Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

"AWAK tak apa-apa ke?"

Syafiq mencangkung di sisi gadis yang terjelepok di hadapannya. Baru sahaja dia mahu menyentuh bahu, tangannya terlebih dahulu ditepis.

"Kau tak payah sibuk-sibuk dengan hal aku."

Tersungging senyum sinis di bibir Syafiq. Kalau diikutkan hati, memang dia tidak ingin sibuk-sibuk di sini, dan menyusahkan diri sendiri menengok-nengokkan perempuan yang memang jelas tidak mahu dijaga.

Tetapi, dia bukanlah berhati batu mahu membiarkan sahaja seorang perempuan yang tampak pucat dan lemah. Ya, dia sendiri bukanlah baik sangat orangnya tetapi... Argh! Dia memang tak boleh biarkan perempuan yang bernama Nur Adra ini.

"Untuk pengetahuan awak, saya memang tak mahu sibuk-sibuk dengan hal awak. Tak ingin pun! Tapi, what do you expect from me? Dah terpampang depan mata saya, lelaki tu cuba buat sesuatu tadi dan awak pun..." Syafiq mengangkat anak matanya ke atas bawah melihat Adra.

"Nampak teruk sangat ni. Jadi, apa yang patut saya buat? Tell me!"

"Kau nak tahu apa yang kau boleh buat? Kau tak nampak pintu kat sana tu? Kau boleh keluar."

Syafiq menjeling ke arah pintu galeri yang sebenarnya tidak kelihatan pun dari sebalik dinding. Huh, nampak sangat dirinya dihalau.

"Okay, fine! As you wish." Bingkas Syafiq bangkit dan menapak pergi. Namun baru sahaja beberapa langkah, dia memakukan kembali kakinya ke lantai. Kedua-dua belah tangan dikepal dan kemudian dia mengeluh kuat. Aish!

Tanpa menunggu lama, Syafiq memusing kembali tubuhnya. Pandangannya melekat kepada Adra yang terkial-kial bangun daripada duduknya. Wajah pucat tidak berdarah terserlah di sebalik ketenangan yang cuba dibuat-buat. Dia ini memang tak reti-reti ke untuk berhenti berlakon? Apalah yang dia dapat dengan berbuat begitu? Bajet kuat sangat!

Dengan gaya membentak-bentak, Syafiq mendekati Adra dan memegang lengannya.

"Awak tak payah banyak songeh. Just let me help you," tekan Syafiq saat perasan tingkah gadis itu yang baru mahu membuka mulut.

"Oh, don't worry. Saya tak kira kita terhutang budi ke apa ke. Kita tetap kosong-kosong." Sempat Syafiq menyindir di hujung bicara.

"Aku boleh jalan sendirilah. Tak payah pegang-pegang!" bentak Adra sambil merentap lengannya.

Semerta Syafiq melepaskan tangannya dan membiarkan sahaja Adra terhuyung-hayang cuba mencapai tombol pintu yang berdekatan. Eh, dia ni memanglah! Degil sungguh!

Tanpa berlengah, Syafiq membuka pintu tersebut. Sempat dia menangkap jelingan tajam gadis itu saat meloloskan diri ke dalam, menghempap daun pintu betul-betul di hadapan mukanya dan lantas meninggalkan dia terpaku di situ. Seketika Syafiq terkebil-kebil sahaja, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Patutkah dia berlalu pergi atau kembali kepada Adra yang belum tentu lagi keadaannya? Aduh, yang aku risau sangat pasal dia ini, kenapa?

Setelah beberapa minit berbolak-balik begitu, akhirnya Syafiq mengangkat tangan dan memegang tombol pintu tersebut.

Kau memang dah gila, Syafiq! kutuk Syafiq kepada diri sendiri dalam hati. Tetapi entahlah, dia tidak mampu untuk membawa dirinya pergi dan membiarkan sahaja Adra sendirian setelah apa yag berlaku.

Sedikit demi sedikit dia menolak daun pintu. Sebelah kaki diangkat masuk sebelum dia akhirnya berdiri elok di dalam sebuah bilik sederhana kecil. Bilik untuk Adra menyiapkan apa-apa sebelum pameran mungkin. Atau mungkin sahaja sekadar stor untuk menempatkan lukisan sebelum digantung dan selepas diturunkan. Sepasang mata Syafiq mula meliar pada sekeliling bilik sebelum tiba-tiba...

"Ya Allah! Adra!!!"

"SO, macam mana tadi? Apa dia cakap?"

Pertanyaan yang menerpa telinga hanya dibalas dengan rengusan kasar. Hatinya berkempul-kempul dengan amarah. Masih terasa betapa berdesingnya telinga dia saat bait bicara perempuan itu terpantul keluar.

"Aku akan pastikan kau menderita sebelum kau mampus."

Huh! Apa yang kau boleh buat, Adra? Kau tu bukan sesiapa pun. Hanya seorang perempuan lembik yang keluarga sendiri pun tak ingin. Ada hati mahu mencabar Chairul Nizam Tan Sri Naufal! desis Nizam dalam hati.

"Young man, do you hear me? I am talking to you."

Nizam mengerling ke arah lelaki separuh umur yang sedang memeluk tubuh sambil merenungnya. Tegak berdiri di hadapan muka pintu bilik. Seperti selalu, ayahnya menayangkan wajah serius, berkarisma dan mungkin juga...Tidak berperasaan.

"Papa..."

"So, macam mana dengan hal itu?" Tanpa menyapa anaknya, Tan Sri Naufal terus sahaja menebak dengan persoalan yang tidak henti-henti bermain dalam akal fikirannya. Kakinya diangkat masuk ke dalam bilik tidur anaknya.

Terlepas keluhan dari mulut Nizam.

"Dia tak mahu terima."

"What?!" Buntang mata Tan Sri Naufal.

"Is she crazy? Perempuan jenis apa dia tu? Atau..." Matanya dicerlung penuh syak wasangka.

"Zam tersilap cara? Apa yang kamu dah cakap kepada dia?"

"Macam yang kita pelanlah, pa. Zam bagi tahu dia yang Zam akan bertanggungjawab atas apa yang dah terjadi."

Walaupun aku tak ingin langsung! Untuk apa bertanggungjawab atas benda kecil macam tu? Eh, kat luar sana tu... Berlambak perempuan yang nakkan aku! Adra tu sepatutnya gembira sebab aku pernah pandang dia... sambung Nizam dalam hati dengan cukup sebal.

Ya, kalau tidak kerana rancangan gila ayahnya, tidak kemaruk untuk dia pulang dari Los Angeles dan pergi menghadap perempuan itu. Yang lagi teruk, dia dipaksa untuk bertanggungjawab? Eh, kalau dia mahu... Dia sudah pun berbuat begitu dua belas tahun yang lalu!

"Kamu explain kepada dia tak? About the whole marriage thing?" desak Tan Sri Naufal. Kali ini dia sudah pun melabuhkan punggung dia atas sofa, menghadap anak lelaki tunggalnya.

"Tak sempat pun," jawab Nizam endah tak endah.

"Apa?"

"Baru aje Zam buka mulut, dia dah mengamuk. So, manalah Zam sempat explain lebih lanjut. Dia tu, untuk pengetahuan papa..." Nizam menengadah kepada ayahnya.

"Tengok muka Zam pun tak ingin, takkanlah dia nak dengar lebih-lebih dari mulut Zam?"

Tan Sri Naufal mengunjukkan telapak tangan pada muka Nizam, memberikan isyarat 'aku tak peduli'.

"Itu papa tak mahu ambil tahu. Pasal hal antara kau orang berdua tu, kamu selesaikan sendiri. Apa yang papa nak adalah... Deal lima ratus juta ringgit tu jadi hak milik kita. Itu saja."

Nizam merengus dalam diam. Senang sungguh papa bercakap. Yang kena buat semua kerja, aku juga! rungut Nizam dalam hati.

"Fine, pa. You don't have to worry about anything. Zam akan pastikan dia ikut cakap Zam dan kita akan dapat deal tu." Akhirnya Nizam memutuskan, mengutarakan bicara yang dirasakan dapat memuaskan hati ayahnya.

"Make sure you do." Tan Sri Naufal bangkit dan menepuk bahu anaknya. Kemudian dia lenyap di sebalik daun pintu.

"Hmmm." Nizam mengatup matanya perlahan-lahan. Nafasnya ditarik dalam-dalam sambil otaknya berputar ligat memikirkan apa yang patut dilakukan. Langkah apa yang perlu diambil bagi memastikan perempuan itu menerima sahaja rancangan mereka. Ya, dia mahu melihat Adra tersungkur di kakinya. Huh, berani sangat melawan aku, kan?!

DENGAN rasa teragak-agak, Syafiq membuka zip beg sandang milik Adra yang sempat dirembat tadi dan menarik keluar telefon bimbit milik gadis itu. Bukan dia berniat jahat, tetapi dia mahu mencari siapa-siapa yang patut dihubungi. Jarinya ligat menekan-nekan skrin sesentuh.

"Oh, great! Password pula dah," keluh Syafiq saat kotak kecil yang meminta kata kunci terpapar di depan mata.

"Habis tu, aku nak buat apa ni? Nak contact siapa? Takkanlah nak biarkan dia sendiri saja kat sini? Mesti famili dia bimbang, kan?" omel Syafiq lagi. Berkerut dahinya memikirkan kemungkinan-kemungkinan itu.

Terbayang-bayang di matanya seorang ibu yang risaukan anak gadisnya. Pasti sahaja ibu Adra akan berkeadaan begitu. Kalau dia berada di tempat Adra, dia yakin uminya pasti akan bertindak perkara yang sama. Mengingati ibunya, hati Syafiq terasa sangat hangat. Bibirnya mengulum senyum tanpa sedar.

"Encik..."

Suara yang menyeru pantas menyentak Syafiq lalu melenyapkan lamunannya tentang uminya. Syafiq bangkit dan bergegas mendapatkan doktor yang telah merawat Adra.

"So, macam mana keadaan dia, doc?"

"She is fine. Cuma exhausted and dehydrated. Dia perlukan IV drip. Selepas tiga jam rehat, kamu boleh bawa dia pulang."

Tercetus nafas lega daripada kerongkong Syafiq.

"Tapi..."

"Tapi apa?" Laju sahaja Syafiq menyoal kala melihat wajah doktor tersebut yang berkerut semacam.

"I see that her emotion is not that stable. Boleh saya tahu, apa yang dah terjadi?"

Tanpa semena-mena kejadian sebentar tadi menjengah kotak memori Syafiq. Adra yang dikasari oleh seorang lelaki. Adra yang berlagak tiada apa-apa jadi dan Adra yang terbaring lemah di atas lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri. Masih terasa jantungnya yang bagaikan tergolek keluar kala melihat tubuh kaku Adra. Terkejut. Sangat terkejut.

Dan selepas itu apa yang terjadi ialah dia yang bergegas mencempung dan kelam-kabut menghantar gadis itu ke hospital. Sedar-sedar sahaja, dia sudah pun terpacak di sini, berhadapan dengan doktor begini. Semuanya seolah-olah berlaku di luar kesedaran. Tubuhnya spontan sahaja bertindak tanpa sempat akalnya memikirkan apa-apa.

"I... I am not very sure. Saya cuma terjumpa dia pengsan. Itu sahaja." Tenang Syafiq menuturkan jawapan yang dirasakan paling selamat. Lagipun, memang dia tidak tahu apa-apa tentang apa yang sebenarnya telah berlaku. Juga, dia tiada hak untuk membuat apa-apa spekulasi.

"Okay, then. Jangan tinggalkan dia sendiri. Itu saja pesan saya," tutur doktor tersebut sebelum berlalu pergi, membiarkan Syafiq terkulat-kulat sendiri.

Jangan tinggalkan dia? Maksudnya aku yang kena tunggu dia? Syafiq tertanya-tanya dalam hati. Telefon bimbit Adra yang masih terpegang di tangan dikerling sekilas. Isy, password ni menyusahkan betul!

Setelah beberapa minit menimbang tara, Syafiq akhirnya melepaskan nafas perlahan.

"Sah, kau memang dah tak betul." Sempat Syafiq mengata diri sendiri sebelum melangkah masuk ke dalam wad.

"FIQ balik lambat sikit. Fiq okey, umi. Tak ada apa-apa jadi. It is just that, ada kawan Fiq masuk hospital. Oh, dia..." Ekor mata Syafiq melirik ke arah Adra yang terbaring di atas katil.

"Tak apa-apa rasanya. Kena rest sikit. Ya, Fiq akan jaga diri. Assalamualaikum."

Syafiq menutup telefon bimbitnya dan menapak ke arah katil yang kini menempatkan Adra.

"Hmmm, sejak bila pula kita ni berkawan? Dan...Apalah yang aku buat kat sini?" Dalam tertanya-tanya, tangan Syafiq selamba sahaja menarik kerusi di sisi katil lalu melabuhkan punggung. Tepat matanya menatapi wajah lena Adra. Kemudian pandangannya dilarikan pada rambut separa bahu gadis itu. Jika difikirkan, inilah kali pertama dia melihat mahkota kepala Adra, aurat yang selama ini terlindung rapi di bawah tudungnya.

Setelah beberapa minit menelek-nelek begitu, Syafiq kembali menetapkan mata pada wajah Adra. Gadis itu kelihatan enak tidur. Dadanya naik turun dengan teratur. Nafasnya beralun lembut. Sekelipan, Syafiq mula terfikir. Mungkinkah satu-satunya saat Adra kelihatan tenang ialah ketika dia sedang tidur? Ya, benar.

Mereka cuma baru beberapa kali bertemu tetapi pertemuan yang sedikit itu sudah cukup untuk memberikan gambaran kepada Syafiq tentang betapa perengusnya Adra. Gadis yang seorang ini tidak serupa gadis-gadis atau mana-mana wanita yang pernah ditemuinya. Air mukanya sentiasa kelat dan dia selalu sahaja berkeluh-kesah seakan-akan seluruh masalah yang ada di dunia ini terbeban ke atas bahunya.

"Can you see me?"

Sekonyong-konyong tajuk lukisan yang ditelitinya tadi berdengung di suatu sudut telinga. Masih jelas dalam ingatannya setiap inci rupa lukisan tersebut. Dan mata itu...Ya, mata itu!

Lunak Syafiq merenung Adra.

"It is you, right? Pemilik mata tu."

Sungguh, dia yakin benar bahawa sepasang mata yang berdarah itu ialah mata milik Nur Adra. Mata yang seolah-olah memanggilnya dan Syafiq sedar bahawa kini, dia sudah tidak boleh lari lagi. Dia sudah terpasung kemas. Walaupun dia ingin dan dia mahu melepaskan diri daripada gadis tersebut, namun di suatu sudut hatinya dia tahu...Takdir mereka sudah pun berselirat sejak dua tahun yang lalu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: