Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

5. Holding Back The Tears

KEPALANYA terasa berat. Berbalam-balam pandangannya sebelum melihat seorang yang terlena dalam keadaan duduk dengan kepala diletakkan di birai katil. Deanne duduk. Tengkuknya diurut perlahan.

"Deanne?" Minho terjaga. Dipanggung kepala memandang ke arah Deanne. Segera dia berdiri dan mendemah dahi gadis itu.

"Apa yang terjadi? Saya di mana?" soal Deanne sambil matanya melilau memandang ke sekeliling bilik.

"Dalam klinik kawan saya. Awak tak sedarkan diri waktu saya balik ke kereta. Saya terus bawa awak ke sini. Awak tak apa-apa, kan?" Minho meminta kepastian. Risau benar dengan Deanne yang sudah dianggap sebagai adik sendiri.

Deanne mengangguk perlahan. Dia memandang ke luar tingkap. Matanya membulat.

"Sudah malam?"

"Ya, hampir dari tengahari tadi awak tak sedarkan diri. Seluruh badan awak sejuk dan pucat."

Deanne memegang kepalanya. Cuba mengingati mimpinya tadi. Waktu mereka kembali ke The Best, Sei tiba-tiba hilang. Puas dia menunggu namun Sei tetap tidak kembali sedangkan dia kesejukan kerana The Best dilanda hujan salji. Menunggu hingga dia terlena dan terjaga di dunia nyata.

Selepas yakin dengan kesihatan Deanne, mereka bergerak pulang. Sampai di sana, Dairjeu terus menjerkahnya. Deanne memandang Minho, menghalang lelaki itu dari menceritakan perkara yang membuatkan mereka terlewat pulang sebaliknya Deanne mereka cerita bahawa kereta mereka rosak di tengah jalan.

"Selepas ini, kamu tak boleh ikut Minho lagi," tegas Dairjeu memberi arahan membuatkan Deanne tunduk dan berlalu ke biliknya.

Keesokan harinya, ketika dia sedang menyemai benih di ladang ditemani Honeydew di matahari yang baru terbit, Minho datang dengan beg kertas di tangannya.

"Awak tertinggal barang ini semalam dalam kereta." Beg kertas di tangannya diserahkan pada Deanne.

Gadis itu mengerut dahi. Kehairanan. Topi jerami dibuka.

"Saya terpaksa pergi dulu. Takut Makcik Dairjeu nampak pula. Terima kasih teman saya semalam. Jaga kesihatan ya, Deanne," ucap Minho sambil menunduk sedikit dan berlalu pergi meninggalkan Deanne yang masih tercengang.

Beg kertas di tangannya dipandang. Malleroy Boutiqeu? Tulisan di beg kertas itu membuatkan dia berdebar-debar.

"Oh, ya! Cantik pilihan awak," laung Minho dari jauh sebelum menunggang basikalnya.

Di kampung itu, mereka hanya menggunakan basikal. Minheu hanya akan menggunakan keretanya untuk ke pekan dikeranakan ketiadaan stesen gas & petrol di situ.

Deanne membersihkan tangannya dan mengeluarkan isi dari beg kertas itu. Air matanya bergenang. Sebak. Tiada ragu lagi, mimpi itu bukan mimpi. Ianya adalah anugerah dan ia wujud. Nyata. Dia yakin kerana di tangannya sekarang, sehelai gaun putih yang cukup dikenali ada padanya.

"Selamat hari Lahir, Deanne. Selamat hari Lahir, Mischa..." bisiknya pada diri sendiri dengan titisan air mata.

Petang itu, selepas selesai kerjanya, Deanne membersihkan diri dan memakai gaun putih itu. Honeydew ditunggang menuju kubur ayahnya yang jauh di dalam hutan. Mujur Dairjeu tiada kerana membantu jiran mereka memasak untuk kenduri anak mereka yang bakal berkahwin.

Alunan gaunnya seiring dengan hembusan bayu membuatkan perasaannya menjadi sayu. Langkah Honeydew menjadi perlahan apabila kubur ayahnya mula kelihatan. Deanne meloncat turun. Setapak demi setapak dia melangkah dan akhirnya di hadapan kubur ayahnya, dia terjelepuk terduduk dengan kedua tangan di atas tanah.

"Ayah... Dea rindu ayah. Dea datang lagi, ayah. Dea rindukan ayah... Dea sunyi, ayah," rintihnya.

Hingga matahari hampir melabuhkan sinarnya, Deanne melangkah menghampiri lereng bukit dan bersandar pada Honeydew yang masih setia menemaninya. Mereka sama-sama memandang di kejauhan, ke arah matahari yang merah. Tangannya melatari taburan kristal di gaun itu. Sungguh dia merasa gembira kerana impiannya tercapai malah gaun itu lebih cantik dari apa yang dia bayangkan.

"Sei, andai kau wujud, di mana kau sekarang?"

Soalan yang tiada jawapan.

Deanne menunggang Honeydew, memandang seketika ke ufuk barat. Matanya dipejam. "Terima kasih, Sei," bisiknya.

Max melingas ke belakang. Seakan-akan terdengar suara yang menghembus ke pendengarannya.

"Mischa?"

Jantungnya berdegup pantas sebelum dia mengawal kembali riak wajahnya apabila U-know memandangnya.

Dalam perjalanan pulang, Deanne terserempak dengan Dairjeu. Pucat mukanya apabila Dairjeu memanggilnya turun. Tidak disangka dia akan bertembung dengan ibunya.

"Kau ke mana?!" jerkah Dairjeu apabila Deanne turun dari kudanya.

"Dea... Dea..." Deanne mengetap bibir.

"Baju siapa yang kau pakai ni, hah?" Bergerak tubuh Deanne apabila Dairjeu menarik gaunnya. "Kau mencuri ya?!" tuduh Dairjeu.

"Tak. Deanne tak mencuri," bela Deanne.

"Habis tu, kau dapat dari langitlah ya? Aku tak pernah ajar kau menipu, kan! Baju siapa yang kau ambil ini?!"

Deanne buntu. Takkanlah dia hendak memberitahu yang dia mendapatkan baju ini dari Seoul City? Atau hendak dikatakan yang dia mendapat baju ini dari dalam mimpi? Bukankah itu gila namanya?

"Cakap sekarang!!"

"Makcik Dairjeu, dia tak curi baju tu!" jerit satu suara.

Minho!

Lelaki itu pantas menghampiri dua beranak yang sudah dikerumuni orang kampung.

"Habis tu?"

"Dia beli baju ni. Semalam kan kami turun ke pekan. Saya jadi saksinya," jelas Minho membuatkan jantung Deanne berhenti berdetak.

Dia tahu Minho ingin membantunya namun lelaki itu tidak sedar bahawa dia sudah tersalah langkah. Mencerlung anak mata Dairjeu memandang Deanne yang sudah menggigil.

PANG!

Deanne terduduk di atas tanah. Minho terkejut bukan kepalang.

"Aku tak pernah ajar kau mencuri apalagi mencuri untuk membeli barang membazir begini! Rupanya kau masih curi-curi ambil duit dari peraih!" Dairjeu mengamuk. Gaun mahal yang tersarung di tubuh anaknya ditarik dan direntap beberapa kali hingga terkoyak-koyak.

"Jangan, ibu! Jangan!" Deanne merayu semahunya. Beberapa orang wanita sudah memegang Dairjeu, menghalangnya dari terus mengamuk.

"Kau tahu, sebab kaulah suami aku mati! Kalau bukan sebab kau ini anak dia, dah lama aku buang kau! Tak pandai ke kau nak hargai pengorbanan aku menjaga kau selama ni?" Dairjeu menggila membuatkan Deanne meraung menangis mendengar kata-kata ibunya yang cukup menghiris hati.

Minho segera membuka jaketnya dan disarung ke tubuh Deanne yang hampir terdedah kerana gaunnya yang koyak di bahagian belakang. Dipeluk erat gadis itu, memberi semangat.

'Ayah... ibu benci Dea. Dea sudah tidak ada sesiapa lagi..'

🎐


XIAH MEMBUKA pintu bilik, memandang ke arah Max yang sedang terlena. Dipandang wajah Max yang kelihatan begitu lena lengkap berbaju sejuk lengkap dan sarung tangan. Xiah tersandar di dinding. Kusut fikirannya mengenangkan berita yang ditontonnya di televisyen sebentar tadi.

Malleroy Boutique & kedai 7-Eleven yang berhadapan dengannya dilaporkan telah dipecah masuk. Suspek tidak dapat dikesan kerana di kedua-dua tempat, CCTV seakan tidak berfungsi malah Malleroy Boutique kehilangan sehelai gaun putih ditambah lagi dengan kejadian aneh di bahagian kaca display.

Dua buah patung lelaki dan perempuan yang dimekap seakan-akan sedang berbual bersama sambil menikmati mee segera yang masih panas berasap! Beberapa jenis makanan segera turut ada di situ. Di 7-Eleven pula, dikejutkan dengan misteri lipatan origami dari duit kertas dan disusun cantik di sepanjang kaunter. Sangat berpadanan dengan cerita Max sewaktu di hospital. Tak mungkin Max mengetahui tentang hal itu lantas merekanya kerana sewaktu kejadian itu berlaku, Max sedang terlantar di hospital.

Xiah buntu. Benar-benar buntu...

🎐

"MISCHA, jangan menangis." Sei tidak tahu bagaimana hendak memujuk Mischa yang tidak henti-henti menangis. Rasa hairan terbit apabila melihat gaun yang dipakai Mischa ada kesan koyak. Kemudian, memandang pada jaket yang tersarung pada gadis itu. Itu jaket lelaki. Entah dari mana Mischa mendapatkannya.

"Aku pun tak tahu kenapa tapi aku rasa sedih sangat..." ujar Mischa dalam esakannya.

Max meraih buku merah di tepi Mischa. Dibuka lembaran demi lembaran sebelum terhenti di tulisan akhir. Mischa turut memandang barisan tulisan itu.

"Mischa, kau pasti hairan kenapa kau bersedih, kan? Gaun impian kau koyak. Ibu yang buat. Ibu benci aku dan aku adalah kau. Kata ibu, aku adalah punca ayah mati. Minho beritahu, ayah terjatuh ke lereng bukit sebab hendak petikkan bunga liar untuk aku waktu harijadi aku.

Mischa, di sini sudah tiada siapa lagi yang aku miliki. Juga tiada sebab lagi untuk terus hidup. Jadi, tolong... aku merayu, jangan kau pulang... kerana kau hanya akan terluka.

Sei, tolong jaga Mischa. Jangan benarkan dia pulang..."

Pembacaan Mischa berhenti di noktah terakhir. Mereka berpandangan sebelum Sei lenyap secara tiba-tiba.

🎐

MAX terduduk dari pembaringan. Tubuhnya basah disiram air. Di hadapannya berdiri U-know dengan baldi di tangan.

"Kenapa kejutkan aku?!" jerit Max.

Berubah wajah U-know. Baldi dicampak kasar. Kolar baju Max dicekak.

"U-know, jangan! Jangan bergaduh lagi!"

Xiah dan Jae turut sama bergelut meleraikan pergaduhan yang hampir tercetus.

"Apa benda ni?" U-know menayang plastik putih penuh dengan pil berwarna putih. Jae dan Xiah turut tergamam.

"Pil tidur. Aku rasa serabut bila berhadapan dengan korang. Lebih baik aku tidur. Tenang sikit hidup aku," jawab Max, sinis.

"Urgh, sakitnya hati aku! Kau ini kenapa hah, Max? Kau tahu tak yang kau dah burukkan nama kumpulan kita? Beritahu aku, dah berapa kali kau terlewat pergi ke set penggambaran? Berapa kali kau tak pergi photoshoot? Berapa kali kau habiskan masa di set penggambaran dengan hanya tidur hingga menyusahkan semua kru? Bila kau nak berfikir dengan waras, hah?!" U-know menggila.

Digoncang tubuh Max sekuat hati sebelum menolak Max ke belakang hingga Max tersandar ke dinding. Jae dan Xiah memegang kedua lengan sasa U-know, menghalang kawan mereka dari bertindak lebih jauh. Micky tiada kerana sedang berada di set penggambaran untuk drama lakonannya. Selain menyanyi, mereka juga memenuhi tawaran menjadi pelakon namun malangnya prestasi Max merosot teruk.

"Aku nak keluar dari band ni tapi korang tak bagi. Bila tawaran lakonan itu datang, korang paksa aku terima. Bila sudah jadi macam ini, aku pula yang dipersalahkan!!" Max membentak. Tegang urat merihnya menahan marah.

"Kau... pergi mampuslah!" jerit U-know sambil menolak Jae dan Xiah hingga pegangan mereka terlepas lantas dia menerpa ke arah Max. Sekuat hari menumbuk kawannya tanpa belas ihsan. Max membalas serangan U-know. Mereka bergelut hingga terjatuh dari katil. Jae dan Xiah yang ingin meleraikan turut menjadi mangsa tempias pukulan dua orang kawan mereka.

"Aku patut bunuh kau dari awal lagi!"

"Kau ingat aku suka ke duduk dalam satu band dengan kau?! Buat semak hidup aku tahu tak?!" tingkah Max sebelum kepalanya terhentak ke dinding. Dia mengerang kesakitan.

"U-know, cukup!" Jae menerpa cemas.

U-know bangkit dengan dada yang turun naik menahan rasa. Max yang terduduk lemah di atas lantai dipandang tajam. Jari telunjuknya dihalakan tepat ke arah wajah Max.

"Mulai hari ini, persahabatan kita putus!"

🎐

WAJAH di dalam pantulan cermin dipandang. Kesan lebam jelas kelihatan. Keningnya juga luka.

"Max." Xiah menepuk perlahan bahu kawannya. Max hanya diam. "U-know tak bermaksud..."

"Sudahlah, Xiah. Kau tak perlu sedapkan hati aku," cantas Max.

"Tapi, dia buat macam tu sebab nak sedarkan kau. Kau tahu tak yang diri kau sekarang sudah dikecam pihak penerbit? Mereka kemukakan saman atas sokongan beberapa syarikat lain yang pernah bekerjasama dengan kau. Mereka tidak berpuas hati dengan komitmen yang kau bagi malah kau batalkan kehadiran solo di konsert Big Show. Sampai bila kau nak begini. Merosakkan setiap anugerah yang kau terima sekaligus merosakkan kehidupan kau. Aku tak faham kenapa kau ambil pil tidur itu, Max sedangkan aku tengok kau ini bukannya jenis susah nak tidur. Kau kena sedar, kerosakan yang kau buat itu tempiasnya pada kami juga," panjang lebar Xiah bersuara dengan harapan Max akan mempertimbangkannya. Melihat Max yang kelihatan susut sedikit dengan wajah yang tidak bermaya, hatinya terusik.

"Jadi, aku merosakkan reputasi korang semualah?"

"Max..."

"Kenapa tak buang je aku ni?"

"Max!" Xiah meninggi suara, mengeluh hampa. Lain yang diharap, lain pula respon Max. Dia benar-benar sudah berubah.

"Aku harap satu hari nanti kau akan sedar kenapa kami buat begini pada kau. Aku harap kau sedar yang kami semua sayangkan kau. Kita sebuah keluarga, Max," ujar Xiah, perlahan sebelum menapak pergi dengan langkah longlai.

Max diam. Dia menghadap laptop di hadapannya. Berita keburukannya tersebar luas. Terlalu banyak komen negatif yang diterima malah telinganya sudah sebal menerima lampias kemarahan manager. Cermin kembali dipandang.

"Dunia kau bukan di sini, Sei.."

🎐

DEANNE MENANGIS di bangsal. Leher Honeydew dirangkul erat, meminta kekuatan dari kuda yang seakan mengerti kesedihannya. Satu kampung mengatanya. Dia anak derhaka, penyebab kematian ayahnya, pencuri dan pembawa malang. Dia bukanlah manusia yang tabah, yang tahan mendengar semua tuduhan yang dilemparkan padanya.

Dari celahan jerami, dia mengeluarkan beg kertas yang sudah renyuk. Ditarik keluar gaun yang sudah koyak dan kotor. Gaun putih itu dipeluk erat.

"Mischa, kehidupan kau bukan di sini.."

🎐

MEREKA BERBALAS senyuman. Angin bertiup nyaman menggerak-gerakkan rambut Mischa. Salji mula mencair berganti taburan bunga-bunga yang berwarna-warni.

"Mischa."

"Sei."

Ketawa mereka bersatu. "Kita takkan terpisah lagi."

"Ya. Kita takkan kembali ke sana semula."

Dengan bahagia, mereka berlari bersama mengejar rama-rama yang entah dari mana. Tanpa kesedihan, tanpa kerisauan.

🎐

GEMPAR! Max dikejarkan ke hospital selepas menelan pil tidur dalam dos yang berlebihan hingga tidak sedarkan diri. Doktor bertungkus lumus menyelamatkannya. Tiub dimasukkan melalui hidungnya untuk menarik keluar puluhan pil tidur dari dalam tubuhnya. Antara mereka berempat, U-know yang paling risau. Dirasakan dialah punca Max cuba untuk membunuh diri.

"U-know, jangan salahkan diri kau," Jae memujuk.

U-know tunduk. Rasa kesal kerana tidak menjaga Max dengan baik sedangkan ibu Max pernah menitipkan amanah padanya agar menjaga Max.

"Aku dah anggap dia macam adik kandung aku, Jae. Aku tak boleh bayangkan kalau dia..."

"U-know..." Jae pantas memotong kata-kata kawannya. Xiah dan Micky saling berpandangan. Mereka juga kesedihan.

Selepas menunggu lebih 5 jam, akhirnya doktor keluar dari wad kecemasan. Mereka berempat menerpa ke arah doktor itu yang jelas kelihatan penat.

"Mujur dia dihantar cepat sebelum otaknya terjejas. Dia dah stabil sekarang," beritahu doktor itu. Mereka berempat menghela nafas lega dengan serentak.

"Tapi, saya tidak pasti bila dia akan sedar semula. Boleh saya tahu, ada sesuatukah yang mengganggu dia? Membuatkan dia mengalami tekanan yang teruk kerana tubuhnya seakan tiada semangat untuk meneruskan hidup."

Soalan doktor membuatkan mereka berempat saling berpandangan. Tiada jawapan.

🎐

"DEA! DEANNE!!" Dairjeu meraung hingga terduduk di atas lantai.

Minho hanya mampu memandang. Dia sendiri terkejut. Semalam, Deanne tiba-tiba sahaja pergi ke kliniknya. Jarang sekali Deanne menghabiskan masa di situ dan dia langsung tidak menyangka tujuan Deanne ke situ adalah untuk mencuri pil tidur dari stor ubat-ubatannya.

Kini, Deanne sedang berada di dalam wad kecemasan di hospital kecil yang terdapat di pekan. Dia menelan hampir separuh botol pil tidur di bangsalnya. Minho meraup wajahnya. Resah. Dia teringatkan satu kes seorang gadis yang mati kerana menelan 8 biji pil tidur. Inikan pula separuh botol!

Tangisan Dairjeu masih tidak reda biarpun dipujuk oleh beberapa orang wanita.

"Anak aku... anak aku... Deanne. Aku tak sangka dia tertekan begini sekali sampai sanggup buat begini. Kenapa dia bunuh diri? Maafkan ibu, Deanne! Deanne!!"

Suasana sebak menyelubungi koridor hospital.

🎐

I'm holding back the tears
I run adding to the weight of my faith
To a place that is neither high nor low
Where a different me stands again
With a small smile I can laugh.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro