2. Not Just A Dream
SENANG hati. Sambil bersiul riang, Deanne berlari ke arah Honeydew dan menunggangnya. Honeydew menggoyang-goyangkan ekornya mengikut rentak lagu tradisional yang dinyanyikan tuannya.
Duit di tangan dicium-cium. Duit hasil titik peluhnya bercucuk tanam. Seminggu sekali sahaja peraih akan mengambil hasilnya mengikut kategori dan jenis tanaman. Deanne bercadang untuk membeli sehelai gaun ringkas berwarna putih. Hadiah untuk hari jadinya sendiri. Dia mahu memakainya ketika menziarahi kubur ayah di kaki bukit.
"Deanne!"
Duit di tangannya segera dibawa ke belakang dan diselit di sebalik skirt kembang labuhnya. Dia menelan air liur melihat ibunya, Dairjeu, bercekak pinggang dengan mata yang dijegilkan.
"Sini kamu! Sini!"
Deanne diam. Berdoa agar ibunya itu tidak melihat duit tadi. Dia hanya ambil sedikit sahaja dari keseluruhan duit itu. Selebihnya sudah diberi pada Dairjeu.
Dairjeu masih menjerit-jerit minta dia turun dari Honeydew. Ibunya itu tidak suka dan takutkan Dairjeu yang dibela oleh ayah sejak kuda itu kecil lagi. Akhirnya, Deanne mengalah dan meloncat turun menghampiri ibunya.
"Ketepikan badak tu!" tempik Dairjeu apabila Honeydew mengikut langkah Deanne merapati ibunya.
Dalam hati, Deanne merungut hebat. Takut sangat dengan Honeydew sedangkan Honeydew itulah kuda yang paling manja di dunia tau! Kuda dengan badak pun tak boleh beza ke?
"Ada apa, ibu?"
Tanpa menjawab soalan anaknya, Dairjeu pantas mencengkam bahu anaknya dan dipusingkan ke belakang. Sekelip mata, duit tadi sudah ada di tangannya. Wajah Deanne berubah pucat dan hatinya dibanjiri rasa hampa.
"Kamu dah pandai mencuri ye sekarang! Kamu tak percayakan ibu? Tak cukup lagi dengan upah yang ibu bagi? Kamu nak buat apa dengan duit yang banyak ni sedangkan ibu yang tanggung makan minum kamu! Ibu nak kena bayar duit baja, benih, nak beli alatan berkebun yang dah rosak. Kamu boleh mencuri?! Sampai hati kamu! Malam ni, jangan berani hendak makan!"
Deanne hanya mampu diam, melihat tubuh Dairjeu yang semakin menjauh. Air matanya bergenang.
Dulu, ibu tidak begitu. Ibu lemah lembut dan penyayang. Selepas ayah tiada, ibu semakin berubah namun jauh di sudut hati, Deanne masih merasakan kasih sayang wanita itu.
Bagaikan memahami, Honeydew menghampiri dan menggeselkan pipinya pada wajah Deanne hinggakan Deanne ketawa kegelian.
"Kamu busuklah, my honey!" Deanne menggosok-gosok pipi Honeydew dengan geram. Kuda itu meringkik seakan ketawa.
"Malam ni Deanne teman Honey kat bangsal ye. Jom kita ke pantai!"
Honeydew berlari kencang, melawan deruan angin yang berhembus. Deanne ketawa riang, mengubat duka dan laranya.
🎐
XIAH merenung Max yang sedang berangan seorang diri dan tersenyum-senyum. Hampir sebulan Max berkelakuan begitu. Tumpuan pada kerjayanya semakin tumpul malah Max lebih suka melelapkan mata jika ada masa terluang.
Apa yang sudah berlaku sebenarnya?
Dalam berfikir, tidak terlintas langsung di fikiran Xiah tentang mimpi yang diceritakan Max namun dia masih mengingati bagaimana peliknya perangai Max ketika hari dia menghilangkan aksesori itu.
Ketika mereka dalam perjalanan ke studio penggambaran hari itu, Max tertidur di dalam kereta mereka dan ketika dia bangun, di tangannya dia sedang menggenggam aksesori yang dikatakan ditinggalkan di dalam mimpinya. Jae sudah tidak bercakap dengan Max lagi. Masih bengang. Bebelannya tidak mampu membawa Max ke alam nyata.
Xiah menghampiri dan menepuk perlahan bahu Max. Mereka berbalas senyuman.
"Aku tengok, kau kuat termenung sekarang."
"Saja." Pendek sahaja jawapan Max sambil menyambung kembali angannya.
"Aku tak kisah kau nak termenung macamana pun tapi yang penting, kau jangan lupa tentang konsert terakhir penutup road tour. Lagi 3 hari saja."
"Ya, aku tahu."
Xiah hanya mengeluh kecil mendengar jawapan yang cukup ringkas itu. Semakin kurang berbual, kurang beraktiviti. Benar-benar membimbangkan namun bak kata U-know, selagi tidak sampai merosakkan persembahan dan reputasi mereka, itu sudah memadai. Mereka sudah malas mahu masuk campur.
🎐
MISCHA dan Sei ketawa bersama sambil menikmati salad buahan segar dan nasi kepal yang dibawa gadis itu. Hanya mereka berdua di situ dan mereka sepakat menamakan dunia mereka itu sebagai The Best kerana setiap kali mereka membisikkan sesuatu, perkara itu akan muncul seperti dilukis seseorang. Mereka sudah terbiasa apabila setiap kali salah seorang mereka hilang tiba-tiba dan muncul juga secara tiba-tiba.
"Buku apa tu?" Sei menunjuk ke arah buku yang terselit di bawah bekas makanan yang dibawa Mischa.
Gadis itu mencapai buku itu dengan wajah berkerut. Dia sendiri tidak dapat mengingati tentang buku itu. Diselak beberapa lembaran di dalamnya. Sei turut membaca beberapa ayat yang tidak difahami.
"Nuvia mi a sara?" Sei mengerutkan dahi.
"Oh, saya tau bahasa ni. Maksudnya, 'kisah kita adalah rahsia'."
"Yeke?"
"Tak percaya?"
"Macam rekaan semata-mata." Sei ragu-ragu. Mischa hanya ketawa.
"Ok, kalau tak percaya, kau pegang buku ni. Aku bacakan satu ayat dan kau tengok kalau-kalau maksud yang aku bagi betul ke tak," ujar Mischa sambil menghulurkan buku itu kepada Sei. Buku merah itu bertukar tangan. Mischa berdehem sedikit.
"Nuvia mi a sara. Hamnieu ni orei yui merubusta nirado feoli nore raciayo. Nirado camsi ni hamnieu."
"Maksudnya?" Sei agak kagum mendengar kelunakan Mischa dalam slanga bahasa yang asing itu.
"Kisah kita adalah rahsia. Awak adalah orang yang membuatkan saya merasakan yang saya tidak keseorangan. Saya suka berkawan dengan awak."
Sei mengangkat keningnya. Mischa tersenyum senget sebelum mereka ketawa berdua.
"Hebatlah! Mana kau belajar bahasa ni?" soal Sei sambil menyelak-nyelak lembaran buku itu yang penuh dengan tulisan tangan dalam bahasa yang tidak difahami.
"Aku pun tak tahu. Tapi, yang aku tahu, aku memang faham bahasa ni."
"Deanne!!"
Deanne terduduk sepantas kilat.
"Ya!!" dia menjawab panggilan ibunya sambil menggeliat kecil. Dia memandang sekeliling sebelum menepuk dahinya. Macamanalah dia boleh tertidur di bangsal itu? Segera dia berlari keluar dengan kasutnya getah dan cangkul di tangan sementara sebelah lagi tangannya memegang mangkuk tingkat. Dihampiri ibunya yang sedang menabur baja.
"Kenapa lama sangat?" jerkah Dairjeu.
Deanne hanya diam. Itu lebih baik dari memberi jawapan yang sudah pasti tidak akan memuaskan hati ibunya. Dia menyarung sarung tangan dan memakai topi jerami bagi menghalang cahaya matahari yang membakar.
Dia mengambil alih tempat Dairjeu yang sudah beralih ke bawah pokok yang rendang. Berehat seketika sambil mengisi perut yang lapar. Deanna baru sahaja mahu mencapai karung berisi baja namun jeritan Dairjeu mematahkan niatnya.
"Mana nasi kepal dengan salad buahnya? Deanne makan bekalan ibu?!" Dairjeu menyinga sedang Deanne sudah terduduk di atas tanah.
Tergamam.
🎐
MALAM itu, Deanne mundar mandir di dalam biliknya. Dia masih terfikirkan tentang kejadian tengahari tadi.
Macamana nasi kepal dan salad buah yang diisi ke dalam mangkuk tingkat itu boleh habis licin dengan kesan sisa orang memakannya sedangkan dia memang tidak menyentuh langsung bekalan yang disiapkan oleh ibunya itu melainkan... di dalam mimpinya! Memang dia ada bermimpi dia makan makanan yang sama dari mangkuk tingkat yang sama.
Takkanlah!
Deanne memegang kepalanya yang terasa kusut. Adakah mimpinya benar? Kalau mimpi itu benar, adakah Sei benar-benar wujud? Tapi, kenapa setiap kali dia bermimpi, dirinya di dalam mimpi itu tidak dapat mengingati dirinya yang sebenar di alam nyata.
Dengan pantas, dia mendapatkan buku merah miliknya. Dibuka lembaran baru dan dicoretkan dakwat pen ke atasnya.
'Nama aku Deanne. Aku selesa dipanggil sebagai Dea. Ayah aku sudah lama tiada meninggalkan aku hidup bersama ibu yang aku rasakan kasih sayangnya semakin menipis terhadap aku. Aku tinggal di sebuah pendalaman yang jauh dari arus kemodenan.
Aku bercita-cita, suatu hari nanti aku akan membawa kemajuan untuk penduduk kampung di sini. Sebab itu aku berusaha mengajar kanak-kanak di sini mempelajari bahasa bandar supaya bila tiba suatu masa nanti, mereka akan berhijrah ke sana dan membawa pembaharuan di sini agar semua orang dapat merasakan kesenangan.
Aku belajar bahasa bandar dari Pakcik Munjiel. Seorang lelaki yang datang berkahwin dengan gadis di kampung aku suatu masa dahulu dan kini Pakcik Munjiel sudah tiada kerana sudah berpindah semula ke Bandar Seoul selepas kematian isterinya. Disebabkan kefasihan aku berbicara bahasa bandar, aku selalu menguruskan urusan jual beli ternakan dan tanaman di kampung aku dengan peraih dari bandar.
Aku berharap agar aku dapat menjejakkan kaki ke Seoul tapi aku takkan terlalu berharap kerana ianya mustahil.
Oh ya, nama kampung aku, Mundeoli Sant yang berdekatan dengan pesisiran pantai. Rugi kalau orang bandar menolak untuk datang ke sini kerana suasananya sangat indah.
Mischa, sampaikan salam aku pada Sei. Katakan pada dia, dia sungguh comel. Hihi.. dan Mischa, kau dan aku adalah orang yang sama.'
🎐
"MISCHA, sampaikan salam aku pada Sei. Katakan pada dia, dia sungguh comel. Hihi.. dan Mischa, kau dan aku adalah orang yang sama."
Mischa dan Sei saling berpandangan selepas membca ayat terakhir di dalam buku itu. Hairan!
"Macamana pemilik buku ni boleh tahu tentang kita?" Mischa mengerutkan dahinya.
"Paling pelik sekali, macamana dia tahu aku ni comel?" Sei turut mengerutkan dahi hingga keningnya hampir bercantum. Mischa menampar kuat belakang lelaki itu dengan buku di tangan sambil ketawa.
"Perasan!"
"Mungkin Deanne ni memang diri kau yang sebenarnya," ujar Sei, memberi pendapat selepas ketawa mereka reda. Mischa hanya diam membisu. Dia langsung tidak dapat mengingati apa-apa.
Mundeoli Sant?
"Aku macam pernah dengar nama Seoul. Hmm.." Sei memejamkan matanya, cuba mengingati sesuatu tapi gagal. Mereka berpandangan sekali lagi sebelum mereka mengeluh serentak.
🎐
"AKU dah tak tahan dengan perangai kau yang berterusan macam ni! Cubalah kau matangkan sikit akal kau! Kita sedang membina karier kita. Kalau kau hanya nak bermain-main dalam soal ini, kau boleh keluar dari kumpulan kita!" tempelak U-know.
Ketika itu mereka sedang menjalani latihan untuk persembahan kemuncak bagi album terbaru mereka, Raise from The East. Jae memegang bahu lelaki itu, cuba menahan dari berlaku sebarang pergelutan. Terkejut juga dia dengan kemarahan U-know yang meledak secara tiba-tiba itu. Sebelum ini, hanya dia seorang yang selalu memarahi dan membebel kepada Max yang semakin berubah laku.
Max hanya mendiamkan diri, menekurkan pandangannya ke dalam cermin besar di bilik tarian itu. Beberapa orang petugas syarikat rakaman mereka hanya memerhati sahaja tanpa berniat untuk masuk campur. Masing-masing cuak melihat api kemarahan ketua kumpulan itu.
"Max, kita bincang di dalam. Jom," ajak Xiah sambil menarik Max yang tidak bergerak sedari tadi.
"Tak payah nak bincang kat dalam! Berhadapan dengan aku! Apa yang mengganggu kau sampai kau tak boleh tumpukan perhatian dalam latihan dan persembahan?" bentak U-know.
"U-know, perkara ni takkan selesai kalau kita terus berkasar macam ni. Kita bincang elok-elok. Mungkin Max sakit atau ada masalah yang memang tak boleh dielakkan," Micky mencelah, cuba meredakan suasana. Suasana menjadi hening seketika. Max menarik nafas sedalamnya sebelum bersuara tenang.
"Aku nak keluar dari band kita."
Semuanya tergamam, tidak berkata apa-apa. Ini sudah kes parah! Lupakah Max kalau dia melanggar kontrak syarikat selama 5 tahun, dia akan dikenakan bayaran denda yang amat tinggi malah dia juga akan diheret ke mahkamah!
"Woo... woo... relakslah. Apa ni Max? Kita baru saja terbitkan album kedua. Kenapa tiba-tiba? Kau ada masalah?" ujar Jae.
"Aku... aku pun tak tahu nak terangkan macamana..." Max nampak keliru.
"Pergi mampus dengan kebodohan kau!" U-know bertempik dan membaling remote control di tangannya hingga pecah berderai di lantai tari. Dia menerpa ke arah Max dan menumbuk lelaki itu sekuat hati. Semangat kawannya bagai sudah hilang entah ke mana sedangkan mereka sudah lama berkawan. Sejak sebelum mereka menubuhkan band itu lagi.
Xiah segera menarik Max yang terjelupuk di atas lantai menjauhi yang lain sementara Jae menarik U-know yang masih mengamuk keluar dari situ. Sampai di dalam bilik rakaman, Xiah menutup pintu. Bilik kedap bunyi itu menjadi pilihan agar perbualan mereka tidak didengari orang lain. Takut menjadi gosip hangat pula.
"Kongsilah dengan aku tentang masalah kau," ujar Xiah, seakan merayu. Dia juga risau dengan prestasi Max yang semakin merudum sejak kebelakangan ini. Lelaki itu lebih gemar bersendirian dan kerap melelapkan mata. Sudah beberapa kali Max terlupa bahagian nyanyiannya ketika di pentas hinggakan mereka terpaksa cover semula. Dia bagaikan berada di dunia lain.
"Nuvia mi a sara. Nirado camsi ni hamnieu."
"Hah?" Xiah tidak faham.
"Kau pernah dengar bahasa ni?"
"Entah! Pelik aje bunyinya." Xiah menggaru kepala.
"Maksudnya, 'Kisah kita adalah rahsia. Saya suka berkawan dengan awak.' Kau tahu tentang sebuah kampung di pendalaman, namanya Mundeoli Sant. Dekat dengan laut," Max kelihatan teruja, ingin tahu seolah-olah dia sudah lupakan ledakan kemarahan U-know tadi. Xiah menggeleng kepala dengan teragak-agak. Hairan.
"Apa sebenarnya ni? Cuba kau cerita kat aku. Aku tak faham!"
Max tersenyum melihat wajah kawannya yang kusut itu. Lantas, dia pun membuka ceritanya. Dengan Xiah, dia merasa bebas untuk berkongsi.
"Setiap kali aku tidur, aku akan jumpa dia. Nama dia Mischa. Berambut hitam pekat, panjang lurus mencecah pinggang. Ada tahi lalat di bawah bibir dia yang nipis. Dia suka pakai baju warna putih dan krim. Sesuai dengan kulit dia yang putih susu. Bila dia tersenyum, nampak manis. Pandangan mata dia redup. Anak mata dia berwarna hitam. Loceng kecil di gelang tangan kiri dia selalu terdengar berdenting kat telinga aku. Aku selesa bila berada di sisi dia. Kalau boleh, aku nak hidup bersama dia," Max bercerita sambil tersenyum tanpa memandang ke arah Xiah yang sudah ternganga.
"Kau ni dah terlalu obses dengan mimpi! Kau hidup di bumi yang nyata. Kehidupan yang realiti lebih penting dari mimpi. Itu hanya mainan tidur!" nasihat Xiah, tegas. Tidak faham dengan perangai pelik Max yang semakin menjadi-jadi.
"Semua ni bukan mimpi, Xiah! Terpulang samada kau nak percaya atau tidak. Dia yang ajar aku bahasa tu. Bahasa asli Mundeoli Sant. Bila aku berada di sana, aku merasa lebih tenang. Kalau boleh, aku tak nak bangun bangun dari tidur aku," Max bersuara serius sambil membalas pandangan Xiah yang tampak kesal.
"Aku pun tak tahu nak cakap apa, Max. Kalau pun hati kau dah tertinggal 'dalam' dunia kau tu, sekurang-kurangnya, kau kena fikirkan diri kau di sini. Kita saling memerlukan, Max," Xiah bersuara lirih. Dia mengharapkan agar Max sedar bahawa mimpinya itu tidak akan membawa dia ke mana pun.
Menyedari Xiah tidak mempercayainya, Max bangkit dan berlalu ke pintu namun langkahnya terhenti apabila lengannya diraih Xiah. Tanpa memandang, dia mendengar sahaja apa yang dikatakan oleh kawannya itu.
"Lupakan tentang pengunduran diri tu. Sekarang, buktikan yang kau masih waras. Fikirkan U-know, Jae dan Micky. Kita perlu bersama bergandingan dalam hal ni. Kami takkan masuk campur dalam hal kau dan takkan pertikaikan lagi dengan syarat kau kena bagi komitmen 100% hinggalah tempoh kontrak kita berakhir. Anggaplah aku merayu."
Max hanya diam membisu.
Ada waktu,
kita memilih untuk membiarkan diri terus dipersalahkan.
Ia lebih baik dari terluka kerana
tiada siapa yang mempercayai kata-kata kita.
Flizwn 🍃
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro