Bab 14
PAGI ini, Dina sudah ke klinik. Penyapu yang ada di stor diambil dan dia terus keluar. Dia mula menyapu sampah di depan klinik. Kemudian dia menukar air dan menambah makanan untuk kucing-kucing luar yang ada di sekitar klinik.
"Kak Dina!"
Dina berpaling dan melihat kehadiran Eiman.
"Tengok ni, Eiman bawa makanan kegemaran Kak Dina. Roti jala dengan kari ayam," beritahu Eiman seraya menunjukkan bekas makanan yang ada di dalam beg kertas.
Dina buat tak tahu dan menyambung semula kerja dia.
"Kak Dina... Jom la makan," ajak Eiman lagi. Dia cuba memujuk Dina. Selepas kejadian hari itu, Dina sudah tak bercakap dengan dia lagi. Bukan dia saja, kakak dan abang dia pun turut menerima nasib yang sama. Nampaknya kali ini Dina benar-benar marah selepas dapat tahu mereka semua merahsiakan pasal hal Rozie.
"Excuse me! Do I know you?" Dina bersuara dan memandang Eiman. Masih kecik hati dengan apa yang telah berlaku.
"Kak Dina jangan la macam ni. Eiman dah minta maaf, kan? Lepas ni Eiman janji, Eiman takkan rahsia apa-apa daripada Kak Dina la. Maafkan Eiman, ya. Jom kita makan sama-sama," pujuk Eiman lagi. Cuba mengambil hati kakaknya semula.
"Buat apa ajak Kak Dina? Ajak la Abang Erjaz dengan Kak Darina. Kau orang bertiga kan BFF. Semua rahsia kongsi bertiga saja, kan!" sindir Dina dan terus masuk ke dalam klinik tanpa mempedulikan pujukan Eiman.
"Kau ni sampai bila nak perang dingin dengan Eiman? Kasihan kat Eiman. Maafkan la Eiman tu," nasihat Noor. Sudah beberapa hari dia menyedari perangai Dina kepada Eiman. Selalunya mereka berdua memang rapat.
"Ooo... Kat Eiman, kau kasihan. Aku ni tak ada siapa nak kasihan pun. Sampai hati mereka semua buat aku macam ni! Aku tak pernah sikit pun berahsia dengan dia orang. Lantaklah. Selagi kemarahan aku ni tak hilang, jangan harap aku nak maafkan mereka. Faham?!" jawab Dina dengan wajah serius dan terus membawa penyapu untuk disimpan semula di dalam stor.
Noor menggelengkan kepala dengan perangai Dina. Dia menoleh ke arah Ina dan Abu.
"FYI, don't get on her bad side! Terus merana hidup kau orang nanti," kata Noor kepada pekerja-pekerjanya.
Ina dan Abu menggeleng dengan laju. Semestinya mereka berdua tak mahu bermusuh dengan Dina.
SETELAH selesai makan mi goreng mamak, pau kacang yang ada di depan mata diambil. Baru saja nak masuk ke dalam mulut, kerusi kosong di sebelah Jazli ditarik.
Eiman duduk dengan wajah masam. Beg kertas diletakkan di atas meja makan.
"Laaa... Cepatnya balik?" sapa Jazli. Dia meletakkan semula pau tadi di atas pinggan.
"Kak Dina marah lagi kat Eiman," beritahu Eiman. Mulut terus senget ke kanan. Sudah mati kutu nak pujuk Dina.
Jazli membetulkan cermin matanya. Perangai Dina tetap tak berubah macam dulu. Selagi kemarahan masih belum reda, jangan harap la Dina nak maafkan orang itu.
"Macam-macam Eiman dah buat tapi Kak Dina tetap juga tak nak maafkan. Tak syok la bergaduh macam ni." Eiman mengeluh perlahan. Dia paling rapat dengan Dina sejak kecil lagi.
"Dina tu akan okey lepas marah dia reda. Percayalah. Bersabar," kata Jazli.
"Abang Jazli tolong la nasihat Kak Dina tu. Eiman yakin Kak Dina mesti dengar cakap Abang Jazli." Tiba-tiba Eiman mendapat idea.
"Abang Jazli baru saja jumpa dengan Dina. Macam la Dina tu nak dengar cakap Abang Jazli. Macam ni, Abang Jazli hanya boleh try redakan kemarahan Dina. Itu saja. Boleh?" Jazli memberi cadangan. Kalau dia masuk campur lebih-lebih, pasti dia turut menerima nasib yang sama.
"Itu pun dah cukup. Thank you so much, Abang Jazli. So Abang Jazli boleh breakfast free kat sini selama sebulan." Eiman terus gembira.
"Eh, mana boleh macam tu! Dah makan tetap kena bayar." Jazli rasa kurang selesa. Plan dia belum lagi berjaya takkan la nak makan free?
"Ala... Orang nak belanja, terima saja la. Eiman nak masuk dapur ni." Eiman segera bangun apabila menyedari pembantunya memberi isyarat.
Jazli menggaru kepala yang tak gatal. Terfikir macam mana nak ajak Dina keluar? Apa-apa pun kena plan dulu.
MALAM ini Darina, Erjaz dan Eiman berkumpul di ruang tamu di tingkat atas. Topik utama mereka sudah tentu mengenai Dina.
"Kak Dina masih tak cakap lagi dengan Abang Erjaz dengan Kak Darina?" tanya Eiman.
Darina dan Erjaz sama-sama mengeluh.
"Eiman buat roti jala dan kari ayam tapi Kak Dina suruh Eiman makan dengan Abang Erjaz dengan Kak Darina. Nampak sangat marah belum reda lagi." Eiman mengadu.
"Kak Darina call banyak kali tapi Dina tak angkat. Mesej pun tak jawab. Tadi Kak Darina masuk bilik Dina, cuba nak slow talk tapi Dina buat dek saja. Kak Darina nak ajak Dina keluar tapi tak ada respons. Last-last keluar dari bilik Dina macam tu saja," cerita Darina. Dia cuba pujuk dan minta maaf tapi Dina tak bercakap langsung. Susah juga kalau jadi macam ini.
"Abang Erjaz buat apa?" tanya Eiman.
"Sama juga macam Darina. Call, mesej, tak dilayan langsung. Tadi masa Abang Erjaz balik kerja, Abang Erjaz tegur tapi Dina buat tak tahu saja. Biarlah kat Dina tu. Dina sendiri yang tak nak cakap. Sampai bila Dina nak merajuk dengan kita? Nanti dia okey sendiri," jawab Erjaz.
"Abang Erjaz senang la cakap. Eiman dah cakap kan, kita kena beritahu pasal Kak Rozie kat Kak Dina tapi Abang Erjaz dan Kak Darina berkeras tak nak. Sekarang tengok la apa dah jadi. Tak pasal-pasal Eiman terbabit sama." Eiman merenung abangnya.
"Dah! Dah! Jangan gaduh. Memang salah kami pun tapi masalahnya, Dina yang tak nak cakap dengan kita. Nak buat macam mana lagi?" Darina menyampuk.
"Ooo... Nak biarkan la? Okey! FYI, ibu tengah plan nak cari bakal isteri kat Abang Erjaz. Bakal suami untuk Kak Darina pun ibu tengah cari. Selalunya Kak Dina yang backup, kan? Pandai-pandai la Abang Erjaz dengan Kak Darina handle ibu nanti." Eiman bengang. Dia terus bangun dan meninggalkan mereka berdua.
"What's wrong with him?" Erjaz menggelengkan kepala.
"Eiman kan rapat dengan Dina. Bila dah jadi macam ni, Eiman gelisah la. Abang Erjaz kena la faham." Darina mengeluh perlahan.
"Ibu dah bercakap ke?" tanya Erjaz.
"Cakap memang cakap tapi asyik sindir saja," jawab Darina. Bukan Dina saja, ibu mereka juga buat benda yang sama.
"Tadi pun masa Abang Erjaz tanya ibu tengah masak apa, ibu cakap rahsia! Fuh... Serabut kepala ni. Ayah dah mula kompelin pasal perangai ibu dengan Dina. Ini baru tiga hari! Kalau perang mereka berdua berpanjangan, tak tahu la nak buat apa." Erjaz menggelengkan kepala.
"Abang Erjaz, kita kena fikir something. Lagi satu, kalau apa Eiman cakap tadi betul, yang ibu tengah cari calon untuk kita, kita pasti tak dapat nak elak. Kalau tolak mesti ibu marah lagi. Lepas tu kalau dulu ada Dina yang akan backing kita. Macam mana ni, Abang Erjaz?" tanya Darina dengan dahi berkerut. Kemelut antara mereka semakin rumit.
Tiba-tiba mereka berdua terdiam apabila Dina melangkah melintasi ruang tamu. Dina berhenti dan memandang Darina dan Erjaz beberapa saat.
"Ini mesti ada rahsia lagi!" kata Dina sebelum bergerak menuruni anak tangga.
"Perangai Dina tu sebiji perangai ibu. Tengok tu, sempat lagi perli kita." Erjaz mengetap bibir. Mula rasa geram.
Darina terus menepuk bahu abangnya.
"Sakit la!" marah Erjaz.
"Fokus! Semua tu tolak tepi. Sekarang ni kita kena fikir macam mana nak pujuk ibu dengan Dina." Wajah Darina serius memandang abangnya. Masalah ini perlu diselesaikan secepat mungkin.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro