Bab 7
MENYUSURI kaki lima blok-blok kedai di SummerShine sambil menikmati aiskrim kon di tangan pada petang yang mendung membuatkan hatinya gembira. Melangkah seiringnya kini ialah ibunya, sedang sibuk bercakap di telefon. Siap sebut kiub ayam, santan dan udang. Fayadh dah dapat rasa yang ibunya kini sedang kongsi resipi dengan orang di hujung talian. Walau bagaimanapun, tangan kiri Fayadh masih di dalam genggaman kemas ibunya.
Fayadh bukan boleh bagi lepas sangat dalam keadaan begitu. Bukan dia tidak pernah tiba-tiba hilang di pasar malam, duduk bersila di gerai yang jual buku-buku lama sambil baca komik padahal Nurul dah mula menangis cari dia apabila Nurul terlalu leka berbual di telefon. Itu yang membuatkan Nurul jadi fobia padahal perkara itu berlaku dua tahun yang lalu. Nurul masih mahu ambil langkah berjaga-jaga, tak mahu perkara sama berulang kembali.
"Fayadh... Aunty Ziela buat laksa Sarawak esok. Kita lunch rumah dia, okey?"
"Oh, okey!"
Nurul kembali sambung perbualan dengan Ziela, memberitahu sahabat baiknya itu yang Fayadh sudah bersetuju. Sebaik mengucap salam, talian dimatikan dan langkahnya diteruskan menuju ke sebuah kedai bunga, kedai yang terletak di hujung blok yang dicat indah warna lavender.
"Buat apa di kedai bunga ni, ma?"
"Nak beli tukul dan paku?"
Fayadh buat muka pelik.
Nurul tergelak.
"Nak beli bunga laaa, Fayadh... Nak beli apa lagi?"
"Tau la. Tapi untuk apa?"
"Lepas ni kita pegi beli buah-buahan. Lepas tu kita akan ke hospital. Lawat Aunty Alyza."
"Hmmm? Aunty Alyza kenapa?"
Aiskrim di tangan sudah selamat masuk dalam perut yang tak berapa membulat dengan saiz badannya yang tak begitu kurus, dan tak pula gemuk berisi. Di tangan kini cuma ada tisu, tisu yang baru sahaja Nurul keluarkan dari beg tangannya. Fayadh lap jarinya yang terkena lelehan aiskrim perisa coklat dan mint sebelum lap mulut yang sedikit comot.
"Aunty Alyza kena keracunan makanan teruk semalam. Kita pergi lawat dia okey?"
Fayadh angguk perlahan.
"Ma... Boleh tak kalau Fayadh gi kedai buku sebelah ni aje. Fayadh tunggu kat kedai buku ni. Ma pergilah beli bunga. Tak lama, kan?"
Nurul renung muka kanak-kanak berusia sembilan tahun itu lama.
"Boleh tak? Fayadh janji duduk dalam tu aje," sambung Fayadh cuba meyakinkan ibu tersayang.
"Hmmm. Okeylah. Ma takkan lama. Kejap aje. Fayadh pergilah."
Nurul hantar pemergian Fayadh masuk ke dalam kedai buku Bukukita itu hingga Fayadh hilang di sebalik rak-rak buku di dalam kedai sebelum menyambung langkah menuju ke kedai bunga.
Fayadh belek satu demi satu sudut Lejen – di mana komik-komik lama ditempatkan. Ada komik Dragonball, second-hand yang dah mula kekuningan tapi Fayadh suka. Boleh dia beli dengan harga murah. Dia mula mengira-ngira jumlah tabungannya. Rasanya, sudah cukup untuk membayar harga buku komik itu. Kalau beli guna duit tabungannya sendiri, ibunya tidak akan banyak cakap. Cuma satu soalan yang Fayadh yakin ibunya akan ajukan kepadanya, 'Is it worth it?'.
DALAM perjalanan menuju ke hospital, cuaca yang tadinya cerah kini sudah berubah 360 darjah. Tak semena-mena, awan kelabu berarak laju membawa angin serta guruh dan kilat sebagai teman.
Fayadh renung ke luar dinding kaca di jambatan penghubung blok hospital. Ibunya masih di dalam bilik Alyza, berbual panjang. Fayadh minta diri pergi tandas sebelum kaki dia mula degil tak nak masuk balik ke dalam bilik wad Alyza ditempatkan. Langkah diayun tanpa tuju. Siap turun naik lif lagi dan kini terhenti di jambatan itu. Mata leka tengok corak yang rintik hujan hasilkan di dinding kaca.
Fayadh kembali sambung langkah nak kembali ke bilik wad di mana Nurul dan Alyza berada. Terlepas lif yang ditunggu, dia ambil keputusan guna tangga. Alangkah terperanjatnya dia bila tengok susuk tubuh kecil sedang duduk di hujung tangga dengan kepala yang tertunduk.
"Hei..."
Tak ada jawapan. Nalurinya mendesaknya untuk terus menuruni anak tangga, merapati tubuh kecil berbaju ungu muda itu. Kanak-kanak perempuan yang kelihatan sebayanya itu seakan-akan sedang menulis sesuatu pada buku kulit hitam dengan pen merah jambu.
"Orkid?" Fayadh seakan-akan tidak percaya.
"Orkid Serena?" Tiada jawapan. Kanak-kanak itu masih leka menulis. Fayadh garu kepala yang tak gatal sebelum angguk kepalanya laju.
"Oh, ya! Hari hujan! Awak takkan peduli siapa-siapa kan masa hujan?" Tanpa disuruh, Fayadh duduk di sisi Orkid Serena, jadi pemerhati. Sesekali kanak-kanak perempuan di sisinya itu berhenti menulis, menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. Hanya selepas itu, dia kembali menulis.
Fayadh jengah isi buku. Cuba melihat apa yang Serena sedang tulis tapi tidak jelas. Hanya beberapa patah perkataan yang Fayadh dapat lihat, rindu, embun dan air mata. Fayadh mengeluh kecil seraya betulkan bingkai kaca mata di batang hidung yang comel.
"Dah lama tak jumpa awak. Cakaplah sesuatu dengan saya, Orkid. Hmmm... Orkid Serena. Rasa lama dah tak sebut nama awak. Awak apa khabar? Awak buat apa di hospital? Awak sakit?"
Diam. Tiada jawapan. Fayadh kemudian bersandar di dinding, menemani Orkid Serena yang seperti tidak ambil kisah tentang kehadirannya. Fayadh ambil keputusan untuk menunggu, menunggu sehingga Orkid Serena sedar akan kehadirannya. Mungkin kanak-kanak perempuan itu hanya akan sedar apabila hujan berhenti? Oh, hujan! Cepatlah berhenti! Fayadh tala mata ke tingkap kecil di situ. Hujan tidak lagi turun lebat seperti tadi tapi guruh dan kilat masih ada.
"Ya Allah, Fayadh! Mama cari Fayadh tau!" Suara itu bergema di ruang tangga menyebabkan Fayadh terperanjat. Nurul sudah berlari mendapatkannya.
"Macam mana Fayadh boleh ada kat sini?" Pipi Fayadh yang dah berdiri di hadapannya kini diusap lembut. Nurul kemudian pandang ke arah pengawal keselamatan yang mengiringinya ke ruang tangga tersebut.
"Terima kasih, encik."
"Sama-sama, puan. Lain kali tolong hati-hati sikit, ya?" pesannya, tapi masih dalam nada santun dan penuh hormat. Dia kemudian langsung minta diri.
Sebaik dia menyedari akan kehilangan Fayadh, Nurul terus melaporkan perkara tersebut pada pengawal keselamatan dan memohon jasa baik mereka untuk mencari anaknya menggunakan rakaman CCTV dan rupa-rupanya, bukan dia sahaja yang kehilangan anak.
Seorang wanita anggun berbaju merah hati yang juga berada bersama mereka kini turut menemui anaknya di tempat yang sama. Nurul tersenyum ke arahnya dan dia juga membalasnya dengan senyuman.
"Alhamdulilllah. Nasib baik tak jadi apa-apa." Wanita berblaus merah hati itu mengurut dada.
"Alhamdulillah... Fayadh ni memang macam ni. Bukan tak pernah tiba-tiba hilang macam ni. Betul-betul buat saya risau..."
"Biasalah budak-budak... By the way, saya Sofea. Saya pun perlu ucap terima kasih pada Fayadh ni sebab dari rakaman CCTV tu tadi, lama juga dia temankan Serena ni kat sini."
Sofea alih pandangan pada Serena yang masih tunduk menulis sebelum kembali pandang wajah Nurul dan Fayadh.
"Saya Nurul." Mereka bersalaman.
"Fayadh, salam aunty," arah Nurul kepada kanak-kanak lelaki berbaju T Starwars warna biru langit dan berseluar panjang coklat cair.
Fayadh menurut.
"Fayadh kenal Orkid," ujar Fayadh selepas tangan Sofea dilepaskan.
Sofea pandang wajah Fayadh dengan penuh kehairanan.
"Fayadh kenal Orkid Serena?"
Laju Fayadh angguk.
Sofea tersenyum.
"Orkid kenal Fayadh?"
"Rasanya kenal lagi." Fayadh pandang wajah Orkid.
"Pernah satu kelas dulu."
"Hmmm... Kelas 1 Bakawali, eh?"
Fayadh angguk lagi.
"Tapi kenapa Fayadh panggil Orkid, Orkid macam tak dengar? Dia tak pedulikan Fayadh."
Sofea tersenyum dalam paksaan. Hendak dia jelaskan macam mana kepada dua insan yang baru dia kenali itu? Kalau hendak jelaskan semua, bagaimanakah penerimaan mereka?
"Orkid Serena... Anak saya ni... Sakit." Sofea cuba sedaya upaya untuk kekal tenang. Dia sedar, bukan salah mereka untuk bertanya melihatkan keadaan Serena sekarang yang seperti berada dalam dunianya sendiri. Mereka bertiga sama-sama tidak wujud di mata Serena sekarang.
"Sakit?" Sayu hati Nurul mendengar kenyataan yang baru keluar dari mulut wanita yang baru dikenalinya itu.
"Dia tak macam kanak-kanak lain. Dia istimewa." Tenang kata-kata itu keluar satu per satu dari mulut Sofea.
"Jadi ke hospital ni sebab dia perlukan rawatanlah, ya?" soal Nurul ingin tahu.
"Eh, tak... Tak. Hari ni dia temankan saya, jumpa kawan kat sini. Untuk Orkid... Hospital tempat Orkid dapatkan rawatan bukan di sini."
"Oh..." Nurul anguk perlahan.
"Umi." Sepatah perkataan yang perlahan tapi cukup untuk mencapai gegendang telinga Sofea, Nurul dan Fayadh itu membuatkan ketiga-tiganya berpaling ke arah kanak-kanak perempuan yang baru sahaja berdiri dan memandang ke arah mereka.
Sofea serta-merta pandang ke arah luar tingkap. Hujan telah berhenti, meninggalkan sisa rintiknya pada tingkap kaca di dinding ruang tangga. Sofea capai tangan Serena dan usap lembut kepalanya.
"Orkid... Umi cari Orkid lama tau."
"I'm sorry." Orkid senyum dengan riak bersalah.
"Suddenly..."
"Ya, umi tau. Tiba-tiba hujan, kan?" Sofea gosok kepala Orkid. Serena dah pergi. Yang ada sekarang hanya Orkid.
Orkid kemudian pandang wajah wanita cantik yang berdiri di hadapan mereka bersama seorang kanak-kanak lelaki yang sedang melambai ke arahnya dengan riak teruja. Orkid buat muka pelik sebelum kemudian tersenyum lebar.
"Fayadh!"
"Orkid, awak ingat saya!" Entah kenapa Fayadh rasa gembira tak terkata.
"Kenapa awak tak pedulikan saya tadi? Saya ingat awak dah lupakan saya!"
"Tadi orang tak ada. Sekarang orang dah ada!"
Fayadh senyum paksa. Dia sebenarnya langsung tidak faham dengan jawapan yang baru dia dapat daripada Orkid.
"Awak sekolah kat mana sekarang? Kenapa awak tak nak sekolah kat sekolah kita tu lagi?"
"Nak terus berbual di tangga ni ke macam mana ni? Rupa-rupanya kau orang kawan lama, eh?" Nurul mencelah melihatkan Orkid yang hanya mampu terdiam, tidak menjawab soalan daripada Fayadh.
Tidak tahu hendak jawab bagaimana barangkali. Nurul peka akan keadaan Orkid yang dikatakan sakit oleh ibunya sebentar tadi. Walaupun kurang pasti akan penyakit yang Orkid sedang hidapi, dia tidak mahu kanak-kanak perempuan itu berada dalam keadaan kurang selesa sekarang dek soalan Fayadh yang nyata belum cukup memahami.
Fayadh angguk laju.
"Bukan kawan lama, dia memang kawan Fayadh."
Terharu mendengar kata-kata itu, Sofea usap lembut pipi Fayadh.
"Okey, macam ni... Apa kata lepas ni Fayadh dengan mama Fayadh makan malam kat rumah aunty aje. Aunty nak ucapkan terima kasih sebab tolong jaga Orkid kat tangga ni tadi. Nak tak? Kat rumah nanti, Fayadh boleh sambung perbualan Fayadh dengan Orkid... Catch up everything?"
Fayadh pandang wajah Nurul, mencari persetujuan.
"Boleh ke, ma?"
"My umi masak sedap tau! Rugi tak cuba!" celah Orkid.
"Boleh ke, aunty?" Giliran Orkid cuba memujuk Nurul yang seperti sedang berfikir.
"Okey, since papa Fayadh pun outstation, tak apalah kut kita dinner free kat rumah aunty cantik dengan anaknya yang comel ni." Nurul akhirnya memberi kata setuju membuatkan kedua-dua kanak-kanak itu bersorak gembira.
"YA Allah." Nurul tutup mulut dengan tangan kanan yang sedikit ternganga. Sempat dia jengah ke arah ruang tamu di mana Orkid dan Fayadh masih duduk bersembang. Aifan dan Aina pula duduk di depan ruang menonton televisyen bersama Nek Som sejurus lepas siap cuci pinggan mangkuk setelah usai makan malam. Yang ada bersama Nurul sekarang hanya Sofea.
"Siapa sangka, budak secomel tu perlu hadapi semua yang dah ditakdirkan untuknya. Kita hanya mahu yang terbaik tetapi Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Saya reda. Orkid dan Serena adalah dua orang yang berbeza dalam satu badan. Itu yang saya perlu faham dan cuba biasakan diri. Mulanya memang susah, tak tahu macam mana tapi lama-lama, saya dah boleh tahu yang ada bersama saya itu ialah Orkid atau Serena." Sofea menyambung bicara.
"Maaf kalau saya tanya. Dia kalau masa hujan, akan automatically jadi diam dan tak peduli semua orang? Macam mana kalau sesuatu terjadi? I mean like emergency or something... Macam mana awak deal with it?"
"Dulu masa dia 'jadi' Serena, dia taklah seteruk sekarang. Dia masih boleh bercakap dengan kami semua tapi sekarang dengan umurnya yang semakin meningkat, Serena jadi lebih teruk. Dia tak akan peduli tentang apa yang terjadi sekelilingnya. Dia perlu menulis. If you read her piece, awak akan kagum. Mana mungkin budak perempuan seusianya mampu luahkan semuanya dengan begitu puitis dan indah. Apa yang ada di dalam buku hitam yang dia bawa ke hulur ke hilir tu bukan buku biasa. Semuanya tentang rasa dan imaginasinya. She's gifted! Dan buku hitam itu, adalah buku yang kelima selepas dua tahun berlalu. Dia tak nak warna lain. Nak buku kulit warna hitam dan pen merah jambu."
Sofea tergelak kecil. Yang jadi tukang ingat tentang perincian buku dan pen untuk Serena ialah Orkid dan Aifan. Sungguh pada tahun awal dia bersama Orkid Serena merupakan tahun yang begitu mencabar. Dia tak tahu apa yang Orkid atau Serena mahu dan semuanya jadi lebih mudah setelah Sofea betul-betul belajar menerima kesemuanya yang dia harus hadapi dengan Orkid Serena, dengan hati yang betul-betul terbuka.
"Dan bercakap tentang emergency..." Sofea hirup kopi panasnya perlahan sebelum kembali letak muk di atas meja.
"Saya pernah dukung Serena. Sebab dia 'jadi' Serena di tengah shopping complex and she insist to write. Ingatkan hujan turun sekejap. Rupa-rupanya sampai kedai dah nak tutup. Saya dukung dia hingga ke kereta. Nasib baiklah badan dia tu tak berat sangat tapi kudrat perempuan kita ni... Apalah sangat..." Sofea tergelak kecil.
"And since that day, saya sentiasa peka dengan ramalan cuaca."
Nurul turut tersenyum sepertimana Sofea.
"Tapi kalau dia di tempat tertutup, tak tahu kat luar tu hujan ke tidak, but it's actually raining outside, macam mana? Dia masih akan automatically jadi Serena?"
"Nope. Only when dia tahu hari hujan."
"You know what, Sofea. Orkid Serena betul-betul istimewa. Perhaps satu hari nanti, dia akan jadi penulis terkenal. Rain novelist! Novelis yang mampu hasilkan sesuatu yang mind blowing, sesuatu yang sangat indah. She'll make you proud. No worries."
Sofea tersenyum lagi. Hanya itu yang mampu dia balas dengan kata-kata semangat dan manis daripada seorang yang baru sahaja dia kenali. Seorang yang berhati besar dan tidak pula memandang Orkid Serena sebagai seorang yang pelik atau tidak waras.
Nurul langsung tidak memberikan apa-apa reaksi negatif apabila diceritakan tentang keadaan Serena membuatkan hati Sofea lega. Tidak semua insan di dunia ini adalah seperti jiran yang dia ada sekarang, yang mengatakan dia harus menghantar Orkid Serena ke rumah sakit jiwa.
Sofea tidak akan pernah lupa tentang cadangan yang dianggapnya cukup tidak berperikemanusiaan dan menggoreskan hatinya. Tiada langsungkah rasa kasihannya melihat raut wajah comel Orkid Serena yang masih belum kenal dunia? Yang cuba mencari dirinya sendiri dalam keadaannya yang tidak seperti kanak-kanak lain sebayanya?
Bagi Sofea, rawatan demi rawatan yang Orkid Serena jalani insya-Allah akan mampu menyembuhkannya. Sedangkan Doktor Fadzly pun tidak pernah mahu putus asa, kenapa dia sebagai seorang bergelar 'umi' mahu putus asa dan menyerah kalah? Takkan semudah itu.
"Saya takkan pernah mahu hantar dia ke rumah sakit mental." Tiba-tiba, kata-kata itu terpacul keluar dari mulut Sofea yang sudah lama termenung, renung meja makan yang kosong.
Nurul capai jemari Sofea dan digenggam erat.
"Tiada siapa boleh paksa awak untuk lepaskan Orkid Serena pergi sana. Kalau saya jadi awak pun, saya akan buat benda yang sama. Jadi, awak tak payahlah nak fikirkan sangat tentang pandangan orang lain."
"Terima kasih, Nurul. Kita baru kenal hari ni awak dah dengar macam-macam dari saya. Maafkan saya."
"No, it's okay. Kalau awak tak kesah, Fayadh masih boleh terus jumpa Orkid, kan? Jadi kawan Orkid?"
"Are you sure about this? Awak tak takut ke satu hari nanti Orkid akan jadi bertambah teruk?"
"Saya tak bercakap tentang 'satu hari nanti'. I'm talking about today, right here right now. Kenapa kita perlu takut akan benda yang belum jadi? Tadi awak cakap, Orkid memang tak pernah ada tanda-tanda self sabotage and even violence, kan? Kita teruskan berdoa Orkid akan kekal begitu atau mungkin dia boleh sembuh tak lama lagi? Yang kita perlu terus lakukan adalah terus menyokong, usaha dan doa."
Sofea sekali lagi rasa terharu. Selama ini, semenjak bersekolah di rumah, Orkid Serena tidak punya teman kecuali Aifan dan Aina. Itu pun Aina nak tak nak sahaja nak layan Orkid Serena. Bukan Sofea tidak perasan. Sofea tahu. Sofea dah bagi nasihat tapi Aina memang agak degil berbanding dengan Aifan, yang cukup tenang dan lebih memahami.
"Sofea? Is it okay? Fayadh akan tetap jadi kawan Orkid?"
Sofea tersenyum lalu menyeka air mata yang mahu jatuh.
"Of course! Fayadh boleh datang sini anytime."
Nurul peluk tubuh Sofea erat.
"You're a great mom. You should be proud of yourself. You did well."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro