B A B 3
PERUTNYA memang kosong. Kalau tadi menyanyikan lagu keroncong, sekarang sudah berdondang sayang. Makanan yang dibeli kelihatan enak terhidang tapi seleranya mati. Walaupun perut memang lapar, merayu minta diisi, kesakitan yang mula menyengat pada lengan kanannya membuatkan Adry hilang nafsu makan. Sekadar mencedok sesudu dua dengan tangan kiri demi mengalas perut. Sudahnya dia mengerekot atas sofa kerana menahan sakit.
"Ad... kenapa ni? Kenapa tak makan, sayang? Buat membazir aje beli makanan banyak-banyak tapi tak jamah. Ad kenapa? Sakit ke? Itulah... siapa suruh lari tinggalkan bonda?"
Adry gelisah di perbaringan. Mimpikan bonda, basah bantal hiasan sofa yang menjadi alas kepalanya dengan air mata. Memang dia macam tu. Harap tubuh sado tapi hati tisu. Memang dia anak manja. Satu-satunya anak lelaki bonda, menjadi kesayangan wanita itu. Lebih lagi, dia juga yang akan membawa gelaran keluarga dalam susur galur Al-Haq. Dah tak ada yang lain. Kerana itu juga dia dipaksa oleh nenda untuk bernikah dengan Irma Fariha.
Tak mahu hidup dalam suasana klise, ke sini dia lari membawa diri. Berkat sedikit keberanian yang mungkin diwarisi dalam darahnya.
Klise bagi manusia sekeliling yang memandang, bukan pada dia yang menghadapi kenyataan. Orang lain cuma boleh bercakap. Ada bran, cuba kalo...
Orang akan cakap best apa hidup senang, harta melimpah. Tunjuk saja apa yang nak, on the spot akan dapat. Yang orang tak tahu, duit, harta, pangkat dan kemewahan tak mampu memberi kebahagiaan jika hati tidak tenang. Bahagia hanya akan dirasa apabila hati gembira. Syukur dengan apa yang ada walaupun hidup serba kekurangan.
Orang cakap lagi, dah tu bersyukurlah dapat hidup mewah. Orang lain cuma boleh berangan memiliki semua benda. Dia pula dah ada segalanya. Buka mata, semuanya terhidang. Kenapa tak nak menurut lagi?
Bukan kerana dia ingin menjadi cucu derhaka. Dia cuma mahu menjadi diri sendiri, buat setiap apa yang hati ingini.
Orang akan cakap lagi... Alah! Itu alasan bagi anak yang suka memberontak!
Hurm... betullah kisah antara Luqman Hakim dan ayahnya. Apabila kita ingin memuaskan hati manusia. Sampai kiamat pun takkan dapat.
"Bonda... Ad sakit.... Ayah ngah... tolong..." Dalam tak sedar Adry mengadu. Walaupun matanya terpejam, tidur resah akibat kesakitan. Wajah Adry jelas berkeringat peluh membuktikan dia memang sedang menahan sakit.
"SEKARANG?" Nyaris bersembur nasi kerabu yang Diandra sedang kunyah.
Tegak dia berdiri dengan telefon yang melekap pada telinga. Sesaat kemudian dia terbatuk-batuk. Tercekik ulam nasi kerabu!
"Astaghfirullah Al'azim. Andra... kenapa ni?"
"Air... air..." Diandra menepuk-nepuk dada dengan genggaman tangan kanan yang masih bersisa nasi. Laju dia menyedut air green tea setelah Dani menyuakan penyedut.
"Ha'ah. Baik. Ya... ya. Saya datang sekarang." Kalut Diandra menjawab sambil punggung kembali dilabuhkan ke kerusi meja makan. Tak hirau bapak dan adiknya yang sedang memandang, dia sambung suap nasi kerabu yang masih berbaki.
"Diandra!"
"Bapak?" Diandra angkat muka. Panjang lehernya menelan nasi yang tersangkut pada ruang esofagus. Tangan kiri menarik bekas air green tea mendekat lalu kembali disedut.
"Kenapa? Ada apa? Ish! Kamu ni Andra... kalau orang tengok, memang takde yang berkenan nak buat bini."
"Bapak..." Uhuk! Uhuk! Diandra sambung tersedak.
Akhirnya dia bangun mendapatkan peti ais. Sebotol air kosong dicapai. Tak lupa gelas di atas rak sebelum dia kembali ke meja makan tadi, di mana bapak dan adiknya sedang tunak memandang.
Habis segelas air putih diteguk, barulah Diandra berasa lega. Sandarkan belakang badan pada kerusi, dia hela nafas panjang.
"Pak Mat... dia mintak Andra pergi kerja sekarang. Macam ada kecemasan aje."
"Pulak?" Sepatah Pak Tam balas. Kembali dia sambung makan nasi kerabu.
"Entah apa pulak kecemasan tu? Dahlah hari ni hari Jumaat. Sepatutnya holiday." Diandra garu kepala yang masih berlitup tudung. Panjang sudah muncung mulutnya.
Sempat juga dia menyambar seketul cucur badak lalu disuap masuk ke mulut.
"Dah tu pergi ajelah. Kata kecemasan," suruh Pak Tam. Plastik pembungkus makanan direnyuk tanda dia dah habis makan.
"Nak pergilah ni. Andra makan sampai kenyang dulu. Nanti dah buat kerja, tak sempat nak makan dah. Entah apalah kecemasan tu?"
"Pak Rahmat tu percayakan Andra. Sebab tu kalau ada apa-apa, dia suruh Andra."
"Iyelah. Sampaikan longkang tersumbat pun Andra yang kena buat. Macam takde orang lain." Diandra terbeliak biji mata. Kadang boleh berangin satu badan.
Nasib baiklah Pak Rahmat bayar gaji dia dengan nilai yang agak lumayan. Kira lebih daripada sepadan dengan kerja yang dia buat walaupun seminggu sekali kena cuci longkang. Risau tersumbat lagi. Kalau tidak, dah lama dia angkat kaki.
"Kak, Dani ikut boleh?" Dani tiba-tiba bertanya dengan muka berseri-seri. Coconut shake kegemaran sudah habis disedut.
"Beres!" Diandra angkat ibu jari kepada adiknya. Barulah dia rasa sedikit bersemangat hendak masuk kerja. "Kalau longkang tersumbat lagi, Dani tolong bersihkan, ya." Sempat dia menokok ayat, kenakan adiknya.
"No hal. Janji masyuk..." Senyum Dani tetap melebar. Dua jarinya sudah bergerak-gerak buat isyarat duit sebelum terhenti menjadi minilove.
"Dah tu, pergilah." Pak Tam kembali menggesa.
"Kejaplah, pak. Nak makan ni." Diandra sambung suap nasi kerabu.
Pak Tam kembali geleng kepala. Malas nak melayan kerenah anak gadisnya itu, dia angkat punggung menuju ke singki untuk mencuci tangan.
"Dani, nanti bawak baju Melayu terus. Kutlah kita lambat balik, Dani solat dekat sana aje."
"Beres bosku." Dani yang sedang mengemas meja makan bagi tabik di dahi.
Telefon yang terdampar atas meja kembali berbunyi. Melihat nama Pak Mat yang tertera, Diandra kembali tercekik nasi.
"Ish! Pak Mat ni... sabarlah! Takkan lari longkang dikejar." Sempat dia berperibahasa mengarut.
Plastik bungkusan nasi kerabu sudah digumpal kasar. Angkat punggung mahu ke singki untuk mencuci tangan, Diandra menjawab panggilan telefon.
"Pak Mat, ya. Kejap. Andra tengah makan ni. Hah! Bapak?" Jeda. Mulut Diandra melopong sebelum tangan dicuci sebersihnya.
Pak Tam yang mahu ke pangkin luar sudah berhenti daripada melangkah. Tegak berdiri di situ memandang anak gadisnya yang berada di depan singki sana.
"Bawak bapak sekali? Dah kenapa?" Diandra pelik, tapi itulah arahan yang dia terima daripada Pak Rahmat.
Dani dan bapaknya saling berpandangan.
"Ha'ah. Yelah... yelah. On the way!" tukas Diandra lantang sebelum mematikan panggilan. Pusing ke belakang, kepalanya bergerak mencari kelibat bapaknya.
"Ada apa?" tanya Pak Tam yang berdiri di tepi muka pintu. Dek kerana silau cahaya matahari di luar sana, Diandra tak nampak susuk tubuh bapaknya.
"Pak Mat suruh Andra bawak bapak sekali. Emergency."
"Ha'ah. Iyelah." Pak Tam angguk tanpa banyak soal. Langkah dibuka luas mendapatkan anak tangga untuk naik ke rumah atas.
Diandra juga yang masih menggaru kepala. Pelik dengan arahan yang diterima.
(1015 words)
*VOTE & COMMENT ARE VERY APPRECIATED*
_F R O M_M E_W I T H_L O V E_
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro