Bab 3 (part 1)
LUKA di tapak tangan Zulaikha masih lagi berdarah. Mujurlah dia bukan jenis yang mabuk darah. Nazri pula yang terover sampai pening kepala.
“Tutuplah luka kau tu. Nak muntah aku tengok.” Kepala yang semakin pening dipicit perlahan.
“Hishh... darah aje pun. Kalau kau pening, kau tak payah ikut. Abang kau kan ada.” Perlahan Zulaikha bercakap.
Ketika ini mereka dalam perjalanan ke klinik. Sebaik sahaja melihat luka di tapak tangan Zulaikha sangat dalam, Nazri menggesa supaya dibawa ke klinik. Yusof sekadar mengikut saja kerana semua ini berpunca dari dia.
Nazri mencerlung tajam. Sejak dari tadi lagi perangai kawan baiknya agak pelik. Bukan main tersenyum manis lagi di hadapan Yusof.
“Kau jangan nak mengarut. Kalau walid dan umi tahu pasal hal ni, teruk kita.”
Menjuih bibir Zulaikha. Kata-kata Nazri langsung tak menakutkan dia.
“Walid aku bukan panas baran. Aku kenallah dia. Kau tu aje penakut,” bisik Zulaikha.
Sesekali dia melirik ke arah Yusof. Lelaki itu kelihan tenang duduk di sebelah pemandu. Dari tadi lelaki itu hanya berdiam diri. Susah betul dia nak mendengar suara Yusof. Lengan Nazri dicuit perlahan.
“Abang kau tu, memang pediam ke?”
Ternaik kedua kening Nazri. Anak matanya beralih ke hadapan. Keluhan terlepas dari bibirnya. Serba salah juga dia nak menjawab. Selama dua hari mereka tinggal bersama, lelaki itu masih bersikap dingin.
“Mungkin juga. Aku pun manalah kenal sangat dengan dia.”
Berdecit lidah Zulaikha.
“Kata abang kau. Takkan tak tahu.”
Nazri tayang wajah bengang. Nasib baik mereka berada di dalam kereta. Nyaris dia nak meluku kepala gadis ini.
“Kau tanya soalan tu biar pandai sikit. Aku dengan dia baru jumpa dua hari lepas. Celah mananya aku nak tahu perangai dia,” kata Nazri dengan suara celah gigi.
Tentang masalah keluarga mereka, dia enggan menceritakan kepada Zulaikha. Lagipun, dia tidak mahu ibunya dipandang sebagai perampas kebahagiaan rumah tangga orang.
Setibanya di klinik, Yusof yang bertindak untuk mendaftarkan Zulaikha sebagai pesakit. Ketika gadis itu menerima rawatan, mereka berdua menunggu di lobi. Masing-masing hanya berdiam diri. Kali ini Nazri beranikan diri untuk menyoal.
“Macam mana si Ika tu boleh luka?”
Yusof memeluk tubuhnya sambil memandang siling. Soalan Nazri hanya dibiarkan sepi.
Nazri merengus perlahan. Susah betul hendak berbual dengan abang tirinya ini. Mustahil Zulaikha cedera tanpa sebab yang kukuh. Dia yakin kecederaan gadis itu berpunca dari lelaki ini. Buktinya Yusof turut mengikut mereka ke sini.
“Kau ke yang cederakan Ika?”
Bukan niat dia ingin menuduh. Selagi dia tak dapat jawapan kukuh, dia tak boleh duduk diam.
Yusof mengerling ke sebelah. Geram kerana terus diasak dengan pelbagai soalan. Timbul idea jahat untuk menyakitkan hati Nazri. Sudah jelas lelaki ini terlalu mengambil berat terhadap gadis kasar tadi. Dia sendiri masih terkejut kerana tidak menyangka orang yang disangkakan lelaki tadi ialah perempuan.
“Ya. Aku yang tolak dia. Puas hati.”
Tercengang Nazri. Tubuhnya terus menjadi tegak. Lama dia berfikir sebelum memberi respon.
“Mesti ada sebab kau cederakan dia. Apalah budak Ika tu buat dekat kau? Memang nak kenalah minah ni.”
Berkerut dahi Yusof. Lain yang dirancang, lain pula jadi. Boleh pula Nazri menyalahkan gadis tadi.
Hampir setengah jam menunggu, Zulaikha keluar dari bilik rawatan dengan wajah yang berkerut. Peluh di dahi masih ada. Lekas Nazri mendekati gadis itu.
“Kenapa lama sangat?”
Terkejut juga dia melihat tangan Zulaikha sudah berbalut tebal. Yusof masih lagi tidak berganjak dari tempat duduknya. Malas hendak mengambil tahu keadaan gadis itu.
“Tapak tangan aku kena jahit. Sakit sangat…” Bibirnya menjuih ke depan.
Cuak Nazri. Masak dia kalau perkara ini diketahui oleh orang tua mereka. Tak sangka pula sampai berjahit. Yusof yang mendengar perbualan pasangan itu turut terkedu.
“Adik, boleh ke kaunter untuk buat bayaran,” arah seorang petugas di situ.
Tercengang Zulaikha. Makin pucat wajahnya. Lengan Nazri dicuit sedikit.
“Weii... aku mana ada bawa duit. Lima ringgit adalah,” bisik Zulaikha dengan perasaan cemas.
Nazri garu kepalanya yang tidak gatal. Dia pun terlupa membawa dompet. Lekas dia mengeluarkan wang yang ada di dalam poket seluar.
“Aku ada 20 ringgit. Cukup kut.”
Zulaikha menarik nafas lega. Mereka berdua terus ke kaunter untuk membuat bayaran.
“Semua sekali termasuk ubat ni 43 ringgit.”
Kali ini giliran Nazri yang berpeluh. Mana pula dia nak cekau duit yang tak cukup? Zulaikha di sebelah lagilah gelabah.
“Ini duitnya.”
Sekeping duit 50 ringgit diletakkan di atas meja kaunter. Terpinga-pinga mereka berdua. Hampir mereka terlupa dengan kehadiran Yusof di sisi mereka. Zulaikha menunduk malu. Tak pasal-pasal dia dah susahkan abang tiri Nazri.
Setelah mengambil duit baki, mereka bertiga keluar dari klinik. Luka di tapak tangannya sudah mula berdenyut-denyut. Menyeringai wajahnya menahan rasa sakit. Rasa nak demam pun ada.
Yusof sedar perubahan wajah Zulaikha. Timbul rasa bersalah kerana bertindak kasar sebentar tadi. Salahnya juga kerana menganggap gadis ini sebagai lelaki. Patutlah mudah sangat gadis ini terjatuh walaupun dia menggunakan tenaga yang biasa.
“Sakit lagi ke?”
Kaku tubuh Zulaikha. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Yusof. Melihat raut wajah yang bersih itu, sukar untuk dia alihkan anak matanya. Kacak betul lelaki ini.
“Woi! Abang aku tanya tu.” Bahu Zulaikha ditolak kasar. Boleh pula berangan dekat sini.
Zulaikha berdecit perlahan. Sibuk betul si Nazri ni.
“Tangan Ika, sakit sikit aje abang.”
Terbatuk Nazri dengan jawapan Zulaikha. Kembang tekaknya gara-gara panggilan yang digunakan oleh gadis ini. Sah ada yang tak kena dengan kawan baiknya. Siap berabang lagi.
“Err... jomlah kita balik. Teksi ada dekat sana.”
Yusof terlebih dahulu melangkah ke arah teksi. Belum sempat Zulaikha melangkah, Nazri segera menghalang.
“Kenapa?” soal Zulaikha.
“Yang sakitnya tangan kau bukan dekat sini.” Selamba saja Nazri menunjal dahi gasdis itu.
“Ni dah lebih. Suka hati aje tunjal kepala aku.”
“Sebab aku rasa otak kau ni dah tak betul. Sejak bila kau berubah jadi perempuan melayu terakhir? Abang…” Meliuk lentok tubuh Nazri menahan geli.
Berbahang wajah Zulaikha.
“Errr… ya ke? Kau salah dengar agaknya.”
Nazri tepuk dahi sendiri. Cepat pula minah ni terlupa.
“Jomlah balik. Cepat balik, cepatlah kau makan ubat tu. Takut sakit dekat tangan tu dah sampai ke otak.” Sindir Nazri.
Zulaikha tersenyum malu. Betul juga kata Nazri. Gara-gara terpesona dengan wajah tampan Yusof, otak dia pun jadi tak betul. Malunya dia!
💥
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro