Bab 6
Hari-hari pun berlalu. Aku mula belajar untuk hidup sendiri. Memang terasa sepi, tapi aku cuba pujuk hati. Tak salah hidup sendiri andai itu lebih membahagiakan. Apa guna hidup bersama kalau selalu sengketa? Lebih baik begini. Aman.
Setiap hari aku berbalas WhatsApp dengan mak. Mak seperti begitu gembira sekarang ini. Aku tumpang gembira sama bila mak gembira. Itu yang aku mahu mak lakukan. Gembirakan diri sendiri dan lupakan masalah anak-anak.
Mak ada beritahu juga Kak Fina hantar anak-anak ke rumah ibu dia tapi kena ikut masa. Cukup masa anak-anak kena ambil. Kalau tidak mak Kak Fina kenakan bayaran tambahan. Padan muka Kak Fina. Baru dia tahu langit tu tinggi ke rendah. Kalau dengan mak, 24 jam mak kena jaga. Hari tak bekerja pun mak kena jaga. Tak peduli langsung pasal anak. Dengan mak dia, anak-anak kena mandi terlebih dahulu. Kalau tak mandi, mak Kak Fina kenakan juga bayaran tambahan. Seronok aku dengar. Elok juga mak Kak Fina buat macam tu. Baru Kak Fina ada akal.
Aku rasa mak Kak Fina sendiri tahu perangai anak dia macam mana. Tak boleh diberi muka langsung. Jadi, apa yang mak Kak Fina lakukan bukanlah satu hal yang kejam bila anak sendiri seperti tak sedar diri. Terlalu mengambil kesempatan. Setahu aku juga, mak Kak Fina memang garang dan tegas orangnya. Sebab itulah Kak Fina jarang minta tolong dengan mak dia. Padan muka muka Kak Fina. Tak bolehlah nak berfoya-foya.
Tu belum lagi kena hantar Yuhanna ke tadika. Tak tahulah macam mana nanti. Mak sudah ambil keputusan untuk tinggal lebih lama lagi. Kalau boleh aku nak mak tinggal terus di sana. Aku mampu sara makan minum mak. Janji mak gembira.
Cuma yang penting sekarang ini, aku tak boleh susahkan hati mak. Aku kena tunjuk aku gembira dengan keputusan yang aku ambil. Walau banyak kali mak luahkan perasaannya tentang perkahwinanku, aku beritahu mak, aku baik-baik sahaja. Aku memilih untuk ambil keputusan begini kerana aku harus pentingkan diri sendiri. Aku tidak boleh terus-terusan menjaga perasaan orang lain. Aku sudah letih berusaha untuk menjadi isteri yang terbaik. Balasan daripada semua pengorbananku sangat menyakitkan hati. Langsung tak dihargai.
Tiada kata terima kasih, jauh sekali penghargaan. Cukuplah tiga tahun ini aku memberi peluang untuk Wafi. Aku tidak sanggup lagi untuk meneruskan kehidupan bersamanya. Apatah lagi hendak berkongsi kasih. Aku bukan manusia sempurna dibekalkan dengan sifat sabar yang tinggi. Aku hanya manusia paling biasa. Ada hati dan perasaan. Aku juga ada sisi jahat aku.
Aku rela bawa diri. Aku rela beralah. Aku tarik diri. Insya-Allah, aku akan temui kebahagiaan aku sendiri walau tanpa Wafi bersama.
Wafi langsung tak hubungi aku dalam tempoh ini. Pasti sedang sibuk bersama kekasih baru. Tak mengapalah. Dia juga berhak untuk menentukan kebahagiaan sendiri. Aku langsung tidak mengharapkan panggilannya. Tak ada apa yang harus dia katakan lagi. Jadi, biarlah begini. Aku tidak ganggu dia, dia juga tidak ganggu aku. Kami bebas memilih jalan kami sendiri.
Aku akan belajar agar tidak berdendam dengan sesiapa pun.
"Assalamualaikum." Suara orang memberi salam membuatkan lamunanku terhenti.
"Waalaikumussalam." Aku jawab.
Ustazah Aishah bersama seorang wanita berdiri di luar pintu bilik. Ada dua orang budak perempuan lingkungan usia tiga dengan setahun.
"Kenalkan... Ini Kak Syarifah. Dia kena halau dengan suami dia. Buat sementara waktu dia tak ada tempat berteduh. Jadi, saya tumpangkan sementara Kak Syarifah di sini. Saya harap Miza tak keberatan."
"Eh, kenapa pulak ustazah cakap macam tu? Tak ada masalah. Saya pun menumpang jugak di sini. Kalau ada teman lagi baik. Taklah saya sendirian." Lagipun aku sangat perlukan teman sekarang ini. Sekurang-kurangnya ada juga kawan. Mana tahu kalau ada apa-apa berlaku, aku tidak bersendirian. Lebih-lebih lagi dengan keadaan aku sekarang ini.
"Alhamdulillah. Kak, masuklah. Saya hanya mampu sediakan tempat tinggal setakat ini sahaja." Ustazah Aishah pelawa Kak Syarifah masuk ke bilik.
"Ini pun dah syukur, ustazah. Kalau tidak, tak tahulah di mana kami hendak menumpang teduh." Wajah Kak Syarifah kelihatan sugul. Wajahnya sedikit pucat dengan tubuh yang agak kurus. Siapa pun yang ada masalah makan hati, pasti juga begitu. Mana ada orang yang senang hati bila suami buat pasal. Walau aku tidak tahu apa masalah sebenar Kak Syarifah, tapi kalau masalah besar di dalam rumah tangga, apa lagi masalahnya kalau bukan curang? Lazimnya, seorang isteri itu pasti akan bertahan walau suami kaki pukul, kaki minum. Tapi kalau sudah kaki perempuan, isteri mana pun pasti akan mengalah juga.
"Nanti Miza tunjukkan dapur untuk memasak pada akak. Apa ada kat dapur tu akak masaklah," kata Ustazah Aishah lagi.
"Terima kasih banyak, ustazah. Saya dah tak tahu nak cakap apa." Suara Kak Syarifah serak. Aku tahu ada luka yang sangat mendalam sedang Kak Syarifah tanggung. Pasti luka itu sangat menyakitkan. Aku sendiri sudah mengalaminya dan jangan menipu aku tentang sakit yang satu itu. Hanya yang mengalami saja akan tahu betapa sakitnya.
"Saya hanya mampu membantu setakat termampu saya. Kebetulan memang saya perlukan pembantu taska. Bolehlah akak kerja di taska. Sekarang akak bawa anak-anak ke dapur. Masaklah apa yang ada."
Memang Ustazah Aishah seorang wanita yang sangat baik. Sangat membela nasib wanita yang teraniaya. Wanita bertubuh kecil, berwajah lembut dan berusia 50 tahun itu sebenarnya seorang wanita yang sangat tabah. Selepas suaminya meninggal, dia hanya tumpukan perhatian membesarkan anak-anak dan juga taska tinggalan arwah suami.
"Baik, ustazah," kata Kak Syarifah.
"Saya balik dulu."
Kami saling bersalaman dengan Ustazah Aishah sebelum dia beredar.
"Jom kak saya tunjuk dapur." Aku terlebih dahulu bergerak menuju ke dapur taska. Di dapur itulah tempat pembantu taska menyediakan makanan untuk anak-anak taska. Masih banyak bekalan makanan, namun aku hanya mengunakan bahan makanan aku sendiri.
"Akak masaklah, ya. Saya nak tolong, saya pun tak larat."
"Tak apa, Miza. Miza pergilah berehat. Maaf, akak dah kacau Miza."
"Tak apa, kak." Kami sama-sama dalam kesusahan. Kami sama-sama perlukan bantuan daripada orang lain dan aku sangat memahami kesulitan yang dialami Kak Syarifah. Mungkin nasibnya lebih buruk daripada nasib yang sedang menimpa diriku. Aku pasti tidak dapat menolong Kak Syarifah tetapi kalau dapat memberikan sedikit rasa gembira buat Kak Syarifah, itu sudah cukup.
"Ustazah ada beritahu yang Miza sedang mengandung. Dah berapa bulan?"
"Baru empat minggu, kak."
Aku yakin Ustazah Aishah juga sudah maklumkan status aku kepada Kak Syarifah.
"Baru lagi. Kena jaga betul-betul tu."
"Ya, kak. Tu saya tak boleh nak tolong akak masak. Dah mula mual."
"Eh! Tak apa. Miza pergilah rehat. Kalau nak makan apa-apa, cakap aje dengan akak. Nak kata pandai tu tidaklah, tapi bolehlah untuk makan."
"Terima kasih, kak. Seronok dapat kenal akak. Ada jugak saya kawan. Taklah sunyi sorang-sorang di sini."
"Akak pun seronok jugak jumpa Miza."
"Saya pergi bilik dulu."
"Yalah."
Aku kembali ke bilikku. Perlahan terbaring di atas katil bujang. Selepas ini tidaklah sunyi. Sudah ada rakan sebilik. Buat sementara waktu, biar kami tinggal di sini. Masa akan datang, tak tahu apa yang bakal terjadi. Semoga baik-baik saja buat kami berdua. Pasti masa bakal merawat kesakitan kami.
"Miza, jomlah makan sekali." Kak Syarifah berdiri di muka pintu ketika aku hampir terlelap.
"Terima kasih, kak. Saya memang tak ada selera nak makan. Dah seminggu tak boleh makan."
"Marilah makan dengan akak. Mana tahu boleh makan." Lembut dia memujuk. Lelaki manakah yang langsung tidak menghargai seorang wanita lembut ini?
"Tak apa, kak. Akak makanlah. Memang tak ada selera langsung."
"Kalau macam tu akak makan dulu. Nanti kalau dah ada selera, makan tau."
"Baik kak. Terima kasih."
Kak Syarifah tinggalkan aku. Cara Kak Syarifah bersungguh pelawa aku makan juga buat aku rasa senang. Masih ada yang sudi ambil berat tentang diriku.
Tidak lama selepas itu Kak Syarifah muncul semula bersama anak-anaknya.
"Alhamdulillah. Dah hampir dua hari kami tak jumpa nasi. Makan roti saja."
Kasihan aku mendengarnya. Aku duduk di birai katil. Hendak bertanya lebih lanjut rasa kurang manis.
"Akak hampir setahun hidup bermadu." Kak Syarifah memulakan cerita dukanya. Cerita yang kalau boleh aku tidak mahu mendengarnya. Kalau itu dapat membantu Kak Syarifah mengurangkan rasa sakitnya, aku sedia menjadi pendengar.
"Akak rela bermadu asalkan akak tidak diceraikan. Akak tak ada sesiapa di dunia ini. Mak ayah sudah lama meninggal. Adik-beradik pula dengan keluarga masing-masing. Akak hanya bergantung pada suami. Suami akak kakitangan kerajaan. Dia seorang suami yang sangat baik."
Awalnya Wafi juga seorang suami yang sangat baik, penyayang dan bertanggungjawab. Tapi semuanya berubah seiring hatinya.
"Suami akak mula berubah bila dia mengenali seorang janda beranak satu."
Wafi juga mula berubah bila mengenali seorang perempuan. Berubah 360 darjah sehingga kadang-kadang aku sampai tak kenal suami sendiri.
"Tiga bulan kenal, suami akak minta izin nak kahwin dengan janda tu. Akak izinkan asalkan jangan ceraikan akak. Lepas nikah, suami akak dah tak pedulikan akak. Kadang balik, kadang tidak. Disebabkan rumah yang akak tinggal tu rumah dia, dia hanya bagi akak dua ratus untuk makan. Itulah untuk makan, untuk susu anak. Untuk berjimat, akak guna lampin kain. Tak guna lampin pakai buang. Susah sangat, kan. Sebenarnya gaji suami akak tu bukanlah banyak. Tapi itulah. Nafsu besar mengalahkan keperluan."
Wafi pun sama. Cakap saja mampu. Belum alami keadaan sebenar bolehlah cakap macam tu. Sedang kami berdua pun kadang-kadang sesak.
"Apa yang paling menyakitkan hati akak, anak tiri diberi perhatian, anak sendiri tidak. Lepas tu entah apa yang tidak kena tiba-tiba saja akak kena halau. Suami akak nak kami berpisah. Akak tak tahu apa silap akak."
Kita tak ada buat silap apa-apa, kak. Kita hanya terpilih untuk ditendang. Mereka pilih intan terpilih, maka kita jadi antah terpilih. Terpilih untuk dibuang.
"Akak sabar, ya."
"Miza pulak macam mana?"
"Suami saya dah ada perempuan lain. Dah banyak kali dia buat perangai dengan perempuan yang sama tapi hubungan mereka macam tulah. Putus sambung. Tapi sekali ni macam dah serius. Mereka nak kahwin tak lama lagi. Saya tarik diri. Saya tak nak menderita seumur hidup saya."
"Sepatutnya akak pun kena ambil tindakan macam Miza. Bermadu tu adalah mimpi ngeri buat setiap isteri. Kalau boleh tarik diri, lebih baik tarik diri. Biarlah jadi janda dari menderita setiap masa. Selama setahun ini akak pun tak tahu entah berapa banyak dosa yang akak dah buat. Mulut akak tak habis-habis menyumpah."
"Itu yang saya tak nak, kak. Saya tidak mahu menanggung dosa berterusan."
"Betul tu, Miza. Sekarang ni akak rasa cukup lega. Memang bercerai tu menyakitkan namun bermadu jauh lebih menyakitkan."
"Saya mengandung pun suami saya tak tahu, kak. Memang saya nak rahsiakan. Saya tak nak anak dijadikan alasan untuk dia kekal dengan saya dengan status bermadu."
Kak Syarifah angguk. Dalam keadaan kami begini, apa juga tindakan yang kami ambil adalah wajar. Sebab itulah agaknya Kak Syarifah sendiri tidak mempertikaikan keputusan aku merahsiakan hal kehamilanku.
Rupa-rupanya masih ada yang sependapat denganku. Semoga nanti kehidupan kami baik-baik saja. Ada cahaya yang menanti di perjalanan kami.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro