
Bab 6
SELEPAS selesai membuat rondaan wad, perut Darina mula berbunyi. Sempat dia melirik pada jam tangannya. Patut la lapar, dah masuk waktu makan tengah hari.
Darina bergerak ke kafeteria. Tak sabar nak makan. Setiap kali memikirkan makanan, dia gembira.
Langkah terhenti dan Darina terkejut terserempak dengan seseorang di koridor. Matanya terbeliak luas melihat Rozie yang memakai kot putih seperti dia.
Rozie tersenyum dan melangkah mendekati Darina.
"What a pleasant surprise to see you here, Darina," kata Rozie.
"You buat apa kat sini?" tanya Darina dengan nada tak suka. Takkanlah...
"Mulai hari ini I kerja kat sini. Boleh la kita jumpa selalu, kan. Oh ya, I kena gerak dulu. Banyak kerja tak siap. Bye! Next time kita lunch sama-sama, ya," jawab Rozie sebelum berlalu pergi meninggalkan Darina.
"Kata kerja kat Penang! Kenapa kerja hospital sama dengan aku? Arghhh... Stres! Stres! Kalau jumpa dengan Dina macam mana?" Dahi Darina berkerut. Mahu lari dari masalah, datang pula masalah. Dia kena beritahu abangnya pasal hal ini. Telefon pintar segera dikeluarkan dari kot putih.
Darina terkejut apabila mendapat panggilan daripada Dina. Dia mengetap bibir. Kenapa masa begini Dina nak hubungi dia?
"Helo. Waalaikumussalam. Tak busy. Baru on the way nak pergi kafeteria. Apa? Dina ada kat sini? Eiman suruh hantarkan makanan. Mana? Kat mana sekarang ni?" soal Darina. Dia menoleh ke kiri dan kanan mencari adiknya. Kedatangan Dina mengundang malapetaka. Hatinya tak putus-putus berdoa supaya Dina tak terserempak dengan Rozie. Langkah Darina semakin laju.
Sebaik saja tiba di tempat letak kenderaan, Darina menarik nafas lega.
"Kak Darina!" Dina tersenyum. Dia membawa Eiyad keluar dari kereta.
Darina terperanjat melihat kehadiran Eiyad.
Eiyad terus memeluk Darina. Darina tersenyum.
"Eiman masak nasi ayam. Dia suruh hantarkan. Kak Darina nanti on call, kan?" Dina menunjukkan beg kertas yang berisi makanan. Ada macam-macam lagi. Buah-buahan. Pai epal. Terlebih rajin pula Eiman masak lepas tutup kedai. Selepas saja dia ambil Eiyad dari tadika, dia terus datang ke hospital tempat Darina bertugas. Mujurlah hanya 10 minit perjalanan dari klinik dia.
"Ya. Dah hantar, pergi balik cepat!" Darina mengambil beg kertas itu dan terus membuka pintu untuk Eiyad masuk sambil memandang sekeliling.
"Kami sampai tak sampai lima minit tapi dah suruh balik," ujar Dina. Rasa pelik dengan telatah kakaknya. Seolah-olah kedatangan dia dan Eiyad tak dialu-alukan. Siap bukakan pintu untuk dia dan Eiyad masuk ke dalam kereta.
"Kak Darina busy. Jumpa kat rumah nanti. Terima kasih sebab hantar. Bye! Bye!" balas Darina.
Sebaik saja kereta Suzuki Vitara itu berlalu pergi, Darina menarik nafas lega. Barulah dia boleh bernafas dengan sempurna. Rozie pun satu, banyak hospital di KL ini, kenapa mesti kerja kat sini? Tiba-tiba Darina baru teringat sesuatu. Dia segera hubungi abangnya.
PETI sejuk dibuka. Eiman memasukkan sayur-sayuran yang dibelinya tadi ke dalam peti sejuk kedai. Ditutup peti sejuk itu semula. Dia menoleh ke belakang dan terkejut apabila Dina tersengih ke arahnya.
"Kak Dina ni! Suka sangat buat orang terkejut la." Eiman memegang dada. Tak ada bunyi, tak ada suara, tiba-tiba ada.
"Siapa suruh tak kunci pintu belakang? Kak Dina dah pesan, kan?" balas Dina. Semasa dia tutup klinik tadi, dia nampak kereta Toyota Hilux milik Eiman ada di sebelah keretanya.
"Eiyad dengan ibu ke?" tanya Eiman.
"Ya. Kak Dina ajak Eiyad duduk kat klinik tapi ibu tak bagi. Maklum la cucu seorang," jawab Dina. Selalunya Eiman yang jaga Eiyad tapi hari ini Eiman pergi membeli barang-barang untuk kedai makan.
"Okey! Dah settle, jom balik!" ajak Eiman.
Dina mengekori Eiman keluar seraya menunggu Eiman mengunci pintu kedai. Dia berjalan ke arah lot kedai sebelah yang sedang dalam proses ubah suai menjadi klinik gigi. Masih ada pekerja di dalam. Dia menjenguk kepala melihat keadaan di dalam klinik itu.
"Dina! Eiman!"
Dina menoleh setelah namanya dipanggil.
Puan Hajar menghampiri anak-anak Puan Dariah. Dia tersenyum.
"Dah nak balik ke?" tanya Puan Hajar.
"Ya. Mak Cik Hajar tak balik lagi ke?" jawab Eiman.
"Sekejap lagi balik. Aaa... Tak lama lagi kau orang ada jiran la. Doktor gigi! Handsome orangnya. Hari tu mak cik ada jumpa dia. Single lagi. Kalau tak silap sebaya kamu, Dina," jawab Puan Hajar kemudian bercerita pasal pemilik klinik gigi ini.
"Ooo... Ya ke? Dahlah handsome orangnya, goktor gigi, mustahil tak ada girlfriend. Atau something wrong somewhere. Yalah, zaman sekarang ni macam-macam boleh jadi. Setiap orang ada rahsia. Rahsia gelap!" balas Dina. Dah tentu dia tak berminat. Baru jumpa sekali, dah tahu macam-macam. Puan Hajar ini memang mulut bergerak. Jenis busybody kata kan!
"Tak la. Tak baik cakap macam tu. Fitnah. Nanti Dina juga dapat dosa. Oh ya! Ibu kamu ada beritahu tak yang lot kedai kosong sebelah kedai runcit mak cik tu akan jadi cawangan baru farmasi ibu kamu?"
"Apa?!" ucap Dina dan Eiman serentak. Mereka berdua saling berpandangan.
DENGAN langkah longlai, Dina dan Eiman berjalan menuju ke pintu rumah. Berita yang disampaikan oleh Puan Hajar melemahkan semangat mereka berdua.
Suara orang bergaduh mengejutkan mereka berdua. Seperti suara ibu dan abang mereka. Kaki laju melangkah masuk ke dalam rumah. Mereka melihat Puan Dariah dan Erjaz sedang bergaduh di ruang tamu. Tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya? Abang mereka jarang bergaduh dengan ibunya.
Dina dan Eiman berdiri di ruang tamu.
"Sudah-sudah la, ibu! Sampai bila ibu nak control hidup kami? Eiyad tak perlukan ibu tiri. Jangan gunakan Eiyad untuk kepentingan ibu," tegas Erjaz. Dia baru saja pulang kerja, tiba-tiba Puan Dariah tanya bila dia cuti? Puan Dariah terus cakap ada wanita sesuai jadi isteri dan ibu untuk mereka berdua. Dia penat balik kerja, alih-alih terpaksa hadap perkara yang paling dia tak suka dalam hidup. Paling benci berjumpa dengan wanita yang diatur oleh ibunya.
"Apa? Kepentingan ibu? Ibu buat semua ini demi Erjaz dan Eiyad. Sampai bila kamu nak hidup menduda?" Puan Dariah terkejut apabila dituduh sebegitu.
"Biar Erjaz teka, perempuan dalam gambar tu mesti doktor, kan?" tanya Erjaz.
Puan Dariah terdiam.
"Betul kan tekaan Erjaz? Ibu ni dah kenapa, hah? Obsess sangat dengan doktor. Tak cukup lagi ke suami dengan anak-anak jadi doktor? Apa lagi yang ibu nak, hah? Pasal Rozie? Pasal Joe? Menantu pilihan yang ibu sanjung sangat-sangat tu, ibu dah lupa ke apa mereka berdua buat kat Erjaz dengan Darina? Ibu dah lupa ke? Keputusan Erjaz muktamad, Erjaz hanya nak jadi ayah yang terbaik untuk Eiyad. Erjaz tak nak cakap lagi pasal hal ini." Erjaz memberi kata putus dan terus meninggalkan Puan Dariah.
"Erjaz nak ke mana tu? Ibu tak habis lagi," panggil Puan Dariah.
"Ibu! Apa masalah ibu sebenarnya? Hari tu Kak Darina, sekarang ni Abang Erjaz pula." Dina bersuara.
"Kamu apa tahu? Ibu buat semua demi anak-anak ibu tapi seorang pun tak hargai." Wajah Puan Dariah jelas kecewa.
"Abang Erjaz dengan Eiyad dah selesa dengan kehidupan mereka sekarang ini. Biarkan saja dia orang nak buat apa." Eiman menyampuk.
"Apa? Biarkan? Kalau Rozie tu nak baik balik dengan Erjaz macam mana? Ibu dapat tahu yang Rozie tu sudah bercerai dengan suami dia kat London tu. Bila-bila masa Rozie tu boleh balik sini," jelas Puan Dariah. Selepas dapat tahu Rozie sudah bercerai, Puan Dariah takut Rozie akan kembali semula kepada Erjaz.
Eiman terkejut dan wajahnya berubah pucat. Tadi dia baru dapat tahu yang Rozie bekerja di hospital yang sama dengan kakaknya. Nampaknya ibunya masih tak tahu yang Rozie sudah pulang ke Malaysia.
"Kalau perempuan tu berani nak dekat dengan Abang Erjaz dengan Eiyad, silakan. Tapi dia kena berdepan dengan Dina dulu!" Begitu lantang suara Dina. Dia bencikan wanita bernama Rozie tu.
Puan Dariah terdiam.
Eiman terus menggigit bibir bawahnya. Mampus la kalau Dina tahu perkara yang sebenar. Dirinya sudah tak tentu arah. Berahsia ini akhirnya jiwa sendiri yang terseksa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro