4. Eye-blinding Cloud
"LAMA aku tunggu kau," cemberut wajah Sei ketika mereka berpandangan.
Mischa mengukir senyum. Dia rindukan tempat ini. Tempat yang menyejukkan hati gundah miliknya. Terfikir-fikir juga dia, apa yang membuatkan dia merasa sedih begitu. Ah, sukarnya untuk diingat.
"Sei, aku rasa aku tengah sedih," beritahu Mischa dengan wajah yang suram.
Sei berhenti memakan lolipop. Dipandang wajah sayu Mischa. Pertama kali dia melihat gadis periang itu muram sedemikian rupa. Dia mula berfikir cara hendak menghiburkan temannya itu.
"Eh, esok hari lahir Deanne la!" Ujar Mischa teruja sambil meneliti tulisan di dalam buku merah itu.
'Sei, esok 29 Feb. Ulangtahun kelahiran Dea yang ke 22. Jangan lupa bagi hadiah pada Mischa ya sebab hari lahir aku, hari lahir dia juga.'
Sei tergelak membaca tulisan Deanne yang kemas itu. Dia mula terfikirkan sesuatu.
"Jom."
"Ke mana?" Mischa bertanya.
"Kita tak pernah terfikir untuk buka pintu yang membawa kita ke sini, kan?" balas Sei sambil berdiri dan mengibas-ngibas punggungnya yang dicemari tanah. Tangannya dihulurkan pada Mischa yang masih tercengang mencerna kata-katanya namun disambut jua huluran tangan Sei.
"Kat mana ya pintu itu?" Sei menggaru kepala dengan sebelah tangan bercekak di pinggang.
"Kita berlumba cari pintu itu. Siapa kalah, dia kena jadi tukang jawab dalam permainan 26 Cubit!" cadang Mischa, teruja. Hilang terus rasa suramnya.
"Permainan apa tu?" Hendak tergelak Sei mendengar nama permainan yang tidak pernah didengarnya.
"Permainan ini akan dimainkan secara berdua. Seorang tukang soal, seorang tukang jawab. Tukang soal akan sebut huruf A hingga Ź dan tukang jawab kena sebut perkataan bagi setiap huruf yang disebut. Sepanjang bermain, tukang soal akan mencubit lengan tukang jawab. Lambat tukang jawab menjawab, makin lamalah dia kena cubit," jelas Mischa, panjang lebar.
Dia menjungkit kening dan Sei terus bersetuju sambil terangguk-angguk menghadam kata-kata Mischa. Dia terbayang betapa seronoknya dia dapat mencubit lengan Mischa hingga bengkak.
Mereka berpecah dengan pantas mencari pintu tidak kelihatan itu. Entah di mana kerana tempat yang asalnya hanya putih kini sudah dipenuhi tumbuhan. Tangan mereka tergawang-gawang ke depan mencari-cari pintu yang misteri namun pasti ada.
"Ouch!" Mischa terduduk apabila terlanggarkan sesuatu yang tidak kelihatan. Berpinar matanya namun kesakitannya hilang apabila dia sedar dia berjaya mendahului Sei. Dia sudah menemui pintu itu!
"Yeay!" Mischa meloncat riang manakala Sei hanya mampu memuncungkan bibir tanda tidak berpuas hati. Mereka mengambil keputusan untuk menanam pokok bunga di situ sebagai batu penanda.
"Sudah bersedia?" soal Sei sambil menoleh ke sisi, memandang Mischa yang nampak gementar.
Mischa mengangguk perlahan. Entah apa yang ada di sebalik pintu misteri itu. Walaupun mereka tidak bersuara namun masing-masing pasti perasaan mereka sama. Sama-sama merasa bimbang andainya jika mereka melangkah ke luar pintu itu, mereka tidak akan dapat kembali. Dengan tautan tangan yang menggigil, Sei memulas tombol yang tidak kelihatan itu dan mereka melangkah bersama dengan mata yang terpejam.
"Satu, dua... tiga."
Serentak mereka membuka mata.
Mischa tergamam.
Sei tercengang.
Mereka berada di tengah-tengah suasana kampung yang dikelilingi hutan dan bukit bukau. Pemandangan yang cukup indah dan mempesonakan.
"Mundeoli Sant," bisik Mischa.
"Kampung Deanne?" Sei meminta kepastian.
"Mungkin," jawab Mischa. Entah mengapa dia merasa selesa berada di situ. Seakan dia sudah biasa melalui jalan yang mereka sedang tempuh sekarang. Mereka berjalan seiringan sambil mata yang tidak lepas dari memandang sekeliling. Hairan. Tiada seorang pun manusia yang kelihatan.
"Orang kampung ni masih guna lampu minyak?" Sei mengerutkan dahi. Tiang mahupun wayar eletrik tidak kelihatan langsung.
"Mereka guna bekalan air dari sungai yang dialirkan ke dalam kolam besar tepi kampung. Kalau tak silap saya, hujung sana ada laut. Jom!" ajak Mischa.
Mereka berlari anak hingga sampai ke tepi pantai. Sei terlopong. Duduk di tengah-tengah bandar, dia memang jarang ke pantai apalagi pantai sebersih dan seindah ini. Tidak pernah lagi dilihat keindahan sebegini di mana-mana pantai yang pernah dia pergi. Puas mereka bermain mengejar ombak sebelum tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kedatangan seekor kuda yang merapati mereka. Sei melangkah dua tapak ke belakang. Gerun berhadapan dengan kuda yang tinggi itu.
"Honeydew!" laung Mischa sambil merangkul leher Honeydew.
"Kau kenal kuda besar ni?" soal Sei, takut-takut. Mischa terdiam. Dia melepaskan rangkulannya dan memandang Honeydew dengan dahi berkerut.
"Entah. Tapi yang aku pasti nama dia Honeydew," jawab Mischa sambil memanjat naik ke belakang Honeydew dengan mudah. Tubuhnya ditundukkan, merapat ke telinga Honeydew.
"Honey, ini Sei. Kawan baik saya," Mischa memperkenalkan Sei pada Honeydew.
Kuda itu mengekek seakan ketawa. Mischa tergelak melihat Sei yang kelihatan masih gerun. Tangannya dihulurkan pada Sei, mempelawa lelaki itu menunggang bersama. Dengan teragak-agak, Sei menurut sahaja dengan terkial-kial.
Mereka berjalan-jalan di pesisir pantai, menikmati udara yang berhembus. Kemudian mereka melawat ke kebun buah-buahan milik Mischa. Puas mereka menikmati anggur dan tomato yang baru dipetik. Terbit rasa kagum Sei pada Mischa yang bijak mengendalikan kudanya juga kekemasannya dalam meneliti tanaman di kebun.
Puas berpusing di sekitar kampung, mereka berjalan kaki semula ke arah pintu yang masih ada di tempat asalnya. Mischa menarik tangan Sei mendekati Honeydew.
"Ucapkan selamat tinggal pada Honey," arah Mischa.
Mata Sei membulat. Dia? Ucapkan selamat tinggal? Pada seekor kuda? Sei menyilangkan tangan. Memprotes. Mischa tersenyum nakal dan menepuk pipi kudanya. Secara tiba-tiba, Honeydew merapati Sei dan menjilat seluruh wajah lelaki itu.
"Argh! Berhenti! Berhenti! Mischa, tolong!!" Sei menggelepur kegelian bercampur gerun.
"Ucap selamat tinggal dulu."
"Ok, selamat tinggal. Bye, bye! Berhenti!!"
Mischa menepuk leher Honeydew. Kuda itu meringkik dan berundur ke belakang. Sei membuat muka loya sambil mengelap wajahnya menggunakan baju. Jijik!
Mischa ketawa senang.
"Kami pergi dulu, Honey. Jumpa lagi," ujar Mischa sambil memeluk seketika Honeydew. Honeydew hanya memerhatikan dua tubuh manusia itu menghilang.
Mischa dan Sei berpandangan. Mereka menghela nafas lega apabila sampai semula ke The Best.
Sei menghalakan tangan ke hadapan dan melangkah perlahan. Dia masih ingat pintu mereka hanya berhadapan. Dia terus melangkah sebelum tangannya menyentuh pintu yang tidak kelihatan itu. Dia memandang Mischa dan mengangkat kening.
Mischa tersenyum dan mengangguk. Dia mencapai tangan Max dan mula melangkah melepasi pintu yang terbuka.
Dua-dua terdiam.
Terlopong.
Mereka berada di tengah-tengah bandaraya yang membangun dengan bangunan pencakar langit yang cukup mengkagumkan namun yang hairannya, seperti di kampung tadi hanya mereka berdua di situ. Tiada manusia lain.
Sunyi, sepi.
Kenderaan yang ada di atas jalan seakan membeku tanpa pemandu di dalamnya. Kedai-kedai juga sunyi. Mereka berpandangan dan mengangkat bahu. Langkah diteruskan hinggalah mereka berhenti di hadapan tembok konkrit yang besar bertulis 'Selamat Datang ke Seoul City.'
Sei memicit-micit dahi. Seakan pernah dia mendengar nama Seoul City itu.
"Laparlah.." rungut Mischa.
Sei menunjuk ke arah kedai serbaneka. Mereka berbalas senyum. Senang hati Sei melihat Mischa menjerit keterujaan melihat pelbagai jenis makanan di kedai 24 jam itu.
"Sejuklah kedai ni..." Mischa menggawang-gawangkan tangannya, merasa udara yang dingin di dalam kedai berdinding kaca itu.
"Laa, memanglah. Sebab penghawa dingin terpasang. Biasalah tu kedai-kedai sejuk macam ni," tingkah Sei sambil menolak kepala Mischa. Gadis itu mencebik.
"Penghawa dingin tu yang kotak petak di dinding dan keluarkan udara sejuk tu ya?" Mischa meminta kepastian. Sei mengangguk sambil ketawa kecil. Terhibur dengan telatah Mischa yang teruja.
"Takpe ke kita makan semua ni tanpa membayar?" soal Mischa, serba salah. Direnung mee segera yang berkepul-kepul asap keluar dari mulut cawan.
"Err..." Sei memandang ke arah kaunter yang kosong tanpa manusia. Hairan sedangkan jelas papan tanda 'OPEN' di depan pintu.
"Takpe. Makan saja."
Mendengar jawapan lelaki itu, Mischa segera menambah satu lagi mee segera. Dicurah air panas yang sudah tersedia. Enaknya! Tidak cukup dengan itu, plastik ditarik dari kaunter & diisikan dengan aneka makanan segera. Jajan, manisan & aiskrim. Melopong mulut Sei melihatnya.
"Mischa, kenapa tak rompak duit terus?" sindir Sei.
"Ada ke duitnya?"
"Kau serius nak merompak?!" Hampir menjerit Sei dibuatnya apabila melihat wajah serius Mischa.
"Ish, yang kau serius sangat kenapa? Aku cuma terbayang, takkanlah pemilik kedai ni tinggalkan kedai dia macam ini saja," ujar Mischa sambil mengunyah gula-gula getah.
Sei bergerak ke arah kaunter. Dia menekan beberapa kali butang di situ sebelum mesin duit itu terbuka dan menyerlah susunan duit yang memenuhi setiap kotak yang ada. Terbuntang mata mereka berdua. Idea nakal terbit di minda mereka. Selesai melaksanakan misi, mereka melangkah keluar sambil bergelak ketawa.
"Sei!!" Mischa menjerit riang secara tiba-tiba sambil menarik tangan Sei mengikutnya.
Selamba sahaja mereka merempuh masuk ke dalam sebuah butik mewah 3 tingkat. Malleroy Boutique. Mischa mendekati susunan patung yang memakai gaun putih yang tidak terlalu kembang. Ringkas namun nampak elegan & mewah dengan taburan kristal.
"Kau suka baju ni?" soal Sei sambil merenung wajah Mischa yang redup tidak berkelip menatap baju yang tersarung pada patung tidak bernyawa itu.
Mischa mengangguk perlahan. Entah kenapa, dia hanya teruja pada baju yang berwarna putih sedangkan banyak lagi gaun lain yang lebih cantik dan berwarna-warni.
"Ambillah."
Mischa memandang Sei dengan perasaan tidak percaya.
"Kau tak payah nak buat muka terkejut sangatlah. Waktu kat kedai serbaneka, sesuka hati kau kaut makanan tanpa pandang kiri kanan, inikan pula sehelai baju. Ambillah. Anggap aku hadiahkan sempena harijadi kau. Nanti jangan lupa sampaikan salam pada Deanne," ucap Sei. Mereka berbalas senyum lagi.
"Eh, takkan kita nak biar patung ni tak berbaju?" tingkah Sei ketika mereka selesai menanggalkan gaun itu.
Mischa memandang Sei dengan pandangan yang nakal. Mereka tersengih dan menjungkit kening.
Mereka berulang-alik di antara kedai serbaneka dan butik itu untuk melaksanakan misi nakal mereka.
Patung itu dilukis mata, hidung dan mulut padanya. Pipi dan kelopak matanya turut diwarnakan. Sehelai jaket disarung dipadankan dengan skirt kembang. Topi diletakkan di atas kepala botak patung itu, tangannya disangkut beg plastik berisi makanan segera. Sebelah lagi tangannya diletakkan cawan mee segera yang masih panas. Sekali pandang memang macam manusia betul.
Selesai patung wanita itu di'upgrade'kan, mereka beralih kepada patung lelaki pula. Dilakukan perkara yang sama ke atas patung itu. Di tapak tangan patung itu Sei menulis namanya. Begitu juga Mischa yang menulis namanya di tapak tangan patung perempuan. Akhir sekali, kedua patung itu diletakkan di hadapan kaca display seolah-olah gambaran dua orang rakan sedang berbual sambil menikmati mee segera. Mereka ketawa riang bersama.
Sisa masa yang ada dihabiskan dengan berjalan mengelilingi bandar itu. Sei yang kelihatan arif dengan laluan di situ sibuk bercerita di mana letaknya perpustakaan, hospital, pejabat, pasaraya besar. Walaupun dia sendiri tidak memahami bagaimana dia tahu selok belok bandar itu namun dia pasti bahawa dia benar-benar arif dengan laluan di situ.
"Sei, kau jangan nak buat-buat lupa..." Mischa tersenyum nakal. Sei menjungkit kening. Lupa? Dia memandang jari Mischa yang bergerak-gerak seperti penyepit ketam.
Oh, baru teringat! 26 Cubitan.
Cis! Dia duduk di tepi laluan pejalan kaki dengan hati yang sebal.
"Sedia?" soal Mischa yang sudah duduk berhadapan dengannya. Lengan lelaki itu dipegang. Sei membuat muka biasa. Tenang.
"Kita mula ya?"
Sei mengangguk sebelum menjerit kecil apabila cubitan pertama hinggap di lengannya.
"A!"
"Janganlah cubit kuat sangat!" jerit Sei sambil menggeliat menahan cubitan bertalu-talu dari Mischa.
"Lambat jawab, lagi lama kena cubit!"
"Ok, ok! Aa.. Arnab!"
"Β!"
"Beg dompet!"
"C!"
"Cc.. Cuping telinga!"
Mischa ketawa mendengar jawapan spontan itu sambil tangannya tidak berhenti mencubit-cubit lengan Sei.
"Cepatlah soal! Janganlah gelak!" marah Sei.
"D!"
"Duit!"
"Dasar mata duitan," ejek Mischa.
"Cepatlah! Argh!!"
"Ok, maaf. E!"
"Ee.. Elaun!"
Sekali lagi Mischa ketawa.
"Mischa!" Sei menjerit lagi.
"Opss, maaf... maaf. Eh, huruf apa ya tadi?" Mischa buat-buat lupa.
"Mischa!"
Riuh dibuatnya dengan ketawa mereka. Sei menggosok-gosok lengannya yang merah. Pedih namun melihat Mischa ketawa riang, dia rasa terhibur.
Selepas penat berjalan, mereka melangkah pulang dengan hati yang puas. Kegembiraan mereka bertambah ketika melangkah masuk kembali ke dunia mereka. Suasana menghijau menjadi putih dilitupi salji. Sejuk mencengkam. Mereka memejamkan mata, menikmati angin sejuk yang bertiup lembut.
Sei membuka matanya.
"Max! Akhirnya kau bangun juga!" suara Xiah menampar gegendang telinganya. Berbalam-balam pandangannya. Bukan lagi seputih salji seperti tadi sebaliknya dia berada di... Hospital Seoul!
Dengan bantuan Jae, dia bangkit duduk berhadapan kawan-kawannya. Tidak faham apa yang sedang berlaku. Tubuhnya terbaring di atas katil dengan selimut yang tebal malah tangan & kakinya disarung dengan sarung tangan & stokin. Bilik itu terasa berbahang. Dia memandang Ryu-Ho yang sedang mengipas dirinya dengan surat khabar. Jae, Mikey & Xiah juga hanya memakai singlet dan T-shirt nipis. Bagaikan berada di dalam sauna, mereka berpeluh.
"Apa yang terjadi?" soal Max, kehairanan. Keempat kawannya berpandangan. Entah hendak diterangkan bagaimana.
"Kenapa bilik ni panas?" soalnya lagi apabila soalan pertamanya tidak berjawab.
"Kau rasa panas?" tanya Jae. Soalan berbalas soalan. Max mengangguk sambil membuka stokin, sarung tangan & baju sejuk tebal yang tersarung di tubuhnya dengan bantuan Xiah.
"Jadi, kau dah sihatlah ni?" soal Mikey pula. U-know hanya diam. Memerhati dari atas sofa.
"Aku sakit ke?"
Serentak mereka semua menghela nafas lega. Doktor dipanggil.
Selepas diperiksa beberapa kali akhirnya Max dibenarkan pulang. Hairan Max dibuatnya. Begitu juga dengan kawan-kawannya.
"Doktor yakin dia boleh keluar hari ini juga?" Jae meminta kepastian. Doktor itu mengangguk sambil tersenyum.
"Saya juga hairan tapi dia memang takde apa-apa. Semuanya normal. Mungkin tadi itu adalah sesuatu yang pelik untuk difahami akal kita."
Mendengar jawapan doktor itu, Max bertambah hairan.
"Kalau macam tu, kita keluar tengah malam nanti. Rasanya ramai lagi wartawan kat luar tu," cadang Xiah, dipersetujui Jae dan Micky. Masing-masing menyarung semula baju selepas suhu bilik kembali normal. Melihat Max yang masih keliru, akhirnya Xiah bersuara.
"Waktu kita tengah press conference tadi, kau jatuh pengsan. Kau tak ingat?"
Max menggeleng. Tidak ingat langsung perkara yang berlaku sebelum itu. Xiah mengeluh perlahan. Dia memandang Jae, meminta lelaki itu menyambung cerita.
"Kami bawa kau ke hospital tapi bila doktor cek, suhu badan, perjalanan darah, denyutan jantung & semuanya adalah normal. Tak sakit apa-apa. Memang takde masalah tapi doktor kata keadaan kau... sedikit pelik."
"Pelik?" Max mengerutkan dahi. Jae mengangguk sebelum menyambung.
"Kau macam tengah berlari. Keadaan tubuh kau menggambarkan yang kau sedang aktif berjalan & beraktiviti sedangkan kau hanya terbaring. Kemudian, tiba-tiba sahaja kau meracau-racau lepas tu mengerang sakit. Memang menggelabah doktor dibuatnya. Kau mengerang beberapa kali sambil mencengkam lengan kanan kau. Lepas kau tenang, doktor selak lengan baju kau dan... lengan kau merah bertompok-tompok."
Max menyelak lengan bajunya. Ya, kesan tompok merah dan sedikit lebam penuh di lengannya. Serta-merta Max tersenyum. Keyakinannya bertambah.
U-know yang sedari tadi diam mula berdiri.
"Kau boleh senyum lagi? Kau tahu tak betapa risaunya kami tengok kau macam ini? Cuba buka mata tu seluasnya. Jangan berperangai macam budak-budak!" tempelak U-know sebelum menumbuk dinding dan berlalu keluar dengan wajah yang tegang. Xiah, Jae dan Micky mengeluh serentak.
"Aku pun tak tahu nak cakap apa, Max. Tapi aku harap kau tak ambil hati dengan U-know. Dialah orang yang paling risau waktu kau jatuh pengsan tadi," pujuk Xiah.
Max hanya diam. Dia sendiri tidak pasti dengan apa yang sedang dirasakannya sekarang. Seolah-olah jiwanya sudah ditinggalkan di 'sana'.
Di koridor hospital, U-know berdiri menghadap tingkap. Jae mendekat dan menepuk bahu U-know. Kawannya itu tersentak sedikit sebelum mengukir senyuman yang cukup hambar. Mereka berdua memandang ke bawah, melihat perkarangan hospital yang masih dipenuhi para wartawan yang mengekori mereka sejak dari press conference tadi walaupun malam sudah menjelma.
"Sabarlah, U-know. Max itukan yang paling muda di antara kita semua. Satu masa nanti dia akan sedar dan matang," ucap Jae.
U-know memasukkan tangan ke dalam poket seluar. Ada keluhan kecil terhembus.
"Aku bukan marahkan dia cuma... aku risaukan dia. Dia tu dah macam adik aku sendiri. Aku betul-betul risau waktu dia jatuh pengsan secara tiba-tiba tadi. Aku jadi sakit hati tengok dia boleh tersenyum macam orang tak betul! Aku.." U-know meraup wajahnya. Jae menepuk bahu kawannya beberapa kali. Memberi sokongan.
Di dalam bilik wad persendirian, Max masih tertanya-tanya tentang keadaan bilik itu sewaktu dia sedar tadi.
"Kau tahu, lepas kau mengerang sakit tu, kau diam balik. Doktor kata mungkin kau tak cukup rehat jadi dia benarkan kami bawa kau pulang ke rumah tapi tiba-tiba sahaja badan kau menggigil seolah-olah kau sejuk sangat. Suhu badan meningkat, kau mengerekot macam ulat gonggok, tahu tak! Kami yang tercengang-cengang tengok kau macam tu. Itu yang kami terpaksa pakaikan kau baju sejuk, sarung tangan, stokin semuanya tapi kau tetap sejuk. Akhirnya doktor sarankan pemasangan pemanas udara. Kami yang berpeluh tau tunggu kau sedar," laju Xiah bercerita hingga tergawang-gawang ke udara. Micky duduk di birai katil dan memegang lengan Max.
"Kau kenapa sebenarnya? Kau ada sakit apa-apa ke?" soal Micky, prihatin.
Max masih diam. Membayangi mimpi tadi. Akhirnya Micky keluar dengan kehampaan melihat respon Max yang dingin. Xiah yang turut ingin bangkit berhenti melangkah apabila Max memegang hujung bajunya.
"Aku main cubit-cubit dengan Mischa. Itu yang tangan aku merah," beritahu Max.
Xiah mengeluh.
"Masih dengan mimpi kau tu?"
"Kau tak percaya aku?" Mimik wajah Max berubah sugul.
"Susah aku nak cakap," balas Xiah sambil duduk kembali di birai katil.
"Dalam mimpi aku, kami berjalan di sekitar Seoul City. Kami pergi kedai 7-Eleven, makan sepuas hati. Yang peliknya kedai itu takde orang jaga sedangkan cashier penuh dengan duit. Tapi kami tak mencuri pun sebab kami tak perlukannya cuma kami berdua keluarkan semua duit tu dan buat origami swan. Kami susun sepanjang kaunter," cerita Max dengan bersungguh diselangi ketawa, tenggelam dalam memori sendiri.
"Lepas tu, kau tahu Malleroy Boutique? Kami masuk dalam tu dan aku ambil sehelai gaun putih bagi pada Mischa sebab hari ini harijadi dia. 29 Februari. Cantik gaun tu. Tak kembang sangat tapi nampak cantik dengan kristal putih. Sebab bosan, kami hiaskan 2 patung dan letak di bahagian kaca display. Kami letak mee segera, pakaikan mekap.."
"Max!" Xiah membentak tiba-tiba. Max berhenti bercerita seiring dengan senyuman yang turut mati. Wajah keruh Xiah dipandang.
"Cukup, Max. Cuba kau berhadapan dengan dunia realiti. Berhenti dengan cerita fantasi kau tu!"
Max menunduk. Selama ini, dia lebih rapat dengan Xiah. Dia senang meluahkan serta berkongsi dengan Xiah dan kini Xiah sendiri tidak mempercayainya.
Apa boleh dia buat..
Max mengangkat wajah memandang Xiah yang jelas kelihatan kesal. Dia tersenyum payah.
"Okey, lepas ni aku takkan kacau kau lagi dengan cerita-cerita mengarut tu," ujar Max membuatkan Xiah serba salah namun dia tetap tidak boleh menerimanya.
Tepat jam 12 tengah malam, mereka bergerak melalui pintu belakang menaiki van pulang ke rumah mereka. Masing-masing diam tidak berkata apa-apa.
🎐
A faded white painting and my slightly vanished scent are hidden inside an eye-blinding cloud.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro