B A B 5
"INI bilik Adry. Tak payah bimbang, cadar selimut semua tu memang Diandra dah tukar baru. Setiap kali ada pesakit Pak Tam datang bermalam kat sini, dia pasang yang baru. Samalah macam yang dia duk buat dekat rumah inap Pak Rahmat tu."
Adry angguk sekali. Mata memerhati segenap ruang bilik di rumah papan milik Pak Tam. Walaupun cuma dilengkapi dengan sebuah katil kelamin, almari pakaian yang dah siap ada cermin juga kipas angin di penjuru ruang, memang cukup selesa dan kemas. Sementelah dinding dicat dengan warna ungu lembut.
"Sebelum tu Pak Tam nak mintak maaf kalau rumah Pak Tam ni tak semewah mana. Alhamdulillah, ini aje yang Pak Tam ada walaupun mungkin tak seselesa rumah kamu."
"Eh! Saya okey, Pak Tam. Bilik ni dah selesa." Adry angguk mengiakan kata-katanya. Masih dia tegak berdiri di depan muka pintu bilik.
"Berehatlah. Pak Tam nak siap-siap ke masjid. Hari ni Jumaat. Dah pukul 12.30 dah ni."
"Err... Pak Tam. Saya?"
"Kamu kalau tak pergi masjid pun takpe. Solat zuhur dekat rumah ni aje. Keadaan darurat sekarang, kamu tak sihat. Tangan tu pun Pak Tam tak tengok lagi. Insya-Allah petang-petang nanti lepas asar, Pak Tam belek."
"Pak Tam, saya..."
Kreuukk!
Bulat biji mata Adry. Kurang ajar punya perut. Tang ni jugaklah dia nak berbunyi.
"Kamu lapar ke? Tak sarapan lagi? Dah tengah hari dah ni pun."
Adry tarik sengih sumbing. Muka berubah merona. Aduhai perut pun, tak pandai nak cover langsung.
"Takpe. Nanti Andra siapkan makan tengah hari. Dekat dapur tu ada kuih-muih aje."
"Pak Tam, err... takkan saya tinggal berdua dengan Cik Andra je? Pak Tam pergi masjid?" Itu yang Adry mahu sebut tapi tak dapat-dapat. Cuak juga dia rasa.
Kena tangkap basah dengan anak dara orang, naya aje. Hilang peluang nak mintak maaf dengan nenda dan bonda, makin ranap maruah keluarganya.
"Tak payah bimbang. Dani ada. Dia tak ke masjid. Iyelah, kat rumah ni dah ada tetamu. Tak elok jugak nak tinggalkan Andra sorang-sorang."
Adry terangguk-angguk lagi.
"Biasanya pelanggan Pak Tam yang datang mengurut akan ikut Pak Tam pergi masjid. Tapi kamu ni dengan demamnya lagi, tangan sakit tak boleh bergerak. Solat dekat rumah dahlah. Jemaah dengan Dani nanti. Esok lusa dah sihat sikit, baru ikut Pak Tam pergi masjid."
"Err... bukan solat Jumaat je Pak Tam pergi masjid? Memang hari-hari biasa pun pergi ke masjid ke?" tanya Adry dungu. Pelik juga dia mendengarnya.
"Iyelah. Kita kan solat lima kali sehari. Dah ada masjid besar-besar, eloklah pergi berjemaah dekat sana. Insya-Allah dapat pahala berlipat kali ganda."
Adry diam tiba-tiba. Hanya bibir yang tersungging sengih.
"Pak, dah lewat ni. Nanti habis unta, tinggal lembu aje." Suara seorang perempuan sayup-sayup kedengaran. Pintu bilik itu walaupun terbuka luas, ruangnya tertutup dengan langsir tebal berwarna biru gelap.
"Ha'ah. Iyelah." Pak Tam menyahut. Kemudian kembali pandang Adry.
"Adry berehatlah. Pak Tam nak bersiap pergi solat Jumaat," beritahu Pak Tam lagi.
Adry tetap dengan tingkah burung belatuk.
Ikutkan hati nak juga dia bertanya, ada kenduri makan daging unta ke dekat masjid kampung hari ni? Memang jarang-jarang boleh dapat. Untunglah orang kampung.
"Nanti kalau kamu nak mandi ke, membuang ke, tanya Dani mana tandasnya."
"Baik, pak." Tanpa sedar Adry turut menggunakan panggilan yang istimewa itu. Terasa betul dia sedang berlakon filem lama. Kali ini filem 'Nujum Pak Belalang'.
"Pak Tam keluar dulu. Tutup pintu ni," pesan Pak Tam sebelum dia melangkah keluar. Tangan turut menarik daun pintu papan playwood lalu menutupnya.
Hilang kelibat Pak Tam, Adry spontan teguk liur. Matanya dibawa memandang ke ruang atas. Bilik yang bersifat terbuka dengan erti kata lain, dinding tak sampai ke bumbung itu membuatkan dia berasa cuak. Seakan ternampak di matanya ada benda sedang bertenggek di atas sana. Ruang ini sama macam bilik sewa dalam filem 'Masam-Masam Manis' pula.
Seketika Adry garu kepala.
Dah kenapa dengan dia, habis teringatkan filem-filem lama lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee? Mungkin kerana bertemu keluarga Pak Tam di mana anak-anak memanggil ayahnya sebagai bapak. Memang rare. Selalunya dia dengar papa atau daddy. Atau sekarang dia dah mengembara ke zaman dahulu? Tahun 80-an? Sementelah dia bakal menginap di rumah papan berwarna putih itu.
Deru angin yang memasuki ruang mengejutkan Adry dari lamunan. Dingin tiupan terasa menyenangkan. Memang tangkap lentok. Letak beg ke atas katil, Adry mendapatkan tingkap bilik yang terbuka luas.
Senak matanya sekejap kerana terang cahaya di luar sana. Berdiri di situ, Adry mengamati suasana luar. Terlihat di matanya sebuah bangsal kecil yang tak berdinding di hadapan sana. Atapnya hanya menggunakan daun-daun kering yang dia tak tahu daun apa. Nampak elok tanpa lubang atau kebocoran. Toleh ke kanan, ada sebatang pokok yang tinggi menjulang dengan daun hijau merendang. Di pangkalnya terdapat sebuah pangkin kayu. Pusing ke kiri, matanya terpandang kereta Proton Iswara lama yang dipandu oleh anak dara Pak Tam tadi. Elok terparkir di bawah garaj beratap zink.
Rupa-rupanya inilah cara hidup di kampung. Suasana sederhana yang memang dia impikan. Walaupun tak mewah, Adry tahu keluarga Pak Tam cukup bahagia.
MEMBAWAsepasang kelengkapan, tuala tersangkut pada bahu dan beg berisi toiletries, Adry keluar dari bilik. Sejenak kakinya terhenti di tengah-tengah ruang sebelum mata bergerak mengitari.
Rumah Pak Tam bahagian atas itu hanya dilengkapi set kerusi rotan yang Adry tahu dari model yang memang dah lama. TV pun tak ada. Hanya terdapat sebuah kabinet rendah berwarna hitam menghadap set kerusi rotan tadi. Di atas kabinet tersebut terletak elok sebuah radio jenama Aiwa. Memang boleh masuk muzium. Kiri dan kanan radio dihiasi dua pasu kecil dengan bunga-bunga plastik. Bahagian dinding pula tergantung permaidani tebal dengan gambar Kaabah.
Huh! Memang rare. Betul-betul rare. Memang dia dah mengembara ke tahun 80-an gayanya.
Kalih ke belakang, bilik yang dia huni tadi terletak di antara dua pintu yang lain. Ketiga-tiganya tergantung langsir berwarna biru gelap. Kalih ke kiri, terdapat sebuah bilik lagi dengan langsir berwarna merah jambu. Tak perlu untuk dia meneka, Adry tahu itu bilik siapa.
Di celah ruang antara bilik langsir pink dan bilik ke tiga, terdapat sebuah kabinet rendah. Kali ini permukaan atasnya dipenuhi dengan kitab-kitab Al-Quran. Ada juga kitab-kitab tebal yang Adry tak tahu apa.
Betullah anggapan dia. Pak Tam seorang yang berilmu.
Sambung langkah yang tergendala, hidung Adry terhidu satu bau yang cukup enak. Sementelah perut dia memang lapar. Sampai ke ambang pintu dapur, Adry ternampak susuk tubuh seorang gadis sedang berdiri di depan dapur memasak. Tangan kanan elok memegang senduk, tangan kiri bercekak pada pinggang.
Hailah! Kenapa sama saja stail memasak orang perempuan ni, ya? Begitulah juga cara bonda memasak di rumah. Bibik pun sama, mesti bercekak tangan pada sebelah pinggang.
"Ehem!" Adry berdeham agak kuat demi meraih perhatian tuan rumah. Kaki memijak anak tangga tiga mata itu untuk turun ke ruang bawah yang berlantai simen.
Diandra berkalih pantas. Terpandang seorang lelaki yang baru menjejakkan kaki ke dapur, spontan dia gigit ulas bibir. Serta-merta panggilan 'malaun' yang dihadiahkan lelaki itu singgah ke kepalanya.
Panggil dia malaun, ya? Baik. Nanti dia akan tunjuk perangai malaun yang sebenar.
"Ya, Encik Adry. Nak mandi ke?" Diandra bertanya ramah. Bibir mencarik senyum mesra.
Tetamu, kan? Perlu dilayan dengan baik. Bapak kata, kedatangan tetamu membawa seribu rahmat. Harapan Diandra, tetamu kali ini pun sama. Tapi, dia tetap on rancangan nak buktikan dia memang malaun. Sesuailah dengan gelaran yang lelaki itu berikan.
Hujung mata Diandra bergerak mencari kelibat Dani. Segan pula dia rasa. Selama hari ini pelanggan bapaknya yang datang menginap di situ adalah lelaki-lelaki berpangkat ayah. Sekarang pangkat suami pula.
Eh! Dah kenapa dia merenyam tiba-tiba?
Dari muka pintu dapur, dapat Diandra lihat kaki adiknya yang terjuntai dari pangkin.
"I memang nak mandi..."
"Bilik air kat luar, encik. Sebelah sana." Diandra terus menunjuk ke luar dari pintu belakang yang terdapat di sebelah dapur memasak.
"Luar?" Bulat biji mata Adry gara-gara terkejut. Biar betul?
"Ha'ah. Sini encik, saya tunjukkan," ajak Diandra setelah dia mematikan api dapur gas. Sayur kailan ikan masin yang sudah siap dimasak segera ditutup dengan tudung periuk.
"Encik, sini. Pakai selipar ni," panggil Diandra lagi yang sudah melangkah keluar. Kaki sedia menyarung selipar 'jepun' yang elok terletak.
Makin menjadi Adry teguk liur. Dalam kepala, dia sudah terbayang macam-macam. Tiba di depan pintu itu, biji matanya semakin membesar.
(1310 words)
*VOTE & COMMENT ARE VERY APPRECIATED*
_F R O M_M E_W I T H_L O V E_
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro