Bab 14
"KENAPA dengan Syafiq?"
Puan Marina menoleh ke arah suaminya yang baru sahaja menapak masuk ke dalam bilik.
"Entahlah, bang. Katanya ada kawan masuk hospital. Ina risaulah. Entah dah makan ke belum tu."
"Ina ni... Nak risau apanya? Tahulah Syafiq jaga diri dia sendiri. Budak tu kan dah besar panjang. Dah tiga puluh dua tahun dah pun. Dah boleh jadi bapa budak," gumam Tuan Haikal sambil menanggalkan songkok di atas kepala dan meletakkannya di atas almari.
Terlepas gelak kecil dari mulut Puan Marina.
"Yalah, kan bang? Kalau diikutkan umur tu, memang dah layak jadi bapa orang. Tapi..." Tiba-tiba wajahnya bertukar keruh.
"Tapi, apa?" tanya Tuan Haikal seraya menjatuhkan duduk di sebelah isterinya, di beranda mahu sama-sama menikmati angin malam.
"Lepas apa yang dah terjadi, dia macam... Dah tak peduli pasal hal kahwin ni."
Tuan Haikal membulatkan mata.
"Hah, jangan pula Ina nak jodohkan dia dengan sesiapa lagi."
"Isy, abang ni." Puan Marina memuncungkan mulut. Geram pula apabila ditegur begitu.
"Bukan itu maksud Ina. Ina cuma harap sangat yang Syafiq akan jumpa jodohnya sendiri. Ina nak juga tengok dia bahagia macam abang dia, macam Aariz dan Dahlia tu."
Hangat hati Puan Marina tika membicarakan soal Aariz dan Dahlia. Anak dan menantu yang sangat disayangi. Perkahwinan yang terjalin atas sebab dirinya yang sakit, lebih kurang lima tahun yang lepas membuahkan hasil percintaan yang sangat utuh.
Benarlah kata orang, pernikahan yang disulami restu orang tua dan keredaan Allah Taala, pasti akan membawa kepada kebahagiaan. Tambahan pula, Dahlia telah bermati-matian cuba mempertahankan ikatan suci tersebut hinggalah dapat membuka dan merawat hati Aariz yang penuh dengan luka dan parut yang dalam.
Namun, kala teringatkan Syafiq pula, hati Puan Marina dipagut rasa sayu. Apa yang telah berlaku kepada Syafiq, sedikit sebanyak berpunca daripada dia dan suaminya. Dalam menjaga dan melindungi Aariz Danial, mereka tanpa sedar telah melukakan hati seorang lagi anak mereka, Syafiq.
Natijahnya, hati yang terluka itu telah menukar Syafiq menjadi seorang lelaki yang penuh dengan kebencian dan dendam. Benci kepada abang sendiri yang dianggap tidak ubah seperti perampas semata-mata.
Mujur sekali, kini dia telah berubah. Akan tetapi, Syafiq tetap bersendiri, tanpa mahu punya seorang wanita dalam hidupnya. Seorang wanita yang bergelar isteri. Seorang wanita yang bakal melengkapkan hidupnya sebagai seorang lelaki.
"Hmmm, tipulah kalau abang cakap yang abang tak nak Syafiq bahagia macam Aariz. Tapi, Ina... Kita kena sedar. Semua itu ialah ketentuan Allah. Mungkin saja belum tiba masanya, atau mungkin juga Syafiq sendiri yang belum cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Kita tak tahu, kan?" Tenang sekali bicara Tuan Haikal. Dalam berhadapan emosi isterinya, dia yang perlu bertindak sebagai penenang dan mengawal keadaan.
"Mungkin betul cakap abang tu. Apa yang boleh kita buat cuma mendoakan dia, kan?"
Puan Marina menyetujui tutur kata suaminya. Dia sedar untuk apa tertanya-tanya akan sebuah takdir yang telah tertulis buat Syafiq. Itu semua bukan kerja manusia seperti mereka. Sesungguhnya qadak dan qadar itu ialah kerja Yang Maha Kuasa dan Dia yang mengetahui segala sesuatu.
Lagipun, cukuplah sekali dia cuba bermain dengan ketentuan jodoh. Saat dia beria-ia menjodohkan Syafiq dengan Dahlia, ternyata Allah telah menitipkan di lohmahfuz bahawa jodoh Dahlia ialah Aariz Danial. Dan Aariz Danial ialah pemilik tulang rusuk Dahlia Darius.
"Betul tu. Kita doakan Allah buka pintu hati Syafiq dan temukan dia dengan sebaik-baik wanita yang sememangnya jodoh dia. Lebih-lebih lagi Ina."
Puan Marina berpaling ke arah suaminya. Jelas kerutan yang terbentang di atas dahi.
"Kenapa dengan Ina?"
Tersimpul senyum kecil di bibir Tuan Haikal.
"Ina kan ibu dia. Doa seorang ibu ini lebih makbul, lebih dekat dengan Allah."
"Tapi itu tak bermakna abang tak boleh doakan dia juga, kan?" balas Puan Marina, separuh mengusik.
Tuan Haikal tergelak halus.
"Mestilah abang doakan juga. Abang sentiasa doakan untuk semua orang dalam keluarga ni. Untuk Ina, untuk Aariz, Dahlia, Syafiq... Semuanya."
Lebar senyuman Puan Marina.
"Terima kasih, bang."
"Terima kasih apanya, Puan Marina oi? Itu kan memang tanggungjawab abang sebagai ketua keluarga."
Puan Marina hanya mendiamkan diri. Dalam hati, dia memanjatkan kesyukuran kerana dikurniakan seorang suami yang cukup menyayanginya. Tuan Haikal, suaminya tidak pernah berhenti menyokong dan menjadi tulang belakang dalam perjuangannya melawan kanser perut sehinggalah dia sembuh.
Suaminya juga senantiasa tenang dalam melayan kerenahnya yang bermacam-macam. Jika ada kata-kata yang berupa, di belakang setiap lelaki yang berjaya, pasti ada seorang wanita, bagi Puan Marina pula... Di belakang seorang wanita, ada juga seorang lelaki. Bukankah lelaki dan wanita itu saling melengkapi antara satu sama lain?
DARINA yang sudah lena di dalam katil bayi diselimuti penuh hati-hati. Tidak sesaat pun Dahlia melarikan pandang daripada wajah comel anak bongsunya. Sungguh dia menyayangi anak-anaknya, melebihi nyawanya sendiri.
Namun, entahlah... Mengingati apa yang telah berlaku sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Dahlia jadi runsing. Dia jadi sebak. Lebih-lebih lagi, kala menatap wajah Darina. Hatinya akan jadi berserabut dengan bermacam-macam perasaan. Dan sungguh, dia sudah tidak mampu bertahan lagi. Dia harus menamatkan semua ini!
"Assalamualaikum..."
Cepat-cepat Dahlia menukar air mukanya. Tidak mahu Aariz yang tiba-tiba tersembul dari sebalik muka pintu, perasan akan rasa sayu yang bermukim dalam hati.
"Waalaikumussalam. Dah balik?" Sekilas Dahlia mengerling kepada suaminya sebelum kembali meletakkan perhatian kepada Darina. Dibiarkan sahaja Aariz yang semakin merapati.
"Abang takkan ada kat sini kalau belum balik, sayang." Suara gemeresik Aariz kedengaran dekat benar. Sesaat cuping telinga dikucup. Pantas Dahlia memegang telinganya.
"Abang! Gelilah!" Tertahan-tahan suara Dahlia, tidak mahu Darina tersedar daripada lena.
Aariz tergelak halus. Kemudian dia menghulurkan tangan dan mengusap kepala Darina dengan penuh kasih. Ciuman hangat melekat di atas ubun-ubun anak kecilnya.
"Sweet dream, my princess."
Mengulum senyum Dahlia. Aariz suka benar memanggil anak perempuan mereka dengan panggilan 'my princess'. Pernah juga disoal mengapa, jawapan Aariz sangat ringkas.
"Bagi seorang ayah, anak perempuannya ialah his princess. And will always be his princess."
"Abang dah makan?" tanya Dahlia seraya mengambil tempat di meja solek. Sebotol losyen diambil dan dipicit ke telapak tangan. Dengan gerak perlahan dan lembut Dahlia menyapukannya pada tangan, lengan dan kemudian pada leher.
Tertancap pandangan mata Aariz pada leher isterinya yang putih gebu. Inilah dia keindahan isteri yang istimewa hanya untuk tatapan dirinya, sang suami. Sedikit demi sedikit terselit rasa bangga di celah hati kerana hanya dia... Ya, hanya dia yang berhak dan menjadi pemilik kepada keindahan tubuh isterinya.
Kerana itulah seorang wanita perlu menutup auratnya daripada lelaki bukan mahram. Sesungguhnya, sekujur tubuh wanita itu terlalu bernilai untuk menjadi santapan mata ramai lelaki yang tidak berhak.
"Abang, Lia tanya ni..." gesa Dahlia saat perasan soalannya yang tidak berbalas. Ikatan rambut dileraikan, membiarkan rambut panjang miliknya lepas bebas. Jari-jemari digunakan untuk menyikat rambutnya sebelum dia mengambil berus rambut dan merapikannya.
Lunak renungan mata Aariz kepada isterinya. Dia gemar melihat Dahlia dengan rambut yang terurai begitu. Tampak sangat manis dan seksi di matanya. Selama ini tidak pernah langsung dia merasakan begitu terhadap rambut mana-mana perempuan, tetapi Dahlia sangat berlainan. Dahlia ialah wanita yang tidak perlu langsung untuk berbuat apa-apa yang menggoda, tetapi cukup untuk membuatkan hati Aariz Danial bergetar hebat.
"Abang..."
"Dah. Lepas tahlil tadi ada makan-makan sikit." Aariz akhirnya menjawab. Langkahnya diangkat ke arah almari. Pintu almari dibuka sebelum dia mengeluarkan baju tidurnya. Baju Melayu yang tersarung di tubuh ditarik keluar dan digantikan dengan baju T berwarna biru gelap. Elok sahaja baju T tersebut melekap pada tubuh tegapnya, kain pelekat pula digantikan dengan seluar trek panjang.
"Oh, baguslah. Kalau tak, Lia boleh pergi turun sediakan makanan untuk abang."
Aariz menoleh dan menjongket kening kepada isteri yang kini sudah beralih tempat ke birai katil.
"Takut benar cik abang kesayangan Lia ni kebuluran, ya?"
Tercetus tawa dari bibir Dahlia.
"Yup. Takut sangat-sangat! Tak naklah suami tercinta Dahlia Darius ni tak cukup makan. Perut abang tu..."
"Tanggungjawab Lia," sambung Aariz dengan lembut seraya menjatuhkan punggung di sebelah isterinya. Itulah yang sering kali dituturkan oleh Dahlia sejak awal perkahwinan mereka.
"Tahu tak apa!"
Aariz melebarkan senyum. Tercuit sungguh hatinya dengan keletah isterinya yang bermacam-macam. Keletah yang selalu sahaja menyenangkan jiwa raganya, membuatkan dia berasa sangat bahagia.
Dahlia menatap wajah manis suaminya. Inilah senyuman yang menjadi dambaan hatinya. Aariz yang sedang tersenyum benar-benar punya kuasa untuk membuatkan hatinya berdetak dengan bunga-bunga cinta. Maka kerana itu, dia sanggup melakukan apa sahaja demi lelaki yang seorang ini, demi rumah tangga mereka dan semestinya demi anak-anak mereka.
Perlahan-lahan Dahlia menghela nafas. Hatinya berdoa agar Aariz akan menerima apa yang bakal dituturkan.
"Abang..."
"Hmmm..."
"Pasal apa yang kita cakap hari tu..."
Berubah riak wajah Aariz. Senyuman yang tadi terbentang di muka semerta hilang lenyap, digantikan pula dengan air muka serius.
"Abang tak nak dengar pasal tu."
"Tapi..."
"Dahlah tu, Lia. Kan abang dah cakap sebelum ni yang abang tak setuju," pintas Aariz dengan cukup tegas.
"Abang..." rengek Dahlia.
"Sayang." Pendek balasan suara Aariz. Kepalanya digelengkan sekali, memberikan isyarat bahawa dia tidak mahu meneruskan perbincangan. Lagipun, sudah acap kali mereka bercakap hal yang sama. Sejak sebulan yang lepas. Dan dia tetap dengan keputusannya.
Dahlia merengus dan menarik muka masam. Sungguh dia tidak berkenan dengan cara Aariz yang tidak mahu mendengar kata, atau sekurang-kurangnya berbincang betul-betul. Ini tidak, semuanya harus dicantas sebelum sempat dia mengatakan apa-apa. Huh, degil!
Melalui ekor mata, Aariz mengerling pada wajah cemberut isterinya. Dia tahu Dahlia marahkannya, terasa hati dengannya. Tetapi, keputusan yang telah dia ambil ialah demi isterinya itu. Ya, semuanya demi kebaikan Dahlia sendiri. Dan dia yakin lambat laun Dahlia pasti akan mengerti.
"Lia sayang..." seru Aariz, cuba memujuk.
Panggilan Aariz tidak dipedulikan. Dibiarkan sahaja berlalu tanpa balasan. Sengaja Dahlia mahu menunjukkan rupa protesnya. Wajahnya dimasamkan. Bibirnya dimuncungkan. Malahan, langsung dia tidak memandang muka suaminya.
Aariz tersenyum kecil. Tidak terkesan dengan protes isterinya. Bahkan wajah marah Dahlia membuatkan dia rasa lain macam. Terasa mahu mengusik pula. Dahlia Darius yang marah memang tersangatlah comel! Lalu...
Chup!
Buntang mata Dahlia menerima kucupan di pipi kirinya. Spontan dia menoleh ke sebelah.
"Abang!"
Meledak tawa Aariz.
"Itulah, siapa suruh tunjuk muka marah-marah macam tu lagi? Lia tak tahu ke?"
"Tahu apa?"
"Dahlia Darius yang sedang marah macam ni, sangatlah comel. Cute!" Dengan gaya perlahan dan menggoda, Aariz kemudiannya merapatkan wajah ke muka Dahlia dan berbisik lembut di hujung telinga isterinya.
"Dan apabila dia cute, dia akan jadi sangat menggoda."
Membahang kedua-dua belah pipi Dahlia. Jantungnya berdegup laju. Aduh, walau selepas bertahun-tahun lamanya, Aariz tetap mampu menggetarkan hati dan jiwa raganya.
"Aik, senyap? Malulah tu."
Laju Dahlia menampar dada Aariz. Manja sekali.
"Abang ni kan! Orang serius... Orang marah, dia main-main pula. Dah tak betul gamaknya."
Lagi Aariz menghamburkan tawa galak.
"Abang!"
"Dahlah. Jangan duk panggil abang-abang lagi. Nanti tak pasal-pasal pula abang tarik sayang masuk bawah selimut. Macam-macam jadinya nanti," usik Aariz di sebalik sisa tawanya.
"Dia ni kan, sempat aje nak menggatal..." bebel Dahlia perlahan. Geram pula apabila asyik disakat begitu. Sudahlah dia pada asalnya mahu berbincang soal yang serius. Soal yang bakal menentukan arah tuju masa depannya. Tetapi, Aariz... Huh, banyak pula songehnya! Bukan mahu dibawa berbincang.
Aariz membiarkan sahaja isteri yang sedang terkumat-kamit mengomel tentangnya dirinya. Alah, Dahlia... Bukan boleh berlama-lamaan marah atau punya rasa tidak puas hati kepadanya. Lambat-lambat Aariz mengangkat punggung daripada birai katil.
"Eh, abang nak ke mana?" Segera Dahlia menyoal.
Aariz menoleh kepada isteri yang sedang menengadah kepadanya.
"Abang nak pergi tengok si kembar tu kejap. Kenapa? Lia nak abang tarik Lia masuk bawah selimut ke?" Aariz menyakat lagi di hujung bicara.
"Abang!"
"Yalah... Yalah, abang tak kacau Lia dah..." ucap Aariz. Namun, sebelum menghilang dari sebalik pintu, sempat juga dia mengenyit mata kepada isterinya.
Dahlia tersenyum kecil sambil menggelengkan kepala.
Aariz... Aariz, awak memang tak pernah berubah, kan? Nakalnya, ya ampun! Tapi...
Senyuman Dahlia kembali hambar, lantas mengembalikan dia kepada air muka yang keruh dan kelat. Aariz yang sama itu juga membuatkan dia jadi kegeraman. Kerana sikap yang tak pernah berubah itulah, Dahlia jadi cukup sukar untuk memujuk suaminya agar menukar keputusan.
"Abang buat ni kerana Lia. Abang tak boleh izinkan apa yang Lia nak tu demi kebaikan Lia. I am doing this for your sake, okay?"
Itulah patah-patah kata yang sering digunakan oleh Aariz. Semuanya kerana dia. Kerana Dahlia Darius. Tetapi, tidakkah lelaki itu mengerti bahawa keputusannya juga ialah demi suaminya? Ah, Aariz terlalu baik hingga ke satu tahap Dahlia merasakan bahawa kebaikan itu kadangkala tidak bertempat.
"Okey, tak apa. Abang belum kenal Lia agaknya. Lia takkan berhenti hingga Lia dapat apa yang Lia nak," tutur Dahlia perlahan. Ya, Aariz Danial mungkin punya kebaikan tidak bertempat, tetapi Dahlia Darius punya kedegilan dan keazaman untuk membetulkan apa yang tidak bertempat itu.
Let's just wait and see, desis Dahlia dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro