Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

Mak mentua pula telefon selang beberapa hari. Mulanya malas juga nak jawab. Takut nanti kata biadab, nak tak nak, terpaksalah aku jawab juga panggilan.

"Assalamualaikum. Miza lari dari rumah? Dah kenapa buat perangai bodoh macam ni? Nak tunjuk perasaan? Janganlah buat perangai yang memalukan keluarga kita. Mak Miza tak ajar Miza ke? Keluar rumah tanpa izin suami tu berdosa, tau tak?"

Ini yang buat aku marah bila mak aku terlibat sama. Menyesal pulak aku jawab. Buat sakit hati saja. Tetap aku jugak yang salah. Langsung tak tanya apa yang anak dia dah buat pada aku. Nama juga mak. Mak mana yang mahu mengaku salah anak sendiri.

"Waalaikumussalam. Bila masa pulak Miza lari dari rumah? Miza dah minta izin daripada Abang Wafi. Mak tak tanya Abang Wafi dulu ke sebelum serang Miza?" Aku menjawab. Nak cakap aku kurang ajar ke, aku apa ke, aku dah tak kesah. Aku bercakap perkara yang benar. Mana boleh main salahkan aku saja.

"Oh! Ya ke? Mak bukan nak masuk belah mana-mana. Benda ni mudah saja kalau Miza reda. Lagipun mak tahu, Wafi memang berkemampuan dan mak yakin Wafi akan berlaku adil. Miza buat macam mana pun, Miza tetap kalah. Miza tahu tak berdosa besar kalau Miza menghalang suami untuk berkahwin lain?"

Semua orang boleh cakap begitu. Wafi mampu, Wafi boleh berlaku adil. Tak ada masalah kalau dia mahu memiliki isteri lebih daripada seorang. Tapi bagaimana dengan perasaan aku? Luka yang perlu aku tanggung tak siapa yang tahu. Sangat sakit. Aku tak fikir aku boleh reda dan aku rasa aku tak mampu untuk bertahan. Sebab itulah jalan terbaik yang aku nampak sekarang ini hanyalah dengan mengundurkan diri. Memang nampak aku lemah kerana lemah, itu lebih baik daripada aku membuat dosa setiap hari.

"Miza tak nak bermadu, mak. Kalau Abang Wafi tegas dengan keputusan dia, Miza pun akan tegas dengan keputusan Miza. Memang tak ada jalan lain, Abang Wafi kena lepaskan Miza kalau dia nak kahwin lain. Itu syarat Miza."

Aku tidak akan bertolak ansur lagi. Sebarang pujukan takkan mampu mengubah keputusanku. Aku nekad.

"Kamu ni tamak sangat, Miza. Tak luak pun Wafi tu kalau dikongsi. Mak kenal anak mak. Tak ada lelaki sebaik Wafi. Kalau kamu bercerai, kamu takkan jumpa lagi lelaki sebaik Wafi. Fikir baik-baik sebelum buat keputusan tu. Takut menyesal tak sudah nanti."

Tak kesahlah nak cakap aku tamak ke, atau pentingkan diri sendiri. Aku tak perlu berkorban semata-mata untuk menyenangkan semua pihak.

Lelaki sebaik Wafi? Ibu mana yang akan cakap anak dia tak baik? Semua anak pun sempurna di mata ibu. Tapi tak apalah. Mungkin betul anak dia baik. Aku saja yang tak tahu menghargai.

"Tak kesahlah mak nak cakap apa, Miza tak kecik hati pun. Yang akan tanggung nanti bukan orang lain. Miza yang akan hadap semua. Daripada Miza makan hati, lebih baik Miza undur diri. Miza pun berhak untuk memiliki kehidupan Miza sendiri."

Demi kebahagiaan anak lelaki dia, bukan main lagi desak aku setuju dengan rancangan gila anak dia. Minta maaflah.

"Wafi dah cakap dia mampu, Miza nak susah hati apa pulak? Kenapa suka sangat menyusahkan Wafi? Nak tunjuk keras kepala Miza?"

Mampulah sangat. Kalau sebut beristeri dua, semua mampu. Mampu tak mampu hanya aku saja yang tahu.

"Tak apalah, mak. Miza undur diri. Miza memang tak boleh bermadu. Mana tahu lepas ni Miza akan jumpa jodoh yang lebih baik berbanding Abang Wafi. Siapa tahu, kan."

"Siapa yang nak janda macam kamu? Sedangkan anak dara berlambak lagi yang tak kahwin. Jangan nak bermimpi sangatlah. Nak dapat lelaki yang lebih baik konon. Eh, Wafi tu lelaki paling baik, tau tak?"

Hajah Rubiah sudah mula menampakkan kemarahannya. Dialah orang paling menyokong keputusan Wafi untuk mengahwini kekasih Wafi. Tak tahu kenapa suka pula anak dia berpoligami. Megah agaknya. Boleh berlagak depan saudara-mara, anak dia mampu kahwin lain.

"Insya-Allah, mak. Jodoh kan rahsia Allah. Lelaki kalau baik dia takkan berlaku curang. Lelaki curang ni contoh lelaki yang tak baik. Baik buang saja, tunggu pun buat sakit hati saja."

"Kamu memang nak sangat bercerai dengan Wafi ke? Baik, nanti mak suruh Wafi ceraikan kamu. Senang dia nikah dengan perempuan lain. Berlagak sangat nak bercerai, kan? Perempuan degil macam kamu itu saja caranya."

"Insya-Allah, Miza tahu keputusan Miza ni yang terbaik pernah Miza ambil. Miza takkan menyesal. Miza akan lebih menyesal kalau teruskan perkahwinan ni."

"Sombong betul. Mak nak tengok, sampai mana kamu akan degil, Miza. Jangan nanti meraung sudahlah."

"Bukan sombong, mak. Cuba mak duduk di tempat Miza. Ayah kahwin lain, mak suka?"

"Tak payah kamu nak pusing cakap. Kamu kena tengok jenis isteri yang macam mana sampai suami kahwin lain. Kalau layanan baik, takkan suami cari lain. Kamu tu yang tak pandai layan Wafi."

"Kalau betul layanan Miza kurang baik, kenapa tak cakap? Anak lelaki kesayangan mak tu yang bodoh. Tak tahu nak hargai isteri. Macam manalah mak boleh ada anak macam tu?!"

Jangan salahkan aku kalau aku kurang ajar. Aku sekadar balas balik. Takkan nak diamkan semuanya? Sesekali kena jawab sama.

Tiba-tiba panggilan dimatikan. Marah sangat tu sampai matikan panggilan macam tu saja. Sepatutnya sebagai perempuan, mak mentua akan lebih memahami keadaanku. Lebih memihak kepadaku namun sebaliknya yang berlaku. Bersikap tidak adil. Bukan aku meminta yang tidak baik, tapi apa yang mentua aku rasa kalau salah seorang anak perempuannya diperlakukan seperti aku? Tak kena batang hidung sendiri senanglah bercakap. Berdosalah, tak tahu hukumlah. Kalau setakat bercakap, semua orang boleh cakap. Hanya yang menanggung saja rasa betapa sakitnya bila suami curang.

Tak apalah. Kalau sudah ditakdirkan jodoh kami sampai di sini saja, hendak diapakan lagi. Aku reda.

Kak Syarifah sampai. Hari ini kes dia dibicarakan di mahkamah. Suaminya nekad hendak menceraikan dia kerana madu Kak Syarifah sudah tidak sanggup hendak berkongsi kasih. Suami Kak Syarifah diberi dua pilihan. Pilih Kak Syarifah atau isteri kedua. Akhirnya isteri kedua menjadi pilihan. Kak Syarifah pula dihalau keluar dari kediaman mereka. Begitulah nasib seorang isteri. Bila sudah tidak diperlukan lagi, dicampak seperti sampah.

Aku tidak berani hendak bertanya apa-apa. Kalau Kak Syarifah bercerita, aku sedia menjadi pendengar. Hendak menyibuk bertanya, tidak sama sekali. Memang luka yang kami terima adalah luka jenis yang sama dan rasanya sakit juga sama. Tapi menghormati perasaan Kak Syarifah adalah keutamaan aku sekarang.

"Aira meragam tak?"

Aira yang ditanya dulu namun aku ada melihat kesan air mata di kelopak mata Kak Syarifah.

"Tak, kak. Gembira aje main dengan Afiah."

Kak Syarifah peluk erat Aira dan mula menangis. Teresak-esak dia menangis. Aku hanya mampu gosok belakang Kak Syarifah dengan perlahan. Hendak berkata apa lagi bila kami berkongsi sakit yang sama.

"Sabar kak..."

"Semuanya dah berakhir, Miza. Kami dah sah bercerai."

Lambat-laun, aku juga akan lafazkan ayat yang sama. Hanya menunggu masa. Namun berbeza dengan Kak Syarifah, aku lebih bersedia.

"Anak-anak kekal dengan akak. Nampaknya hanya setahun saja akak bermadu."

Aku sekadar menjadi pendengar. Kak Syarifah kerap benar meluah rasa. Mungkin dengan cara itu dia dapat mengurangkan tekanan yang dia rasa.

"Sabar ya, kak."

"Ya, akak tengah sabar ni. Akak tak minta apa-apa. Akak hanya mahu hidup aman dengan anak-anak akak."

Itu juga harapan aku. Aku hanya mahu hidup dengan aman bersama anakku kelak. Yang sudah tu, sudahlah. Biarkan berlalu. Hidup perlu dijalani dengan baik tanpa ada rasa menyesal.

"Maaf, akak dah menyusahkan Miza. Miza pun ada masalah juga." Kak Syarifah sapu air matanya. Cuba tersenyum namun senyuman Kak Sharifah nampak pahit.

"Eh, tak ada yang menyusahkan. Kita sekarang ni kena saling bergantung sesama kita. Hari ni saya tolong akak. Esok lusa akak pula tolong saya. Kita dah tak boleh harapkan sesiapa lagi, kak."

Kak Syarifah terus peluk aku sambil menangis semula.

"Terima kasih Miza sebab selalu ada untuk akak."

Kami orang asing. Tak ada pertalian saudara langsung. Saling tidak mengenali tapi dalam tempoh yang singkat hubungan kami jadi mesra. Walau aku jarang berkongsi rasa dengan Kak Syarifah, tetapi Kak Syarifah sangat memahami. Kami sangat serasi bersama.

"Sama-sama, kak. Saya akan selalu ada untuk akak. Saya juga berharap akak ada untuk saya."

"Insya-Allah, akak akan selalu ada untuk Miza."

Masa bukanlah ukuran untuk sesebuah persahabatan. Ikhlas dan saling memahami sudah cukup untuk jadi kawan baik. Kawan baik juga adalah anugerah yang berharga. Jadi aku perlu menghargainya.

Semoga ada cahaya di hadapan sana buat kami berdua.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro