1. First We Met
LORONG gelap di hadapannya bagai tidak berpenghujung. Sudahlah bagai tidak berdinding. Puas dia meraba-raba ke kiri kanan mencari arah. Kelam.
BUKK!
Dia memegang dahi. Terasa perit apabila terlanggar sesuatu yang keras di hadapannya. Dia menjalarkan tangan, merasa benda yang seakan-akan dinding atau... tembok?
Berbentuk petak memanjang ke atas dan hanya lebar sedepa. Dan... bertombol.
Pintu!
Ya, ini pintu. Pintu yang sekeping sahaja kerana dia boleh menyentuh bahagian belakang pintu itu. Pintu entah dari mana dan entah ke mana. Tombol itu segera dipulas dan dia melangkah masuk.
Matanya dilindungi telapak tangan apabila anak matanya terasa perit dipanah cahaya putih yang begitu terang. Suasana sekeliling dipandang dengan mata yang berkedip silau.
Ah sudah...
Tadi dia berada dalam dunia gelap. Sekarang, dunia putih bercahaya pula, kosong dan turut tidak berdinding tanpa sempadan.
'Aku kat mana ni?'
Tiba-tiba, muncul seorang lelaki jatuh tergolek di hadapannya, entah dari mana. Di belakangnya kelihatan sebuah pintu tanpa garisan yang kembali tertutup perlahan. Kelam kabut lelaki itu berdiri sambil mengaduh. Saat pandangan mereka bertentang, keduanya terkedu.
"Kau siapa?" Serentak mereka bertanya. Terkebil-kebil.
"Kat mana ni?"
Sekali lagi mereka bersuara bersama. Keduanya menarik nafas seketika, mengambil ruang untuk bertenang.
"Kau cakap dulu."
Lelaki itu meletakkan jari di bibirnya sambil menunjuk ke arah perempuan di hadapannya menandakan dia memberi ruang kepada perempuan itu berkata-kata terlebih dahulu.
"Sebenarnya baru sesaat tadi aku sampai ke sini. Erm.. aku tak ingat apa-apa pun. Macamana aku boleh sampai sini dan aku dari mana. Entah," perempuan itu mengangkat bahu.
"Samalah kita," lelaki itu pula yang bersuara.
Mereka terdiam sejenak, termenung. Cuba mengingati apa yang berlaku. Apa yang membawa mereka ke situ namun buntu. Otak mereka bagaikan kosong tanpa setitik memori pun.
"Nama aku... err..." si lelaki memegang kepalanya. "Kenapa aku lupa nama aku sendiri?"
Perempuan itu mengecilkan anak mata.
"Reka sahaja."
"Erm... panggil aku Sei."
"Aku pulak..."
Hairan. Dia pun tidak tahu apa namanya.
"Mischa," perempuan itu tersenyum senang. Sedap juga nama itu.
Mereka duduk berlunjur, sebelah menyebelah. Keduanya mengeluh serentak sebelum berpandangan dan ketawa bersama.
"Entah kat manalah kita ni," Sei menggoyangkan kakinya, saling bertemu di antara keduanya.
"Aku pun pelik dan yang paling pelik, otak aku kosong. Aku tak tahu siapa aku, aku dari mana, apa yang bawa aku ke sini. Hmm.. entah-entah, kita dah mati. Kita di syurga kot," Mischa membuat andaian.
"Haish, merepeklah kau ni. Tak mungkin ni syurga!"
"Apa yang membuatkan kau begitu pasti?"
"Iyalah, syurga kan ada makanan, pemandangan cantik, bidadari indah..." Sei mengerling sedikit ke arah Mischa di sebelahnya.
"Apa pandang-pandang?!" marah Mischa. Tidak selesa diperhatikan sebegitu.
"Takde apalah. Aku cuma nak pastikan kau ni manusia ke, bidadari. Mengikut pandangan aku, terlalu mustahil kau ni bidadari." Meletus ketawa Sei.
Mia mengetap bibirnya. Sebal. Namun dia senang mempunyai seseorang untuk berbual. Lama mereka mendiamkan diri sehingga Sei terasa mengantuk. Dia menguap beberapa kali. Tubuhnya yang sedari tadi disokong dengan kedua tangan, direbahkan di atas lantai yang turut berwarna putih bercahaya.
"Mengantuk?" Mischa bertanya.
"Hmm... bosan sebab tempat ni kosong saja. Putih tanpa sempadan. Kan best kalau kita tengah baring atas rumput-rumput hijau yang segar dan lembut." Sei berangan-angan sambil memejamkan matanya. Mischa turut berbaring dan menyilangkan tangan ke belakang kepalanya. Matanya dipejamkan.
"Lagi best kalau ada angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Cewah! Lepas tu, daun-daun kering berguguran." Mischa menyambung angan-angan Sei.
Tiba-tiba, mereka membuka mata serentak dan saling berpandangan dengan wajah yang keruh. Terasa seperti benda yang bergerak-gerak di bawah mereka dan berdesir.
"Argh!"
Sepantas kilat mereka duduk dari pembaringan. Bertambah terkejut bila merasa sesuatu di tangan mereka.
Rumput!
Rumput hijau yang segar, lembut dan sedang tumbuh memenuhi segenap ruang hingga ke hujung jauh dari pandangan mereka. Rambut Mischa yang lurus dan bergulung di hujungnya bergerak-gerak mengikut alunan angin bertiup. Dedaunan yang berguguran walaupun tiada sebatang pokok pun kelihatan! Mereka diam tidak terkata apa-apa sebelum tiba-tiba Mischa hilang dari pandangan Sei.
"Mischa? Mischa!"
Sei berdiri dengan cemas, melilau-lilau mencari Mischa sambil melaung nama gadis itu. Tidak mungkin gadis itu hilang begitu sahaja! Di situ hanyalah tanah lapang yang tidak berdinding.
Tiba-tiba, Sei terasa sakit apabila seseorang menghentak kepalanya dengan kuat dari belakang. Pandangannya kabur sebelum dia jatuh pengsan.
🎐
"BANGUNLAH! Kita ada latihan ni! Tak sampai setengah jam lagi. Nanti si manager kita tu bising!" Suara Jae membingit di telinganya.
Dia cuba untuk membuka mata namun beratnya terasa bagai digam. Satu ketukan menyinggah di kepala.
"Argh! Sakitlah!" Dia bingkas duduk sambil memegang kepalanya yang diketuk Jae menggunakan botol penyembur aerosol.
"Apasal kau ketuk kepala dia?" marah Micky yang sedang memainkan jari-jemarinya yang runcing seperti jari orang perempuan di atas piano.
"Susah sangat nak bangun! Sebelum ni elok saja orang kejut. Tak payah nak terjerit-jerit," bebel Jae.
"Kau tak sihat ke, Max?" soal Micky. Risau juga kalau-kalau rakan seangkatan dalam bandnya itu tidak sihat apatah lagi malam ini mereka akan membuat persembahan di dalam sebuah acara penting.
"Aku.. okey," pendek dia menjawab.
Max memegang kepalanya yang masih sakit. Rasanya dia ada bermimpikan sesuatu. Dia berdiri dan meregangkan tubuhnya yang terasa lesu. Dihampiri Micky yang sedang menyanyi perlahan-lahan. Angin yang bertiup dari tingkap bilik persalinan yang terbuka membuatkan Max tersentak.
"Mischa!"
"Apa?" soal Micky.
"Eh, takde apa-apa. Sedap melodi lagu tu." Max tersengih. Dia memandang ke luar tingkap. Ke arah langit yang membiru, kosong tanpa awan. Ya, dia ingat nama itu. Mischa. Terasa mimpinya begitu indah.
"Woi, berangan! Jom naik pentas. Rehearsal dah mula."
Tepukan di bahunya membuatkan ingatannya mati. Dia memandang Xiah sebelum mengikut langkah yang lain menuju ke anak tangga menaiki pentas.
Mereka di dalam satu kumpulan penyanyi TVXQ yang mempunyai 5 orang ahli dan sedang melonjak naik di dalam industri seni. Jae, Xiah, Micky, U-Know dan dia, Max.
Namun, hari itu beberapa kali latihan mereka tidak berjalan lancar gara-gara Max yang tidak memberikan perhatian. Dia masih tersenyum mengingati mimpinya tadi.
🎐
DEANNE mengeluh kesal sebelum tangannya laju menampar mulutnya sendiri. Dia paling tidak suka mengeluh kerana mengeluh menandakan seseorang itu bermasalah dan tidak pandai menikmati hidup. Tapi, sebenarnya dia cukup kesal kerana tertidur di dalam bangsal kudanya yang bernama Honeydew dan sekarang dia terpaksa bekerja sehingga matahari sudah hampir tidak kelihatan. Hanya tebaran warna oren jingga kemerahan memenuhi dada langit.
Dicangkul lagi tanah dengan penyodok kecil. Ada lagi sebaris saja barisan pokok kentang yang perlu diambil kentangnya. Boleh saja jika dibuat keesokan hari tapi mengenangkan ibunya yang garang, dia tidak mahu mengambil risiko. Risiko hati terluka.
Esok pagi, dia harus memastikan semuanya tersedia, dibahagi dalam bakul-bakul rotan kerana esok 2 buah lori dari bandar akan datang meraih hasil tanamannya. Itulah sumber pendapatan mereka dia dan ibunya. Untuk meraih pendapatan yang besar memang mustahil jika hanya mengharap dari kawasan pendalaman itu. Bekalan eletrik pun masih tidak ada. Air ditadah dari aliran sungai kecil di pesisir kampung mereka.
“Bye Honeydew! Esok kita jalan ke pantai ye,” Deanne melambai pada kudanya di dalam bangsal sebelum pulang dengan kereta sorong. Peluh merenik di dahi.
Seketika, angin nyaman terhembus disertai guguran dedaunan kering yang menyapa membuatkan langkahnya terhenti. Dia tersenyum mengingatkan mimpinya tadi. Walaupun hanya dalam mimpi, dia terasa hatinya sudah terusik dengan senyuman lelaki itu. Berbekalkan kemanisan mimpinya, Deanne berjalan pulang dengan hati yang lapang sambil bernyanyi riang.
🎐
MAX menghempas tubuh ke atas katil tanpa membersihkan diri. Penat seharian berlatih itu dan ini, mencuba pakaian dan membuat persembahan julung kali di hadapan barisan ahli politik. Lebih teruk hari ini perhatiannya terganggu dan habuannya, teruk dia dimarahi terutama oleh manager mereka. Sedang mereka semua menari, dia boleh terkaku dan memandang kosong ke depan hinggalah U-Know menepuk bahunya. Malu diketawakan oleh para penonton.
“Bukalah kasut itu dulu. Pergi bilas badan. Kan tadi dah menari sampai berpeluh-peluh. Baju show tu mahal. Nanti kalau kau bawa tidur, rosak. Kau tu sudahlah tidur macam badak bergelut buaya!” sekali lagi Jae membebel. Memang di antara mereka, Jae agak bersifat keibuan. Cerewet, sangat menjaga kebersihan dan kebajikan mereka berlima.
Bebelan Jae hanya kedengaran sayup-sayup kerana Max sudah sampai ke ‘alam’nya. Terasa begitu nyaman sekali. Sesekali dia bergolek ke kiri dan kanan, menikmati tidurnya yang begitu lena sehinggalah tiba-tiba dia terasa bahunya ditepuk perlahan. Dia membuka mata dan hatinya berbunga.
“Mischa!” Sei terduduk. Di hadapannya, Mischa bersimpuh sambil tersenyum manis.
“Semalam, aku cari kau, kau hilang macam tu saja! Mana kau pergi?”
“Hilang? Entah. Aku pun tak tahu aku pergi mana. Aku betul-betul tak ingat. Kau pulak, takkan dari semalam kat sini?”
“Err... aku pun tak pasti.” Sei mengetuk perlahan kepalanya berulang kali. Hairan! Satu apa pun dia tak ingat melainkan memori antara dia dan Mischa.
“Cantik baju kau,” puji Mischa. Dia agak terpegun melihat penampilan lelaki itu yang agak berlainan. Berjaket kulit tanpa lengan, bercelak di pinggir mata serta beberapa aksesori yang cukup menyerlahkan gaya rangginya. Kasut juga nampak mahal. Tali pinggang, jangan cakaplah. Bersinar-sinar.
“Ni baju tidur kau ke?” Sei menunjuk ke arah baju yang sedang dipakai Mischa. Mischa menunduk memandang bajunya sebelum dia bertindak spontan memeluk tubuhnya sendiri.
“Janganlah tengok! Malulah aku!” merah padam wajah gadis itu sementara lelaki di hadapannya sudah ketawa terbahak-bahak. Mana tidaknya, Mischa memakai baju T cotton labuh dengan gambar Ultraman di hadapannya. Dan bajunya agak lusuh dan sedikit berbulu. Terasa malu pula dengan Sei.
“Kau nampak comel.” Sei memuji dalam tawanya membuatkan Mischa tersenyum.
“Kau busuk!” cemuh Mischa. Sei menghidu bau badannya. Perggh!! Muntah hijau. Apalah yang dia buat sebelum dia sampai ke situ hingga busuk begitu sekali. Bau keringat yang terkepam.
“Busuk-busuk macam ni, best kalau mandi sungai.”
“Yucks," Mischa membuat muka loya sambil ketawa bila Sei memimikkan mukanya tanda sedih. Tiba-tiba mulutnya ditekup kuat dengan tangan Sei.
“Syhh...” Sei meletakkan jari telunjuk ke bibirnya dan memicingkan pendengarannya. Mischa turut memasang telinga dan mereka berpandangan seketika sebelum menjerit dan melompat riang.
“Sungai!”
“Wahh, air terjun!”
Dalam keterujaan, Sei menanggalkan segala aksesorinya dan jaketnya lantas mereka terus terjun ke dalam sungai yang muncul secara tiba-tiba itu tanpa berfikir panjang. Seronok bermain air, bergelak tawa dan berlumba berenang. Tidak disangka, Mischa lebih hebat berenang dan menyelam lebih lama dari Sei.
“Hebatlah kau! Gila lama kau menyelam tadi. Aku ingat kau dah mati tenggelam.”
“Entahlah. Aku pun tak tahu macamana aku boleh jadi pakar dalam hal-hal macam ni tapi aku rasa macam pernah lalui saat-saat berenang dan menyelam macam tadi.”
Mereka terus berbual sambil bersandar di atas batu yang besar hingga baju mereka hampir kering sebelum mereka tertidur kerana kepenatan bermain air.
🎐
“MAX!!”
Max terduduk dari pembaringannya. Dipandang sekilas ke arah Jae yang sedang bercekak pinggang.
“Kenapalah dengan kau ni. Sejak dua menjak ni susah betul nak kejut dari tidur. Cepat bangun, kita sarapan. Tengok tu, baju show tak disalin lagi! Cepat, pergi mandi, baju tu letak dalam bakul. Nak hantar ke cucian kering. Lepas ni kita ada shooting untuk road tour kita.”
“Ya, Puan Jae,” Max menyindir dalam mengeluh, akur. Malas sungguh mendengar peluru berpandu dari Jae. Macam makcik bawang holland!
Ketika dia mahu membuka baju, dia tergamam. Baju itu agak lembab. Seakan-akan baru sahaja lepas basah dan hampir kering semula. Dia memikirkan mimpinya tadi. Bagaikan realiti!
‘Ah, tak ada apalah Max!’
Selesai mandi, dia bergegas menghampiri meja makan. Hampir tergelak melihat Jae masih dengan apronnya. Rajin betul lelaki itu memasak. U-know, Xiah dan Micky sudah selesai makan dan sedang berlatih acapella di ruang tamu. Jae pula sibuk mengasingkan pakaian untuk dihantar ke cucian kering. Sebentar lagi, pembantu mereka akan sampai. Sengaja dia mahu membantu meringankan tulang pembantu mereka itu. Dia memang tidak betah duduk goyang kaki tanpa bekerja.
“Max, baju saja ada? Mana tali pinggang? Rantai, gelang, jam? Lain-lain aksesori?” Jae menyoal dengan bakul di tangannya.
Max terdiam. Sewaktu dia membuka baju tadi, memang hanya ada baju dan seluar saja dan seingat dia, malam tadi memang dia tidak menanggalkan apa-apa yang dipakai. Semuanya dibawa tidur.
“Oh my!!” Max menjerit sekuat hati hingga terjatuh dari kerusi. Matanya terbuntang.
“Kenapa dengan kau ni?!” Ryu-Ho menyoal dari ruang tamu. Jae mencerlung tajam ke arah Max yang sudah menggigil.
“Jangan cakap kau sudah hilangkan semua tu! Mahal tahu tak! Itu semua barang sponsor!” Jae membentak. Jatuhlah saham mereka kalau tidak dapat memulangkan barangan sponsor yang dipinjam! Habislah reputasi yang dijaga selama ini!
“Aku... aku rasa... aku tertinggallah.”
Jae menepuk dahi.
“Kau tertinggal kat mana? Bukan kau bawa tidur malam tadi?” soal Micky yang sudah berada di sisi Max.
“Itulah. Tak sangka semua tu betul!”
“Apa yang betul?” Serentak mereka berempat bertanya. Hairan melihat wajah Max yang memucat.
Max buntu. Fikirannya bercelaru. Benarkah semua mimpi antara dia dan Micsha itu realiti? Memang malam tadi dia ada bermimpi mandi di sebatang anak sungai dan sebelum mandi, dia sempat menanggalkan kesemua aksesorinya kerana dikhuatiri tenggelam ke dalam dasar sungai. Dan sekarang, dia bagaikan pulang dari ‘alam sana’ dan tertinggal barang di ‘sana’!
Percayakah mereka kalau dia menceritakan semuanya.
“Kau yang tak betul ni, Max. Mana aksesori tu? Janganlah ternganga macam ni,” rungut Jae.
“Aku tertinggal kat tempat tu.”
“Kat mana?”
“Kat dalam mimpi aku malam tadi.”
Serentak dengan itu, mereka ketawa terbahak-bahak hingga terduduk di atas lantai. Serius betul muka Max. Jae pula bertambah bengang. Terasa dipermainkan.
“Cakaplah betul-betul! Kau tahu tak, ini antara hidup dan mati band kita tau!” marah Jae.
“Betul!” Max mengiyakan lantas terus bercerita tentang mimpinya itu kepada mereka. Satu persatu, dari awal hingga akhir. Wajah Xiah sudah merah padam menahan gelak manakala Micky dan U-know sudah kejang perut ketawa ditambah lagi dengan keseriusan cara Max bercerita.
“Sudahlah, Max. Kau bagilah barang-barang itu kat Jae. Kesian dia. Janganlah kau bodoh-bodohkan kitorang. Kat mana kau sembunyikan?” Xiah memberi nasihat. Kasihan melihat wajah Jae yang tegang menahan marah.
“Aku tak tipu! Aku tertinggal dalam mimpi aku!”
“Sudahlah, Max! Aku malas nak melayan. Nanti si pembantu kita tu datang, kau bersoal jawablah dengan dia. Ernie tu bapak punya hantu kalau barang sponsor hilang,” tegas Jae. Mengenangkan Ernie, pembantu peribadi merangkap jurugaya mereka, perempuan itu memang banyak ributnya kalau ada yang tidak kena.
“Janganlah macam tu. Aku pergi ambil sekarang. Tunggu sekejap!” Max segera berlari ke biliknya.
Jae memandang ke arah U-know yang sedang mengangkat ibu jarinya. Nampaknya Max mengalah. Taktik mengena. Max memang takut dengan Ernie memandangkan Max muda 2 tahun dari Ernie dan juga lebih muda berbanding mereka berempat.
Mereka berbual-bual hinggalah 15 minit berlalu. Jae mula panas hati. “Lamanya nak ambil barang tu!”
“Relakslah Jae. Dia saja nak kenakan kau tu. Jom tengok dia buat apa,” ujar Xiah sambil melangkah ke bilik Max.
Mereka berempat tergamam dan yang paling terbakar adalah Jae apabila melihat Max berlingkar di atas katil dengan sebiji bantal yang menutup separuh wajahnya.
“Max, kau buat apa ni? Kata nak bagi aksesori tu!”
Max terbangun dari pembaringan apabila mendengar suara U-know. Wajahnya kusut. “Aku nak pergi ambil baliklah barang tu. Rasanya kat tepi sungai tu saja tapi masalahnya aku tak boleh nak tidur.”
“Wargh! Aku nak gilalah macam ni!!” Jae menjerit geram sebelum beredar ke ruang tamu, menghentak-hentakkan kaki dengan hati yang sebal. Sakit hati, sakit jiwa dengan perangai pelik Max yang tidak kena dengan masa.
“Sudah sudahlah tu Max, kau nak kenakan Jae tu. April Fool lambat lagi. Entah apa-apalah kau ni. Tak kesian ke kat dia. Penat jadi 'mak' kita. Apalah nak jadi dengan kau ni,” keluh U-know sambil berlalu mengikut langkah Jae. Micky turut beredar.
“Aku pun tak tahulah nak cakap apa, Max. Kalau aku kat tempat Jae, aku dah hentak kerusi kat pinggang kau,” ujar Xiah.
“Tapi, aku cakap betul, Xiah,” sedih saja nadanya.
Xiah sekadar menggelengkan kepala. Dia turut beredar, meninggalkan Max yang masih termangu-mangu memikirkan perihal mimpinya.
Benarkah itu mimpi? Kalau sudah ke alam ‘sana’ waktu tidur, itu memang mimpilah! Dan dia ingat, di dalam mimpi itu, dia tidak dapat mengingati tentang dirinya sendiri. Tapi, apabila dia bangun dari tidur, setiap apa yang terjadi di dalam mimpinya itu dapat diingati satu persatu. Yang paling membingungkan, benarkah aksesorinya tertinggal di sana? Kalau mimpi itu benar, siapakah Mischa? Wujudkah gadis itu di alam realiti?
🎐
Notes : pernah aku terjaga dari mimpi dan merasa patah hati kerana itu... 💫
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro