Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

"HUH?" Kepala Syafiq terpusing sendiri ke sebelah kanan. Wajah dari sisi seorang gadis menyapa pandangan mata.

"Can you see me? Itulah nama lukisan ni. Mata yang menyoal sama ada mata lain mampu melihatnya. Melihat apa yang ada di sebaliknya." Tanpa menoleh kepadanya, gadis itu menyambung kata.

Syafiq kembali mengalih pandang ke hadapan, pada sepasang mata itu.

"She... She is in pain. Too much pain," cetus bibir Syafiq.

Gadis di sebelah mendengus sinis. Bagaikan mengejek tutur katanya.

"Well, that is obvious. She is crying, you know."

"Tapi dia menyembunyikan penderitaan dia." Tanpa mempedulikan reaksi tadi, Syafiq menyambung.

"In the dark. She cries only in the dark. Dia tak mahu biarkan sesiapapun melihat setitik pun air matanya. Dan itu..." Syafiq menghentikan bicara buat seketika, membiarkan emosi berat menghasut kalbu.

"Membuatkan dia tambah menderita. Dia cuba laungkan rasa perit dia, tapi pada masa yang sama dia cuba bisukan lidahnya. Dia cuba buat orang mengerti, tapi pada masa yang sama dia menyembunyikan dirinya."

Menuturkan semua itu bagaikan menghambat Syafiq kembali pada memori lampaunya. Itulah yang dirasainya dulu. Menderita dalam diam, cuba menunjukkannya tetapi dengan cara yang salah. Dan kini, lukisan ini... Lukisan ini seperti menggambarkan semua itu.

Lewat ekor mata, Syafiq perasan akan reaksi gadis tersebut yang kedu tanpa kata. Tubuhnya seolah-olah kaku, meninggalkan sekujur tubuh tanpa nyawa. Keanehan dengan reaksi sedemikian, Syafiq bertindak memusing badan, cuba memandang dengan lebih jelas. Saat itu, matanya terbeliak besar. Dia!

"Macam mana? Macam mana awak boleh nampak semua itu?" Antara dengar tak dengar dan dengan mata yang masih memandang ke hadapan, gadis tersebut menitip soalan. Air mukanya keruh dan tegang. Suaranya bergetar dengan emosi yang Syafiq sendiri tidak mampu meneka.

Dek rasa terkejut melihat wajah itu, lidah Syafiq kedu dalam berkata-kata. Tidak mampu untuk bersuara walau sepatah pun. Dibiarkan sahaja pertanyaan tadi terbang pergi, hilang lenyap dalam suasana hening antara mereka berdua. Dan mungkin kerana reaksi kosongnya, gadis di sebelah akhirnya menengadah kepadanya.

"Kau!" Agak kuat jeritan yang terpancul keluar dari bibir mungil itu.

Sungguh Adra terperanjat melihat wajah yang tidak ingin ditemuinya ini. Dalam banyak-banyak manusia yang muncul di pamerannya, kenapa wajah ini juga yang terpacak di hadapannya? Yang ditegurnya tadi?

"Ya, saya." Akhirnya tercetus juga suara dari mulut Syafiq. Wajah tenang ditayangkan kepada wanita yang semakin tampak tidak selesa dengannya. Atau lebih tepat lagi... Marah kepadanya. Motif mahu marah kepadanya? Ada dia bertindak apa-apa kepada gadis ini? Tidak, bukan?!

"Apa kau buat kat sini?" Kasar sekali bait bicara Adra. Kelembutan dan tertib suara yang dipaparkan tadi hilang sudah. Ingatan tentang kejadian di KLIA beberapa hari yang lepas, kembali bermain-main dalam kotak memori.

Syafiq memasang senyum sinis. Apa jenis soalan perempuan ini tanya? Sudah jelas lagi bersuluh, dia datang untuk melihat pameran ini walaupun tidak pernah merancang begitu.

"Eh, kau tak payah senyum menyindir macam tu. Aku tanya... Apa kau buat kat sini? Kat pameran aku ni!"

Sedikit tersentak Syafiq mendengarkan kata-kata akhir itu. Oh, jadi ini bermakna A.R.A, pelukis terkenal itu ialah perempuan pelik ni? Yang digelar Painter Of The Dark itu? Huh, sekarang dia akui dan bersetuju. Gelaran segelap itu memang sesuai untuk perempuan yang seorang ini!

"Setahu saya, pameran ni terbuka kepada semua. Jadi, saya tidak termasuk dalam manusia yang disekat daripada menjejakkan kaki di sini. Oh, lagi satu, boleh tak awak kalau bercakap tu tak menjerit-jerit, memekik-mekik, melolong-lolong? Apa, awak nak jadi pontianak kat sini pula?" sindir Syafiq dengan tenang. Hujung bicara sengaja ditujukan pada kejadian di KLIA.

Berderau darah panas ke muka Adra. Rasa marah dan geram yang berkeladak jadi makin membuak-buak. Air mukanya tegang sekali, menahan rasa mahu mencarik-carik muka manusia ini. Kalau tidak difikirkan dia sekarang berada di pamerannya, mahu sahaja dia menyumpah seranah lelaki tak sedar diri ini. Sudahlah berada di rumah orang, mahu berlagak pula!

"You like it or not, my dear... Saya ni..." Syafiq meletakkan telapak tangan ke atas dada dan tersenyum mengejek.

"Tetamu kat sini. So, obviously... Awak sebagai tuan rumah kenalah layan tetamu elok-elok, kan?"

Adra menjeling tajam dan melepaskan rengusan kasar yang paling ganas. Kemudian, dia menayangkan senyuman menyampah. Palsu! Plastik!

"Selamat datang, encik. Feel free to watch around." Di sebalik suara yang tersekat-sekat disulami amukan perasaan, Adra berbasa-basi. Geramnya saat ini, hanya Allah sahaja yang tahu.

"Itulah yang sepatutnya. Thanks, anyway." Syafiq membalas, masih lagi dengan wajah penuh sinikal.

Entahlah, di hadapan gadis ini, jiwanya jadi panas. Kerasnya gadis ini, keras juga reaksinya. Dia juga tidak mengerti kenapa dia boleh mempunyai reaksi sebegitu rupa. Kerana gadis ini tidak ingat akan pertemuan mereka di Hong Kong? Kerana sikap melampaunya di KLIA? Atau kerana sikap tidak hormat kepada dia?

"Huh, tak payah susah-susah. Thanks..."

"Tak ada gunanya," sambung Syafiq di luar sedar. Anak matanya diangkat, memanah tepat pada wajah kosong si gadis. Apa yang istimewa sangat tentang dia? Kenapa aku masih boleh ingat akan dia selepas dua tahun? Dua tahun bukan masa yang sekejap! Tanpa semena-mena fikiran Syafiq mula bermain-main dengan pelbagai soalan.

Adra mencemik.

"Dah tak ada modal lain, ke? Ayat masa kat Hong Kong tu juga yang kau nak ulang-ulang, kan?"

Tergamam Syafiq saat bait bicara tersebut menjamah peluput telinga. Jadi, ini bermakna...

"So, do you remember me?"

Bisikan lelaki di hadapannya membuatkan Adra tercengang. Ya Tuhan! Dia terlepas bicara. Nafas digali dalam-dalam, sambil tetap cuba mempamerkan reaksi kosong.

"Ya, aku ingat kau. So what? It is not a big deal."

"Yes, it is. Bila masa kita berjumpa dua tahun yang lepas, bukan dua bulan, bukan juga dua hari. Di antara manusia-manusia yang ramai kat sana dan cuma dalam masa..." Syafiq mengerutkan dahi dan berfikir.

"Hmmm... Let's see, two... Three, minutes only. And yet... You remember me."

Entah kenapa, terselit pula rasa bangga kerana gadis ini mengingatinya. Itu bermakna bukan dia seorang sahaja yang menyimpan ingatan pertemuan mereka di suatu sudut kotak memori. Mungkin gadis ini juga sepertinya. Tidak menduga dan tidak menyangka bahawa itu yang berlaku antara mereka. Dan kini, sekembalinya ke Malaysia, mereka sudah dua kali bertemu secara tidak sengaja. Pelik, tetapi itulah kebenarannya.

Lagi tutur kata lelaki tersebut membuatkan Adra tersentak kuat. Ya, kenapa? Kenapa setelah dua tahun lamanya, hanya dengan pertemuan sesingkat itu... Dia masih boleh mengingati lelaki ini? Apa maksud semua ini?

Tidak! Tidak ada apa-apa makna! Nur Adra, kau jangan fikir apa-apa! Cepat-cepat Adra menempelak dirinya sendiri.

"Kau tak payah rasa seronok sangat. It is a coincidence that I still remember you. Kau fikir aku nak sangat ingat kau? Huh, jangan berangan!"

"Berangan cuma dipanggil angan-angan, kalau benda tu tak jadi betul-betul. Awak ingat saya ialah fakta. It is a fact."

Amarah Adra semakin menggelegak. Bersahaja sungguh lelaki ini memasang kata.

"Kau..."

"Syafiq. Tuan Syafiq Tuan Haikal," cantas Syafiq dengan cukup tenang.

"Now, that is the name that you should remember. Tak cukup ingat Hong Kong tanpa tahu nama tuan empunya badan, kan?"

Terlepas rengusan dari mulut Adra. Ya Tuhan! Lelaki ini memang betul-betul mencabar kesabaran dia. Lambat-lambat dan penuh hati-hati Adra mengatur langkah mendekati, tetapi dipastikan tidak terlalu rapat.

"Kalau tak kerana aku sekarang di sini, di pameran ni, dah lama aku kerjakan kau," bisik Adra di sebelah telinga lelaki yang bernama Syafiq ini.

"Dan kerana awak di sini, di pameran ni, saya tahu awak tak boleh kerjakan saya, Cik Adra," balas Syafiq pula, masih lagi dengan lagak cukup bersahaja, siap menyebut nama gadis tersebut. Di dalam risalah tadi, sempat juga dia membaca biodata pelukis terkenal ini. Nur Adra, berumur dua puluh sembilan tahun dan masih belum berkahwin.

Adra menjeling tajam dan berdesis.

"Jangan panggil aku Adra."

"Habis tu, nak panggil apa? Dah nama awak..."

"Kau pekak ke?! Aku cakap, jangan panggil aku Adra." Di sebalik suara yang tertahan-tahan, Adra menjerkah.

Syafiq tidak menjawab, sebaliknya dia menetapkan renungan maha tajam ke dalam mata Adra yang kembali membalas. Jelas kemarahan yang menyinar di mata itu, namun entah kenapa Syafiq bagaikan melihat sesuatu yang lain. Sesuatu yang bergelar... Kesedihan. Ah, apa yang dia mengarut ini? Perempuan pemarah dan perengus ini punya emosi sedih dalam jiwa? Huh, jauh panggang dari api!

"Errr... Cik Ara." Sedang mereka bersabung mata, sekonyong-konyong muncul suara lain yang menyampuk, lantas membuatkan diri masing-masing tersentak.

Sempat Adra menjeling tajam sebelum menoleh.

"Ya, Siti?"

"It is time. Dah tiba masa untuk PC."

"Okay, I am coming." Tanpa menunggu sesaat pun, Adra mengangkat langkah. Lagi lama dia di sini, lagi menggunung perasaan menyinga dan berang dalam hatinya. Dia jadi sesak, dia jadi sebu dengan emosi negatif begitu, walaupun memang itulah caranya dia hidup sejak berbelas-belas tahun yang lalu.

Syafiq membiarkan sahaja. Pandangannya tidak lari daripada belakang Adra yang semakin lama semakin mengecil, sebelum akhirnya lenyap di sebalik dinding galeri. Nafasnya dilepaskan, cuba menghalau emosi panas yang bermukim dalam jiwa. Kemudian dia kembali menalakan mata pada lukisan yang sedari tadi menemani di sisi.

Lama dia memerhati sebelum sedikit demi sedikit anak matanya membulat. Ya, dia tidak salah melihat. Sama. Benar-benar sama!

"TEMA pameran saya pada kali ini adalah...."

Tepat renungan mata Syafiq kepada si pelukis cengeng yang tidak semena-mena mematikan suara. Dahinya berkerut. Nur Adra kelihatan sedang memandang tepat ke hadapan. Bagaikan ditarik-tarik untuk bertindak sama, Syafiq menoleh dan turut melihat ke arah tumpuan pandangan mata Adra.

Dari celah-celah pengunjung yang terpacak, mata Syafiq melekat kepada seorang lelaki yang juga sedang berbalas tenung dengan Adra. Kemudian, Syafiq mengalihkan perhatian kepada Adra. Beberapa kali dia mengulang pandang, antara lelaki itu dan Adra yang semakin menampakkan riak muka yang tidak kena.

Adra yang masih berdiri di atas pentas kaku sendiri. Matanya menjojol kepada wajah manusia yang tiba-tiba menerpa pandangannya. Jantungnya mula terasa sesak. Nafasnya tersekat di celah kerongkong. Dalam pendingin hawa yang sejuk, setitik demi setitik peluh merecik dan membasahi dahi.

Ya Allah! Apa yang berlaku ini? Apa yang dia buat di sini? Setelah bertahun-tahun aku mencari dia, Kau hadirkan dia begini di depan mataku? Apa maksud semua ini, Ya Tuhanku? Apa... Apa yang patut aku buat sekarang? soal Adra dalam hati.

Sedaya upaya Adra cuba menggali nafas, cuba melawan setiap inci tubuh yang terasa menggeletar dan air mata yang semakin bertakung di tubir mata. Dari bawah meja, kedua-dua tangannya digenggam kuat. Tidak! Dia tidak akan sekali-kali membiarkan jantan itu melihat dia dalam keadaan lemah. Langkah mayat dia dulu sebelum itu boleh terjadi!

"Tema saya..." Adra menelan air liur dan cuba menayangkan senyum, walaupun dia tahu betapa pincangnya senyuman itu.

"Adalah journey to yourself. Saya ingin tonjolkan apa yang boleh kita keluarkan daripada dalam jiwa kita. Yup, itulah tema pameran ini."

"Macam mana Cik Ara dapat ilham untuk semua ini?" Seorang wartawan menyoal.

"Oh, like I used to say sebelum ini... Ilham saya boleh datang tiba-tiba sahaja. Jadi, agak sukar untuk saya specify macam mana saya dapat ilham ini." Dengan lagak tenang yang diada-adakan, Adra menjawab. Ekor matanya cuba dilarikan daripada melekat pada susuk tubuh jejaka yang masih tetap merenungnya, terpacak di tempat yang sama.

Syafiq melihat semua yang terjadi tanpa berkelip. Jelas di matanya, Adra yang sedang memainkan watak dalam drama lakonannya sendiri. Di suatu sudut ruang itu pula, terserlah seorang lelaki yang juga sepertinya. Menetapkan renungan kepada seorang gadis bernama Nur Adra. Untuk apa dan kerana apa, Syafiq juga tidak mengerti.

Namun, satu yang dia pasti dan dia boleh lihat, Adra takutkan lelaki tersebut. Aneh, aneh sekali! Seorang wanita sekasar dan sekeras itu takutkan seorang lelaki? Apa yang sebenarnya sudah terjadi?

Ah, apa yang kau fikir ini, Syafiq? Perlukah kau bersusah-payah fikirkan semua itu? Huh, membuang masa sahaja. Dia bukannya siapa-siapa pun bagi kau! Tetapi...

Aku tak boleh buang dia daripada fikiranku, desis Syafiq dalam hati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: