Bab 8
AJDA melangkah laju, mahu ke hentian teksi yang terdapat di kawasan hospital itu saat dia terpandangkan Pak Kahar yang sedang duduk di bangku berdekatan hentian teksi itu.
"Pak Kahar?" tegur Ajda saat dia menghampiri lelaki itu.
Pak Kahar laju bangun saat dia melihat Ajda berdiri di hadapannya saat itu.
"Ajda." Pak Kahar sengih.
"Apa Pak Kahar buat dekat sini lagi?" Kening Ajda terangkat, tidak mengerti. Ada urusan apa pula Pak Kahar ini di sini?
"Pak Kahar tunggu Ajda. Encik Megat suruh tunggu saja Ajda sampai Ajda siap. Pak Kahar lupa nak ambil nombor telefon Ajda, Pak Kahar agak mesti Ajda nak ambil teksi jadi Pak Kahar tunggu dekat sini."
"Ya Allah! Kenapa Pak Kahar tunggu juga? Lama saya kat dalam tadi, kesian Pak Kahar. Susahkan Pak Kahar saja tunggu saya dan nak hantar saya balik pula." Ajda rasa bersalah apabila lelaki tua itu menunggunya sedari tadi, sudahlah dia duduk bersembang dengan Qisya dulu tadi.
"Tak apa, dah memang Encik Megat yang arahkan Pak Kahar tunggu Ajda dan anak saudara dia. Ajda janganlah khuatir."
"Anak saudara?" Dahi Ajda berkerut.
"Haah, anak saudara Encik Megat datang hospital tadi tapi dia dah balik sendiri, itu yang Pak Kahar tunggu Ajda saja."
Ajda mengangguk-angguk. Rasa nak tahu lagi pasal anak saudara Encik Megat tu tapi rasa tak elok pula nak tanya lebih-lebih sedangkan dia baru saja kenal Pak Kahar hari ini.
"Haih, saya minta maaf ya, Pak Kahar? Susahkan Pak Kahar."
"Tak ada apalah. Memang tugas Pak Kahar pun." Pak Kahar senyum sebelum melangkah. Ajda mengekori langkah lelaki itu walau hatinya masih rasa bersalah dan berat hati.
AJDA terkedu saat kereta yang dipandu Pak Kahar itu memasuki pekarangan sebuah hotel lima bintang.
"Eh, kita nak buat apa dekat sini, Pak Kahar?" Ajda cuak. Walaupun muka Pak Kahar tu baik saja tapi orang zaman sekarang bukan kita boleh percaya sangat. Itulah Ajda, laju saja naik kereta orang tanpa waswas, kalau jadi apa-apa habislah masa depan kau!
"Pak Kahar nak ambil Encik Megat dulu. Dia mesyuarat dekat hotel ni tadi."
Gulp! Ajda menelan liur.
Walaupun bukan macam apa yang dia takutkan tapi tetap menakutkan bila dia fikirkan yang dia akan berada di dalam satu kereta yang sama dengan Encik Megat yang dingin macam ais batu tu. Ah, canggungnya!
Sebenarnya tadi dia nak duduk di tepi Pak Kahar saja di sebelah pemandu tapi laju saja Pak Kahar bukakan pintu tempat duduk belakang. Nak tak nak dia terpaksa duduk di belakang dan sekarang Encik Megat pula bakal masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah dia. Ah, mimpi ngeri apakah ini?
Okey. Relaks Ajda, yang kau nak takut sangat dengan pak cik kerek tu kenapa? Bukannya dia nak buat apa-apa dekat kau.
Masalahnya aku tak retilah nak bercakap dengan orang kerek macam tu. Mesti kekok duduk sebelah dia, jenis perasan diri high class sampai orang lain nampak lekeh. Eh, tapi dia kira baik apa, siap suruh Pak Kahar hantar dan ambil aku.
Argh! Ajda menggosok kepalanya yang berbalut tudung itu, terasa serabut memikirkan hal itu.
"Encik Megat!" Laungan Pak Kahar itu membuatkan darah terasa menyerbu muka Ajda saat itu. Wajahnya dah jadi merah padam menahan rasa segan.
Pintu di sebelah kiri Ajda terkuak, membuatkan gadis itu memandang ke tepi. Megat Talhah memandang dia sekilas sebelum masuk dan duduk tanpa sebarang bicara.
Dada Ajda rasa macam nak pecah menahan debaran. Sungguh dia tak tahu nak buat apa waktu itu, hatinya terasa begitu canggung tetapi dia cuba buat-buat biasa.
"Encik Megat..." Dia menegur sambil menundukkan kepalanya sedikit tanda hormat.
"Hmmm..." Itu saja yang kedengaran dari mulut Megat Talhah tanpa memandang langsung ke arah Ajda. Matanya fokus pada Tablet di tangannya, khusyuk menatap skrin di hadapannya itu.
"Terima kasih sebab suruh Pak Kahar hantar dan ambil saya."
Megat Talhah berpaling memandang Ajda.
"Tak ada apalah, bukan susahkan saya pun."
Ajda mengetap bibir. Memanglah tak susahkan dia, tapi susahkan Pak Kahar ni. Hesy, berlagak betul bos Pak Kahar ni.
Diam kembali, hanya lagu dari radio yang Pak Kahar pasang mengisi kesepian saat itu. Ajda sudah kehilangan kata untuk berbual apabila Megat Talhah kelihatan seperti tidak mahu diganggu.
Cepatlah sampai ke butik! Ajda meminta dalam hati, sungguh dia tidak suka berada dalam keadaan canggung sebegitu lama-lama. Seksa jiwanya menahan resah. Kalau dia tahu Pak Kahar akan ambil Encik Megat ni sama, sumpah dia lagi rela balik sendiri naik teksi daripada ikut Pak Kahar. Hesy!
QISYA duduk kaku di dalam keretanya yang sudah diubahsuai untuk membolehkan dia memandunya tanpa sebarang masalah. Pertemuannya semula dengan Ajda membuka kembali lembaran ingatannya pada kenangan silam. Zaman sewaktu mereka masih di universiti, saat dia masih bisa berdiri tegak, bisa memandang ke depan dengan yakin, zaman dia melangkah tanpa menoleh ke belakang.
"Qisya, Jefri ajak kau keluar makan malam ni dekat NR Cafe." Ajda menyampaikan pesanan itu sebaik mereka keluar dari dewan kuliah.
Qisya berpaling memandang Ajda dengan keningnya yang terangkat.
"What? Sorang lagi?" Qisya menghela nafasnya.
"Kenapa? Siapa lagi ajak kau jumpa?" Giliran kening Ajda pula terangkat, pelik dengan reaksi Qisya itu.
"Tadi Si Amir tu ajak aku temankan dia pergi bandar petang nanti. Tolonglah, rimas aku wei!" Qisya buat muka tak puas hati.
"Alah, kau kan lawa, memanglah ramai yang nak mendekat. Lainlah macam aku ni, biasa-biasa saja. Tolong jadi posmen karat kau bolehlah." Ajda tersengih.
"Eh, cakap elok-elok sikit, ya. Kau pun lawa apa, cuma..." Qisya merenung Ajda atas bawah.
"Apa?" Dahi Ajda berkerut, dia ikut merenung dirinya atas bawah. Okey saja, tak ada yang pelik. Baju kurung cotton, tudung bawal pin dekat tengah dan kasut sneakers. Okey apa?
"Ni, stail kau ni... Sempoi sangat. Cuba kau bergaya sikit."
"Eh, ni kira bergayalah ni. Gaya aku." Ajda ketawa.
"Bergayalah sangat..." Qisya menjulingkan matanya ke atas. Entah apa pemahaman Ajda tentang bergaya gamaknya, dia sendiri tidak tahu.
"Aku manalah reti nak mekap-mekap macam kau, pakai shawl dua belas jarum peniti segala ni. Memang macam ni aje stail aku. Mudah, lambat bangun pun still tak terkejar nak pergi kuliah, semua aku main sarung aje." Ajda tersengih, masih cuba menegakkan pendiriannya tentang gayanya itu.
Qisya menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Ikut kaulah, malas aku nak komen apa-apa dah."
Ajda memaut bahu Qisya sebelum tersengih kembali.
"Ala, biarlah kau lawa sorang-sorang, nanti orang tengok aku pula kalau aku pun melawa macam kau. Habis kau punya spotlight nanti."
"Hesy, perasan! Kalau kau pakai mekap pun, aku still lagi lawa daripada kau, okey." Qisya mencebik sambil mencubit Ajda membuatkan gadis itu kian galak ketawa.
"Yalah. Aku akui, memang kau paling lawa dalam universiti ni. Puas hati?"
"Puas!" Qisya akhirnya tersenyum lebar, suka apabila dipuji sebegitu.
"Dah, jomlah kita makan. Perut aku dah lapar, ke kau nak makan dengan Jefri atau Amir tu, atau lelaki-lelaki lain yang sedang mengejar kau tu?"
"Hesy, memang taklah. Rimas aku dengan lelaki-lelaki tu, sekali-sekala tak apalah. Kerap sangat, bosan pula aku rasa. Kau jangan macam-macam ya, jangan berani tinggalkan aku sorang-sorang. Aku pergi mana mesti kau kena ikut."
"Yalah tuan puteri, hambalah bodyguard yang menurut perintah."
Qisya ketawa seraya memaut lengan Ajda sebelum mereka berjalan beriringan ke kafeteria.
Qisya cuba menahan air matanya yang ingin tumpah sebaik dia mengenang kembali masa silam. Zaman dia menjadi kegilaan ramai di universiti, masa tu memang dia terasa dirinyalah yang paling cantik dan laris. Ketika itu Ajdalah yang menjadi posmen karat menghantar pesanan jejaka-jejaka kampus yang cuba mendekati Qisya, dan sentiasa ada di samping Qisya macam seorang pengawal peribadi untuk elakkan Qisya daripada diganggu peminatnya.
Qisya merasakan apabila dia habis belajar di universiti dapatlah dia mengejar impiannya untuk menjadi seorang model berbekalkan wajahnya yang cantik itu tetapi semuanya punah apabila kemalangan itu berlaku, Bukan saja dia lumpuh separuh badan tetapi wajahnya juga sudah berparut kesan kemalangan walau sudah semakin kabur.
Seperti mana Ajda yang tidak mahu melawa dan berhias dahulu hingga dia selalu bising-bising, begitulah juga dirinya sekarang. Hilang terus rasanya untuk mencalit sebarang mekap di wajah kerana tertekan dengan keadaannya kini.
Walaupun dia sudah reda dengan keadaan dirinya namun hendak jadi seperti dahulu, memang dia tidak lagi bisa. Baginya tiada siapa lagi yang sudi menerima gadis cacat sepertinya walaupun dia masih cantik seperti dahulu.
Qisya menyeka air matanya yang tumpah jua sebelum dia menghidupkan enjin keretanya dan berlalu dari pekarangan hospital itu. Kenangan yang lama walau diingat kembali, takkan bisa mengubah apa-apa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro