Bab 2 ( Part 1)
MAKAN malam mereka terasa agak janggal. Puan Nafisah lagilah kekok ketika melayan Yusof. Terang-terang anak tirinya tidak suka dengannya. Encik Yasir cuba memeriahkan suasana.
“Tadi Yusof tak jumpa lagi dengan Naz. Ibu kenalkan anak sulung ibu. Nama dia Nazri.”
Yusof menoleh ke arah Nazri dengan pandangan kosong. Sejak dari awal lagi, ketika mereka bertemu dia sudah berasa pelik. Tak mungkin lelaki ini anak abah.
“Anak tiri abah ke?” soalan Yusof membuatkan masing-masing tersentak. Hanya Nazri masih kekal tenang.
“Ha’ah. Naz anak tiri abah. Nak panggil apa? Abang Yusof ke?” Ramah Nazri menyoal.
Yusof merengus kasar. Sakit hati pula dia mendengar jawapan selamba lelaki ini. Lekas dia membasuh tangannya di singki. Terasa sempit nafasnya jika dia terus berada di sini.
“Yusof nak ke mana?” Laju Encik Yasir menyoal. Nazri kelihatan terpinga-pinga.
“Bilik.” Sepatah perkataan yang keluar dari bibirnya.
“Makanlah dulu. Kalau lauk ni Yusof tak suka, ibu boleh masak lauk yang lain.” Puan Nafisah cuba mengambil hati Yusof.
Yusof menjeling tajam sebelum berlalu pergi. Terus berubah muka wanita itu. Encik Yasir mengeluh lemah saat bayang anaknya menghilang ke bilik.
“Abang minta maaf, Fisah. Yusof tu…”
“Tak apa. Fisah faham. Dia masih terkejut lagi agaknya,” kata Puan Nafisah. Dia tidak mahu merisaukan hati si suami.
Nazri dapat rasakan ada yang tak kena di sini. Dari cara layanan lelaki tadi, nampak sangat Yusof tidak suka tinggal di sini.
Selepas makan, Nazri mengambil keputusan untuk berjumpa Yusof. Kebetulan pula lelaki itu sedang duduk termenung di tangga rumah. Selamba dia duduk di sebelah si abang.
Tersentak Yusof dengan kehadiran Nazri. Dia sebenarnya kurang selesa terlalu rapat dengan ahli keluarga baru Encik Yasir. Baginya keluarga ini punca dia kehilangan kasih sayang seorang abah.
“Abang Yusof tak suka ke tinggal dengan kami?”
Gelaran itu semakin menyesakkan dada Yusof.
“Tak perlu panggil aku abang. Aku bukan abang kau.” Dingin nada suaranya.
Nazri masih beriak selamba. Tipulah kalau dia tak terasa. Tak sangka begini sikap anak kandung abah. Lain sangat dengan perwatakan abah yang sangat tenang.
“Okey. Kalau macam tu, kau aku ajelah. Kita pun beza dua tahun aje.” Nazri hanya mengikut rentak Yusof.
Yusof mendongak ke atas. Langit gelap yang dihiasi dengan bintang direnung lama. Tiba-tiba dia teringat hobi arwah emak. Dulu, hampir setiap malam emak akan merenung langit.
“Kau suka tengok bintang?”
Yusof masih mengunci bibirnya. Dia lebih suka melayan perasaan sendiri. Nazri menggeleng perlahan. Sombong!
“Kau sama macam abah. Abah pun suka sangat tengok bintang.”
Terkedu Yusof. Wajah Nazri di sebelah ditatap lama. Entah kenapa perasaan Yusof semakin berdebar dengan kenyataan itu. Takkan selama ini emak masih rindukan abah?
“Aku tahu kau tak suka dengan kami tapi jagalah hati abah. Selama ni, abah tak pernah lupakan kau.”
Yusof tergelak sinis.
“Dia ingatkan aku? Kau buat lawak agaknya.”
“Kenapa kau cakap macam tu?”
Yusof berdiri tegak. Tajam dia merenung wajah lelaki yang duduk di sebelahnya.
“Dia dah lama lupakan kami sejak keluarga kau muncul. Dia muncul sebab arwah mak aku sakit. Dia cari aku atas dasar tanggungjawab dan simpati.” Rahangnya diketap kuat. Kedua tangannya digenggam kemas.
Nazri turut berdiri. Terkejut dengan luahan lelaki ini.
“Kau dah salah faham. Bukan dia sengaja tak cari kau. Walaupun aku bukan anak kandung abah, tapi aku faham perasaan abah.”
Sejak Encik Yasir muncul dalam hidupnya, dia mendapatkan kasih sayang seorang ayah. Arwah ayahnya telah meninggal dunia ketika dia berusia enam bulan akibat sakit jantung. Tipulah kalau dia tak terkilan apabila mengetahui ibu punca abah dan emak Yusof berpisah. Sebagai anak, dia tidak mahu masuk campur.
“Mestilah kau faham. Sebab kau dah ambil hak aku.”
“Tak baik kau buruk sangka dengan aku.” Bengang juga Nazri. Tiba-tiba dia dituduh perkara yang tak masuk akal.
“Kau tak ada di tempat aku. Aku dah hilang kasih sayang abah sejak kecil lagi. Tak kira apa alasan dia, aku yang jadi mangsa.”
Yusof terus berpaling untuk masuk ke dalam rumah. Langkahnya terhenti saat terpandang wajah seseorang di muka pintu. Masing-masing saling terpaku.
“Abah minta maaf. Abah salah tinggalkan emak dan Yusof.” Wajah Encik Yasir tunduk ke bawah. Nazri turut kaku di situ.
“Dah terlambat. Maaf abah tak mampu kembalikan kegembiraan Yusof dan mak. Patutlah abah tak cari kami. Tempat Yusof dan mak dah lama ada pengganti.”
Tergamam orang tua itu. Sah, Yusof dah salah faham.
“Kau…” Nazri cuba mencelah.
“Naz.” Encik Yasir menggeleng tanda tidak mahu Nazri memanjangkan isu tersebut. Terpaksalah Nazri mengalah.
Yusof tersenyum sinis dan segera masuk ke dalam rumah. Selamba saja dia melanggar bahu Nazri. Ketika dia melintasi orang tua itu, hanya jelingan yang diberikan.
Jatuh kedua bahu orang tua itu. Terlalu banyak salah faham sehingga menyebabkan hubungan mereka semakin keruh.
“Abah okey?”
Encik Yasir mengangguk perlahan. Dia turut masuk ke dalam rumah dengan perasaan kecewa. Nazri masih berdiri kaku di situ. Jujur dia masih terkejut dengan layanan Yusof terhadap keluarganya. Lebih-lebih lagi abah.
💔
Pratempahan sehingga 10 Feb 2022.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro