Adra dipandang sekilas. Bad mood? Huh, bila masanya Adra tidak bad mood? Kalau tiba-tiba dia dalam keadaan mood yang baik, itu sudah umpama keajaiban dunia yang kelapan!

"Kau tunggu apa lagi?!" Kasar sungguh suara Adra sebelum dia melekatkan lengan ke atas dahi. Matanya ditutup rapat bersama rasa lelah dalam hati. Beberapa saat kemudian, bunyi pintu bilik yang ditutup singgah di hujung telinga.

Adra melepaskan nafas dan membuka matanya kembali. Seakan-akan terbayang lagi wajah Nizam dalam kotak memorinya. Ya, Nizam yang sedang bercakap di telefon bimbit sambil ketawa dan menonong berjalan tanpa memandang sesiapa pun. Sungguh! Langsung tidak terjangkau dek akal fikiran Adra bahawa pemergiannya ke KLIA tadi untuk menghantar Soraya akan menemukan dia dengan manusia yang paling dibencinya itu.

Saat dia melihat senyuman Nizam tadi, hati Adra umpama dirobek kejam dan dicencang lumat tanpa secebis pun belas kasihan. Huh, berani kau tersenyum lebar, ketawa riang setelah apa yang kau dah buat kepada aku? Setelah kau jahanamkan hidup aku?!

"Aku akan tetap cari kau, Nizam. Walau sampai ke lubang cacing sekali pun. Aku akan pastikan kau musnah dengan kedua-dua tanganku sendiri." Dengan wajah tanpa emosi dan tangan yang dikepal kuat, Adra berdesis.

"Walaupun itu bermakna aku sendiri yang akan hancur lebur," sambung Adra setelah suatu sudut hatinya dicucuk dengan rasa seriau dan seram yang bukan sedikit.

Seketika kemudian, wajah lelaki penyibuk yang memandangnya tanpa perasaan tadi pula menjelma. Yang enak-enak sahaja menyindir dan memarahinya. Serta-merta berganda perasaan berang dalam hati. Ah, kalau bukan kerana lelaki itu, pasti Nizam sudah jatuh ke dalam genggamannya.

"It is you. It is really you."

Sekonyong-konyong bait bicara itu berdengung di peluput telinga. Tergaris kerutan tebal di dahi Adra. Apa maksud lelaki itu? Siapa dia? Apakah mereka saling mengenali? Dan yang paling penting...

Bingkas Adra bangun dan menyeluk saku seluar jeannya. Sekeping not RM20 yang terpampang di hadapan mata, diteliti dengan rasa aneh.

"Apa yang kau bagi, aku akan balas. So, kosong...Kosong."

Sedikit demi sedikit anak mata Adra mula membuntang. Dia!

TERATAK yang suatu ketika dulu menjadi sebahagian daripada hidupnya dipandang lama. Dari luar, rumah ini kelihatan sama. Dengan pintu pagar besi dari warna hitam yang tinggi dan berukir indah, struktur dua tingkat yang gagah berdiri dan pokok-pokok menghijau yang menjadi penemannya.

Ya, semuanya sama. Seolah-olah dia hanya meninggalkan rumah ini selama semalaman sahaja. Walhal, sudah empat tahun berlalu sejak dia memacakkan diri di ruang tamu dalam sebuah ketegangan, dengan segala macam emosi yang bertaburan keluar. Juga, dengan hukuman yang dijatuhkan kepadanya.

Lambat-lambat Syafiq menarik nafas dan memejamkan mata. Sekonyong-konyong segala memori silamnya menerjah masuk. Inilah rumah yang terlalu banyak menyimpan siapa dirinya. Menyimpan kedukaannya, lukanya, kejahatannya dan semestinya kekejaman seorang manusia yang tidak layak bergelar manusia.

Dan itulah dia. Tuan Syafiq Tuan Haikal.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: