Bab 5 ( part 1)
TERGAMAM Nazri mendengar permintaan Yusof. Encik Yasir turut kelihatan terkedu. Buat pertama kali Yusof membuat permintaan kepadanya. Tak sangka anaknya berminat untuk belajar di madrasah milik walid Zulaikha.
“Macam mana Yusof tahu tempat tu?”
“Tengah hari tadi. Yusof bukan nak minta izin tapi sekadar nak beritahu yang Yusof nak belajar di sana minggu depan.”
Encik Yasir sedikit berjauh hati dengan kenyataan anaknya. Tapi dia tidak boleh menyalahkan Yusof jika anaknya masih belum memaafkan dia.
“Nanti abah jumpa dengan Ustaz Hasnol. Daftarkan Yusof di sana. Kebetulan pula, esok Yusof dah masuk sekolah baru. Nanti bolehlah abah jumpa dia esok.”
“Tak perlu. Yusof boleh buat sendiri. Soal bayaran, duit simpanan Yusof masih ada. Arwah mak dah simpan untuk masa depan Yusof.” Tegas Yusof memberikan kata putus.
Terus berubah wajah orang tua itu. Nazri mengeluh perlahan. Tergamak pula Yusof cuba mempertikaikan tanggungjawab abah.
“Jangan cakap macam tu. Abah masih lagi ada tanggungjawab ke atas Yusof. Biar abah yang uruskan.”
Yusof tersenyum sinis. Dia berdiri tegak di hadapan orang tua itu. Kepala orang tua itu mendongak ke arahnya.
“Tak perlu cakap pasal tanggungjawab kalau abah sendiri pernah abaikan kami. Kalau betul pun mak bersalah, abah tak ada hak duakan mak. Hati abah terlalu cepat berubah. Bukan saja kasih sayang mak abah duakan tapi untuk anak kandung sendiri pun, kasih sayang tu dah beralih pada anak tiri.”
Tersentak Encik Yasir dan Nazri.
“Selama ni mak tak pernah lupakan abah. Dia bawa Yusof lari jauh dari abah sebab dia tak sanggup nak tengok lelaki yang dia sayang bersama perempuan lain. Sekarang baru Yusof faham kenapa mak tak nak Yusof jumpa abah. Sebab dia tak nak Yusof kecewa seperti sekarang.” Bergetar nada suaranya.
Setelah abah muncul, dia cuba membuka pintu hatinya untuk menerima orang tua itu. Namun semunya lenyap apabila mengetahui lelaki itu sudah mempunyai keluarga bahagia. Tapi dia…
Sejak dari kecil dia perlu melihat keadaan emak yang tertekan menanggung rindu. Tak mungkin dia lupakan keadaan emak atas perbuatan abah.
Terhenyak Encik Yasir. Air liur yang ditelan terasa pahit. Dia tahu selama ini bekas isterinya terlalu kecewa dengan keputusanya untuk berkahwin lain. Itu khilafnya kerana hatinya sudah berubah. Namun jauh di sudut hatinya, dia masih sayangkan arwah Puan Farina. Tak pernah terlintas untuk dia membuang wanita itu dari hidupnya.
“Abah minta maaf. Tak boleh ke Yusof lupakan hal lama? Abah cuba nak jadi abah yang terbaik untuk kali ini. Bagilah abah peluang.” Merah mata orang tua itu menahan sebak.
“Tak perlu. Dah terlambat untuk abah pikul tanggungjawab tu. Yusof ada di sini pun atas permintaan arwah. Sampai masanya nanti, Yusof akan pergi dari sini.”
Dia lekas berpaling dan ingin masuk ke bilik. Namun langkahnya mati saat terpandang wajah keruh ibu tirinya.
Puan Nafisah sudah mendengar perbualan dua beranak itu. Jujur hatinya sakit kerana dituduh sebagai perampas. Tapi itulah kenyataan yang perlu dia hadap untuk seumur hidup.
“Maafkan ibu. Ibu tak sangka, arwah menderita disebabkan kami.” Puan Nafisah menangis di hadapan Yusof. Hendak membela diri, tiada gunanya lagi.
Nazri bergegas mendapatkan ibunya. Tipulah kalau dia tak terkesan mendengar kata-kata abang tirinya.
“Bukan dengan saya tapi arwah emak. Puan dah banyak berdosa dengan arwah emak saya sejak rampas abah dari hidup kami.”
“Yusof!” Tengking Encik Yasir hilang sabar. Kata-kata anaknya tadi sangat melampau.
Yusof ketawa lucu. Baru dicuit sedikit, dah mengamuk. Tanpa menghiraukan kemarahan orang tua itu, dia melangkah masuk ke bilik. Hanya jelingan tajam diberikan kepada Puan Nafisah dan Nazri.
“Fisah… abang…”
“Dia betul-betul bencikan Fisah. Apa yang Yusof cakap tadi ada betulnya. Fisah terlalu pentingkan diri sendiri dulu.”
Nazri cuba menenangkan si ibu. Dia menarik bahu wanita itu agar duduk di kerusi. Encik Yasir hanya berdiam diri.
“Abang akan cuba berbincang dengan dia. Jangan salahkan diri sendiri. Dia masih muda lagi. Banyak perkara yang dia masih belum jelas,” pujuk si suami.
“Sampai bila abang? Fisah cuba terima segala layanan dingin dia tapi lepas apa yang berlaku hari ni, mustahil untuk dia terima kami. Fisah punca abang tinggalkan arwah.” Teresak-esak dia menangis. Terlalu sakit apabila dia perlu menanggung beban bersalah ini seumur hidup.
Encik Yasir mengeluh lemah. Pening memikirkan masalah yang semakin bertambah.
“Dalam hal ni, abang sebagai suami gagal jalankan tanggungjawab. Sepatutnya abang bimbing isteri abang untuk berubah. Tapi abang terlalu cepat melatah. Lebih pentingkan ego sendiri. Dan sekarang… abang kehilangan anak abang.”
Puan Nafisah masih terus menangis. Nazri di sebelah hanya mampu berdiam diri. Nak menyampuk, terasa dirinya tidak layak.
Setelah abah dan ibu masuk ke dalam bilik, Nazri mengambil keputusan untuk bertemu dengan lelaki itu. Ada baiknya dia cuba mengalah dengan mengambil hati lelaki itu.
Seperti biasa, dia mengetuk pintu bilik terlebih dahulu. Tak lama kemudian pintu bilik dibuka sedikit kasar. Jelas wajah Yusof tidak senang dengan kehadirannya.
“Aku nak cakap dengan kau sikit.” Nazri cuba berlembut.
Yusof merengus kasar. Dia masuk ke dalam bilik dan membiarkan pintu bilik terbuka. Nazri turut mengekori lelaki itu masuk ke dalam. Ketika itu Yusof masih sibuk memasukkan buku sekolah ke dalam beg.
“Kau serius ke nak belajar dengan walid Ika?” Soal Nazri.
Dahi Yusof berkerut sedikit. Dia toleh ke sebelah.
“Siapa walid Ika?”
“Ooo… lupa pula. Kalau kau nak tahu, ustaz Hasnol tu, walid Ika.”
Tak berkelip kedua mata Yusof. Tak sangka pemilik madrasah itu mempunyai anak yang kasar seperti Zulaikha.
“Kalau kau nak belajar dekat sana, aku boleh temankan sekali. Aku pun dah lama tak belajar mengaji dengan walid.” Mungkin ini caranya untuk Nazri cuba merapatkan hubungannya dengan Yusof.
Yusof tidak membalas. Sebaliknya dia terus rebahkan diri di atas katil sambil pejamkan mata. Nazri tersenyum pahit. Tidak mahu mengganggu lelaki itu, dia segera keluar dari bilik itu.
Sebaik saja pintu tertutup rapat, matanya terbuka luas. Dia bangun dari berbaring sambil meraut wajahnya.
“Mustahil orang tua tu walid Ika. Tak kena langsung.”
Susah untuk dia menerima kenyataan itu. Terlalu berbeza sangat sikap gadis itu jika dibandingkan dengan sikap Haji Hasnol.
❤️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro