Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Teaser ❤️

“Ika bawakan cucur bilis ni. Rasalah.”

Dia duduk di sebelah lelaki itu. Bekas yang dibawa tadi dibuka. Wap panas masih lagi jelas kelihatan di permukaan penutup bekas itu.

Terkedu Yusof seketika. Wajah gadis itu dipandang dengan perasaan bercampur baur.

“Ni Ika yang masak. Abang mesti rasa. Kalau tak sedap beritahu Ika. Nanti Ika cuba buat lagi.”

Bekas di tangannya disuakan kepada lelaki itu. Tertelan air liur Yusof melihat rupa cucur bilis yang agak pelik itu. Bukan dia terliur tetapi lebih kepada seram.

“Cepatlah,” gesa Zulaikha.

Terpaksalah Yusof merasa. Sebaik saja dia menggigit cucur itu, mata Yusof jelas kelihatan merah. Berkerut-kerut dahi Yusof menahan rasa pelik.

“Sedap tak?”

“Apa yang sedap?” Muncul Nazri di sisi mereka.

Zulaikha tayang wajah bengang. Baru nak berdua, ada pula yang mengganggu.

“Eh, ni cucur apa? Umi buat ke? Macam resepi baru. Meh aku rasa.”

Bulat mata Yusof. Belum sempat dia menghalang, Nazri sudah selamat menjamah cucur bilis itu.

“Puii! Allah...”

Habis diludahnya makanan yang dijamah tadi. Yusof yang tidak dapat menahan rasa masin di mulut, segera berlari ke tandas. Rasa mahu muntah pun ada.

“Eh, abang nak pergi mana?” Pelik Zulaikha dengan reaksi Yusof.

“Ini cucur ke batu?”

Mencerlung mata Zulaikha memandang Nazri.

“Kau cakap elok sikit. Cucur bilis lah. Aku yang masak cucur ni.”

Hampir terjatuh rahang Nazri mendengar pengakuan Zulaikha.

“Kau... kau yang masak?”

“Yalah. Aku masak untuk abang kau. Bukan untuk kau.”

Nazri tepuk dahi dengan kuat. Sah gadis ini belum sedar. Dia mengambil seketul cucur bilis tadi dan disumbat ke mulut Zulaikha.

Tercengang gadis itu. Wajahnya berkerut menahan rasa pelik. Makanan yang ada di dalam mulutnya diludah ke tanah.

“Masinnya!”

“Bukan masin aje tapi keras macam batu. Bilis tu berapa kilo kau letak? Dengan tepung pun tak berapa nak ada. Ni bukan cucur bilis tapi ikan bilis goreng berketul.”

Makin berbahang wajah Zulaikha. Patutlah muka Yusof berubah tadi. Malunya hanya Tuhan yang tahu.

“Lain kali, kalau nak bagi orang rasa, kau rasa dulu. Kau ni memang nak bagi aku darah tinggi agaknya. Nasib baik aku dengan Yusof aje rasa.”

Panjang muncung Zulaikha. Sedih pun ada. Terpaksalah dia buang semua makanan ini ke dalam tong sampah.

Makin pelik Nazri dengan sikap Zulaikha. Sekarang dah berani pula nak memasak. Melihat cucur yang dibuat oleh Zulaikha memang menggelikan hatinya. Namun senyumannya mati saat terfikirkan sesuatu.

‘Tak mungkin dia sukakan Yusof.’

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro