Bab 7
Pagi-pagi lagi Ustazah Aishah sudah sampai. Katanya hari ini ada bayi daripada ibu yang baru lepas pantang akan datang. Kak Syarifah yang bakal memikul tanggungjawab menjaga bayi tersebut. Aku rasa salah satu cara Ustazah Aishah hendak membantu Kak Syarifah juga.
Kak Syarifah pula selepas solat subuh tadi sudah kalut bersiap. Dia mandikan anak-anak dia. Buat sarapan. Begitu bersemangat. Seolah-olah sudah lupakan semua masalah dia. Semoga dia cepat bangkit dan terus bersemangat.
Hari ini juga bermula sesi persekolahan. Aku menyambut kedatangan murid-murid di pintu pagar. Ceria wajah masing-masing selepas bercuti hampir dua minggu. Ada juga meragam yang tidak mahu masuk ke kelas. Bermulalah drama pujuk-memujuk.
Setiap anak-anak aku santuni dengan baik. Dengan penuh kasih sayang. Ada dua peringkat umur anak-anak yang belajar di sini. Pertama enam tahun dan kedua lima tahun. Aku mengajar anak-anak berumur lima tahun. Ada sepuluh orang semuanya untuk lima tahun dan ditempatkan di dalam satu kelas. Sementara untuk enam tahun pula ada lebih kurang tiga puluh orang dan ditempatkan di dalam empat kelas. Kelas bermula 8.00 pagi dan berakhir 11.00 pagi. Untuk pusat jagaan pula mengikut waktu ibu masing-masing bekerja.
Menghampiri pukul 12.00 tengah hari, taska sepi semula. Semua kanak-kanak sudah pulang. Masuk hari ini sudah hampir dua minggu aku tinggal di bilik belakang taska. Walau hanya sekadar bilik kecil, sudah cukup bagiku. Kelak kalau ada rumah yang lebih sesuai, aku akan berpindah. Buat sementara waktu, aku menumpang di sini.
Bermakna dua minggu juga emak tinggal di rumah arwah mak tok. Mak ada beritahu Abang Mizi datang jemput mak Ahad lepas. Tapi mak berkeras tak mahu balik. Mak dah seronok berkumpul dengan adik-beradik mak. Mak gembira jaga mak long.
Mak cakap Abang Mizi mengamuk teruk, tapi mak nekad untuk tidak ikut. Terkejut juga bila mak berjaya melawan kehendak Abang Mizi. Mak seperti sudah tidak peduli dan mula ada kekuatan untuk menolak permintaan Abang Mizi. Julung-julung kalinya mak tunjuk keberanian mak. Pasti ibu saudara aku yang lain memberi sokongan dan semangat menjadikan mak semakin tegas.
Bagus. Aku suka dengan perubahan baru mak.
Wafi pula ada menghubungi aku, tapi aku tak jawab pun panggilannya. Kiriman WhatsApp juga aku tak layan. Bila perasaan sudah hilang rasa, maka semuanya akan menjadi tawar. Hendak jadi apa pun, terserah. Aku bukan tidak mampu untuk meneruskan hidup tanpa Wafi. Aku mampu. Aku tidak selemah yang Wafi fikirkan. Aku tahu bagaimana untuk berdikari. Jangan bimbang tentang aku. Wafi nak bimbang tentang aku? Memang tidaklah. Kenang pun tidak, lagi hendak bimbang.
Sampah yang sudah aku kumpulkan di dalam plastik hitam, aku ikat dengan kemas. Plastik berwarna hitam itu aku bawa keluar. Hari ni ada lori sampah yang bakal pungut sampah.
"Miza!"
Aku segera menoleh pada suara yang memanggil. Aku tarik muka masam bila terpandang wajah lelaki berusia tiga puluh tiga tahun dan sedang dilamun cinta tahap tak ingat dunia. Katanya sudah tak sanggup hendak berpisah. Mahu sehidup semati.
"Kenapa buat perangai ni?"
Soalan yang buat aku panas hati. Nampaknya aku juga yang salah. Dikata aku yang buat perangai. Tapi dia tak tahu aku buat perangai sebab perangai dia yang tak serupa suami.
"Buat perangai apa bendanya!" Aku balas dengan rasa marah.
"Abang malu, tau tak? Mak pun dah sibuk tanya. Kalau ada masalah kita bawa berbincang. Bukannya dengan cara lari macam ni."
Hampir dua minggu aku keluar dari rumah, baru hari ini dia cari aku? Itu pun sebab mak dia dah bising? Kalau mak dia tak bising, haram nak cari aku. Memang aku tak boleh terima kata-kata Wafi. Hanya menambah sakit yang ada.
"Miza tak lari. Siapa kata Miza lari? Miza keluar rumah pun masih minta izin abang. Abang diam aje. Sibuk layan handphone. Maknanya abang tak kesah kalau Miza keluar rumah."
Jawab tetap jawab. Dah memang betul. Ingat aku main-main agaknya. Hari aku beritahu dia yang aku mahu keluar rumah, dia langsung tak beri perhatian. Tersengih dengan telefon seolah-olah bahagia benar. Aku pula sudah serupa tunggul. Tunggul mati yang tak berguna langsung buat dia.
"Abang ingat Miza acah-acah aje. Yalah, masa tu angin Miza tak berapa baik. Tak sangka Miza betul-betul keluar rumah." Wafi sengih-sengih.
Sabar sajalah mendengar jawapan Wafi. Memang menyakitkan hati. Hanya fikir bayi di dalam kandungan saja ni. Kalau tidak, memang Wafi dapat habuan. Ingat aku acah-acah aje? Sakit yang aku rasa ni pun jenis sakit acah-acah ke? Sudahlah cara dia memujuk nampak seperti tidak ikhlas langsung. Tak nampak kesungguhan.
"Acah-acah abang cakap? Abang bodoh ke apa?" Geram sudah.
"Biasalah perangai Miza. Sikit-sikit merajuk. Dah faham sangat. Kalau abang tak pujuk, sampai sudahlah macam tu. Tak payahlah nak jadi perangai budak-budak sangat."
Sabar, Miza. Begitu rupa-rupanya perangai aku selama ni. Tak tahu pula aku jenis yang kuat merajuk.
"Terpulanglah abang nak cakap apa pun. Miza dah muak. Bukan sekali dua abang buat perangai. Dah banyak kali. Dengan perempuan yang sama jugak, kan? Miza rasa cukup Miza makan hati. Miza pun nak hidup dengan aman. Mulai sekarang, abang teruskan saja dengan hasrat abang. Miza tak nak jadi penghalang dan Miza tak nak ambil tahu lagi urusan abang."
Aku nekad. Takkan mudah terpujuk kali ini.
"Habis abang nak buat macam mana kalau dia tak boleh lupakan abang? Dia benar-benar mahu hidup bersama abang. Dia hanya hendak menumpang kasih abang. Abang tak boleh nak cakap apa lagi. Miza pun kenalah faham sama. Bukannya dia rampas abang dari Miza, sekadar nak menumpang kasih."
Rasa hati seperti ditoreh-toreh. Senangnya dia bercakap. Menumpang kasih konon. Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Kalau Wafi tak gatal sama, perkara ni takkan jadi. Kenapalah orang lelaki ni susah betul nak setia? Aku tahu mulanya Wafi sekadar suka-suka saja. Lama-lama perempuan tu menaruh harapan yang bukan-bukan. Sudahnya paksa Wafi kahwin. Kawan-kawan Wafi pula jenis suka mencabar. Lagilah Wafi tunjuk lagak dia. Bukan aku tak kenal siapa Wafi.
"Baiklah kalau macam tu. Abang buat pilihan antara Miza dengan perempuan tu. Kalau abang pilih perempuan tu, ceraikan Miza. Miza tak main-main kali ni. Miza rela berundur demi kebahagiaan abang."
"Kalau abang nikah dengan dia sekalipun, abang mampu untuk menyara Miza dengan dia. Apa masalahnya lagi? Boleh tak jangan sebut perkataan cerai?"
Semakin sukar rasanya berbicara dengan Wafi. Semakin menyakitkan hati. Mampu konon. Aku tak tahu dia mampu bab apa.
"Abang buat aje pilihan. Tak susah pun. Abang pun tak serabut nak fikir tentang semua ni. Habis cerita."
"Miza abang sayang. Dia pun abang sayang. Tolong jangan serabutkan kepala abang dengan perkara remeh macam ni."
Remeh dia kata? Poligami perkara remeh? Perkara suka-suka? Ya Tuhan, sabarkanlah hatiku. Aku ingat aku hamil saja. Kalau tidak, mahu sudah terlepas kata-kata kesat.
"Miza pun tak nak serabutkan kepala Miza dengan fikirkan abang. Tunaikan permintaan Miza. Miza tak sanggup nak berkongsi kasih. Jalan paling mudah untuk senangkan semua pihak, abang lepaskan Miza."
Jangan salahkan aku. Bukan semua perempuan rela bermadu.
"Kalau abang nak nikah, abang boleh aje nikah tanpa persetujuan, Miza. Tapi abang masih hormatkan Miza sebagai isteri abang. Sebab itu abang tak mahu rahsiakan apa-apa daripada Miza. Tak sangka begini pulak jadinya."
"Kalau dah macam tu, nikah sajalah. Miza pun tak kesah. Tapi macam Miza cakaplah, lepaskan Miza."
Aku melangkah masuk. Tiba-tiba Wafi pegang lenganku.
"Tolonglah jangan buat perangai budak-budak, Miza. Kita boleh selesaikan perkara ni dengan cara berbincang." Suara Wafi kedengaran tegas.
"Miza rasa tak ada apa yang hendak dibincangkan lagi. Miza dah jelaskan pendirian Miza. Miza hanya nak hidup dengan aman. Abang ingat Miza akan bahagia kalau hidup bermadu? Cuba abang letak diri abang dalam keadaan Miza. Cuba abang jadi Miza, abang sanggup berkongsi kasih?"
Aku tatap wajah Wafi. Wajah yang kononnya tak mampu dilupakan oleh perempuan lain. Ada yang tergila-gilakan Wafi sehingga sanggup merebut Wafi. Ambillah kalau nak sangat. Nama kata nak meraung-raung, nak makan hati selalu, memang takkan. Bukan aku jenisnya hendak bertindak bodoh begitu. Kalau sudah ada yang lain, maknanya dah tak sayang lagi. Tak guna aku menaruh harapan. Dan tak ada apa yang hendak aku pertahankan.
"Kasih abang tetap takkan berubah. Masih macam dulu. Tetap sayangkan Miza."
"Miza tak nak. Lepaskan Miza."
Aku tak peduli. Langsung mangga pintu pagar. Aku masuk ke dalam macam tu saja tanpa pedulikan Wafi. Kasih tak berubah konon. Tapi aku rasa kasih sayang dan perhatian Wafi sudah berkurangan. Lebih-lebih nanti bila sudah beristeri baru. Langsung tak ingat aku. Bodohlah kalau terus bertahan untuk kasih yang tiada lagi.
"Miza!" Wafi panggil. Aku buat tak dengar. Walaupun hati aku merintih sayu mendengar suara Wafi memanggil namaku, namun aku takkan berganjak. Nak kata aku degil, katalah. Aku tak kesah.
Aku terus ke bilikku. Mahu berehat sebentar sebelum menolong Kak Syarifah. Kak Syarifah dengan anak-anaknya masih di ruang jagaan kanak-kanak. Ada bayi dan juga kanak-kanak yang perlu Kak Syarifah jaga memandangkan Ustazah Aishah sudah mula menerima jagaan bayi dan kanak-kanak.
Aku terbaring. Cuba kosongkan fikiran. Tak mahu fikirkan apa-apa. Dalam keadaan berbadan dua begini, aku harus lebih bertenang. Tidak mahu kesihatanku terjejas. Wafi seronok-seronok dengan kekasih dia, aku pula menderita memendam rasa. Memang tidak adil.
Telefon berbunyi. Nama Wafi. Ah! Biar dialah. Malas aku nak layan.
Pelik juga. Kenapa Wafi langsung tak tanya pasal kandunganku? Atau mak dia tak cakap apa-apa pasal aku mengandung? Kalau tak cakap pun bagus juga. Biar dia tak tahu langsung. Tak adalah dia nak rasa bersalah bagai. Bolehlah dia bersanding dengan senang hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro