Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

B A B 2

"BAPAK mana?"

Hilang sengih di bibir Dani sementelah biji mata yang bersinar-sinar teruja melihat kakaknya meletakkan kuih-muih kegemaran ke atas meja makan. Tak menjawab dengan mulut, Dani sekadar menjuih ke rumah atas.

Mana lagi bapak berada kalau bukan di bilik? Sesaat kemudian senyuman kembali tercarik pada ulas bibirnya sambil Dani menarik kerusi. Punggung segera dilabuhkan.

"Ni air Dani ke?" tanya Dani sambil tangan dipanjangkan mencapai.

"Taklah. Air jiran sebelah," balas Diandra bersahaja. Disambut adiknya dengan bibir yang semakin terjuih.

Diandra menanggalkan beg silang di dada termasuk jaket biru kegemaran sebelum dia sangkut pada kerusi meja makan. Dani sedang mengangkat tangan tinggi, baca doa sebelum menyedut coconut shake ' jiran sebelah tadi'.

Diandra tersenyum manis. Kepala adiknya sempat digosok-gosok perlahan.

"Kak, tadi bapak semput lagi."

"Apa, dik?"

"Tapi dah okey. Dani dah bagi bapak makan ubat."

Diandra ketap bibir perlahan. Adiknya dipandang sambil dia memaksa seulas senyuman mewarnai wajah.

"Makanlah. Akak nak pergi tengok bapak." Kembali Diandra mengelus kepala adiknya sebelum langkah dibuka naik ke rumah atas. Terus dihala ke sebelah kiri, mendapatkan bilik tidur ayah mereka.

Menyelak langsir yang tergantung pada pintu, dia nampak susuk tubuh yang semakin dimamah usia sedang duduk termangu pada birai katil. Di tangan lelaki itu seperti biasa ada sebuah bingkai gambar keluarga. Saban hari diusap kala rindu menjengah jiwa.

"Assalamualaikum, bapak."

Gelabah lelaki itu menyembunyikan bingkai gambar tadi ke bawah bantal. Macamlah dia tak nampak. Tangan yang semakin berkedut naik mengusap pipi basah, mahu dikeringkan.

Diandra tersenyum nipis. Memasuki ruang itu walaupun tak dijemput, dia melabuhkan punggung ke sisi bapaknya. Tangan kiri terus naik memeluk bahagian belakang leher sementara tangan kanan mendakap dari hadapan. Letak kepala ke bahu yang semakin lenyap kudrat itu, Diandra pejamkan mata rapat.

"Apa kata kalau bapak kahwin lagi?"

"Astaghfirullah Al'azim. Ke situ pulak budak ni." Akibatnya, lengan yang melingkar pada bahagian leher ditampar sekali.

"Ouch!" Diandra mengaduh manja sebelum terkekeh ketawa.

"Sepatutnya Andra yang kahwin, bukan bapak."

"Dah Andra tengok hari-hari bapak tilik gambar mak. Bukannya mak boleh datang pujuk bapak. Kalau bapak kahwin..."

"Jangan nak mengarut, Diandra!"

Spontan Diandra mengernyit sengih sebelum ia memudar.

"Bapak okey ke? Dani cakap tadi bapak semput." Kerisauan kembali mewarnai wajahnya menggantikan ceria seketika tadi.

Tanpa disuruh, tangan kiri menggosok perlahan belakang tubuh yang semakin hari kian hilang kudrat itu.

"Alhamdulillah, bapak okey." Pak Tam manggut-manggut demi meyakinkan anak gadisn yang seorang. Tangan kanan Diandra yang masih erat memeluk lehernya, diraih.

"Ouch!" Spontan Diandra menjerit sakit. Cepat-cepat dia menarik tangan lalu disembunyikan ke belakang badan. Bibir kembali mencarik sengih demi mengawal keadaan.

"Kenapa dengan tangan tu?" Pak Tam tahu ada yang tak kena. Punggung yang berlabuh pada birai katil dikesot menjauh sebelum dia pusing menghadap Diandra.

Senyuman Diandra dah sampai ke telinga.

"Jangan nak buat senyum kucing miang, Andra. Bak sini bapak tengok, kenapa dengan tangan tu? Kamu bertumbuk lagi ke? Hish kamu ni kan... tak padan dengan perempuan!" Kembali tergeleng kepala Pak Tam. Lengan kanan anak gadisnya ditarik perlahan.

"Sikit aje, bapak." Diandra tetap tersenyum demi menyejukkan hati bapaknya. Dia juga tak mahu bapak membebel. Boleh kalah orang perempuan.

Tapi, ada kalanya dia suka nak mendengar juga. Ada kalanya dia sengaja cari fasal supaya bapak membebel. Kerana kerinduannya pada arwah emak yang tak bertepi.

"Astaghfirullah Al'azim. Sikit apa macam ni. Dah bengkak dah ni."

"Ouch! Bapak... sakit..." Tercebik-cebik bibir Diandra dengan muka sedih. Itu baru bapak sentuh. Kalau bapak urut, mahu meraung.

"Sikit apa macam ni? Kamu tumbuk apa? Batang nyior?" Makin menjadi bunyi decit yang keluar dari mulut Pak Tam. Jemari runcing tangan kanan anaknya ditarik-tarik perlahan untuk meluruskan urat.

"Tumbuk jalan?"

"Astaghfirullah Al'azim... dah takde benda lain kamu nak tumbuk? Dah takde kerja sangat kamu ni asyik nak bertumbuk? Kan bapak dah cakap, ilmu yang ada tu jangan disalah gunakan."

"Bukan Andra salah guna. Tadi ada pencuri masa kat pasar. Benda berlaku dekat depan mata Andra ni haa, takkan nak tengok saja? Bapak jugak yang cakap ilmu yang tak dimanfaatkan serupa simpan duit berkepuk-kepuk, tapi tak pakai? Langsung tak berguna."

Pak Tam mengeluh panjang. Kadang boleh terkelu lidah dia hendak berbalas kata dengan anak gadisnya itu. Ada saja jawapan yang akan dibalas oleh Diandra.

"Dah tu kamu tumbuk jalan buat apa? Tak sampai hati nak tumbuk muka pencuri tu?" Pak Tam tahu itu yang berlaku. Sementelah Diandra terus merunduk. Mulut terkadang berdesit sakit apabila dia menggosok belakang tangan yang mula kelihatan lebam itu.

"Bapak jugak yang cakap, jangan semudahnya menjatuhkan hukuman. Mungkin ada sebab kenapa dia buat semua tu."

"Baguslah kalau kamu tahu. Bapak cuma tak nak kamu menyesal di kemudian hari."

Diandra terangguk-angguk. Bibir semakin diketap.

"Dah kenapa pulak? Menyesal bila dah jadi heroin?"

Diandra angkat muka memandang bapaknya. Geleng perlahan.

"Andra rasa bersalah sebab terpukul orang yang tak bersalah."

"Terpukul orang yang tak bersalah? Maknanya kamu tersalah tangkap orang? Pencuri tu terlepas, orang lain yang kamu tibai?" Merona wajah Pak Tam. Terhenti jemarinya yang sedang menggosok lembut bengkak pada kekura tangan anaknya.

"Tak. Andra dah tangkap orang yang betul. Yang tak bersalah tu tiba-tiba datang pegang bahu dari belakang," cerita Diandra bersungguh. Dalam hati, dia memang rasa bersalah pada lelaki tu.

"Jadi kamu nak kata itu tindakan refleks kamu? Pantang orang sentuh, terus kena libas?" Bukan Pak Tam tak kenal siapa anak gadisnya itu. Kasar mengalahkan lelaki!

Diandra diam. Hendak menafikan pun tak mampu. Setiap inci tubuhnya miliki kunci 'tersembunyi' yang mampu membuatkan dia bertindak tanpa sedar kalau silap ditekan.

"Dia tak bersalah pun, pak. Tapi tulah, dia tak tegur Andra elok-elok. Pergi tepuk bahu dah kenapa? Memang itulah makannya."

"Ish... ish... kamu ni, Andra. Kalau gini gayanya, sampai matilah bapak ni tak ada keturunan."

Berkerut dahi Diandra. Bapaknya dipandang dengan muka keliru.

"Iyelah. Suami baru nak pegang, dah kena libas."

"Bapak!" Panjang muncung mulut Diandra. Ke situ juga bapaknya pergi. "Kalau sentuh dengan kesopanan dan kesusilaan, takkan kena libas pulak?" Sempat dia menyambung ayat.

"Dah tu, lelaki tu macam mana? Lengan dia terseliuh tak? Kamu jangan, Andra. Lima bulan lepas kamu berlatih aje dengan si Mustakim tu, terkehel lengan dia kamu pulas. Sampai sekarang dia dah tobat tak nak jadi pasangan kamu. Hari ni pulak tindakan betul-betul, bukan latihan. Jangan sampai tercabut sendi bahu lelaki tu, sudah."

Diandra diam menekur wajah. Ibu jarinya bergerak menggosok kekura tangan kanan yang semakin bertukar warna lebam.

"Tak tahu pulak Andra, pak. Elok kut." Dia memilih untuk tak berterus-terang, padahal Diandra tahu keadaan lelaki itu. Apa yang telah menimpa angkara salah faham yang tercetus.

Selepas kereta peronda polis membawa pesalah ke balai, dia menemukan telefon yang hancur skrin di hujung kaki. Diandra tahu telefon itu milik lelaki tadi. Lelaki yang tak bersalah dan telah dibawa masuk sama ke dalam peronda polis.

Diandra tahu dia yang bersalah. Dia yang tak sempat hendak mengelak dan terpijak telefon milik lelaki itu ketika sesi kejar mengejar tadi. Diandra juga tahu lelaki itu mencari dia dengan niat hendak menuntut ganti rugi atas kerosakan yang berlaku. Silapnya lelaki itu tak menegur dia dengan sopan. Bagi salam ke apa tapi main tepuk bahu. Memang itulah jadinya.

Mujur juga balai polis terletak tak sampai satu kilometer dari tempat kejadian. Terus dia ke sana dengan niat mengembalikan telefon itu kepada tuannya. Mujur juga dia dah kenal Kak Sari yang merupakan pegawai di balai tersebut. Mudahlah Diandra menyerahkan telefon itu untuk dikembalikan kepada tuannya.

Sempat juga dia memulihkan keadaan dengan mengakui lelaki tadi langsung tak bersalah. Tak sepatutnya ditahan dalam balai dan boleh dibebaskan. Sebab langsung tak ada kena-mengena dengan kejadian. Cuma tersalah masuk scene.

"Kamu dengar tak apa yang bapak cakap ni, Andra?"

"Bapak?" Diandra angkat muka memandang bapaknya.

"Bapak nak kamu pergi cari orang tu. Tanya macam mana keadaan dia? Kalau betul bahu dia terkehel sebab tindakan kamu tu, bawak dia datang ke sini, bapak ubatkan."

"Bapak?" Lopong mulut Diandra.

"Kenapa? Kamu nak cakap yang kamu tak mintak maaf bila dah buat dia macam tu? Kamu lari daripada dia? Tak mengaku salah?" Bertubi-tubi Pak Tam mengasak anak gadisnya dengan soalan.

Diandra semakin serba salah.

"Mesti kamu dah bercakap dengan dia, kan? Mintak maaf semua. Mustahillah kalau kamu tinggalkan dia macam tu aje lepas apa yang kamu dah buat. Tak kiralah kamu sengaja ke tidak."

"Bapak... baik. Andra cari dia."

"Sekarang! Kalau lama, masuk angin urat dia, makin payah bapak nak ubat nanti."

Diandra sudah menggaru kepala yang masih berlitup tudung hitam.

"Iye. Andra pergi. Sebelum tu jom kita keluar makan dulu. Andra dah beli nasi kerabu favourite bapak. Siap dengan solok lada, daging bakar. Memang ummph!" Kembali ceria wajah Diandra demi memujuk bapaknya.

Pak Tam tetap berwajah tegang kes tak menyangka dengan apa yang telah berlaku.

Itu Diandra tak beritahu lagi yang lelaki tu siap diheret masuk ke balai. Kalau bapak tahu, mahu bergegar alam kena panah dengan amarah bapaknya. Bapak tu nampak saja cool. Bila dah marah, mahu taufan satu daerah.

"Siap makan ni, kamu pergi cari budak tu. Tanya keadaan dia? Kalau teruk, bawak dia datang sini."

"Iye, bapak. Iye. Andra pergi cari nanti. Sebelum tu makanlah dulu. Andra dah kebulur ni." Diandra buat muka comel. Tapak tangan menggosok perut.

"Bapak bukannya apa, Andra. Bapak tak nak hidup kamu tak tenang nanti sebab fikirkan budak tu."

"Ya, bapak..." Diandra angguk. Mengakui silap dan mengiakan kebenaran.

Setiap apa yang bapak kata benar belaka. Contoh memang dah ada. Rasa bersalah yang sedang menghuni dadanya sekarang. Takkan pernah aman.


(1488 words)

*VOTE & COMMENT ARE VERY APPRECIATED*

_F R O M_M E_W I T H_L O V E_

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro