Bab 15
IMRAN berdiri di luar bilik ofis Encik Ehsan. Kad yang ada di dalam kot baju dikeluarkan. Teringat pesan neneknya supaya menjemput Encik Ehsan sekeluarga ke majlis kesyukuran keluarganya pada hujung minggu ini.
Pintu diketuk dua kali.
"Masuk!"
Imran membuka pintu selepas mendengar suara Encik Ehsan. Dia melihat Encik Ehsan sedang bercakap dengan seseorang dalam telefon.
Encik Ehsan memberi isyarat tangan supaya Imran duduk dulu.
"Ala... Takkan busy sampai tak boleh hantar? Selama ini boleh saja hantar? Apa? Suruh Eiman hantar? Yalah..." kata Encik Ehsan sebelum menamatkan panggilan. Dia mengeluh perlahan. Pakaian barunya sudah habis. Dia mahu isterinya hantar tapi macam-macam alasan yang diberi. Yang jelas marah isterinya masih belum hilang lagi.
Encik Ehsan memandang Imran lalu tersenyum kelat.
"Kalau isteri merajuk memang susah hidup ni. Apa-apa pun jadi kena berpihak kepada isteri, jangan la berpihak kepada anak. Kalau tak, tengok la nasib saya sekarang ni. Aduh, pening kepala. Ingat tu, Doktor Imran! Lepas kahwin, jangan berahsia dengan isteri dan lebih penting sekali kena berpihak kepada isteri. Confirm rumah tangga bahagia." Encik Ehsan berjalan mendekati Imran lalu duduk di sofa.
Imran tersenyum. Pasti Encik Ehsan bergaduh dengan isteri. Ala... Bergaduh suami isteri ini perkara biasa.
"Saya datang sebab nak jemput Doktor Ehsan sekeluarga datang ke rumah hari Ahad ini. Kami buat majlis kesyukuran. Nenek pesan suruh doktor datang," jemput Imran.
"Boleh. Dah Puan Sri jemput, sudah tentu saya kena datang," jawab Encik Ehsan.
"Bawa la mak cik sekali. Banyak makanan sedap-sedap," beritahu Imran.
Tiba-tiba telefon pintar Encik Ehsan berbunyi. Dia segera menjawab dan bangun ke mejanya. Wajahnya bertukar serius. Dia menulis sesuatu di atas kertas.
Imran bangun. Dia tak mahu mengganggu Encik Ehsan lagi. Nampak Encik Ehsan sibuk. Dia mendekati meja dan meletakkan kad jemputan di atas meja.
Tiba-tiba tangan kanan Imran terlanggar frame gambar yang berada di atas meja. Dia terkejut apabila frame gambar itu terjatuh dari meja.
Imran menarik nafas lega kerana dapat menyambut frame gambar itu. Kalau pecah, mampus! Dia melihat frame gambar itu. Gambar keluarga Encik Ehsan. Renungan mata terhenti ke arah wanita bertudung litup yang berdiri di sebelah isteri Encik Ehsan. Mata Imran terus tak berkelip. Ini wanita yang dia terjatuh hati hari itu. Siapa wanita ini dalam keluarga Encik Ehsan? Anak ke, menantu? Dia menyedari budak lelaki hari itu pun ada juga.
"Imran. Are you okay?" tanya Encik Ehsan selepas menamatkan perbualan telefon. Dia melihat apa yang berlaku.
"Okey. Sorry, Doktor Ehsan. Nasib baik sempat sambut," kata Imran. Dia meletakkan semula frame gambar itu di atas meja.
"Cucu Doktor Ehsan ikut muka ibu dia. Comel!" tambah Imran lagi.
"Ibu dia? Eiyad? Kamu kena Rozie ke?" Doktor Ehsan jelas terpinga-pinga.
"Aaa... Rozie? Anak doktor nama Rozie ke? Bukan ke ini ibu cucu Doktor Ehsan?" Imran turut sama terpinga-pinga. Dia tersalah cakap ke? Dalam masa yang sama dia menunjukkan gambar wanita tadi.
Encik Ehsan ketawa terbahak-bahak.
"Ini Darina. Anak kedua saya. Dia tak kahwin lagi. Eiyad ni anak kepada Erjaz, anak sulung saya. Erjaz tu duda. Dah lima tahun bercerai dengan Rozie, bekas isteri Erjaz. Mati-mati saya ingat kamu kenal dengan Rozie," beritahu Encik Ehsan.
"Apa? Tapi hari tu Eiyad panggil ibu kat Darina masa di kafe. Kebetulan saya ada kat situ."
"Aaa... Itu kerja anak ketiga saya, Dina. Dia ajar Eiyad kalau ada mana-mana lelaki yang cuba kacau Darina, panggil saja ibu," jawab Encik Ehsan. Eiyad sendiri cerita kat dia.
"Ooo... Jadi Darina ni tak kahwin lagi la? Darina ni doktor juga ke? Nenek ada cakap semua anak-anak Doktor Ehsan kerja doktor?" tanya Imran lagi. Dia menahan diri daripada tersenyum selepas mendapat tahu kenyataan ini.
"Ya. Dia doktor anaesthesiologist kat HKL," jawab Encik Ehsan.
Tiba-tiba telefon pintar Encik Ehsan berbunyi lagi.
"Saya keluar dulu." Imran cepat-cepat minta diri. Dia tahu pasti Encik Ehsan sibuk.
Setelah pintu bilik ofis ditutup, senyuman meleret di bibir Imran. Dia gembira sangat-sangat. Rupa-rupanya pujaan hatinya belum kahwin lagi. Nama Darina pula tu. Sedapnya nama tu. Harap-harap Darina datang masa kenduri nanti. Hari-hari dia akan berdoa.
KELUAR saja dari perut kereta Suzuki Vitara, Dina menoleh ke kiri dan kanan. Takut-takut kalau ada Rozie lagi. Bukan boleh percaya sangat! Dia yakin Rozie akan datang lagi.
Dina berjalan ke pintu pagar tadika. Dia tersenyum melihat Cikgu Hani.
"Assalamualaikum, Cikgu Hani," tegur Dina.
"Waalaikumussalam, Doktor Dina. Sekejap ya, saya panggilkan Eiyad," kata Cikgu Hani. Dia berjalan masuk ke dalam tadika.
Dina menyapa beberapa orang ibu bapa yang dia kenali.
"Mak lang!" jerit Eiyad seraya berlari apabila melihat kehadiran ibu saudaranya.
Dina membuka pintu pagar.
"Jangan lari!" tegur Dina. Dia menggelengkan kepala dengan telatah Eiyad.
Setelah Eiyad menghampirinya, dia mengambil beg sekolah yang digalas Eiyad. Dia menutup semula pintu pagar tadi.
Cikgu Hani datang mendekati mereka.
"Cikgu Hani, terima kasih. Eiyad cakap apa kat cikgu?" kata Dina.
Eiyad menghadap Cikgu Hani.
"Terima kasih, cikgu. Esok jumpa lagi. Bye!" kata Eiyad seraya melambai kepada Cikgu Hani.
"Bye!" Cikgu Hani turut sama melambai tangan kepada anak muridnya.
Sambil berjalan ke kereta, Eiyad tak henti-henti berceloteh pasal apa yang berlaku di tadika.
"Mak lang, jom la pergi kafe. Eiyad nak makan banana waffle." Eiyad menarik tangan ibu saudaranya.
Dina membuka pintu kereta.
"Hari tu kan dah makan dengan mak ngah? Selalu sangat makan makanan manis, tak elok. Nanti rosak gigi tu."
"Tak rosak la. Eiyad hari-hari gosok gigi. Nak tidur pun Eiyad gosok gigi. Jom la, mak lang," jawab Eiyad seraya mulut mula muncung. Muka terus masam apabila kehendaknya tak dituruti.
"Yalah! Yalah! Wafel aje, kek tak boleh!" Dina mengalah.
"Yeay!" Eiyad menjerit seronok. Dia terus masuk ke dalam kereta.
Pintu kereta ditutup. Dina menggelengkan kepala. Dia berjalan semula ke arah tempat pemandu. Dia terus masuk dan menghidupkan enjin keretanya.
Sambil memandu, Dina menoleh melihat telatah Eiyad yang menyanyi riang. Ini semua salah kakaknya, manjakan sangat Eiyad. Setiap kali Darina ambil Eiyad balik tadika, semestinya Darina akan bawa Eiyad pergi ke kafe. Bertambah lemak la Eiyad ni nanti. Macam mana tak montel!
"Mak lang! Mak lang gaduh dengan papa, mak ngah dengan pak su ke?" Eiyad berhenti menyanyi dan terus bertanya.
Dina terkejut dengan soalan Eiyad.
"Atuk ada cakap, berdosa kalau tiga hari tak cakap," sambung Eiyad lagi seraya melihat ke arah Dina.
"Tak gaduh pun. Mak lang cakap la dengan dia orang." Dina cepat-cepat menepis kata-kata Eiyad. Tengok! Budak kecil pun tahu mereka empat beradik sedang bergaduh. Dia terus menekan pedal minyak agar cepat sampai ke tempat yang dituju. Bimbang jika ada soalan lagi yang akan diaju oleh anak saudaranya itu. Dia mula syak mesti ini kerja abangnya!
MALAM ini, Jazli mengajak Dina keluar makan. Dia melambai tangan ke arah Dina sebaik saja melihat Dina baru saja masuk ke dalam restoran tomyam itu.
"Sorry lambat! Nak keluar tadi, aku kena tahan dengan ibu aku," beritahu Dina sebaik saja duduk. Dia meletakkan sling bag di kerusi sebelahnya.
"Kenapa?" tanya Jazli.
"Biasa la. Tanya aku keluar dengan siapa? Makan kat mana? Bila nak balik? Aku ni dah besar kut. Tahun depan umur aku 28 tahun," jawab Dina. Apabila dia jawab nak keluar dengan Jazli, terus ibunya tersenyum. Pelik!
"Biasa la. Ibu mana tak risau kalau anak perempuan keluar malam?" Jazli tersenyum.
"Apa hal kau ajak keluar ni? Macam ada agenda saja. Entah-entah Eiman tu suruh kau ajak aku keluar sebab nak pujuk aku, betul tak?" Tanpa berselindung Dina terus bertanya. Dia merenung tepat mata Jazli.
"Bukan la. Eiman tak ada cakap apa-apa pun. Aku ajak sebab nak belanja kau makan. Mana ada apa-apa agenda pun." Begitu laju Jazli menjawab. Dia terus pandang ke arah lain. Dah agak dah mesti Dina syak.
"Tak payah nak bohong la. Aku kenal kau. Kalau kau tipu, automatik mata kau tu tengok ke arah lain," balas Dina.
"Alaaa... Kau ni! Eiman hanya nak aku bawa kau keluar saja. Nak kau happy. Tenangkan fikiran. Lepas tu Eiman beritahu kau suka makan tomyam. Itu saja," jelas Jazli. Sebelum dia ajak Dina keluar, dia bertanya dulu dekat Eiman. Semua kegemaran Dina, dia sudah tahu. Apa yang Dina tak suka, Eiman tahu semuanya. Dah jelas Dina memang rapat dengan Eiman.
Dina terdiam.
Kemudian pelayan datang menghantar minuman.
"Aku dah oder semuanya. Aku oder apa yang Eiman beritahu aku," beritahu Jazli setelah pelayan itu berlalu pergi.
Dina melihat gelas jus tembikai kegemarannya. Antara semua adik-beradik, Eiman seorang yang memahami dirinya.
"Aku cemburu dengan kau. Kau tahu kan, aku ni anak tunggal. Aku teringin nak ada adik-beradik ramai macam kau. Ada teman nak berborak, ada teman nak keluar, ada teman nak kongsi masalah. Macam-macam lagi la. Aku ni asyik seorang diri saja. Kau patut bersyukur sebab ada abang, kakak dan adik," tambah Jazli lagi. Ibu kandungnya meninggal ketika dia kecil lagi. Selepas itu ayahnya kahwin lagi. Ibu tirinya memang baik. Dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang.
"Aku tahu la sebab apa dia orang rahsiakan dari aku. Aku ni panas baran, mulut celopar, lepas tu aku buat sesuatu tu tanpa berfikir dulu. Tapi aku bengang la bila dia orang sama-sama berpakat nak tipu aku." Dina bersuara.
"Dia orang buat demi kebaikan kau juga. Kalau awal-awal lagi kau dapat tahu kak ipar kau tu dah balik, kau nak buat apa?"
"Aku akan cari rumah dia sampai dapat. Kalau tak jumpa, aku cari tempat kerja dia kat mana! Kalau jumpa, aku bagi amaran sekeras-kerasnya supaya dia tak try jumpa Eiyad. Kalau dia enggan juga, aku cabut rambut dia sampai botak. Biar dia malu!" jawab Dina dengan wajah marah. Masa jumpa di tadika hari tu, memang dia dah nak tarik rambut Rozie. Tapi dia batalkan hasratnya kerana sedar yang dia berada di hadapan tadika Eiyad.
"Tengok! Tengok! Sebab ini la adik-beradik kau tak nak beritahu kau. Nak buat sesuatu tanpa fikir kesannya. Eiman cakap tahun ni saja dah tiga kali kau pergi balai polis."
Dina terdiam dan menjeling kepada Jazli.
"Dia orang buat demi kebaikan kau. Jangan la marah lama-lama. Maafkan la dia orang. Ingat air yang dicincang takkan putus," nasihat Jazli lagi.
"Yalah! Nanti aku cakap dengan dia orang. Eiyad pun ada cakap, tak cakap tiga hari berdosa," jawab Dina. Dia mengeluh perlahan.
"Anak saudara kau pun tahu berdosa kalau tak cakap tiga hari. Depan budak-budak kena tunjuk tauladan yang baik."
"Eee... Kau ni suka membebel la!" Dina mula rasa annoying.
"Okey. Okey. Aku stop cakap pasal hal ini. Aaa... Makanan dah sampai." Jazli mengangkat kedua-dua tangannya. Nasihat lebih-lebih tak boleh juga. Nanti berangin Dina tu.
Pelayan datang membawa makanan. Sekejap saja meja bulat ini dipenuhi makanan yang dipesan oleh Jazli.
"Weh, banyak gila kau pesan. Boleh habis ke ni?" Dina terkejut.
"Boleh la. Kau dengan aku nampak saja kurus tapi kuat makan. Betul tak?" jawab Jazli diakhir ketawa.
Dina turut sama ketawa.
Jazli mencedok tomyam ke dalam mangkuk kecil lalu diberikan kepada Dina. Kemudian dia mengambil isi ikan siakap tiga rasa dan diletakkan di atas pinggan nasi Dina.
"Thank you! Sweetnya kau malam ni. Siapa yang jadi girlfriend kau memang bertuah." Dina tersengih.
"Tak payah nak puji aku melambung-lambung," balas Jazli. Dia menadah tangan dan membaca doa makan.
Dina turut sama membaca doa makan. Kemudian mereka makan sambil berborak. Dia terus lupa apa yang mereka bincangkan sebentar tadi. Sesekali dia ketawa dengan lawak Jazli.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro