Bab 10
Wafi gagal pujuk aku. Hajah Rubiah juga gagal. Hati aku semakin keras. Takkan mudah dilembutkan lagi. Mungkin rasa sayang juga sudah tiada, jadi aku malas hendak pertahankannya. Dan aku rasa tak ada apa hendak dipertahankan lagi. Semuanya sudah hancur. Bila hancur semuanya jadi kosong.
Akhir sekali kekasih Wafi berhajat hendak jumpa aku. Rasanya hendak memujuk juga. Dah nak jumpa sangat, ikutkan sajalah. Boleh aku berkenalan dengan buah hati pengarang jantung Wafi. Perempuan yang kononnya tak mampu hendak dilepaskan. Wanita yang membuatkan Wafi benar-benar rasa seperti di syurga.
Aku tak ada masalah untuk berhadapan dengan perempuan tu sebab aku memang tak buat salah apa-apa.
Pertemuan diatur. Kami jumpa di salah sebuah restoran makanan segera yang terletak di Sunway Pyramid. Aku harap tak ada acara gusti. Aku bukan tak ada otak untuk bertindak seperti itu. Tapi itulah, bila melibatkan soal perampas suami ini, susah nak cakap. Segalanya berkemungkinan.
Semoga aku diberi kesabaran yang tinggi dalam menghadapi kemelut ini.
Bila aku melihat kekasih Wafi, aku rasa teramat kasihan dengan Wafi. Ini ke perempuan yang Wafi tergila-gila sangat tu? Kalau ya pun tak boleh ke bercinta dengan perempuan yang elok sikit? Bercakap bukan main lagi. Kalah para ustaz. Bab hukum dialah pakar.
Kekasih Wafi pakai seluar jean ketat dengan baju lengan pendek. Rambut pula warna perang mencecah bahu. Muka, meriah dengan warna-warni. Cantik ke kalau begitu? Bagi aku tak cantik langsung. Entah kenapa aku rasa aku lebih jauh mendahului perempuan ni. Tapi itulah, kalau dah kata cinta semua cantik belaka. Tak ada cacat celanya.
"Saya sebenarnya bukan hendak merayu, tapi keputusan puan ni menyusahkan kami sahaja. Kenapa tak boleh terima kenyataan yang suami puan sudah tidak berapa perlukan puan dan dia sangat perlukan saya sekarang ini? Tak guna puan tunjuk keras kepala. Puan tetap akan kalah."
Sabar, Miza. Bertenang. Kalau ular, kau boleh ketuk sampai mati. Tapi ini manusia. Kau perlu lebih bersabar lagi. Kau tak boleh tunjuk sebarang kebodohan di hadapan perempuan ni. Dia perampas, jangan biarkan perampas nampak kau perempuan lemah.
"Saya rasa saya tak menyusahkan sesiapa pun. Keputusan saya memang jelas. Kalau kau orang nak nikah ke, nak apa ke, teruskan. Saya tak pernah menghalang, tapi saya minta lepaskan saya. Tu saja syaratnya. Kalau betul suami saya tak berapa nak perlukan saya lagi, kenapa agaknya dia masih tak boleh nak lepaskan saya? Pelik juga tu." Aku akan terus bertenang untuk memperlihatkan yang aku baik-baik saja.
"Puan jangan nak cabar kesabaran saya. Selama ni saya dah cukup bersabar dengan perangai puan. Puan dah banyak kali menggagalkan rancangan kami."
"Pelik, kan. Sekarang ni siapa isteri yang sah dan siapa pulak perempuan simpanan?" Aku tersenyum sinis.
"Tolong sikit. Saya bukan perempuan simpanan. Saya kekasih Wafi. Berapa kali saya nak jelaskan pada puan? Saya adalah perempuan yang paling Wafi sayang."
Aku yang mendidih seluruh perasaan, kenapa perempuan ni pula yang panas? Aku yang jadi mangsa orang ketiga, kenapa dia pula yang lebih berkuasa? Memang dasar perempuan tak ada hati perut.
"Dah tahu awaklah perempuan yang paling Wafi sayang, kenapa tak guna kelebihan tu untuk kuasai Wafi? Belai-belai sikit, mana tahu Wafi boleh ikut cakap awak. Eh, tak guna jadi perempuan yang paling Wafi sayang kalau tak mampu nak tundukkan Wafi." Kali ini aku buat-buat ketawa. Sengaja mahu memanaskan lagi keadaan.
Muka kekasih Wafi berona. Pasti panas hati mendengar sindiranku. Pasti dia tidak menyangka aku setenang ini dan seolah-olah tak terkesan dengan apa yang berlaku. Jadi, dia harap aku terjerit-jerit macam orang gila? Kalau dia harapkan begitu, dia sama sekali salah orang.
"Masalahnya Wafi..."
"Apa-apa ajelah. Saya malas nak dengar apa-apa lagi. Saya tak kacau hidup sesiapa, jadi tolong jangan kacau hidup saya. Saya sudah cukup selesa dengan kehidupan saya sekarang. Rasa lebih bahagia berbanding ketika bersama Wafi. Sebab itu saya ikhlaskan saja apa yang Wafi buat pada saya." Aku pintas cakap kekasih Wafi. Tak habis-habis dengan masalahnya. Aku jumpa dia bukannya nak dengar apa-apa masalah.
"Tak menyusahkan hidup sesiapa? Puan sedar tak puan dah menyusahkan semua orang dengan sikap tak bertolak ansur puan?"
Aku diminta untuk bertolak ansur? Memang hilang ingatan agaknya. Dia yang jadi perampas, aku pula yang dianggap bersalah.
"Tak bertolak ansur apa lagi? Korang nak kahwin ke, nak apa ke, bukan urusan saya. Saya dah tarik diri, bukan? Ke awak nak saya pinang awak? Begitu?" Aku menyindir lagi.
"Nampaknya puan memang tak faham bahasa."
Mendidih dah ni. Tahap sudah tidak boleh dikawal. Dia yang bodoh tak sedar. Dah tahu suami orang, masih terhegeh-hegeh. Serupa sudah pupus lelaki bujang di dalam dunia ni. Suami orang juga yang mahu dirampas.
"Perempuan yang tak faham bahasa adalah perempuan yang kacau suami orang. Tak gitu?"
"Pembetulan. Saya tak pernah kacau suami puan. Suami puan yang terhegeh-hegeh nakkan saya. Puan tahu sebab apa? Sebab puan sendirilah. Puan tak pandai jaga suami sehingga suami puan beralih ke perempuan lain."
Aku juga yang salah. Mak Wafi pun cakap aku tak pandai jaga Wafi. Sekarang kekasih dia pula kata aku begitu.
"Pembetulan. Ditatang bagai raja sekalipun, kalau nak berubah, tetap berubah. Dan satu lagi, Wafi cakap awak yang terhegeh-hegeh nakkan dia. Dia cakap awak sekadar nak menumpang kasih saja. Tapi dari cara awak, saya tak nampak awak nak menumpang. Awak nak mengikis saja."
Makin tak tentu arah kekasih Wafi. Betul agaknya sekadar hendak mengikis.
"Tolong sikit. Selama ni Wafi yang tergilakan saya."
"Dah tahu dia tergilakan awak, kenapa awak layan juga? Tak ke bodoh namanya. Bertepuk tangan sebelah, takkan berbunyi. Awak pun suka terhegeh. Bahagia sangat ke dapat meruntuhkan rumah tangga orang?"
"Sebenarnya yang meruntuhkan rumah tangga puan adalah puan sendiri. Kalau puan benarkan kita orang berkahwin dan sedia terima nasib puan, saya rasa rumah tangga puan takkan bermasalah pun."
"Tadi tuduh saya tak faham bahasa. Rupanya awak lagi tak faham bahasa." Aku tergeleng. Ternyata kekasih Wafi memang bodoh orangnya. Sudahlah bodoh, tak boleh terima nasihat pula. Biasalah bila sudah dilamun cinta, cakap apa pun tak guna.
"Puan yang tak faham bahasa. Degil tak bertempat. Puan fikir dengan berdegil macam ni, Wafi akan tinggalkan puan?"
"Itulah yang saya sedang lakukan sekarang. Berusaha untuk Wafi tinggalkan saya. Dan beri laluan kepada Wafi untuk nikah dengan awak. Masih tak faham bahasakah saya? Ke awak dengan Wafi bodoh sangat? Perkara mudah pun tak boleh nak buat? Suruh Wafi ceraikan saya. Habis cerita. Faham?"
Ambik kau. Nak sangat kena dengan aku.
"Tolonglah, puan. Dah lama kami bercinta. Janganlah halang cinta kami lagi."
Dah lama bercinta rupa-rupanya.
"Tak pernah saya halang cinta korang berdua. Ada pernah saya serang awak? Ada pernah saya maki hamun awak? Ambil tahu pun saya tak nak, apatah lagi hendak menghalang hubungan suami saya dengan mana-mana perempuan. Saya tak kesah pun. Awak sendiri yang mencari saya, bagi pihak saya, saya tak ingin pun kenal awak."
Tak ada masa aku nak kenal siapa kekasih Wafi. Dan kalau boleh aku tak mahu ambil tahu langsung. Tak ada faedah pun buat aku.
"Betul kata Wafi. Memang susah nak bercakap dengan puan. Sudahlah degil, tak faham bahasa pulak tu."
"Tak kesahlah nak cakap apa pun. Saya tetap dengan pendirian saya. Kalau Wafi nikah dengan awak, hubungan saya dengan Wafi bakal berakhir. Jadi, terpulanglah pada Wafi untuk membuat keputusan. Dahlah. Saya malas nak layan awak. Buang masa saya. Awak dengan Wafi sama saja. Sampah!"
Aku tinggalkan kekasih Wafi. Makin lama aku tunggu, makin mendidih perasaanku. Aku tetap dituduh tak faham bahasa. Lebih baik aku beredar saja. Apa nak jadi lepas ni, jadilah.
"Puan! Saya tak habis bercakap lagi."
Cakaplah sorang-sorang kalau nak bercakap sangat. Macamlah aku nak sangat jumpa dia. Ini mesti Wafi yang suruh. Nampak sangat Wafi tu pengecut.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro