Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

Ustazah Aishah sudah menunggu. Ketika itu waktu menghampiri sembilan malam. Dia serahkan kunci taska kepadaku. Taska yang dibina di atas tanah lot milik Ustazah Aishah agak besar juga. Sudah enam bulan aku bekerja di sini. Tempoh di mana Wafi menjalin hubungan semula dengan perempuan satu pejabat dia. Agak lama mereka putus tapi sekarang menjalin kasih semula. Manalah aku tak makan hati dengan perangai suami begitu. Bukan sekali dua. Dah banyak kali Wafi jalinkan hubungan dengan perempuan tu. Aku sudah tidak tahan dengan perlakuan Wafi. Biarlah aku undur diri dan pilih untuk mencari kebahagiaan aku sendiri. Lebih baik begini daripada terus-terusan makan hati. Aku juga layak untuk hidup bahagia.

Aku bukan seorang isteri yang reda atas kecurangan suami dan aku tak mampu bersabar. Daripada aku menanggung dosa, biarlah aku begini. Lari dari semua perlakuan Wafi. Andai jodoh kami hanya setakat ini sahaja, aku akan terima. Ruang untuk aku dengan Wafi hidup bersama bagai sudah tidak nampak bila Wafi lebih memilih kekasihnya berbanding aku.

"Miza kunci pintu nanti. Kalau ada apa-apa, Miza cepat-cepat hubungi saya. Insya-Allah, setakat ni tak ada sebarang masalah. Cuma, Miza bersihkanlah dulu bilik belakang tu." Kata-kata Ustazah Aishah sangat lembut. Setidak-tidaknya dengan suara lembutnya itu menyenangkan sedikit hatiku yang dilanda gundah.

"Baik ustazah. Terima kasih banyak-banyak sebab dah bantu saya." Tak tahu bagaimana untuk membalas jasa-jasa Ustazah Aishah.

"Sama-sama. Saya pergi dulu. Harap selesa nanti."

Ustazah Aishah tinggalkan aku sendirian. Aku kunci pintu pagar dan bawa beg pakaianku menuju ke bilik belakang. Aku tolak pintu perlahan. Asalnya bilik belakang ini tempat menyimpan barang-barang. Nampaknya sudah kosong. Yang ada hanya katil bujang dan sebuah almari kayu yang agak usang. Agaknya Ustazah Aishah sudah bersihkan.

Alhamdulillah. Walau rumah mak jauh lebih selesa, aku lebih rela tinggal di bilik sempit begini. Hati tidak sakit. Setakat ini, bersendiri adalah pilihan terbaik.

Seperti yang disarankan oleh Ustazah Aishah, aku mengambil alat untuk membersihkan bilik dari stor taska. Semuanya peralatan taska. Selesai membersihkan bilik, barulah selesa untuk berehat.

Selesai solat isyak aku rehatkan badan. Tak mahu fikir apa-apa lagi. Hidup kena teruskan. Tak perlu hendak mengeluh tentang nasib diri. Apa yang tertulis dijalani saja tanpa mengeluh dan saling menyalahkan. Dengan itu aku lebih bersyukur.

Suasana sangat sepi. Bukan tidak rasa seram tapi aku berusaha tidak melayan perasaan yang bukan-bukan.

Telefon berbunyi. Aku lihat nama Yuhanna. Ikutkan Abang Mizi pasti belum pulang dari Tanjung Malim. Takkan Abang Mizi tinggalkan Yuhanna sendirian?

"Ada apa, Yanna?" Aku terus bertanya. Agak cemas juga kalau betul Abang Mizi tinggalkan Yuhanna sendirian.

"Mama Miza tak datang rumah opah?"

Meruntun jiwa mendengar suara manja Yuhanna. Memang aku sudah masukkan nombor telefon aku pada telefon bimbit Yuhanna. Sejak berumur empat tahun lagi Yuhanna sudah dibelikan telefon bimbit oleh Abang Mizi. Alasannya senang Yuhanna tidak meragam. Boleh Yuhanna leka dengan telefon bimbit. Sedangkan mendedahkan anak-anak dengan telefon bimbit ketika usia masih muda bukan satu perbuatan yang bijak. Yuhanna banyak menghabiskan masanya dengan bermain permainan di dalam telefon. Namun satu kebaikan pula, kanak-kanak mahir menggunakan telefon bimbit seawal usia empat ke lima tahun. Contohnya mampu membuat panggilan untuk orang tertentu.

"Tak, Yanna. Mama Miza tak balik rumah opah."

"Kenapa Mama Miza tak balik rumah opah? Opah pun tak balik juga." Yuhanna merengek manja.

Apakah alasan yang hendak aku berikan? Haruskah aku berbohong?

"Mama Miza balik nanti. Tapi sekarang Mama Miza balik rumah Mama Miza. Yanna tinggal dengan siapa tu?"

"Sorang-sorang."

"Sorang-sorang?"

Abang Mizi dah hilang ingatan ke tinggalkan anak sendirian? Tak fikir keselamatan anak ke? Cemas pula aku dibuatnya. Apalah nasib kau, Yuhanna? Dapat ayah kepala tak berapa nak betul. Kalau aku cakap bodoh, kurang ajar sangat, tetapi kenyataannya memang Abang Mizi tu bodoh. Boleh pula dia tinggalkan anak dia sendirian.

"Yanna jangan buat apa-apa tau. Jangan main api. Main aje game."

"Baik. Yanna duduk aje tapi Yanna lapar."

Kasihannya.

"Yanna pergi masuk dalam bilik Mama Miza. Ada bekas biskut tepi katil. Yanna makan biskut, ya."

"Baik, Mama Miza."

"Pergi makan. Lepas tu tidur tau. Jangan buka pintu kalau ada sesiapa ketuk. Kalau ada apa-apa, terus telefon Mama Miza."

"Baik."

Yuhanna matikan panggilan. Aku pun tak tahu kenapa Abang Mizi tinggalkan Yuhanna sendiri. Tak faham betul dengan cara Abang Mizi berfikir. Semoga tak ada apa-apa yang berlaku.

Aku berdoa juga, Abang Mizi gagal dengan misi dia membawa mak pulang. Baru padan dengan muka dia. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro