Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

B A B 4

DIANDRA hanya mampu gigit jari saat memandang lelaki itu. Memang tak salah lagi, itulah mangsa dia pagi tadi. Kecil betul dunia ni, tup-tup mereka boleh bertemu di situ.

Tapi, lelaki tu tak boleh tahu dia adalah dalang atas semua yang berlaku. Dalang yang membuatkan lengan lelaki itu terseliuh sampai dah demam dek kerana kesakitan jugak.

"Dah masuk angin ni. Dah tak boleh nak urut. Kena biar surut lebamnya dulu."

"Tak patah kan, Tam?"

"Tak. Bukan patah ni. Macam terkehel. Anak ada jatuh ke?" Pak Tam bertanya sambil dia memicit-micit perlahan lengan kanan pelanggannya. Menyeringai wajah lelaki itu. Dahi berkeringat peluh.

"Bukan... jatuh, pak cik. Adeh, sakit!" Adry menjerit sakit. Sikit lagi dia mahu sambung menangis.

"Dah tu kenapa?" Pak Rahmat pula bertanya. Tuan punya rumah inap yang disewa oleh Adry sejak seminggu yang lalu.

"Adeh! Ada orang pulas."

"Hah?" Pak Rahmat sudah melopong kes terkejut.

Terkebil-kebil biji matanya memandang Pak Tam. Kala itu, biji mata temannya pula sedang menala ke arah Diandra yang tegak berdiri di belakang sofa.

"Pagi tadi... adeh! Err... ada orang pulas tangan saya. Tiba-tiba. Lepas tu sumbat..."

"Pak! Kalau payah sangat, kita bawak encik ni balik rumah kita. Senang bapak nak rawat." Diandra mencelah laju.

Kerana dia tahu apa yang bakal disebut oleh lelaki itu. Cuma Diandra tak menyangka mereka memang orang yang sama.

"Hah?" Giliran Adry terkejut. Pantas dia berkalih mahu memandang si empunya suara.

Pantas lagi Diandra menarik tubuh adiknya lalu bersembunyi di belakang Dani. Nasib baik Dani tinggi melangit. Renjong macam pokok nyior!

"Betul jugak tu. Apa kata anak ikut Pak Tam? Pak Tam ni dah biasa ajak pesakit Pak Tam bermalam dekat rumah. Sebab kadang pelanggan Pak Tam tu tinggal jauh. Pak Tam pun akan mengurut tiga hari berturut-turut, bukan setakat sekali urut." Pak Tam bersetuju dengan cadangan Diandra. Lagipun itu bukan kali pertama mereka menerima tetamu yang akan bermalam di rumah. Anak gadisnya itu pun dah kalis.

Soal sekarang, Pak Tam tahu ada yang tak kena dengan Diandra. Daripada cerita Adry pula, Pak Tam tahu itulah lelaki yang menjadi mangsa anaknya pagi tadi. Baru saja dia menyuruh Diandra mencari untuk memastikan keadaan lelaki itu, Allah dah pertemukan mereka dengan cara begini. Macam dah tertulis jodoh.

"Betul tu, encik. Encik tak payah bimbang. Pak Tam ni tukang urut yang terkenal dekat area sini. Encik tak payah nak bimbang. Saya boleh bagi jaminan." Pak Rahmat menyambung ayat temannya, siap buat promosi lagi.

Satu pamflet yang memang tersedia di dalam setiap rumah inap miliknya itu dicapai lalu Pak Rahmat hulur kepada Adry.

"Pak Tam ni kawan baik Pak Rahmat. Tinggal dekat kampung sebelah-menyebelah aje. Ada dalam... sepuluh kilometer dari sini. Yang ni Dani, anak bongsu Pak Tam. Diandra yang pompuan tu kerja dengan Pak Rahmat. Kemas-kemas bilik kat rumah inap ni." Lebih lancar Pak Rahmat bercerita sambil buka sesi berkenalan.

Dani yang tegak berdiri, angkat dua jari. Pusing ke belakang, kakaknya sudah menghilang. Aik?

"Ikut Pak Tam ya, nak? Tak payah takut. Pak Tam tak makan orang. Takde buat bisnes jual orang jugak."

Gulp! Adry teguk liur kesat. Tiba-tiba juga dia berasa tak sedap perut.

"Ish! Kamu ni Tam, ke situ pulak. Dah pucat muka Encik Adry kita ni, haa..." Pak Rahmat bersuara menegur sebelum dia ketawa besar.

Adry juga yang semakin tak sedap hati. Macam ada komplot pula dua sahabat tu. Menilik pamflet di tangan, Adry tahu hatinya sedikit lapang. Walaupun cara agak drastik dengan mempelawa dia ke sana, Adry tahu ada keikhlasan yang menyaluti ajakan.

"Macam mana, nak? Setuju tak nak ikut Pak Tam balik? Tinggal kat rumah Pak Tam. Tiga hari aje, Insya-Allah Pak Tam akan ubati lengan anak ni."

"Kalau abang tak percaya lagi, balik nanti kita singgah dekat balai polis kat depan tu. Kita buat pengesahan yang bapak saya ni jujur orangnya. Tak pernah jual orang, jual organ ke apa. Dekat balai tu pun ada kawan bapak." Giliran Dani yang sejak tadi berdiri menjadi saksi, siap menambah cerita.

Adry berkalih memandang lelaki muda yang tinggi menggalah itu. Intai ke belakang, sudah tak kelihatan kelibat anak dara Pak Tam.

"Saya Dani, bang. Umur 16 tahun, anak bongsu Pak Tam. Kakak saya Andra. Umur..."

"Dani..." Pak Tam laju mencelah.

Bangun dari sofa, dia tahu Diandra sudah tiada dalam ruangan tersebut. Kalau tidak, memang kena silat si Dani yang sesuka hati mahu menyebut umur kakaknya. Memang itulah yang selalu Dani buat selama ini. Sesi berkenalan, Dani bukan setakat kenalkan nama saja. Walhal hal berkaitan dengan umur memang perkara paling sensitif bagi Diandra.

"Baiklah, pak cik. Kalau dah tak ada cara lain, saya ikut pak cik."

"Alhamdulillah." Pak Rahmat membalas senang.

"Panggil Pak Tam aje." Pak Tam tersenyum manis.

Adry angguk. Tangan dipanjangkan mahu mencapai makanan yang tak sempat dia sentuh atas meja kopi.

"Takpe. Nanti Pak Tam suruh Andra kemas makanan ni. Anak ambik kain baju aje. Biar Dani bantu."

"Adry, Pak Tam. Panggil saya Ad." Giliran Adry tersenyum melebar.

Orang berbudi, kita mestilah berbahasa.

"Kira check-out teruslah dari rumah inap Pak Rahmat ni, ya? Check-in rumah Pak Tam pulak. Untungnya kat rumah Pak Tam ada anak dara pandai memasak. Kenyang perut Encik Adry nanti boleh makan free tiga kali sehari." Sempat lagi Pak Rahmat menyampuk sebelum bersambung dengan tawa.

Promosi yang tak habis-habis. Siap dengan Diandra termasuk sekali.

ENTAH kenapa Adry berasa tak sedap hati. Semacam pula suasana dalam kereta tu. Betulkah mereka boleh dipercayai? Kenapalah dia cepat sangat bersetuju padahal dia tak kenal siapa mereka semua? Dibuatnya betul ada komplot pemerdagangan orang, siapa yang susah? Dia dan keluarganya jugak? Dibuatnya tiga manusia yang mengaku anak-beranak di dalam kenderaan tersebut memang merupakan geng sindiket penculikan, dia nak buat apa?

Alamak! Mereka bertiga tu dah tahu ke siapa dia sebenarnya? Ya. Dia cucu Syed Dawud Al-Haq, salah seorang jutawan di negara ini walaupun tak termasuk dalam kategori top ten. Alamak! Dia dah masuk perangkap ke?

Saat itu barulah Adry teringatkan Mizan.

"Yang itu sekolah Dani. Sekolah menengah. Tapi hari ni cuti. Dekat Terengganu ni, cuti jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu." Terdengar suara lelaki kurus tinggi di sebelahnya bercerita bersama telunjuk yang menuding ke luar.

Adry turut memandang ke arah yang Dani tunjukkan. Terlihat di matanya bangunan sekolah yang tersergam. Walaupun bukan terletak di bahu jalan, masih tetap kelihatan.

"Kampung ni nama dia Kampung Penarik. Kawasan ni famous dengan ICT. Mesti abang dah try, kan?"

"ICT?" Berkerut dahi Adry. Dah ke mana terbang sangka buruk dia tadi?

"Ikan celup tepung. Semua kedai dekat tepi pantai dari simpang masjid tadi sampai ke sini semuanya jual ikan celup tepung. Ada sotong celup tepung, keropok lekor, ABC. Pak Mat cakap dah seminggu abang menginap kat sini. Mesti dah try, kan?"

Adry hanya mampu tersenyum canggung. Betapa peramahnya budak bernama Dani itu walhal dia tak sudah-sudah berfikir yang bukan-bukan.

"Area rumah inap Pak Rahmat tu nama dia Kampung Mangkuk. Kampung tu pun famous, bang. Selalu sangat artis datang berlakon dekat situ. Yang terbaru, filem Pulang lakonan Remy Ishak tu. Abang ada tengok tak filem tu? Ada pergi dekat sungai...

"Dani..." Terdengar suara Pak Tam menegur dari depan. Kalih ke belakang, dia memandang Adry dengan senyuman.

"Maaflah, nak. Dani ni memang peramah orangnya. Kakak dia ni pulak pendiam."

"Pak?" Cepat juga Diandra menyampuk. Mata masih fokus pada jalan raya. Kejur tubuhnya dengan kehadiran manusia asing di dalam ruang tersebut.

Lagi lemah Diandra mahu fikir tentang lelaki itu yang akan tinggal di rumahnya nanti. Biasanya pelanggan bapak hanya akan menginap semalaman atau mungkin dua hari. Dia pun sudah kalis dengan situasi tersebut. Kali ini, Diandra tahu mungkin ambil masa seminggu. Sebab nak tunggu bengkak pada lengan tu surut terlebih dahulu, barulah boleh diurut.

Saat itu baru Diandra akui kebenaran yang bapaknya sebut. Demam sudah lelaki bernama Adry tu kena penangan dia.

"Adry, Pak Tam. Panggil saya Ad aje." Sekali lagi Adry menyebut. Mengizinkan lelaki itu menggunakan panggilan yang lebih mesra.

Terasa sesuatu pula apabila Pak Tam panggil dia 'nak'. Rasa macam berlakon filem 'Pendekar Bujang Lapuk'. Mungkin. Sementelah dua beradik itu memanggil ayahnya sebagai bapak. Memang rare.

"Kalau macam tu Ad tak payah nak risau. Ikhlas, Pak Tam anak beranak ni bukan orang jahat."

Merah muka Adry. Sungguh dia berasa pelik. Bagaimana Pak Tam tahu apa yang ada dalam hatinya? Kerisauan yang sejak tadi tak henti menebak.

"Pak Tam ni dah tua, Adry. Orang cakap... sekilas ikan di air."

Lagi menjadi Adry teguk liur. Dia yakin Pak Tam bukan orang biasa-biasa. Pasti lelaki itu tinggi ilmu di dadanya.

"Lengan abang ni dah kenapa? Macam mana sampai boleh kena pulas orang? Melainkan abang ada buat salah." Dani kembali bertanya. Mata memandang susuk tubuh tegap lelaki yang duduk di sebelahnya.

Lengan kanan Abang Adry sudah bapak anduh dengan sehelai kain. Tengok pada otot lengan, Dani tahu tubuh lelaki itu boleh tahan sado. Tapi, macam mana lengan boleh kena pulas orang?

"Abang bergaduh ke?" Kepala Dani hinggap dengan tanggapan seterusnya. Kalau tidak, macam mana semua tu boleh berlaku?

"Entahlah. Malaun mana ntah main pulas tangan abang. Masa tu..."

Uhuk! Uhuk! Diandra yang sedang memandu tersedak tiba-tiba. Bulat biji matanya walaupun kedudukan masih pegun.

Dia tak percaya. Malaun lelaki tu panggil dia?

Pak Tam di kerusi sebelah sudah tersenyum senget.

"Masa tu apa?" Tak menghiraukan kakaknya yang tiba-tiba tersedak, Dani bertanya.

"Oh ya, Dani. Dekat sini ada kedai telefon tak?" Adry tiba-tiba mengubah tajuk.

Kembali matanya memandang suasana luar yang memang merupakan kawasan kampung dengan pokok-pokok menghijau. Tanah lapang berwarna putih seumpama tompokan salji. Terlalu berbeza dengan kawasan kediaman nendanya yang dikelilingi hutan batu.

"Kedai telefon?" Berkerut dahi Dani. Hujung kening sempat digaru-garu. "Abang nak buat apa? Beli telefon?"

"Abang nak baiki phone. Malaun yang pulas tangan abang ni dah pijak phone abang. Hancur."

"Apa? Jadi betullah abang bergaduh? Itu yang tangan kena pulas?"

"Maaf, encik. Sekarang ni kita ada dekat kampung. Takde semua tu. Kalau nak baiki, boleh bagi saya. Saya hantar telefon encik ke bandar." Diandra menyampuk dari depan.

Tak kuasa dia nak biarkan telinga mendengar lelaki itu panggil dia malaun. Sakit hati, kecil hati semua ada!

Tahulah salah dia, tapi jangan terlalu drastik melabel. Huh!

"Haa... betul, bang. Kat kampung takde kedai telefon. Kedai top-up prepaid adalah. Tauke kedai tu pun tak pandai nak baiki telefon. Biasanya kena cari kedai dekat bandar." Dani mencelah lagi. Bukan Ahmad Dani kalau tak mencelah.

Luntur semangat di dalam diri Adry. Tambah dengan perut yang mula terasa pedih kes dia belum bersarapan. Dengan demamnya lagi, sakit urat lengan juga yang terasa berdenyut-denyut. Lagi mahu fikir fasal telefon yang rosak teruk.

Baru pagi tadi dia hidupkan telefon. Baru bercakap dengan nenda sepatah dua, sekarang telefon dia dah rosak. Macam mana dia nak call bonda?

"Betul tu, Adry. Kalau nak baiki telefon, bagi aje dekat Diandra. Biar dia hantar dekat kedai telefon di bandar. Kat kampung ni kalau ada yang pandai baiki pun, tetap kena beli spare part dekat bandar. Kena pergi sana jugak." Pak Tam menambah dari depan.

Mata memandang anak gadisnya yang kejur di kerusi pemandu. Merona muka Diandra. Mungkin terasa hati dengan sepatah ayat Adry tadi.

Nasib badan. Siapa suruh cepat sangat sentap? Kan dah kena gelar malaun.

"Baiklah, Pak Tam," sahut Adry mudah. Gaya reda pun ya.

Dalam hati, dia mendoakan semoga semuanya dipermudahkan. Dia perlukan telefon untuk menelefon bonda. Mungkin setiap apa yang menimpa dia sekarang gara-gara hilang keberkatan kerana orang tua yang dia dah sakiti hati mereka.


(1825 words)

*VOTE & COMMENT ARE VERY APPRECIATED*

_F R O M_M E_W I T H_L O V E_

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro