Bab 2
Aku perhatikan Balqis dan Furqan yang terbaring di ruang tamu. Dua puluh empat jam mak jaga mereka tanpa rehat. Sedangkan hari ini hari Ahad. Mak pun perlu berehat juga. Setahu aku, memang tiada istilah rehat langsung buat mak. Dengan erti kata yang lain, mak tak pernah cuti. Hari bekerja atau hari cuti, mak tetap menjadi pengasuh cucu-cucu. Malam tadi Abang Mizi dengan Kak Fina keluar. Lepak dengan kawan-kawan sampai pukul dua pagi. Dasar tak sedar diri masing-masing. Dah beranak pinak pun masih berfoya-foya.
Sesekali kena ajar jugak. Kalau mak tak mampu nak ajar, biar aku sendiri yang mengajarnya. Kalau tidak, sampai bila-bila pun mereka tak sedar diri.
"Mak, hari ni jom kita jalan-jalan." Aku akan bawa mak keluar. Apa nak jadi, jadilah. Paling-paling pun setakat mengamuk saja. Takkan sanggup nak bunuh kami berdua. Setakat bertempik apa ada hal. Anggap sajalah serupa anjing menyalak bukit.
"Bukan mak tak nak, tapi siapa nak jaga budak-budak tu?"
Alasan yang selalu mak berikan setiap kali aku ajak mak keluar. Aku pun sayang anak-anak saudaraku tapi itulah. Susah nak cakap. Nak kena bagi pengajaran kepada mak ayah mereka terpaksalah korban anak-anak saudaraku.
"Hari ni Ahad, mak. Dua-dua cuti. Jom kita pergi rumah mak long. Dah lama kita tak jenguk mak long. Kebetulan Miza cuti ni." Sebut nama mak long mesti mak mahu. Aku tahu dah lama mak tak tengok mak long yang menetap di Tanjung Malim. Kalau mak setuju, aku ingat nak pergi naik komuter sampai Tanjung Malim. Petang karang balik pun naik komuter. Tak perlu aku memandu.
Mak termenung seolah-olah memikirkan sesuatu. Baru-baru ini sepupuku ada maklumkan tentang kesihatan mak long yang kurang baik. Minta mak datang ziarah mak long. Rindu benar mak long pada mak. Mak pun rindukan kakak mak, tapi terbeban dengan cucu-cucu.
Aku rasa kali terakhir mereka bertemu tiga tahun lepas masa ayah meninggal dunia. Selepas itu mereka langsung tidak bertemu. Kenduri-kendara pun mak tak dapat pergi. Selalu mak akan pergi dengan arwah ayah, tapi sejak ayah pergi mak langsung tidak berkesempatan untuk menghadiri sebarang majlis. Anak tak guna tu punya fasal la. Semua tak benarkan mak pergi.
"Jomlah, mak. Nak tengok mak long biar dia masih hidup. Esok kalau dia dah tak ada tak guna pun kita pergi tengok. Bukan dia tahu mak ada ziarah dia ke tidak. Nanti apa pulak kata anak-anak buah mak? Kakak sakit pun tak nak tengok." Aku hasut mak. Aku dah siap buat rancangan. Bila mak sampai sana, aku nak hasut mak tinggal lebih lama. Nak ajar sikit Kak Fina tu. Melampau sangat hambakan mak. Dari mula dia kahwin dengan Abang Mizi, begitulah perangai dia. Tak hormat langsung pada mak satu hal. Yang paling aku tak tahan buat mak serupa orang gaji.
"Jomlah." Aku usap-usap belakang mak.
Mak masih menunjukkan wajah berbelah bahagi.
"Kesian mak long. Mesti mak long pun rindukan mak." Aku akan hasut mak sampai berjaya. Inilah peluang untuk aku bawa mak keluar. Sehari pun tak apalah kalau tak dapat banyak hari.
Mak pandang aku. Nampaknya hasutan aku bakal berjaya.
"Mak bawalah baju lebih sikit. Mana nak tau kita bermalam di rumah mak long."
"Habis anak-anak Mizi macam mana?" Mak tetap bimbangkan cucu-cucu.
"Pandai beranak pandailah mereka jaga anak. Mak jangan bimbang. Selagi mak beri muka, sampai bila-bila pun Abang Mizi dengan Kak Fina macam ni. Jadi, mak pun penyumbang kepada perbuatan mereka."
Aku pulangkan semula kata-kata abang. Nak tengok pandai tak mereka jaga anak. Jangan cakap saja pandai. Tapi percayalah, bakal terjadi perang kalau aku berjaya bawa mak keluar.
"Yalah, jom kita tengok mak long." Akhirnya mak mengalah namun cara mak mengalah seakan-akan terpaksa. Tak kesahlah. Janji mak boleh keluar rumah hari ni.
Lepas mak bersiap, kami keluar dengan beg masing-masing. Anak-anak saudaraku sedang bermain di ruang tamu. Mujur Yuhanna leka dengan telefon bimbit. Langsung tak sedar aku dengan mak sudah keluar. Kalau tidak masalah juga.
Pintu utama mak kunci rapat. Bimbang cucu-cucu mak keluar rumah.
"Habislah bising Mizi nanti." Mak merungut perlahan.
"Dia tetap akan bising, mak. Dah perangai anak lelaki mak macam tu. Mak tu yang takut sangat dengan anak. Mak bukan tumpang rumah mereka. Ini rumah mak, bukan? Makan pun mak guna duit simpanan arwah ayah. Mak tak menyusahkan mereka pun."
Semakin kuat aku hasut mak. Bila lagi aku nak jadi jahat. Jadi baik sangat pun tak seronok. Rugi. Lagi-lagi kalau ada ahli keluarga jahat macam Abang Mizi. Biar sama-sama jahat.
"Entahlah..." Mak mengeluh lambat.
Aku dan mak pergi ke KL Sentral dengan menggunakan Grab kemudian membeli tiket komuter menuju ke Tanjung Malim. Sekarang zaman mudah. Tak ada alasan untuk tidak ziarah kaum keluarga. Nak dengan tak nak saja.
Telefon berbunyi ketika aku sudah berada di platform menantikan komuter menuju ke arah Tanjung Malim.
"Eh, korang ke mana ni? Sekor pun tak ada di rumah!" tengking Abang Mizi.
Sekor dia panggil kami? Tak apa. Kejap lagi dia tengoklah sekor ni nak buat apa. Sakitnya hati. Ikutkan hati memang nak maki dengan kata-kata kesat. Sabar, Miza. Kau sedang berbadan dua tu. Mana boleh keluarkan kata-kata kesat.
"Kita orang nak pergi Tanjung Malim ziarah mak long." Lembut aku menjawab. Dalam hati, sudah bergelora dengan rasa marah. Kesabaran juga mula menipis.
"Ke mana?"
"Pekak ke? Miza cakap pergi Tanjung Malim ziarah mak long. Lain kali orang cakap dengar sikit." Ambik kau. Jangan paksa aku sangat. Aku pun manusia biasa.
"Habis anak aku siapa nak jaga? Furqan ni berak siapa nak basuh?"
"Lah, basuhlah sendiri. Itu pun bodoh sangat ke? Takkan tak pandai jaga anak? Pandai buat anak saja. Jaga tak pandai. Cakap bukan main lagi." Aku balas dengan berani. Peduli apa aku. Dapat abang jenis Abang Mizi ni, lawan saja.
"Kau tu tak beranak, apa tahu!" marah Abang Mizi.
"Memang Miza tak tahu apa-apa tapi Miza tahu perlakukan mak serupa hamba tu berdosa besar. Tak selamat dunia akhirat. Miza akan berusaha menghindari perbuatan terkutuk tu." Sengaja lari dari tajuk. Nak bagi Abang Mizi lagi panas hati.
"Eh, kalau tak tahu apa-apa jangan banyak cakaplah! Cakap saja pandai. Laki pun dikebas orang. Lagi banyak bunyi."
Itulah modal Abang Mizi nak kutuk aku. Lain tak ada.
"Itu tandanya ada yang tak kena dengan suami Miza. Kita tak boleh pandang sudut negatif saja. Sesekali kita kena fikir positif. Tak semestinya rumah tangga Miza bermasalah berpunca daripada Miza. Mana tahu besar hikmahnya di sebalik semua ni."
Bajet ustazah pula. Tak kesahlah. Janji dapat sakitkan hati Abang Mizi.
"Perasan bagus konon. Laki pun tak reti nak jaga."
Sengajalah tu mencari fasal. Balik-balik sebut tak reti nak jaga suami.
"Miza tak rugi apa-apa. Dialah lelaki malang sebab tak pandai nak hargai isteri sebaik Miza."
"Huh! Perasan. Aku tak kira. Aku nak kau bawa mak balik sekarang jugakkk!" Abang Mizi bertempik.
"Petang nanti kita orang balik."
"Balik sekarang!"
"Uiks, marah nampak? Jumpa petang nanti. Okey, bye!"
Aku tekan tanda matikan panggilan. Penat nak layan. Anak sendiri langsung tak nak jaga. Dari kecik sampai besar, mak yang uruskan sampai mak tak boleh nak ke mana-mana.
"Kenapa? Mizi mengamuk ke?" Mak bertanya dengan wajah cemas.
"Anak dia berak. Tak ada orang nak basuh."
Aku buat-buat tengok telefon bimbit. Tak mahu mak bertanya lebih-lebih. Takut tiba-tiba mak berubah fikiran.
Mak mengeluh berat. Aku tahu mak takut sekarang ini. Mak takutkan Abang Mizi. Takutkan Kak Fina sama. Betapa kasihannya mak. Aku memang tak tahu bagaimana hendak menolong mak. Hubungan seorang mak dengan anaknya sangat luar biasa. Demi kasih sayang, mak sanggup diperhambakan anak sendiri. Entah sampai bila mak harus hidup begini. Seharusnya pada usia mak yang menghampiri 56 tahun, mak dah boleh menikmati hidup tanpa sebarang masalah. Mak seharusnya sudah hidup bahagia menghabiskan sisa usia. Tapi mak jauh benar dari semua itu.
Aku tahu Abang Mizi akan hubungi mak, jadi awal-awal lagi aku dah matikan telefon mak. Sebab itulah telefon mak tak berbunyi. Bila terbayangkan wajah Abang Mizi gagal hubungi mak, aku rasa gembira sangat. Padan muka.
"Komuter dah sampai." Lega bila nampak komuter yang bakal membawa kami ke Tanjung Malim sampai. Kalau Abang Mizi paksa balik pun, kami dah nak naik komuter. Mustahil pula Abang Mizi akan ke Tanjung Malim. Sekurang-kurangnya satu hari ni taklah mak jadi hamba Abang Mizi.
Sepanjang perjalanan mak hanya pejam mata. Aku tahu mak bukan saja letih, mak juga kurang tidur bila anak-anak Abang Mizi meragam waktu malam. Siang malam suruh mak jaga anak-anak dia.
Betapa kasihannya mak. Bukan mak saja yang ada masalah, aku sendiri lagi banyak masalah tapi aku berusaha menutupnya dengan tunjuk wajah ceria di depan mak.
Aku pun dah beritahu pada mak mentua yang aku mengandung. Tak tahulah mak mentua aku beritahu Wafi ke tidak. Rasanya tak. Kalau mak mentua dah beritahu, mesti Wafi tanya. Tapi tak tahu juga kalau anak aku pun Wafi nak tendang sama. Maklumlah orang tengah bercinta ni buta jadinya. Tak waras pun sama.
Masa aku minta izin keluar rumah dulu pun Wafi tak halang. Dia hanya minta aku tenangkan fikiran sahaja. Selebihnya dia tak cakap apa-apa. Jangan haraplah dia nak pujuk. Orang tengah mabuk asmara, macam itulah perangainya. Lagi suka kalau aku tak ada.
Telefon berbunyi. Ustazah Aishah, pengetua tempat aku bekerja menghubungiku. Baru-baru ni aku ada minta untuk tinggal di taska. Mana tahu kalau ada bilik kosong.
"Assalamualaikum ustazah."
"Waalaikumussalam. Miza nak bilik, kan?"
"Ya, ustazah. Ada ke?"
"Ada. Rezeki Miza. Tapi bilik belakanglah."
"Terima kasih banyak-banyak, ustazah. Tak kesahlah bilik belakang pun." Rasa gembiraku bukan kepalang. Sekurang-kurangnya aku ada tempat berteduh yang jauh dari Abang Mizi. Aku akan buktikan yang aku mampu berdikari. Aku harus kuat demi anakku.
"Bila-bila pun Miza boleh masuk tapi kena kemas dulu. Bilik belakang stor aje. Barang-barang dalam tu Miza buang semuanya. Saya nak mengemas memang tak sempat."
"Tak apa, ustazah. Nanti saya kemas sendiri. Ada bilik pun dah cukup bersyukur."
"Tak apalah kalau macam tu. Saya nak cakap itu saja. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Selesai satu masalah. Petang karang balik saja dari ziarah mak long bolehlah aku bawa kain baju aku pergi taska. Aku akan mulakan hidup baru. Insya-Allah, aku akan bahagia. Cukup hanya ada aku dan anak aku.
Kita akan baik-baik, sayang. Kita takkan apa-apa walau tanpa ayah bersama. Ayah sudah ada orang baru. Ayah sudah tidak perlukan kita lagi. Tak mengapalah. Ayah juga berhak untuk hidup bahagia. Tak perlu kita halang lagi kalau ayah sudah tidak bahagia bersama ibu. Ibu janji akan jaga sayang dengan penuh kasih sayang ibu.
Aku usap perlahan perutku. Belum nampak apa-apa kerana baru berusia empat minggu.
Hidup ini perlu dijalani walau sepahit mana. Insya-Allah yang pahit pasti akan berbuah manis nanti.
BILA beritahu Abang Pian aku dengan mak nak ziarah mak long, bukan main suka lagi Abang Pian. Siap nak jemput aku di Stesen Komuter Tanjung Malim. Maklum, memang sudah lama kami tidak ke Tanjung Malim.
Kami disambut dengan hidangan tengah hari yang cukup menyelerakan. Isteri Abang Pian sudah siap-siap masak. Mak dengan mak long bukan main berselera lagi. Siap suap-menyuap. Cemburu aku melihat mereka. Bukan main mesra. Tak apalah. Aku tidak ada rezeki dalam hubungan adik-beradik.
Kata Abang Pian, dah lama mak long tak selera nak makan. Bila dengar mak nak datang ziarah, kalut mak long minta masak macam-macam. Gembira betul mak long. Aku pun tumpang gembira melihat mereka berdua. Bertahun juga mak tidak berkesempatan menjenguk mak long. Alasannya sangat menyakitkan hati. Abang Mizi tak benarkan mak ke mana-mana. Puaka punya anak. Mak sendiri nak jumpa adik-beradik pun tak dibenarkan.
Selesai saja makan tengah hari, kami duduk berbual.
"Mak ngah tinggallah di sini seminggu dua temankan mak. Mak sunyi sangat. Saya sanggup bayar mak ngah untuk temankan mak."
Sejak tadi Abang Pian pujuk mak. Aku pun nampak wajah mak long lain macam bila nampak mak. Nampak bersemangat. Mereka adik-beradik. Pernah tinggal bersama dalam keadaan suka dan duka. Pasti mereka juga mahu menikmati masa bersama. Lebih-lebih lagi dalam usia sekarang ini. Tidak tahu siapa yang bakal pergi dulu. Pasti saja mahu menghabiskan masa bersama ketika masih diberi kesempatan.
"Yalah, mak. Mak temankanlah mak long beberapa hari. Tengok mak long macam seronok saja mak datang." Aku pula memujuk. Tapi sebenarnya lebih kepada menghasut. Biar padan muka Abang Mizi. Selama ni bergantung harap sangat dengan mak. Bukan aku dengki, sesekali anak seperti Abang Mizi tu kena ajar juga.
Wajah mak seperti serba salah. Aku tahu mak risau pasal anak-anak Abang Mizi.
"Saya tau mak rindukan adik-adik dia. Saya dah telefon Razak. Minta hantar mak lang ke sini. Biar mereka duduk rumah pusaka mereka. Soal makan minum saya akan tanggung. Mak ngah jangan risau pasal tu. Janji dapat bersama mak saya."
Semakin bersungguh Abang Pian yang bertugas sebagai cikgu itu merancang. Memang ada lagi rumah pusaka yang dijaga baik oleh Abang Pian tidak jauh dari rumahnya. Rumah tempat kaum keluarga kami berkumpul suatu ketika dulu. Ada juga pokok rambutan dan pokok buah lain. Sejak kahwin, aku jarang balik walaupun jarak Tanjung Malim dengan Shah Alam bukanlah jauh benar. Komuter, ETS ada belaka. Entah kenapa bila berkahwin dengan Wafi, aku seperti hilang saudara. Langsung tak berpeluang untuk mengenali saudara-mara. Wafi jenis tak suka bertemu saudara-mara. Baik keluarga belah aku mahupun belah dia. Kera sumbang betul. Mujur ada grup WhatsApp. Dapatlah juga tahu hal-hal kaum keluarga lain walaupun aku jadi 'CCTV' aje dalam grup tu.
"Sekarang ni bukan zaman mak ngah susah-susah lagi. Anak-anak dah besar. Cucu pulak pandailah mereka uruskan. Pandai beranak pandailah jaga anak. Mak ngah nikmati saja hidup mak ngah. Topup amal ibadah."
Kata-kata Abang Pian memang betul pun. Dah berbuih mulut aku cakap benda yang sama. Tapi mak macam tu jugak. Takut sangat dengan Abang Mizi. Kali ni biar Abang Pian pula yang nasihatkan mak. Mana tahu mak boleh dengar kata-kata anak saudara.
Mak diam seribu bahasa. Hati mak mesti berbelah bahagi.
"Ada sekolah pondok untuk orang dewasa. Boleh mak ngah dengan mak habiskan masa di situ. Tinggalkanlah hal-hal dunia. Masa untuk beribadah saja sekarang ni. Bila lagi? Selagi ada masa buatlah banyak-banyak."
Bukan main lagi cikgu sekolah menengah ini beri nasihat.
"Ngah, kau janganlah balik. Temankanlah aku. Aku rasa aku ni dah tak lama..." Mak long bersuara perlahan. Sayu aku mendengar suara mak long. Seolah-olah dia tahu yang dia tidak akan hidup lama.
Tiba-tiba mak peluk mak long dengan erat. Mak teresak-esak.
"Jangan cakap macam tu, long. Mati ni tak kira siapa dulu," kata mak.
"Dengan keadaan aku macam ni, boleh ke aku hidup lama?"
"Yalah, long. Aku temankan kau."
Rasa hendak melompat bila dengar mak cakap macam tu. Akhirnya mak mengalah juga.
"Kita ni dah tua, ngah. Tak tahu siapa yang pergi dulu. Mungkin aku. Mungkin kau. Tapi biarlah kita pergi ketika kita sudah betul-betul bersedia. Aku tahu kau runsingkan cucu-cucu kau. Sampai bila kau nak fikir pasal mereka? Kau kena fikirkan sama diri kau. Kau tahu tak, kadang-kadang perbuatan kita sendiri boleh mengundang dosa buat anak-anak. Jadi lepaskanlah semuanya."
Kata-kata mak long buat aku tersedar. Memang betul. Kadang-kadang sikap ibu bapa sendiri yang mengundang dosa buat anak-anak. Mungkin kalau mak lebih bertegas, Abang Mizi tak berani nak hambakan mak. Abang Mizi taklah jadi anak derhaka. Silap mak terlalu berlembut dengan anak.
"Alhamdulillah. Seronok saya, mak ngah." Bukan main girang lagi Abang Pian bila usaha memujuk mak berjaya.
"Pasal Hamizi tu, biar dialah. Pandai-pandailah dia nak hidup."
Abang Pian pun dah faham sangat dengan perangai Abang Mizi. Agaknya dia pun sakit hati. Cakap lebih-lebih nanti berbalah pula. Jadi tengokkan sajalah.
"Betul, ngah. Tak payah nak susah hati fasal dia. Pandailah dia uruskan anak-anak dia."
Mak tak jawab sebab aku rasa hati mak tak sedap. Aku harap ini akan membuka jalan untuk mak lebih pentingkan diri sendiri. Tak payah nak fikirkan sangat anak derhaka tu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro