Bab 6
"MULAI esok orang dah tak payah ke sekolah lagi?" soal Orkid ingin kepastian. Sofea dilihat tersenyum paksa.
"Kenapa, umi? Sebab orang tak jawab Cikgu Daud panggil hari tu ke?"
Sofea mengeluh berat. Entah bagaimana hendak dia jelaskan kepada kanak-kanak perempuan yang duduk di hadapannya itu.
"Mulai esok, Orkid akan bersekolah di rumah. Privately. Umi akan upah cikgu untuk ajar Orkid. Umi dah uruskan semua. Orkid jangan risau."
"Hmmm. Orang akan belajar sorang-soranglah nanti? Tak ada kawan lain? Tak ada Fayadh? Aina? Aina pun akan bersekolah di rumah macam orang ke esok? Abang Aifan?"
"Eh... Saya sekolah macam biasalah. Mana seronok belajar kat rumah. Saya nak belajar di sekolah. Saya tak sakit. Abang Aifan pun tak sakit. Awak aje sakit!" Lancar sahaja kata-kata itu meluncur laju dari mulut kanak-kanak perempuan yang kemudian buat riak bersahaja cedok nasi tambah ke atas pinggan. Lauk kegemarannya iaitu ayam goreng butter ada di atas meja, mahunya dia tak berselera makan.
"Aina..." Sofea yang duduk di sisi Aina bersuara dengan nada amaran.
"Kenapa, umi? Salah ke apa Aina cakap? Aina pun kena sekolah kat rumah juga ke?" Wajah bersahaja Aina tadi kini serta-merta bertukar gusar.
Sofea pandang wajah Orkid yang dah berhenti suap nasi ke mulut sedari tadi. Dia kemudian pandang wajah Aifan yang duduk di sisi Orkid, langsung tak bersuara. Nek Som yang duduk di atas kerusi di kepala meja juga tak bersuara sama seperti Aifan. Hanya mendengar dan memerhati. Sofea kemudian pandang wajah Aina, yang masih menunggu jawapan daripadanya.
"Umi... Kenapa diam? Betul ke Aina kena bersekolah kat rumah juga sama macam Orkid?" soal Aina lagi dengan suara yang dah berubah nada sedih.
"Tak. Aina dan Abang Aifan akan sekolah macam biasa. Hanya Orkid." Sofea pandang wajah Orkid di hadapannya.
"Hanya Orkid yang akan bersekolah di rumah."
Sofea serba salah sebaik memandang tepat ke anak mata coklat cair milik Orkid. Maafkan umi. Mungkin betul cakap Cikgu Othman. Mungkin dengan belajar di rumah Orkid atau Serena akan lebih dapat fokus. Serena akan lebih senang 'pergi' masa hujan turun tanpa perlu menjelaskan apa-apa pada semua murid, semua cikgu yang ada.
Orkid akan punya lebih banyak ruang untuk jadi diri dia sendiri tanpa perlu ada sesiapa akan menghakimi, mengherdik atau mengejek. Niat umi hanya untuk melindungi Orkid Serena. Maafkan umi...
"Tak apa, umi." Orkid bersuara seraya tersenyum.
"Belajar kat rumah pun seronok kut? Kalau tiba-tiba lapar, Nek Som boleh masak. Kalau haus, pergi dapur minum air tak payah pergi kantin sesak-sesak pergi beli, kan?"
Nek Som dan Sofea sama-sama tergelak kecil. Aifan pun turut tersenyum. Aina hanya mencebik.
"Orkid nak tambah nasi lagi?" soal Nek Som, akhirnya bersuara.
Orkid menggeleng.
"Orang dah kenyang. Orang nak naik bilik dulu, boleh?"
Nek Som dan Sofea sama-sama berpandangan. Suara Orkid sedikit bergetar walaupun riak wajahnya sekarang ceria seperti selalu. Siap lengkap dengan senyuman di bibirnya.
"Boleh tak, umi?" soal Orkid lagi.
"Hmmm... Yalah. Orkid naiklah bilik dulu," jawab Sofea.
"Eh, bukan turn Orkid ke kemas meja lepas makan malam hari ni?" Aina tidak puas hati. Kebiasaannya, tiada siapa boleh tinggalkan meja makan selagi semua tak selesai makan lagi.
"Tak apa. Kerja rumah Aifan dah siap petang tadi, umi..." celah Aifan.
"Aifan boleh kemas meja. Orkid boleh naik." Aifan bagi isyarat mata pada Orkid untuk bangun dan pergi.
"Orang naik dulu, umi?" Orkid dah berdiri, menunggu lampu hijau sekali lagi daripada Sofea.
Sofea tersenyum lantas mengangguk. Orkid terus dilihat berlalu pergi meninggalkan ruang makan, menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Sebelum ini, dia berkongsi bilik dengan Nek Som tapi sebaik bilik tambahan yang dulunya jadi tempat simpan barang-barang dibersihkan, Orkid punya biliknya sendiri. Nak kongsi bilik dengan Aina? Bilik Aina merupakan kawasan larangan buat Orkid Serena dan dia patuh akan arahan Aina itu.
Selepas kemas meja, Aifan naik tingkat atas, ke biliknya membiarkan Aina membantu ibunya membasuh pinggan mangkuk. Nek Som pula duduk di depan televisyen sambil minum kopi panas, seperti selalu. Sudah menjadi kebiasaannya.
Sebaik melalui bilik Orkid, langkah Aifan terhenti. Telinga ditekap ke pintu. Aifan dengar Orkid menangis.
HUJAN lebat di luar mengingatkan Aifan pada Serena. Rupa-rupanya, ibunya Sofea terlebih dahulu sudah ke bilik Serena, melihat keadaannya. Seperti yang dijangka, Serena dah duduk di meja tulisnya, menulis.
Sofea melangkah perlahan. Entah apa yang dia jangka daripada langkah perlahannya itu, takut Serena terganggukah? Padahal, Serena memang tidak akan peduli apa-apa di sekelilingnya jika Orkid sudah betul-betul pergi.
Rambut Serena diusap lembut.
"Umi nak pergi hantar Aifan dan Aina ke sekolah dulu. Umi akan cancelkan kelas Serena hari ini." Sofea kucup lembut kepala Serena sebelum berlalu pergi.
Dalam perjalanan, Sofea hanya mendiamkan diri sehinggalah Aifan di sisi bersuara.
"Umi, Serena tu... Sakit split personality, eh?"
"Apa split?" Aina menyampuk dari belakang.
Sempat Aifan menjeling ke arah adiknya sebelum kanak-kanak berpakaian seragam sekolah sepertinya itu kembali bersandar di tempat duduk belakang.
"Mana Aifan dengar ni?"
"Aifan Google."
"Hmmm..." Sofea mengeluh kecil.
"You can say that."
"Say apa? Memang split personality?"
Sofea perlahan mengangguk. Aifan kemudian tala pandangan ke luar tingkap.
"Kasihannya..."
"Sebab tu, Aifan dengan Aina kena faham kalau umi kadang-kadang lebihkan dia. Dia tak sama macam kita. Tak sama macam Aifan dengan Aina. Aifan dan Aina sihat. Dia tak sihat. Dia sakit. Kita kena jaga orang sakit. Kita kena bagi dia sokongan. Mana tahu, satu hari nanti dia sembuh? Kuasa Tuhan tiada siapa boleh halang."
"Kenapa dia boleh jadi macam tu, umi?" Giliran Aina menyoal.
"Puncanya umi tak tahu. Doktor pun tak tahu."
"Jadi, Orkid pergi jumpa doktor setiap bulan tu sebab sakit ni la, umi?" Aifan bersuara kembali.
"Yes." Sofea menjawab ringkas.
Dan perbualan mereka terhenti sampai di situ. Masing-masing hanya membisu dengan fikiran masing-masing menerawang jauh entah ke mana. Usai bersalaman, Sofea menghantar pemergian kedua-dua anak tersayang dengan pandangan penuh kasih sayang dengan hati yang langsung berdoa agar kedua-dua anaknya akan dipermudahkan urusan menimba ilmu hari ini untuk masa hadapan yang cemerlang kelak.
Masa hadapan yang dia gambarkan mengingatkannya pada arwah suami tercinta yang pergi dulu sebelum dirinya. Kalaulah arwah suaminya masih ada, semuanya tidak akan seperti hari ini. Menjadi ketua keluarga bukanlah sesuatu yang mudah. Sekarang dialah ibu, dialah ayah buat Aina dan Aifan. Dan sekarang mereka ada Orkid Serena, kanak-kanak istimewa yang dia juga dia anggap sebagai satu amanah daripada Tuhan.
Nasib baiklah Sofea jenis yang tahu berdikari, tahu berdiri atas kaki sendiri. Sebelum arwah suaminya pergi buat selamanya, dia sudah siapkan diri dengan sumber kewangan sendiri. Biarlah orang nak kata 'tempat isteri adalah di rumah', dia cuma siapkan diri untuk sebarang kemungkinan memandangkan zaman sekarang bukanlah seperti zaman dahulu. Malah, arwah suaminya sangat menyokong pilihannya untuk berniaga, seperti tahu dirinya akan pergi dulu walaupun pemergiannya sungguh tidak dijangka oleh Sofea.
Arwah suami Sofea, Hafif telah meninggal dunia dalam kebakaran yang mengorbankan puluhan nyawa di pelantar minyak, tempat dia bekerja sebagai seorang jurutera. Sofea hanya mampu reda dengan ketentuan-Nya, reda dengan rasa kehilangan yang tidak pernah pudar sepertimana apa yang Orkid Serena mungkin rasakan.
"FAYADH."
"Huh?"
"Mana kawan baik kau? Dua minggu dah tak nampak."
Murid lelaki dengan kaca mata bingkai bulat itu jongket bahu.
"Kau kawan baik dia pun kau tak tahu?"
"Mana ada kawan baik."
"Kau selalu cover dia."
"Mana ada."
"Eleh... Tak mengaku." Zareen, murid perempuan yang tadinya berdiri di sisi meja Fayadh kemudian terus berlalu pergi.
Fayadh renung meja kosong di sebelahnya. Sunyi juga dia tanpa Orkid Serena. Kalau tak, murid perempuan di sebelahnya itu selalu sahaja menghulurkan coklat dan gula-gula masa di dalam kelas tiap kali Orkid lihat dia menguap menahan rasa mengantuk.
Tapi kalau masa hujan dan Orkid tiba-tiba jadi diam, Fayadh la yang sibuk lindung Orkid dengan mereka macam-macam alasan apabila cikgu bising panggil nama Orkid yang langsung tak menjawab. Fayadh akan cakap Orkid tak sihat. Orkid pening kepala. Orkid kena fokus menulis untuk hilangkan pening kepala dan macam-macam lagi alasan yang tak munasabah.
Fayadh tiba-tiba bangun dan duduk di atas kerusi bekas tempat duduk Orkid. Dia belek meja dan tunduk jengah ruang bawah meja kut-kut Orkid ada tinggalkan apa-apa yang mungkin boleh jadi petunjuk akan kehilangan Orkid selama dua minggu! Pengaruh cerita Detektif Conan pada dirinya kini membuak-buak mendorong mindanya untuk berfikir yang bukan. Ternganga mulut Fayadh bila nampak ada sekeping sampul warna putih di bawah meja itu. Laju sahaja sampul itu dicapai dan dibawa ke mejanya dan isi sampul segera dikeluarkan.
Kepada: Detective Conan
Orang dah tak boleh ke sekolah lagi. Jaga diri. Terima kasih jadi kawan orang.
Bye. Jumpa lagi.
Fayadh tak tahu nak beri reaksi apa. Penemuan yang tak disangka itu sedikit memeranjatkannya. Panggilan namanya dalam surat Orkid itu membuatkannya rasa bangga tapi isi surat itu membuatkannya rasa sedih. Kenapa Orkid cakap macam tu? Kenapa dia dah tak boleh ke sekolah lagi? Family dia miskin ke? Tapi dia pernah cakap Aina duduk serumah dengan dia. Pagi tadi ada nampak Aina. Aina boleh aje sekolah, kenapa Orkid tak boleh?
Monolog dalam hati Fayadh terhenti apabila semua murid kelas mula berdiri, mengucap selamat pagi kepada guru mata pelajaran Bahasa Melayu yang baru melangkah masuk. Surat daripada Orkid dilipat kemas dan dimasukkan semula ke dalam sampul yang kemudiannya diselit di dalam helaian buku teks dalam beg sekolahnya.
Cikgu Jasmin dah mula mengajar di hadapan tetapi fikiran Fayadh pula masih melayang pada Orkid Serena. Entah bila mereka akan berjumpa lagi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro